‘Allah lebih mengetahui apa yang terbaik.’ Wanita dipaksa kahwin dengan ‘datuk’ akui kini lebih bahagia. Tidak dinafikan tak ramai mampu menerima perkahwinan yang diatur keluarga.
Apatah lagi jika mereka telah pun mempunyai pilihan sendiri, sudah tentu pilihan keluarga dirasakan kurang sesuai. Apa lagi pilihan keluaraga adalah orang tak dikenali.
Namun di luar sana, ramai saja yang bahagia dengan pilihan keluarga. Peringkat permulaan mungkin janggal tapi lama-kelamaan insyallah makin lama makin mengenali dan dapat menerima antara satu sama lain.
Seperti mana yang berlaku pada wanita ini. Di peringkat awal, mungkin faktor perbezaan usia yang terlalu banyak membuatkan wanita ini kekok untuk bersuamikan lelaki yang berusia.
Ads
Apa Yang Terbaik
Seorang wanita di Jakarta, Indonesia tidak menyangka perkahwinannya selama lima tahun dengan seorang lelaki berusia 63 tahun akhirnya menemui kebahagiaan meskipun dia pernah menolak jodoh pilihan ibunya itu, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Ana Amalia menerusi sebuah program bual bicara berkata, dia yang ketika itu berusia 27 tahun menolak hasrat ibu untuk menjodohkannya dengan Emen kerana lelaki itu dianggap lebih layak bergelar ‘datuk’ buatnya.
Wanita Dipaksa Kahwin Dengan ‘Datuk’
“Pada awalnya, saya memang dipaksa untuk berkahwin kerana ibu bapa telah menjodohkan kami berdua,” kata Ana.
Tambahnya, lama-kelamaan, dia mula berasa selesa hidup berumah tangga bersama Emen dan menyedari Allah lebih mengetahui apa yang baik buat dirinya.
Ads
Akui Kini Lebih Bahagia
Dia juga mengakui benar-benar jatuh cinta kepada suaminya dan bersyukur atas kehidupannya pada masa ini.
“Lama-kelamaan, saya benar-benar jatuh cinta kepada suami. Mungkin itu yang dinamakan cinta itu hadir kerana kita sering ada untuk satu sama lain,” ujarnya. – Agensi
‘Rasa ibadat tak sempurna.’ Qada puasa 30 hari sebab rasa was-was, ini hukumnya bila kita rasa ibadat puasa kita kurang sempurna. Sebenarnya perasaan was-was adalah hasutan syaitan.
Tapi sudah tentu hati tak tenteram bila merasakan ibadat puasa sepanjang Ramadan tak sempurna seperti yang diimpikan.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan ketahui hukumnya sama ada perlu qada atau tidak puasa tersebut.
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Bolehkah saya qada puasa disebabkan dari was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas.
Saya ingin qada manalah tahu kemungkinan ada kesalahan yang saya lakukan semasa puasa. Saya rasa puasa saya tidak sempurna dan apa yang saya buat setiap hari saya akan niat puasa qada sehinggalah cukup 30 hari.
Betul ke apa yang saya buat?. Mohon pencerahan dari ustaz menyelesaikan kekusutan saya ini.
Jawapan :
Qada puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :
‘Pernah ada puasa daripada bulan Ramadan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah saw.”
Riwayat Muslim (2657)
Ingin kami nyatakan, jika ragu-ragu atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas, maka tidak perlulah diganti.Ini kerana ianya tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya :
‘Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”
Kami juga menasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud :
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ. قَالَهَا ثَلاَثًا
Maksudnya :
‘Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi saw mengucapkannya sebanyak tiga kali.”
Riwayat Muslim (6955)
Begitu juga, jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu. Inilah hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Bahkan ayah kita semua, Nabi Adam a.s pun tidak terlepas daripada bisikan syaitan.
Maksudnya :
“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
(Surah Toha :120)
Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi saw dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. Sabda Nabi saw :
Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran.
Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah.
Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam.
Kemudian Baginda membaca :
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji” [Surah al-Baqarah : 268]
Riwayat al-Tirmizi ( 3256) &al-Nasaie (11051) di dalam al-Sunan al-Kubra
Jika berlaku was-was, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Moga-moga kita diberikan kefahaman oleh Allah dan dijauhkan daripada bisikan-bisikan yang buruk sehingga membawa kepada was-was.
Berdosa, bertentangan dengan ajaran islam. ‘Wanita dua suami tinggal sebumbung dihalau penduduk.’
Terang lagi bersuluh, perbuatan ini menyalahi ajaran agama Islam. Apalah yang merasuk fikiran mereka bertiga hingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini.
Ketua Bidang Dakwah Majlis Ulama Indonesia (MUI), Cholil Nafis menegaskan wanita yang mempunyai dua suami atau mengamalkan poliandri adalah haram di sisi Islam.
Malah, menurutnya juga sesuatu perkara yang haram adalah berdosa dilakukan kerana bertentangan ajaran Islam.
“Poliandri haram dan tidak sah nikah yang kedua,” katanya.
