Dalam situasi banjir dan ditempatkan di kawasan penempatan sementara atau terperangkap di jalan raya berikutan air naik, bolehkah kita menghimpunkan solat iaitu solat jamak di kawasan terperangkap? Mungkin ramai yang berasa risau dengan situasi air naik tapi solat adalah perkara wajib kita lakukan.
Merujuk kepada perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenai soalan ini, bolehkah mangsa banjir untuk solat jamak berdasarkan dalil Nabi solat jamak ketika hujan? Terima kasih.
JAWAPAN:
Ads
Waalaikumussalam wbt,
Ads
Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk mereka melakukan solat jamak semasa banjir. Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjamaah pada setiap solat fardhu. Adapun solat jamak ketika hujan, ianya memang benar warid dari Nabi SAW dan dibolehkan disisi mazhab Syafie (Al-Umm, 1/95 ; Al-Majmu', 4/378). Akan tetapi ianya hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha' iaitu:
Ads
Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan tidak jamak ta'khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama. (Al-Mu'tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/484 – 485)
Solat yang kedua (Asar atau Isya') mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid. (Mughni al-Muhtaj, 1/274; Al-Hawi, 4/494; Al-Majmu' 4/258)
Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak. (Al-Umm, 1/95)
Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan. (Al-Majmu', 4/378)
Wallahu a'lam. Foto : MEDKOM /BERNAMA
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Tak sah kerana tiada keredaan penjual & pembeli.’ Tapi adakah wujud elemen paksaan dalam isu Kieda Crepe? Adakah dia memaksa setiap pembeli untuk berbuat demikian.
Sekali lagi, nama Kieda Crepe meniti di bibir netizen apabila dia dikatakan memaksa pelanggannya untuk produk lain sedangkan mereka hanya ingin membei crepe saja.
Adakah perniagaan sebegini dibenarkan dalam Islam, adakah apa yang dilakukan pihak Kieda Crepe bertentangan dengan hukum mualamat. Ikuti perkongsian panjang lebar Ustaz Lariba berkaitan isu ini.
Kami telah menerima beberapa soalan mengenai isu Kieda Crepe di mana ada orang mendakwa dirinya telah “memaksa” pelanggannya membeli barang-barang yang pelanggannya tidak mahu beli.
Ini adalah kerana dia menjual crepe dengan digabungkan dengan produk lain. Telah menjadi viral pula kerana agak ramai yang mendakwa dia memaksa pembeli beli barang pada asalnya tidak mahu beli.
Ada juga dikongsi suatu sedutan video Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menyatakan bahawa jual-beli sebegitu adalah tidak sah sebab tiada keredaan penjual dan pembeli kerana pembeli “dipaksa” beli benda yang dia tidak mahu beli.
So adakah elemen paksaan dalam jual-beli ini?
Antara syarat jual-beli adalah التراضي بين الطرفين (saling meredai antara kedua belah pihak). Ertinya penjual bersetuju untuk menjual dan pembeli juga bersetuju untuk membeli dengan ketetapan tersebut.
Maka, tiada pihak yang dipaksa menjual apa yang beliau enggan jual atau tiada pihak yang dipaksa membeli apa yang beliau enggan beli.
Tapi apakah jual-beli secara paksa itu?
Dalam Islam, paksaan yang boleh menjejaskan syarat keredaan dan membatalkan akad adalah yang mengandungi unsur ancaman atau ugutan.
Oleh itu, para ulama telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan kita mendakwa transaksi yang kita lakukan itu adalah secara paksaan. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
i. Orang yang memaksa hendaklah mampu melaksanakan ugutan atau ancaman yang dibuat;
ii. Orang yang dipaksa ada sangkaan tinggi bahawa orang yang memaksa tersebut mampu melaksanakan ancaman atau ugutannya sekiranya dia enggan menurut perintahnya dan dia pula tidak mampu menghalangnya daripada melaksanakan ugutan atau ancaman tersebut;
iii. Ancaman atau ugutan yang dibuat oleh orang yang memaksa itu melibatkan keselamatan ke atas nyawa, anggota dan harta; dan
iv. Orang yang dipaksa telah menunjukkan keengganannya untuk melakukan perbuatan tersebut sebelum ugutan atau ancaman dibuat lagi.
Contoh jual-beli paksa ialah:
1. Kita bayar tunai RM100 untuk isi minyak. Setelah isian penuh, jumlah harga minyak ialah RM90 maka kita minta daripada pekerja stesen minyak baki RM10.
