Pelakon dan pengacara, Diana Amir sudah berhijrah sejak dari tahun 2011 lagi. Sebaik melakukan penghijrahan dia memang mengubah penampilan dan sikapnya menjadi 360 darjah.
Diana Amir yang melakukan penghijrahan turut yang mengakui hidupnya kini semakin mendapat ketenangan.
Walaupun begitu sebagai selebriti, Diana tetap mengutamakan penampilan untuk sentiasa kelihatan cantik. Diana Amir tidak lokek berkongsi cantik cara Islam yang diamalkannya.
Menurut Diana dalam agama Islam sendiri memang amat mementingkan kebersihan. Jadi secara tak langsung kita akan menjaga kebersihan diri. Ini kita boleh lihat apabila perlu mengambil wuduk dahulu sebelum bersembahyang lima kali sehari.
Jika kita mengambil wuduk dengan sempurna memang diri akan bersih. Ini kerana daripada situ (mengambil wuduk) kita membersihkan muka dan kaki dan secara tak langsung itu juga sebahagian daripada menjaga kebersihan.
Dia juga turut memastikan sebelum masuk tidur Diana akan membersihkan wajah terlebih dahulu. Tidak akan sesekali terus tidur tanpa membasuh wajah dengan bersihnya.
Selain itu petua lain diamalkan adalah perlunya menjaga stamina dengan melakukan senaman bagi mengekalkan tubuh supaya kekal sihat dan cergas.
Ibu kepada tiga cahayamata ini juga turut berkongsi amalan kerohanian bagi membuatkan wajah seseorang itu kekal berseri dan bercahaya.
Menurut Diana lagi kecantikan itu penting bermula dari dalaman dengan hati dan jiwa yang tenang. Ketenangan itu akan datang pada seseorang bila kita sentiasa mengingati Allah.
Jangan sesekali fikir perkara yang memeningkan kepala kerana ia boleh membuatkan seseorang itu jadi cepat tua.
“Sentiasa mengingati Pencipta kita tidak kira di mana juga berada. Cara mengingati-Nya adalah dengan berzikir. Sebenarnya banyak zikir boleh diamalkan lebih-lebih diri kita ini adalah pendosa. Jadi kita perlu sentiasa memperbaiki iman dan syahadah.
“Zikir paling mudah untuk diamalkan adalah Istighfar dan Lailahaillah. Sentiasa basahkan mulut dengan zikir mulia dan inysa-Allah segala urusan akan dipermudahkan.
“Kita ingat Dia dan Dia akan mengingati kita dan hati akan memperoleh ketenangan yang paling hakiki, lebih-lebih apabila berada dalam kesusahan,” jelas Diana.
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati.
Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati.
Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bertunang bermaksud mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin). Pertunangan ialah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam rangka membina rumah tangga menjadi suami isteri.
Pertunangan dalam Islam bertujuan bagi mengenal akhlak dan sifat pasangan sebelum diadakan akad nikah.
Ia dapat membantu dalam menguatkan hubungan cinta serta mempersiapkan diri masing-masing sebelum berkahwin.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:
Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.” Riwayat al-Tirmizi (1087)
Namun ujian itu tidak hanya datang ketika dalam tempoh bertunang sahaja tetapi ketika juga ketika ingin melangsungkan perkahwinan. Namun ujian yang paling mencabar ialah ujian selepas mendirikan rumah tangga.
UJIAN SEMASA BERTUNANG
Masa bertunang, selalu bergaduh, kerap rasa nak marah, kadang kadang ada sesetengah pasangan tu sampai nak putus tunang, tak jadi nak kahwin.
Benda yang digaduhkan kecik je sebenarnya dan biasanya diungkit dengan perkara lain.
Tu yang menyebabkan gaduh jadi besar. Bagi mereka yang bakal bertunang, Jangan bertunang terlalu lama kerana dunia bertunang ni terlampau banyak dugaannya.
Apatah lagi bagi pasangan yang berjauhan. Bila berjauhan, kena ada kepercayaan yang tinggi dalam diri. Kalau ada syak wasangka dan curiga, gaduh sikit terus nak putuskan hubungan pertunangan.
Padahal bukan ada orang ketiga pun, tapi ada makhluk ketiga.
