Maksudnya: ““Bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan), maka apabila telah sampai masanya, mereka tidak dapat menangguhkannya walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.”(Surah al-A’raf: 34).
Kematian bukan saja ujian buat yang merasainya tapi juga mereka yang tinggal untuk lebih bersedia dengan kematian yang datang secara tak terduga.
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk: 2)
Jika kematian biasa, kita memahami bagaimana menguruskan jenazah iaitu memandikannya. Tapi bagaimana keadah menguruskan jenazah yang mati rentung terbakar.
Dikongsi dari Pejabat Mufti Wilayah, ini keadah menguruskan jenazah yang rentung terbakar.
Pelajar USAS antara yang rentung dalam kemalangan maut malam tadi di Terowong MenoraKemalangan ngeri ini mengakibakat kesesakan trafik sepanjang 13 km di PLUS
Hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ianya terbakar ataupun tidak. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), tidak diperlukan air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, digantikan dengan tayammum.
Ads
Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie. Dalil bagi para fuqaha’ adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat berubah daripada wudhu’ dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri.
Imam Al-Nawawi rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata: Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/178).
Dalam Raudhah al-Talibin, Imam al-Nawawi juga mengulas hal yang sama. Menurutnya, “Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan.” Lihat Raudhah al-Talibin,( 2/108).
Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani rahimahullah menyebutkan: “Dan mayat yang tidak dapat dimandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan.” Rujuk Nihayah aI-Zain (hal. 151)
Maka, dalam isu kebakaran yang berlaku baru-baru di ini Darul Qur’an Ittifaqiah – setelah mendengar penjelasan pihak berwajib – kami berpandangan bahawa jenazah mangsa kebakaran memadai ditayammumkan sahaja.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas menziarahi kematian sering kali orang tua akan berpesan supaya kita mandi dan membersihkan diri. Salah satu sebabnya supaya tidak terkena badi mayat yang boleh membuatkan seseorang itu sakit atau pun teringat-ingat akan si mati.
Meskipun masih dipercayai hingga sekarang tapi dalam Islam adakah wujud ‘badi mayat’ ini. Soalan yang sama turut dikemukakan oleh seorang netizen yang kemudiannya mendapat pencerahan dari Mufti Selangor.
Saya terbaca hadis riwayat Imam Ahmad, bersanad dari Abu Hurairah r.a. tentang galakan mandi selepas memandikan jenazah. Hadis ini dinyatakan status sebagai hasan. Soalan saya, adakah ini menjadi dalil kepada kepercayaan badi mayat? Adakah badi mayat wujud? Jika tidak, adakah badi mayat dikira sebagai khurafat, dan apa dalil yang menentangnya? Sekian terima kasih, wallahu’alam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hadis tersebut tiada kaitannya dengan kepercayaan badi mayat. Ianya hanya anjuran Nabi SAW untuk membersihkan tubuh badan setelah menguruskan jenazah.
Hukum mandi tersebut adalah sunat. Ada pun badi mayat adalah kepercayaan karut masyarakat Melayu dahulu kala. Namun telah dikikis sedikit demi sedikit dengan datangnya agama Islam yang membawa manusia daripada jahil kepada manusia yang berilmu.
Walaupun al-Quran tidak menyebut secara khusus tentang khurafat, namun sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, mestilah percaya hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi nikmat mahupun bala.
Berdasarkan kepada firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (at-Taubah : 51)
Wanita dan kecantikan berpisah tiada. Sanggup berhabis wang untuk cantik. Iklan rawatan dan urutan badan, dan pelangsingan di spa memang sangat mengujakan Muslimah.
Kebanyakan jenama hebat spa-spa dikendalikan oleh ramai pekerja wanita bukan Islam. Bukan tak boleh bagi para Muslimah untuk dapatkan perkhidmatan urutan di sini tetapi kita harus utamakan hukum syarak.
Apakah hukum syarak yang digariskan untuk hal ini? Kita baca penjelasan ustaz Azhar Idrus terhadap pertanyaan yang rata-rata memang kaum wanita nak tahu, sebab ramai yang dah ke spa bukan Islam ini.
