
Apa doa yang sering kita baca sebagai umat Islam? Banyak kali kita baca sampai tak merasa ia adalah satu doa. Walhal doa yang kita ucapnya itu sangatlah besar maknanya mencakupi keperluan kita di dunia dan akhirat.
Doa ini dibaca paling kurang 17 kali setiap hari (bagi orang yang solatnya cukup 5 waktu sehari semalam). Doa itu adalah doa diantara dua sujud. Mari kita renungi maksudnya :
رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ
ROBIGHFIRLII (رَبِّ اغْفِرْلِيْ)
Wahai Tuhan ampunilah dosaku.
Dosa adalah beban, yang menyebabkan kita berat melangkah menuju ke redaan Allah. Dosa adalah kotoran hati yang membuat hati kelam sehingga hati kita merasa berat untuk melakukan kebaikan.
WARHAMNII ( وَارْحَمْنِيْ)
Sayangilah diriku.
Kalau kita disayang Allah, hidup akan terasa bahagia, kerana dengan kasih sayang akan dapat dicapai semua cita-cita. Dengan kasih sayang Allah diri kita akan terbimbing.
WAJBURNII ( وَاجْبُرْنِيْ)
Tutuplah segala kekuranganku.
Banyak sekali kekurangan kita, kurang syukur, kurang sabar, kurang menerima kenyataan, mudah marah, pendendam dll. Kalau kekurangan kita ditutup/diperbaiki Allah, maka kita akan menjadi manusia sebenarnya.
WARFA’NII ( وَعَافِنِي)
Tinggikanlah darjatku.
Kalau Allah sudah meninggikan darjat kita, maka pasti tidak ada manusia yang boleh menghinakan kita.
WARZUQNII ( وَارْزُقْنِي)
Berikanlah aku rezeki
Sebagai hamba Allah kita memerlukan rezeki. Allah mampu mendatangkan rezeki dari arah yang tak terduga dan tanpa perhitungan.
WAHDINI ( وَاهْدِنِي)
Berikanlah aku petunjuk/bimbinglah aku ke jalan kebahagiaan.
Kita tidak hanya minta petunjuk atau hidayah yang berkaitan dengan agama. Tetapi kita juga minta petunjuk agar terhindar daripada mengambil keputusan yang salah.
WA’AAFINII ( وعافِني )
Berikanlah aku kesihatan.
Apabila kita sihat kita boleh menambah kebaikan dan manfaat serta tidak menjadi beban orang lain. “Health is not everything, but without health everything is nothing.”
WA’FUANNII ( وَاعْفُ عَنِّيْ)
Aku mohon agar kesalahanku dihapus dari catatan.
Kita awali doa ini dengan mohon ampun dan kita akhiri dengan permohonan agar catatan dosa kita dihapus supata kita benar-benar bersih dari dosa seperti bayi yang baru lahir.
Allah memerintahkan kita untuk membaca doa itu, Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita. Tapi persoalannya “Dimana hati dan fikiran kita ketika kita membaca doa itu?”
Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa, “Allah tidak akan mengabulkan doa yang keluar dari hati yang lalai”
Hukum Anak Enggan Ziarah Ibu Bapa Tetapi Beri Duit Belanja Bulanan

Perselisihan keluarga antara anak dan ibu bapa memang biasa terjadi lantaran masing-masing mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu perkara.
Akibatnya, kerana tidak mahu memperpanjangkan cerita, anak nekad untuk tidak mahu berbicara atau bersua muka kerana takut akan berlaku lagi perselisihan.
Mungkin dalam hal tertentu anak tidak bersalah dan terasa hati dengan tindakan ibu bapa. Perasaan susah memaafkan mula bersarang dan seterusnya mengambil keputusan tidak mahu menziarahi mereka. Bagi anak cukuplah dengan memberikan wang belanja bulanan dengan tanggapan telah tunaikan tanggungjawab sebagai anak.
Justeru sampai berapa lama mahu keadaan ini berlarutan? Enggan memaafkan dan tidak menzarahi mereka?
Artikel berkaitan: Derhaka Kah Anak Bantah Kata Ibu Paksa Ceraikan Isteri
Artikel berkaitan: Ziarah Kubur Ibu Bapa Tiap Jumaat, Doa Anak Derhaka Tetap Diterima Allah
Kita ikuti penjelasan Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid tentang kemelut yang memang banyak terjadi dalam keluarga Islam hari ini.
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Isra’ : Ayat 23
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa.”