UJIAN SEMINGGU NAK KAHWIN
Bila seminggu nak kahwin, pandang pun tak mau. Rasa meluat semacam je. Kadang-kadang terlintas dihati betul ke dengan pilihan . Masa tu jugak jumpa orang yang lebih baik dari tunang kita.
Kenapa? Sebab syaitan tak mau bagi kita bina masjid. Benda yang baik, syaitan pun hangat la. So syaitan pun usaha la nak hancurkan sebelum masjid terbina.
Sebab bila dah terbina, makin susahlah syaitan and the geng nak robohkan masjid yang dah terbina dengan kukuhnya. Insha allah, kalau jodoh tu dah sampai, pasti akan sampai. Dugaan sikit ja tu, kata hati negatif tu syaitan je.
Jangan ikutkan sangat. Boleh rasa beza hati tu sebelum dan selepas diijabkabulkan
UJIAN SELEPAS KAHWIN
Takde pasangan suami isteri yang tak pernah rasa susah selepas kahwin lebih-lebih lagi yang baru 2 dan 3 bulan berumah tangga. Masing-masing gaji kecik.
Ada jugak sesetengah pasangan yang masih belajar. Tapi banyak benda yang nak kena bayar. Hutang rumah sewa, bayar bil, bayar duit kereta dan banyak lagi. Silap haribulan asyik gaduh je. Inilah ujian selepas kahwin.
Sabar atau tidak je. Selama ni kita hidup sendiri, tiba-tiba ada orang lain kita kena kongsi. Kat sini Allah nak uji hati suami dan isteri..Allah nak tengok nawaitu, persefahaman,rasa hormat dan tanggungjawab sesama pasangan.
Bila semua dah betul, baru Allah akan buka pintu rezeki lebih luas lagi. Sebab tu ramai orang cakap, kesetiaan isteri diuji bila susah dan kesetiaan suami diuji bila senang.
“Tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Dalam satu perkongsian oleh Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri itu berkongsi kisah seorang lelaki yang sudah hampir berputus asa dengan kehidupannya menceritakan bagaimana Allah tidak pernah tidur dan mendengar doa dari hamba-hambaNya.
Baca perkongsian dari Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
“Saya rasa sebak. Tuan-tuan tak kenal saya, tapi tuan-tuan bantu saya sampai macam ni. Betullah Tuhan tak tidur. Setiap masa saya berdoa agar diberi pertolongan…” Beliau benar-benar menangis di hadapan saya.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim menerima permohonan beliau melalui Tele Bantuan YADIM. Beliau tertekan kerana dihalau kerana tidak mampu membayar sewa bilik yang berharga RM600.
Beliau sudah sampai ke peringkat ingin terjun bangunan untuk menamatkan riwayat hidupnya. Pilihan yang sudah pasti tiada peluang kali kedua untuk kembali bernyawa.
Kami datang ke Lorong Haji Taib, menyelesaikan hutangnya, menyediakan sedikit wang saku untuk belanja harian beliau sekeluarga dan menyampaikan barang-barang asar dapur. Nampak riak wajahnya amat gembira dan bersyukur.
Usai pulang, kami menerima mesej ini daripada beliau:
“Assalamualaikum Encik. Maaf ya tadi duit sumbangan yang encik beri tadi saya serahkan sebanyak RM100 pada seorang wanita dari Sabah yang saya tidak kenali. Telah beberapa kali beliau telah hubungi saya untuk meminta saya tolong beliau buat permohonan bantuan dari NGO atau dari Zakat kerana beliau tidak pandai membaca dan menulis.
Wanita ini tinggal bersama abgnya yang OKU serta wanita ini tidak bekerja. Tadi saya dengar suaranya seperti menangis minta tolong kerana lapar dan perlukan ubat untuk abangnya, saya masukkan duit RM100 ke akaunnya.
Duit RM100 ini dari sumbangan yang encik-encik semua berikan kepada saya tadi dan saya telah berikan pada wanita ini. Saya mohon maaf & mohon halalkan duit yang encik sumbangkan pada saya ,saya telah berikan pada wanita ini..”
Dunia ini masih ramai orang yang mulia. Moga Allah SWT beri rezeki yang seluasnya kepada beliau sekeluarga.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.