Namun pekerja stesen minyak itu berkata polisi mereka ialah baki tidak dikembalikan. Sebaliknya, baki itu hendaklah digunakan untuk beli barang yang senilai di stesen minyak mereka.
2. Abang kita jual produk MLM sebanyak RM200. Dia berkata kepada adiknya jika adiknya tak beli barang RM200, mereka bukan adik-beradik lagi.
Dalam isu Keida Crepe, kami difahamkan seperti berikut:
1. Beliau pernah pada asalnya menjual crepe sahaja dan tidak digabungkan (secara kombo) dengan produk lain. Pendek kata beliau menjual crepe sahaja.
2. Dia kini tidak menjual crepe secara berasingan dan menjual crepenya dengan digabungkan dengan produk orang lain. Dirinya memberi alasan bahasa beliau ingin “membantu vendor lain”.
Adakah syarat-syarat baru ini merupakan satu paksaan dalam jual-beli?
Walau apa pun niatnya menukar syarat-syarat pembelian, pendapat kami adalah seperti berikut:
1. Jual-beli dengan syarat-syarat baru Keida Crepe bukanlah jual-beli paksaan. Sebab pembeli ada pilihan sama ada untuk beli atau tidak serta boleh beli di tempat lain jika tidak setuju dengan syarat-syarat baru tersebut.
2. Syarat-syarat baru Kieda adalah jelas dan tidak disembunyikan atau hanya diberitahu selepas pembeli bayar. Beliau dengan jelas pamerkan maklumat harga baru di luar dan di dalam kedai. Dia telah mengubah produk dia jadi combo dan telah jelas diberitahu kepada semua pelanggan.
3. Mungkin ada elemen paksaan jika orang yang sudah beli crepe dan dah bayar tetapi dia belum hantar, dia tukar syarat mesti tambah wang sebab mesti beli choco jar, jika tidak wang tidak dikembalikan.
Itu barulah paksaan. Tapi jika dia refund sebab pelanggan tak mahu beli, itu bukan paksaan.
4. Mengenai pendapat UAI, kami kurang bersetuju sebab jual-beli Kieda Crepe ini tidak memenuhi kriteria “paksaan” dalam jual beli sebab dia telah pamer maklumat produk baru dan pelanggan masih ada pilihan samada ingin meneruskan pembelian atau tidak.
Walaupun mungkin soalan itu tidak ditujukan kepada isu Kieda Crepe. Mungkin soalan kepada UAI itu boleh dibaiki untuk pencerahan beliau yang lebih baik.
Tapi kita tidak alami “paksaan” bila sebaliknya kita bayar serta sudah dapat produk. Tiada elemen “saya terpaksa beli” atau “dipaksa beli” lagi.
Dalam industri runcit, jual kombo adalah perkara biasa. Pengalaman kami di stesen minyak ialah kami sentiasa ambil cakna melalui sistem runcit produk-produk yang “bergerak perlahan” atau tidak laku (slow moving product).
Produk “bergerak perlahan” akan digabungkan sebagai jualan kombo dengan produk yang selalunya “bergerak laju” (fast moving product). Kombo juga adalah satu produk.
Oleh itu, nasihat kami kepada pelanggan-pelanggan Kieda agar berhenti daripada menuduh beliau memaksa pelanggan beli benda yang pelanggan tidak mahu atau tidak perlukan. Pilihan adalah di tangan pelanggan untuk meneruskan pembelian atau tidak.
Jom belajar muamalat! Semoga bermanfaat. Suburkan ilmu, jauhi kedangkalan. Insyallah…
Kala ini di media sosial viral dengan gambar seekor kucing menjalani ucapara melenggang perut. Di nyatakan upacara itu kerana kandungan kucing berusia 7 bulan. Dapat dilihat ada upacara kucing dipakaikan rambut palsu sambil ada bunga diikat di kepala. Siap dipakaikan kain batik selain ada gambar bunga seolah untuk dimandikan bunga. Gambar ini diambil dari grup pencinta kucing. Dan ternyata selepas gambar ini viral, ia mendatangkan pelbagai pandangan dari netizen.
Ya, kita mungkin sekadar bergurau kerana tiada kucing yang mengandung sehingga 9 bulan seperti manusia. Ini kerana kucing mengandung dalam tempoh 58-67 hari saja (lebih kurang dua bulan lebih) sebelum melahirkan.
Sebagaimana diajarkan oleh agama, manfaatkanlah masa sebaik-baiknya agar kita tidak menjadi orang yang kerugian. Namun jika banyak masa “menghias” kucing dan seolah mahu menyamakan ia seperti manusia, ini hukum wajib kita ambil peduli.