Kisah seorang wanita yang mempunyai dua suami tular di media sosial Indonesia baru-baru ini, lapor laman berita Liputan 6 hari ini.
Video bertajuk ‘Ibu Haji Cantik Memiliki Dua Suami Tinggal Serumah Tetap Harmoni’ itu dimuat naik dalam saluran YouTube @KiBungsuKawangi.
Ki Bungsu Kawangi dirakam menemu bual wanita dikenali sebagai Ibu Siti dan dua suaminya, Pak Somad serta Pak Abdul yang tinggal serumah.
Mereka dikatakan mencari rezeki bersama-sama dengan mengusahakan sebuah warung dan kedai runcit gas.
Selain itu, mereka mengaku hampir dihalau penduduk kampung kerana mengamalkan poliandri dan tinggal serumah.
‘Bab hubungan intim tak boleh dibincang secara terbuka.’ Layan suami umpama pelacur menyimpang syarak, perkara ini bukan ajaran Islam yang sebenar.
Isteri mana boleh disamakan dengan pelacur. Isteri adalah wanita dihalalkan melalui akad nikah, tidak layak jika dikasari atau didekati dengan kekerasan.
Memetik laporan Harian Metro, seorang wanita didakwa menyebarkan fahaman menyimpang daripada syarak berkaitan perhubungan suami isteri serta menggunakan platform kumpulan Telegram untuk menyebarkan dakyah berkenaan.
Difahamkan, wanita itu menggunakan platform Telegram sebagai medium utama penyebaran fahaman berkenaan dan ia disedari sejak beberapa minggu lalu.
Antara dakyah yang dipromosikan oleh wanita itu adalah menyuruh suami merogol isteri serta melayani suami umpama pelacur.
Selain itu, terdapat kiriman di dalam kumpulan Telegram berkenaan yang menyuruh suami untuk menyakiti isteri mereka bagi yang enggan melayani ‘hajat’ si suami.
Dakyah terbabit menggunakan agama kononnya menyuruh si isteri melayani hajat suami tidak mengira masa dan keadaan.
Wanita itu juga mempunyai kumpulan di platform Telegram yang mempunyai mengikut lebih 24,000 dan difahamkan terdapat satu lagi kumpulan di platform sama namun bagi individu berminat perlu membayar suatu harga ‘keahlian’ untuk diterima masuk.
Admin kumpulan berkenaan banyak berkongsi tentang tip hubungan suami isteri namun dalam perspektif yang lebih ekstrem.
Ia termasuk membenarkan si suami merogol isteri mereka bagi yang enggan bersama malah menggalakkan suami untuk menyakiti isteri kononnya sebagai bentuk pengajaran kepada yang enggan menuruti kehendak suami.
Namun semalam, wanita itu tampil memohon maaf kepada semua atas keterlanjuran sikapnya. Wanita tersebut melalui satu hantaran di Facebooknya menjelaskan, dia memohon maaf kerana perkongsiannya yang melampau itu telah menimbulkan kekecohan.
Manakala, menurut Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin, kumpulan berkenaan jelas menggunakan topeng Islam kononnya mahu mengajar wanita menjadi isteri terbaik namun dalam kerangka kefahaman yang salah.
“Ini adalah bentuk penderaan fizikal serta seksual kepada isteri atas nama ketaatan sedangkan ia sangat jauh menyimpang daripada maksud sebenar yang sudah digariskan di dalam Islam.
“Saya sangat mengharapkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melaksanakan siasatan dengan segera termasuk memanggil wanita serta pentadbir kumpulan berkenaan.
“Difahamkan juga wanita yang menyebarkan dakyah itu melakukan video siaran langsung di media sosial (Facebook) dan kefahaman ekstrem ini perlu dibendung di peringkat awal,” katanya.
Tambah Zamihan, kefahaman wanita ini jelas terlalu menyimpang dan berdasarkan pemerhatian dalam kumpulan berkenaan, banyak kefahaman yang tidak mencerminkan hakikat sebenar.
Pada masa sama, pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya atau lebih dikenali sebagai PU Syed turut menggesa pihak berkuasa agama supaya mengambil tindakan segera terhadap kumpulan ini.
Katanya lagi, asas ajaran yang diberikan kepada pengikutnya adalah lebih cenderung kepada penderaan seksual serta fizikal kepada isteri dengan menjual nama ketaatan.
“Kumpulan ini juga membuat dorongan iaitu boleh memukul isteri jika tidak mahu melayani suami dan ini sudah menyimpang daripada agama,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah.
Dalam masa yang sama, Dr Mohd Na’im turut mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pertemuan bersama pihak berkaitan termasuk meminta agensi itu untuk membimbing serta memberi nasihat.
“Saya sudah mengarahkan Jakim untuk membuat laporan kepada pihak SKMM berkaitan kandungan yang terkandung dalam media sosial untuk diambil tindakan lanjut.
“Ada perkara yang tidak perlu kita bincang secara terbuka termasuklah dalam bab hubungan intim suami isteri.
“Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah, ini bukan akhlak Islam,” katanya.
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.