Allah SWT telah menegaskan bahawa semua hambaNya wajib berbuat baik kepada ibu bapa setelah mereka melaksanakan tanggungjawab menyembah Allah. Ini bermakna berbuat baik kepada orang tua adalah satu tanggungjawab besar dan berat, melihatkan kedudukannya setelah kewajipan menyembah Allah.
https://www.instagram.com/tv/CE8IATbh64n/?utm_source=ig_web_copy_link
Jika orang tua kita sudah tiba pada usia tua atau emas, janganlah kita bersikap kasar terhadap mereka . Jangalah berkata “Ah!’ sekalipun. Jangan kita mengherdik mereka. Sedangkan mengeluarkan perkataan ‘Ah!’ pun tidak dibolehkan apatah lagi dengan memaki, apatah lagi dengan tidak menziarahi, jauh sekali ada rasa geram dan rasa nak marah.
Nak tunjuk muka kurang senang atau tidak suka kepada orang tua pun tak dibolehkan, apatah lagi kalau kita tak mahu memaafkan mereka.
Andai mereka bersalah sekali pun, kita WAJIB memaafkan mereka. Apa sebabnya? Sebabnya ialah kalau bukan kerana mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini dengan izin Allah. Apa yang kita dapat hari ini, semuanya adalah kerana orang tua kita. Bagaimana kita nak mengecap nikmat hidup kalau bukan dari redha mereka?
Apabila berlarutan rasa ego seperti ini, maka anak mengambil keputusan enggan menziarahi ibu bapa, Jika dahulu kerap, kini boleh dibilang setahun berapa kali sahaja berjumpa malah ada yang bertahun tidak menziarahi orang tua.
Jadi, apakah hukumnya jika anak sekadar memberi wang belanja tanpa datang menziarahi ibu bapa?
Ketahuilah oleh kita bahawa, memberi wang belanja yang ditanggung oleh anak, hukumnya WAJIB. Berbuat ihsan kepada orang tua, hukumnya WAJIB. Bila mana anak tidak menziarahi ibu bapa kerana geram dan marah akan mereka, di sini, si anak telah DERHAKA kepada orang tuanya. Sejahat-jahat orang tua, mereka tetap mempunyai hak untuk kita hormati.
Dalam kemelut seperti ini, sejauh mana batasan anak untuk tidak perlu taat kepada mereka? Jika ibu dan ayah kita menyuruh anak berbuat mungkar dan maksiat, maka anak tidak perlu mentaatinya.
Jika orang tua suruh berbuat maksiat, jangan ditaati, tetapi tetaplah berbuat baik kepada mereka. Walaupun tidak taat kepada orang tua yang menyuruh berbuat maksiat, kita tetap perlu hormati mereka. Kedudukan orang tua adalah pintu kepada anak untuk menuju ke syurga atau neraka.
Bolehkah Mulakan Solat Sunat Witir Satu Rakaat, Dan Diikuti Dua Rakaat?

Kita amat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai ibadah solat sunat. Kelebihan solat sunat membolehkan kita mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekal ke akhirat. Salah satunya ialah solat sunat Witir.
Solat sunat Witir mempunyai rakaat ganjil sebagai penutup solat. Cuma ada pertanyaan yang perlu dijawab apabila ada yang mendirikan solat Witir satu rakaat di permulaan solat kemudian disusuli dengan solat dua rakaat. Boleh atau tidak? Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel berkaitan: Bangun Awal Sebelum Subuh Buat Solat Sunat Dulu, Antara Perkongsian Menarik Neelofa Yang Sangat Berinsprasi
Artikel berkaitan:Perlu Atau Tak Lakukan Solat Sunat Dua Rakaat Lepas Akad Nikah, Ini Jawapannya Elak Keliru
Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, dalam situasi solat Witir tiga rakaat secara berjemaah, imam buat solat witir satu rakaat dahulu kemudian baru buat dua rakaat. Boleh atau tidak begitu ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT, Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر watru dan witru dari sudut bahasa membawa maksud tunggal (bilangan yang ganjil) iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’ (genap).
Manakala dari sudut istilah pula, witir bermaksud : ‘’Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam, sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam’’.
Bilangan rakaatnya adalah bilangan yang ganjil dan disebabkan itulah ia dinamakan sebagai witir. Solat sunat Witir merupakan antara ibadah yang sangat digalakkan kepada setiap umat Islam.
Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa riwayat yang menceritakan tentang anjuran dan galakan melakukan solat ini.
