Panggilan kepada pasangan juga memainkan peranan. Menurut saudari Farhana Muhammad , dia tertarik dengan salah satu daripada kuliah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa berkaitan dengan nada suara isteri kepada suami. Ustazah menceritakan bahawa beliau pernah ditegur oleh suaminya berkenaan nada suara, bukannya pemilihan kata ketika bertutur dengan suami.
Kadang ustazah tidak perasan jika ustazah tertinggikan suara kepada ustaz. Mungkin ada ketikanya tidak bersetuju dengan ustaz, mengeluarkan pendapat, mungkin ada nada suara yang sedikit tinggi ketika berbicara dengan ustaz. Kata ustaz, ibunya bukanlah seorang yang belajar tinggi. Bukanlah seorang ustazah, tiada master dan phd jauh sama sekali.
Seingat suami ustazah, ibunya tidak pernah sekali mengangkat suara di depan ayahnya. Kata ustazah, ustazah terasa amat malu mendengar kata-kata ustaz dan lebih berhati-hati apabila berbicara dengan suami. Ustazah terbayang bagaimana ibu mertuanya menyantuni ayah mertuanya. Dengan manis tutur katanya, lemah-lembut bicaranya apabila berbicara dengan suami.
JANGAN TINGGI SUARA PADA SUAMI
Jadi, adakah langsung tidak boleh marah sama suami? Tidak. Jika langsung tidak marah itu malaikat namanya. Kata ustazah, ada juga ketikanya marah, tetapi berhati-hati supaya suara ustazah tidak tinggi daripada suara suaminya. Itu baharu berkaitan dengan nada, berkaitan dengan intonasi. Nada dan intonasi ketika bercakap dengan suami amatlah penting. Itu belum lagi termasuk dengan pemilihan kata ketika berbicara dengan suami.
Ads
Cuba muhasabah diri, sepanjang perkahwinan bagaimana kita bercakap dengan suami? Pernahkah kita terjerit kepada suami dari tingkat atas ke tingkat bawah? “Awak kalau nak makan bang, makanlah sudah ada di bawah tudung saji!” Kata si isteri sambil menjerit kepada suami di tingkat bawah.
Ada orang, suka sangat bercakap dengan tinggi nada suara. Apabila ditegur lantas menjawab, “Saya bukannya marah, memang macam ni keturunan saya cakap begini.” Kata ustazah, janganlah menyalahkan keturunan apabila kita bercakap dengan nada yang tinggi. Kita boleh berubah.
Takkan kita mahu gunakan alasan seperti ini, “Nak buat macam mana, memang adik-beradik saya bercakap begini, macam nak berkelahi.” Takkan kita mahu bersandar pada hujah ini sedangkan kita ada potensi untuk memperbaiki diri kita? Apabila bercakap dengan suami, kena ada satu intonasi suara apabila berbicara dengan suami.
INTONASI LEMBUT
Ads
Intonasi yang lembut bicaranya. Sepertimana sabda Rasulullah shallahu alaihi wasallam, ‘Apabila kamu pandang isteri kamu, bergaul dengan isteri kamu, bermuamalah dengan isteri kamu, dia akan membahagiakan kamu.’ Penampilan diri, suara, tutur kata, perilaku, bahasa tubuh, akhlak, cara berfikir.
Semua ini datang dalam satu pakej menenangkan suami iaitu isteri solehah. Sambung ustazah lagi, pada awalnya beliau cukup stress memikirkan bagaimana lagi perlu bercakap lembut dengan suami? Tetapi ustazah berfikir secara positif. ‘Ya Allah, sampai begini sekali Engkau mendidik aku istiqamah supaya kelembutan menjadi sikapku.’
Allah memberikan sesuatu kepada orang yang lembut, sesuatu yang Allah tidak berikan kepada orang yang bersikap kasar. Ada sesuatu Allah hanya berikan kepada orang yang bersikap lembut. Salah satu cara bersifat santun ialah, memanggil orang dengan gelaran yang dia gemar, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
Ads
PANGGILAN YANG MENYENANGKAN
Jika bercakap dengan suami, perlu ada panggilan yang menyenangkan. Begitu juga panggilan buat isteri, suami perlulah memanggil dengan panggilan yang menyenangkan hati si isteri. Ustazah meyakini bahawa panggilan kepada pasangan dalam rumah tangga amatlah penting dan memberi kesan yang besar. Kerana.. semakin lama sesebuah perkahwinan, semakin sukar untuk menyuburkan kasih sayang.
Elakkan panggilan saya-awak, I-you dan gantikanlah dengan panggilan yang lebih lunak dan mesra didengar oleh suami kepada isteri ataupun oleh isteri kepada suami. Maka, panggillah pasangan dengan panggilan yang menyenangkan. Dan bertuturlah dengan pasangan dengan tona suara yang sedap didengar oleh pasangan.
Mas kahwin atau mahar hukumnya adalah wajib. Ia adalah wajib ke atas suami sebaik sahaja sempurna aqad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa aqad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.