KASHOORGA menemuramah penceramah bebas, Ustaz MK Azman berkaitan perbuatan ini dan juga apa hukum melenggang perut yang masih menjadi sebahagian dari budaya orang Islam ketika mengandung.
Jelas Ustaz MK Azman, hukum melenggang perut pada ibu-ibu mengandung adalah HARAM.
“Pertama pada manusia, hukumnya haram. Ia adalah perbuatan asal orang-orang Hindu yang bertujuan untuk memudahkan kelahiran. Keduanya biasanya melenggang perut ini bertujuan mengenal pasti adakah kandungan itu lelaki atau perempuan. Jadinya tindakan kita melenggang perut itu dikhuatiri jatuh kepada sesuatu hukum mempercayaikan sesuatu. Bukan kepada berdasarkan hukum syariat. Tiada dalil dibuat oleh Rasulullah SAW mengenai hal ini.
“Keduanya kepada binatang. Bagi saya, ia satu tindakan sia-sia. Tak ada gunanya langsung tak kira sama ada kita bergurau atau betul-betul melakukan perbuatan tersebut.
“Sebagai umat Islam, kita wajib tahu lima hukum ini.
“Pertamanya, WAJIB! Adakah melengang perut pada haiwan itu wajib? Apakah dalilnya? Apa ayat Qurannya? Apa hadis atau nasnya? Dalam Quran tak ada ayat kita menyuruh perbuatan melenggang perut pada haiwan. Jadi dalam hal ini ia terkeluar dari hukum wajib itu.
“Keduanya SUNAT! Apakah perkara sunat itu? Adakah Rasulullah melakukan perbuatan sedemikian? Alim ulama ada buat tak? Jadi kalau alim ulama tak ada buat atau tak pernah keluarkan dalil atau nas, maka ia terkeluar dari hukum sunat itu.
“Ketiganya MAKRUH! Apa itu makruh? Makruh adalah perbuatan tidak disukai oleh Allah SWT. Kalau tadi jatuh hukum haram maka hukum melenggang perut itu sah-sah terkeluar dari perkara makruh.
“Keempatnya HARUS! Harus ini adalah perkara dibolehkan. Tapi tanya pada diri sebelum lakukan perbuatan melenggang perut pada kucing ini. Apa manfaatnya dari sudut agama Islam? Bagi saya semua itu sia-sia sahaja. Sebab kitab uang duit, buang masa, perlukan komitmen semata nak raikan seekor haiwan bunting. Apa manfaat perbuatan tersebut pada haiwan? Allah cakap, kita boleh sayangi binatang dan santuninya dengan memberinya makanan dan perlindungan. Tapi janganlah sampai satu tahap kita melayaninya seperti seorang manusia berakal. Tindakan lenggang perut ini sia-sia dan buang masa.
Haiwan tidak minta dibuat sebegitu. Haiwan hanya minta perlindungan dan kasih sayang. Bila lapar kucing perlukan makanan, bila rasa takut, kucing perlukan perlindungan dan belaian kasih sayang. Tak lebih dari itu.
Akhir sekali, HARAM! Bagi saya melenggang perut ini tiada nasnya dan sunnah perbuatan tersebut. Ia hanya satu perbuatan sia-siakan masa, wang ringgit, komitmen tanpa ada keperluan dari segi agama maka jatuh hukumnya haram. Jadi perbuatan melenggang ini adalah HARAM baik pada manusia mahu pun haiwan.
Jadi semua dah fahamkan, walau nampak seperti bergurau tapi ada perkara boleh dibuat gurauan tetapi jangan sampai gurauan itu melampaui batas. Gambar twitter: jay ahmadya
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Acap kali kita mendengar suami akan dipertanggungjawabkan di akhirat atas dosa-dosa isterinya jika isteri melakukan dosa tidak menutup aurat dengan sempurna. Ia menjadi bualan pada masyarakat yang beranggapan suami akan memikul semua dosa isteri yang ingkar walau sudah ditegur. Memetik perkongsian dari page Mufti Wilayah Persekutuan, ada dibicarakan tentang satu pertanyaan pembaca mengenaiadalah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya? Dan ini jawapan yang selama ini ramai yang salah faham mengenai bab tanggung dosa ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”(al Tahrim:6)
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”( al-An’am:164)
Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”( Fatir:18)
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya.
Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”( al-Nisa’:34)
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin. Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hutang dalam Islam bukan perkara kecil dan wajib diselesaikan walaupun selepas kematian. Ketahui tanggungjawab penghutang, waris dan pemiutang menurut Islam.