Antaranya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata :
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: Kekasihku (Rasulullah SAW) berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur. Riwayat Al-Bukhari (1981)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa solat sunat Witir adalah solat terakhir pada waktu malam. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
Maksudnya : Jadikanlah solat witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.
Riwayat Al-Bukhari (998)
Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :
الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ
Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).
Riwayat Muslim (752)
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W ditanyakan tentang tatacara solat malam, lalu baginda bersabda:
مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَصَلِّ رَكْعَةً وَاجْعَلْ آخِرَ صَلاَتِكَ وِتْرًا
Maksudnya: (Solat malam) dilakukan sebanyak dua rakaat dua rakaat, apabila kamu khuatir masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat dan jadikan akhir solat kamu adalah witir. Riwayat Muslim (749)
Berdasarkan beberapa riwayat di atas, solat witir itu adalah solat penghujung. Maknanya bagi mereka yang melakukan solat witir tiga rakaat dengan memisahkan antara dua rakaat syafa’ dan satu rakaat Witir. Hendaklah mendahulukan solat syafa’ dahulu dan barulah solat witir.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, serta merujuk kepada definisi solat Witir yang telah kami sertakan, kami menyatakan bahawa solat Witir dengan cara melakukan satu rakaat terlebih dahulu dan kemudiannya dua rakaat adalah menyelisihi sunnah.
Ini kerana, apabila seseorang itu berniat melakukan solat Witir, maka sudah pastilah solat tersebut diakhiri dengan witir dan bukanlah syafa’ (iaitu dua rakaat), bahkan jika diakhiri solat Witir dengan solat Syafa’, ini jelas menafikan maksud solat Witir itu sendiri. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
‘Orang Banyak Tinggal Solat, Jangan Buang Masa Solat Sunat.’ Qada Solat Fardu Lagi Penting

‘Orang banyak tinggal solat, jangan buang masa solat sunat.’ Qada solat fardu lagi penting daripada solat sunat. Solat fardu itu wajib.
Benarlah solat itu tiang agama, oleh sebab itu bab solat lima waktu jangan ambil ringan.
Disarankan jika tertinggal solat fardu, kita wajib qada solat dari akil baligh hingga sekarang walaupun bertahun lamanya.
Artikel Berkaitan:
Orang Banyak Tinggal Solat
Kongsi Ustaz Muharrik Daie, jangan main-main dengan qada solat.
Kalau kita banyak meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan ke atas kita setelah baligh sejak zaman jahil kita, mulakan sekarang dan jangan bertangguh untuk qada solat yang kita tinggalkan.
Di samping bertaubat, kerana meninggalkan solat fardhu adalah dosa besar yang berterusan dan bertali arus sampai mati jika kita tidak bertindak dengan segera untuk menghentikannya.
Untuk menghentikan dosa besar dan untuk diampuni Allah dosa besar ini, kita wajib bertaubat dengan taubat nasuha. Yakni taubat yang sungguh-sungguh.
Jangan Buang Masa
Antara syarat taubat yang wajib kita buat adalah insaf dan berazam supaya kita tidak akan meninggalkan solat fardhu lagi. Kemudian mengqada semua solat solat fardhu yang pernah ditinggalkan dahulu walau pun bertahun tahun lamanya.
Andai dulu kita solat fardhu tanpa ilmu dan hanya mengikut-ngikut orang saja [taklid] maka mulakan belajar fardhu ain. Perbaiki setiap inci dari hukum-hakam solat itu dari mula bersuci seterusnya kepada solat itu sendiri.
Ini penting, kerana berkata ulama, beramal tanpa ilmu, amal tertolak.
Ini bukan bermakna kena khatam ilmu dulu baru bersolat. Tidak begitu. Bersolatlah seperti biasa disamping kita belajar. Orang yang belajar di samping beramal, walau pun silap tidak dikira dosa. Dan amalnya insyallah diterima Allah.
Orang yang banyak meninggalkan solat fardu, janganlah membuang masa untuk bersolat sunat, kerana mengqada solat fardu itu lebih penting lagi sebagai tanda taubat kita.
Solat Sunat
Solat fardu yang diqada ini berganda pahalanya berbanding solat sunat. Malah solat fardhu yang pernah kita tinggalkan tanpa qada akan disoal sekiranya kita tidak lakukannya tetapi solat sunat tidak disoal malah akan tertolak solatnya andai solat fardu qadha itu masih tidak diganti.
Apalah makna kita buat solat sunat yang tidak mendatang seksa tetapi meninggalkan solat qada yang fardhu yang menjadikan kita diseksa dengan begitu azab diakhirat nanti.
