‘Bukan senang bergelar mutawif.’ Kena faham selok-belok hukum agama termasuklah dalam mengurus emosi jemaah kerana ragam manusia ini bermacam-macam.
Menurut Ustaz Mohamad Anas bin Mohamad Naem yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun bergelar mutawif, dirinya mengakui menjadi mutawif banyak cabarannya.
‘Saya berada dalam bidang umrah dan haji ini sejak 2010 dan hinggalah sekarang. Pengalaman saya lebih kurang 13 tahun. Saya mula bawa jemaah ketika belajar di Universiti Islam Madinah.
“Bila tinggal di sana, rutin harian saya selain belajar, kami pelajar-pelajar ini diperlukan khidmatnya untuk menyantuni jemaah umrah dan haji,” cerita Ustaz Anas bagaimana dirinya mula bergelar mutawif.
Ustaz Anas antara yang beruntung apabila dapat menunaikan haji buat pertama kali pada usia 18 tahun. Semua sedia maklum, dalam usia yang muda pasti mempunyai tenaga dan semangat sangat tinggi. Namun usia muda bukan jaminannya iya.
Kena Faham Selok-Belok
‘Bila saya lakukan haji buat kali pertama, saya demam seminggu. Berat badan turun 10 kilogram. Ketika itu saya terus terfikir bagaimana orang muda macam saya buat haji pun tenaga terus down. Bagaimana dengan golongan yang lebih berusia.
‘Dalam masa yang sama terdetik di hati, bagaimanalah dulu Nabi Muhammad buat umrah dan haji kerana role model kita adalah Nabi Muhammad saw. Tidak kiralah dari segi bangun, tidur, makan semuanya ikut cara Nabi.
Ads
“Tapi bab umrah atau haji, tak ramai yang ambil tahu bagaimana caranya nabi lakukan kedua ibadat ini. Apa lagi bagi yang spend duit banyak untuk umrah dan haji tetapi ibadat yang mereka lakukan tidak seperti Nabi. Jadi sudah tentu, ia menjadi perkara yang merugikan,’ luah Ustaz Anas.
Hukum Agama
Oleh itu jelas Ustaz Anas, pada umumnya pelajar-pelajar yang belajar di sana, sedari awal telah disetkan untuk berkhidmat dan berbudi kepada jemaah.
Dalam masa yang sama, selain membantu memudahkan urusan ibadat, pelajar atau mutawif ini akan tunjukkan cara rasulullah saw mengerjakan haji dan umrah yang betul.
Biarpun berpengalaman lama, namun Ustaz Anas akui bukan mudah untuk mendepani karenah jemaah haji atau umrah saban tahun. Setiap kali musim haji pasti ada cabarannya.
‘Sebagai mutawif nak layan karenah manusia bukan mudah kerana setiap orang berbeza cara. Perangai pun lain-lain. Jemaah nak pergi buat ibadat, sebagai contoh bab solat.
Ads
‘Walaupun ibadat solat tersebut adalah amalan harian kita bertahun-tahun, tiada siapa pun dapat beri jaminan bahawa solatnya 100 peratus betul dan sempurna. Apatah lagi ibadat haji yang kita buat seumur hidup sekali,’ tambahnya lagi.
Oleh sebab itu para jemaah perlukan bimbingan daripada seorang mutawif. Oleh sebab itu seseorang mutawif harus mengetahui semua hukum hakam, tahu apa kesan setiap perbuatan jemaah yang salah
Di samping itu, dalam masaa yang sama seorang mutawif perlu berhati kental dan menjadi hati batu.
Ads
Bukan bermakna tidak mahu endahkan jemaah, tapi disebabkan mutawif antara orang yang memahami ragam jemaah. Jadi sebaiknya mereka perlu bijak untuk handle setiap situasi yang berlaku.
Ikuti perkongsian Ustaz Mohamad Anas bin Mohamad Naem berdepan dengan ragam jemaah haji dalam Tetamu Haramain episod 2:
Kashoorga: Ibadat haji bukan sesuatu yang mudah, ia bukan hanya ibadat semata-mata sebaliknya ibadat haji juga menguji kesabaran dan ketakwaan seseorang.
Suatu ketika nama penyanyi dan ahli perniagaan Rosma, 35, yang digilap bakat menerusi pertandingan Akademi Fantasia (AF1) musim pertama pernah menjadi siulan.
Lebih 17 tahun bergelumang dengan dunia seni, Rosma atau nama lengkapnya, Rosmayati Sidik, akur biarpun haluannya kini lebih kepada mengemudi perniagaan syarikat KR Successful Sdn Bhd bersama suami, Khai.
Perniagaan yang ditubuhkan sejak tahun 2014 itu kini memberi fokus kepada produk kesihatan dan pelangsingan badan termasuk minuman detoks, MS SenaRos
“Ada yang cakap dulu saya bersusah payah nak kurus sampai keluarkan produk pelangsingan sendiri. Tapi rezeki nyanyian tetap tak menyebelahi diri sampai sekarang biarpun sudah berjaya susutkan badan.
“Saya akur dengan suratan hidup. Tapi saya puas hati, Tuhan beri peluang merasa nikmat jadi penyanyi dengan menyertai AF1 biarpun seketika. Sejak kecil nak jadi penyanyi dan impian itu berjaya direalisasikan.
“Cuma kini saya sedar walaupun sebesar mana bakat yang dikurniakan kepada seseorang itu, jika Allah sudah katakan bukan rezeki… maka begitulah suratannya.