Adakah harus perempuan muslimah pergi ke pusat spa rawatan badan dan kecantikan di mana di pusat tersebut pekerjanya terdiri dari perempuan bukan Islam membuat mandian dan body massage iaitu urutan pada tubuh perempuan muslimah tersebut?
“Allah tidak menghalang kamu sekalian dari berbuat baik akan orang orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu sekalian dari tanah air kamu dan berlaku adil kepada mereka. Sungguhnya Allah kasih kepada orang-orang yang berbuat keadilan.” (Mumtahanah : 8)
Di dalam ayat ini Allah memberi izin bermuamalat dengan orang-orang kafir tetapi ada di sisi syarak batas-batasnya yang tidak boleh sama sekali orang Islam melanggar batas tersebut.
Di antara batas syarak yang wajib dijaga ialah perempuan muslimah tidak harus membuka auratnya di hadapan perempuan bukan Islam.
“Tidak halal bagi perempuan yang beriman bahawa membuka ia akan suatu daripada tubuhnya di hadapan perempuan kafir melainkan bahawa adalah perempuan kafir itu ialah hambanya. Yang demikian itu ialah kerana firman Allah dalam surah An-Nur ayat ke 31 artinya atau di hadapan hamba perempuan mereka.”
“Khalifah Umar r.a. telah menulis kepada Abi Ubaidah bin Al-Jarrah bahawasanya telah sampai berita kepada aku sungguhnya perempuan kafir zhimmi telah masuk ke tempat mandi awam yang ada perempuan muslimah maka hendaklah menegah yang demikian itu dari berlaku kerana sesungguhnya tiada boleh perempuan kafir melihat tubuh badan perempuan muslimah.”
Berkata Ibnu Abbas r.a. :
لايحلللمسلمةأنتراهايهوديةأونصرانيةلئلاتصفهالزوجها
“Tiada halal bagi perempuan muslimah bahawa dilihat akan tubuhnya oleh perempuan yahudi dan nasrani supaya tidak dapat dia ceritakan sifat tubuhnya bagi suaminya.”
“Mana-mana perempuan yang masuk ia ke tempat mandi awam tanpa uzur bertujuan memutihkan wajahnya maka Allah akan menghitamkan wajahnya pada hari putih segala wajah di hari kiamat.”
Harus Ketika Darurah
Akan tetapi pada ketika darurah seperti berubat dengan pengamal perubatan perempuan bukan Islam yang memerlukan dibuka auratnya pada ketika tiada pengamal perubatan perempuan Muslimah atau lelaki Muslim nescaya diharuskan yang demikian itu.
Dan darurah itu hanya berlaku kerana menyelamatkan nyawa atau menyelamatkan anggota badan. Ada pun kerana menambah kecantikkan atau merawat sakit yang tidak merbahaya nescaya tidak dibolehkan. Carilah spa rawatan milik Muslim.
Kesimpulannya apabila diketahui tidak harus perempuan muslimah membuka auratnya di hadapan perempuan bukan Islam untuk diurut badannya itu hendaklah pergi ia ke tempat yang dikendalikan oleh perempuan muslimah yang banyak kedapatan sekarang ini.
Muamalah dengan orang bukan Islam adalah dibolehkan tetapi bukan sebebas-bebasnya yakni hendaklah mematuhi peraturan syarak yang telah ditetapkan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai golongan bukan berilmu cuba “memandai” menyampaikan ilmu walau bukan dalam bidang mereka sehingga menjadi isu kontroversi di seluruh negara. Ada baiknya kita menurut apa “kepakaran” yang ada tanpa mencampurkan adukkan antara bisnes dan agama kerana tidak mahu tersalah percakapan mampu membawa kepada kesyirikan.
Dalam pada itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang baru dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024 memperjelaskan maksud Al-Khaliq di mana Allah bukan makhluk dalam perkongsianya di e-book Maktabah Al Bakri mengenai isu ini berdasarkan soalan ditanya kepada dirinya.