Orang yang sibuk dengan yang sunat dan meninggalkan yang wajib itu sebenarnya telah terpedaya dengan tipu daya syaitan. Syaitan ini licik terutama kepada orang orang yang jahil dan tak faham ilmu islam.
Ada orang jahil kata, qada solat tak wajib. Ada khilaf. Mana khilafnya? Ittifak dan sepakat ulama’, solat yang ditinggalkan dengan sengaja adalah wajib qada. Bayangkan solat yang kita tinggalkan dengan tidak sengaja pun wajib qada, apalagilah dengan sengaja!
Baca Di Sini:
‘Sengaja Tinggalkan Solat.’ Jangan Sampai Segala Amal Baik Jadi Sia-Sia, Tak DiTerima Allah
Qada Solat Fardu
Ramai di kalangan kita tidak memahami dan tertipu masalah ini kerana kejahilan dan tidak belajar ilmu fardhu ain. Dan lebih malang lagi kita menjadikan ‘ulama’ google’ sebagai panduan dan rujukan kita sedangkan asas asas fardhu ain pun kita jahil.
Sedangkan dalam google itu pelbagai aliran yang salah yang tidak dapat dibezakan andai kita jahil dengan hukum hakam agama.
Mengaji fardhu ain, adabnya wajib bertalakki bermula dari kitab akidah, feqah dan tasawuf. Kerana tanpa berguru, kita tidak akan dapat memahami ilmu itu dengan sohih dan sebaiknya.
Ilmu fardhu ain ini sebenarnya adalah kembar kita. Ia tidak boleh dipisahkan dari hidup harian kita kerana kita kena hidup seharian dengannya sampai mati.
Untuk bertauhid dan mengenal Allah, kena ada fardhu ain. Berjual beli, bekerja, makan minum, bersocial, kita kena faham hukum hukum syarak didalam feqahnya. Untuk mengenali sifat sifat hati dan menjauhi dosa dosa hati kita wajib belajar akan ilmu tasaufnya.
Lagi Penting
Bayangkan, setiap gerak kita dalam hidup ini ada hukum hakam dan dosa pahalanya seperti wajib, sunat, haram, harus dan makruh.
Contohnya, kalau makan hukumnya harus, kalau niat kerana Allah yang kita makan itu untuk menguatkan tubuh badan untuk laksanakan ibadah, kita akan dapat pahala. Kalau tak ada niat, hanya dapat kenyang saja tanpa pahala.
Begitulah hal hal yang lain.
Terdedah Dosa
Pendek kata, orang yang tidak belajar ilmu fardhu ain, dirinya terdedah kepada dosa dan maksiat. Malah jika tidak belajar ilmu tauhid yang termasuk dalam fardhu ain, boleh tergelincir dan menjadi kufur kerana tidak mengenal batas batas iman dan kufur didalam percakapan, perbuatan dan iktikad nya.
Walau bahaya macam mana pun, ramai antara kita tidak kisah dan mengabaikan fardhu ain ini. Boleh tanya diri sendiri. Pernahkah aku belajar ilmu fardhu ain? Pernahkan aku belajar ilmu tauhid untuk mengenal Dzat sifat af’al dan ama’ Allah.
Mengenal sifat wajib harus dan mustahil Allah. Malah mengenal nabi. Mengenal perkara perkara ghaibiyah dan sebagainya dalam ilmu tauhid.
Fahamkah aku akan kalimah syahadah yang didalamnya ada nafi dan isbad untuk mengsahkan syahadah aku?
Fahamkah aku akan hukum hukum syarak yang lima itu untuk menjadi panduan dan perjalanan hidup aku?
Siapa aku sembah dalam solat aku? Allah? Siapa Allah? Atau aku hanya solat main hayun saja membilang rakaat tanpa tahu siapa yang aku sembah. Bagaimana nak khusyuk kalau tak kenal Allah.
Jahilnya aku ya rabb. Begitu hati kita bermonolog. Mahu dibiar saja begitu sampai mati?
Allaahu … pendeknya hidup di dunia ini dan panjangnya perjalanan kehidupan akhirat. Kalau kita tidak berubah dan membaiki diri, bahaya besar buat kita diakhirat nanti.
Saidina Umar al-Khattab R.A pernah berkata:
حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا
Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.”
(Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)
Barakallahu feekum.
#muharrikdaie
Kashoorga : Perbaiki diri untuk kebaikan, qada solat fardu adalah lebih utama berbanding solat sunat.
Sumber: Ustaz Muharrik Daei