“Tapi Allah buka laluan untuk saya menceburi dunia perniagaan yang selama ini tak pernah langsung terlintas menjadi kerjaya tetap. Dunia nyanyian menjadi asbab atau platform untuk saya berniaga,” katanya.
Tambah Rosma lagi, sekalipun sudah rancak berniaga, dunia nyanyian tak dilupakan begitu saja.
“Kini nyanyian jatuh di tangga kedua. Perniagaan di tempat pertama. Tapi itu tak bererti saya tak mahu menyanyi lagi. Sebelum ini pun ada tawaran menyanyi secara tertutup, selain membuat persembahan di hotel ketika bulan Ramadan .
“Cuma ketika diuji dengan pandemik Covid 19, kerjaya nyanyian itu tak dapat diteruskan macam biasa. Saya tak kisah pun orang nak kata saya artis sendu atau apa sekalipun.
“Mungkin ada yang kata pintu rezeki nyanyian tak serancak dulu. Tapi Allah Maha Kuasa buka pintu rezeki dalam dunia niaga. Saya percaya rezeki itu ada di mana mana. Pokok pangkalnya niat dan usaha kita,” katanya.
Berkongsi mengenai perniagaannya, ibu kepada tiga cahaya mata ini semuanya berlaku secara kebetulan.
Malah paling utama, suami tersayang yang menjadi individu penting di sisi antara yang terus membakar semangat serta memberi motivasi.
“Ikutkan sejak zaman remaja, saya jenis yang comot dan tak fikirpun soal nak cantik. Orang nak cakap apa itu, lantaklah. Cuma saya mula terfikir nak jaga segala serbi fasal diri selepas keluar AF1.
“Masa itu kejutan budaya sebenarnya sebab jadi artis dan mula dikenali. Tapi antara masalah utama saya ketika itu ialah mendapat tajaan termasuk baju kerana berbadan tembam. Memang lepas masuk AF1, berat badan saya naik mendadak.
“Ketika zaman jadi artis itu, berat badan saya pernah mencecah 70 kilogram. Dalam hati pernah terdetik besar sangat ke badan aku ini? Ikutkan zaman solo sebelum kahwin pun berat saya sekitar 48 kilogram. Tapi sekarang selepas berkahwin dan ada anak, berat saya dalam 47 kilogram.
“Sebab nak kurus sangat, saya ketika itu juga pernah diet dengan cara silap. Sampai pernah jatuh pengsan dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya. Biasalah tak ada ilmu, tapi berlagak pandai diet itu ini. Hinggalah saya berdiet dengan betul dan menjadi testimoni kepada formula produk sendiri.
“Khai sendiri antara yang mencetus idea kenapa saya tak buat produk pelangsingan sendiri jika boleh berjaya kurus,” katanya yang nekad mengeluarkan produk sendiri selepas melahirkan anak kedua.
Kata Rosma, fasa memulakan perniagaan sejak awal itu bukan mudah. Apatah lagi ramai persaingan di luar sana turut mengeluarkan produk yang hampir sama. Namun percaya dengan bakat anugerah Tuhan padanya.
Jika diimbas kembali, Rosma sebenarnya sudah kalis kecaman sejak dulu kerana memiliki badan tembam.
“Kalau ketika zaman dulu wira papan kekunci sehebat masa kini, mungkin lagi teruk saya dikecam kerana memiliki badan ‘plum’. Ikutkan hati memang terasa hati. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Sebaliknya cuba lawan kecaman itu dengan membuktikan diri boleh kurus dan sihat.
“Pernah ketika terbabit dengan promosi di ruang sembang maya, ada yang beri komen pedas membabitkan fizikal diri. Antara komennya berbunyi…sudahlah gemuk, ada hati nak bercinta dengan artis kacak (Khai yang digosipkan sejak zaman AF1 hingga berkahwin).
“Komen lain siap cakap usia muda tapi lagak saya dengan berbadan tembam seperti sudah pangkat makcik makcik yang ada ramai anak. Begitu juga yang terang terangan cakap saya tak cantik, debab dan bulat. Selain tak layak berdampingan dengan Khai ketika itu,” katanya
Rosma dan Khai berkahwin sejak 26 April 2008. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Amzar Danish, 11, Nur Amani Damia, 6, dan Nur Alya Dhania, setahun 3 bulan.
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Jika sebelum dan selepas Ramadan kita selalu saja mendapat undangan perkahwinan atau menerima berita pasangan bernikah tapi sebaliknya di Ramadan. Timbul persoalan apa hukumnya bernikah di bulan Ramadan.
Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, tiada bulan yang tak dibolehkan bernikah. Hukum bernikah di bulan Ramadan tetap sah namun tidak digalakkan.
“Ini kerana kaitan kenduri selepas pernikahan. Nabi Muhammad menganjurkan diadakan kenduri selepas majlis pernikahan.
“Ia berdasarkan diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Selain itu sekiranya bernikah di bulan Ramadan pasangan suami isteri baru ini perlu berhati-hati supaya tidak berlaku jimak di siang hari.
“Bernikah di bulan Ramadan ini kena hati-hati kerana itu kali pertama lelaki dan wanita berdua-duaan. Takut berlaku batal puasa, batal puasa akibat jimak di siang hari.
“Bila ini berlaku, puasa suami isteri akan terbatal dan perlu qadha sehari. Akan tetapi ada tambahan buat suami, ada kaffarah yang perlu dibuat oleh suami yang mana suami perlu puasa 2 bulan berturut turut,”jelas beliau.
Bagaimana pun sekiranya tidak mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut suami perlukan memberi makan 60 fakir miskin.