Soalan Tular di media sosial beberapa hari ini bahawa terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus. Mohon ulasan daripada Datuk.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT:
Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1] Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung yang tidak ada tandingan bagi-Nya”.[2]
Imam al-Syaukani berkata: “ Sesiapa yang memahami dan merenungi ayat mulia ini dengan sebenar-benarnya pasti dia akan melalui di atas jalan yang putih dan jelas di persimpangan perselisihan manusia dalam masalah sifat-sifat Allah. Lebih baik lagi apabila direnungi makna firman Allah: “Dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat”. Hal ini kerana penetapan ini setelah menafikan sesuatu yang serupa mengandungi keyakinan yang mantap dan menjadikan penawar bagi hati. Wahai pencari kebenaran, peganglah pada hujjah yang jelas dan kuat ini, pasti engkau dapat membenteras pelbagai jenis kebid’ahan.[3]
Syeikh Ahmad bin Mustafa Al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya : “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[4]
Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan: Sesungguhnya semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya.[5]
Huruf kaf di dalam ayat “لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ” adalah mengukuhkan penghujahan, menyucikan dan menafikan persamaan-Nya dengan mana-mana makhluk dengan penafian yang sempurna. Dalam kaedah Bahasa Arab, kaf di dalam satu-satu perkataan boleh membawa maksud sebagai pengukuh (li al-tawkid) atau persamaan (li al-tashbih) Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang berbeza dengan dirinya, contohnya jika dikatakan “Engkau umpama bulan (أنت كالبدر)” maka ia adalah bentuk persamaan. Engkau (manusia) dan bulan adalah dua benda yang berbeza. Maka, kaf di sini berperanan untuk memberi makna “Engkau umpama bulan dari sudut keindahannya.”
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang sama dengan dirinya, contohnya seperti ayat al-Qur’an di atas, maka ia adalah satu bentuk pengukuhan. Ka dan mithl pada ayat tersebut adalah perkataan sinonim dan ini berperanan memberi penguat kepada ayat tersebut. Sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Jabir Jubran, jikalau dikatakan لَيْسَ مِثْلِهِ شَيْءٌ (tanpa kaf), ia membawa makna penafian penyerupaan yang setara (al-mithl al-mukafi’).[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat dan boleh menjejaskan akidahnya serta menjebakkan dirinya ke lembah kesyirikan, apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja. Sedangkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT.
Maksudnya:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”[7]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.[8]
Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka. Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat[9] membahagikan syirik kepada enam jenis:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Allah sebagai al-Khaliq
Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa (خَلَقَ), yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus. Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il (فَاعِل) kepada perkataan khalaqa (خَلَقَ) yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq (خَالِق) yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”
Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”[10]
Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:
ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺧَﺎﻟِﻖُ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ۖ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰٰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻭَﻛِﻴﻞٌ Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”[11]
Firman Allah SWT lagi: هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya:“Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.[12]
Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk مَخْلُوقyang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.
Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim. Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain. Manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jin mampu masuk ke badan manusia tanpa dapat dirasai dan mereka masuk ke dalam manusia dan menusukkan sifat was-was dalam hati manusia. Kedua-dua jisim ini sama ada kathif ataupun latif tidak akan sama dengan sesuatupun daripada sifat Allah. Bahkan Allah sebagai al-Khaliq ini lah yang menciptakan jisim kathif dan latif.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.
Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[13]
Begitu juga terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ Maksudnya:Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.[14] Saya menutup dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” Wallahua`lam. Bertarikh 16 Disember 2021 M bersamaan 12 Jamadil Awwal 1443 H [1] Surah al-Syura: 11 [2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194 [3] LihatFath al-Qadir, 4/528. [4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 25/15 [5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 9/595 [6] Lihat Ta’liqat al-Sunniah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 11 [7] Surah al-Nisa: 48 [8] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86 [9] Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55 [10] Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 380 [11] Surah al-Zumar: 62 [12] Surah al-Hasyr: 24 [13] Riwayat Ibn Majah (2043) [14] Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sudah berpisah, namun bekas suami isteri terus berhubung dan berkawan baik demi anak. Ada masa keduanya juga bertemu malah da juga yang menghabiskan masa...