Terdapat perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin merupakan pemberian wajib, tetapi hantaran lebih merupakan hadiah kepada pihak isteri. Mas kahwin bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil tanggungjawab menjaganya.
Namun bagaimana pula statusnya ketika akad nikah, mas kahwin dibuat secara hutang. Tetapi sudah lama suami lupa. Kemudian beliau meninggal. Bagaimana penyelesaiannya?
Dalil mas kahwin wajib adalah berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’.
Firman Allah SWT:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً
Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. (Surah al-Nisa’: 4)
Orang yang diperintahkan untuk memberi mas kahwin ini ialah para suami. Begitu juga firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajipan. (Surah al-Nisa’: 24)
Maksudnya: Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. (Surah al-Baqarah: 236)
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab: “Dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada begian-begian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan mengajarkannya ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal.” Riwayat al-Bukhari (4741)
Sedangkan ijma’ pula, para ulamak bersepakat mengatakan bahawa mas kahwin adalah wajib tanpa seorang pun yang menafikannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/583-585)
Justeru dalam permasalah suami terlupa memberi mas kahwin sehinggalah dia meninggal dunia maka selepas berlaku kematian, harta suami sebelum difaraidkan hendaklah diambil untuk pelaksanaan pembayaran mahar yang sudah tertangguh sekian lama. Itu adalah hak yang dimiliki oleh isteri berdasarkan nas.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Salah satu tujuan perkahwinan ialah untuk menjaga kemaslahatan di kalangan masyarakat dan terbina dengan cara yang terbaik. Melalui perkahwinan jugalah dapat mendatangkan ketenteraman hati dan jiwa manusia. Di antara kebesaran Allah S.W.T ialah menciptakan isteri kepada golongan pemuda tanpa diduga oleh mereka sendiri kerana sudah tertulis dan ditakdirkan siapakah pasangan mereka.
Firman Allah S.W.T.:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah ar-Rum: 21)
Namun hubungan batin yang tidak diuruskan dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya masalah perceraian.
Dulu saya tidak bersetuju kenyataan, “jangan kawin kerana hubungan batin”, tetapi setelah membuat kajian dan pengalaman berhadapan dengan kes perceraian, saya bersetuju. Malah itulah yang menyebabkan berlakunya perceraian dengan mudah.
Tahukah anda rupa orang yang berkahwin kerana hubungan batin?
1. Setelah kahwin dia hanya beri perhatian kepada hubungan batin. Selepas bersama isteri dia tidur atau keluar rumah. Nanti bila dia perlukan hubungan batin lagi dia akan pulang.
2. Dia tidak fikirkan soal nafkah isteri, kebajikan isteri, kesihatan isteri dan keselamatan isteri.
3. Bila isteri tidak memberi layanan seks dia akan pukul dan dera isterinya.
4. Bila isteri sudah putus haid, dia akan tinggalkan isterinya, dan berkahwin lain.
Apabila keadaan ini berterusan, isteri akan bertindak memohon cerai, tetapi suami tidak mahu melepaskannya. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Sebenarnya Islam tidak menafikan hubungan batin, malah hubungan batin merupakan tarikan utama kepada perkahwinan. Bahkan orang yang tidak berkeinginan untuk melakukan hubungan batin, haram berkahwin. Jadi, hubungan batin bukanlah musuh Islam.
Berdasarkan itu, berkahwin dalam Islam adalah untuk mengurus nafsu seseorang supaya halal dan selamat.
Dengan pengurusan yang sempurna itu akan terbinalah:
1. Kebahagiaan kerana pihak-pihak boleh bermain-main dan bergurau senda mengikut kehendak mereka.
2. Terbina kasih dan sayang apa yang disebutkan oleh Allah mawaddah wa rahmah.
3. Dikurniakan anak sebagai pengikut kasih sayang.
4. Rasa terhutang budi dan rasa tanggungjawab membela isteri.
Kalau semua ini terjadi dalam keluarga anda, tentu ada seperti satu jaminan untuk kekal hingga ke syurga. Jadi, anda boleh nilai perkahwinan anda sama ada yang pertama atau yang kedua. Wallahu aklam.
Sumber kredit: FB: Ahmad Baei
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Suami adalah pembimbing keluarga. Tanggungjawab suami terhadap isteri merangkumi banyak aspek terutama yang membabitkan emosi, tingkah laku dan perwatakan isteri. Menikahi seorang wanita bermakna tanggungjawab seorang suami itu telah bermula.
Melalui perkongsian Zureiny Zulkafly, wanita ini berkongsi tentang nukilan hatinya mengenai seorang suami.
Suami yang dicintai sepenuh hati oleh sang isteri bukan kerana manis mulut menabur janji; dia adalah lelaki yang tulus mencintai dan berkorban tanpa ragu.
Suami yang hebat di mata sang isteri bukan kerana kedudukan, kekayaan atau kekuasaan; dia adalah lelaki yang mampu menundukkan nafsunya terhadap godaan dunia.
Suami yang kuat di hati sang isteri bukan kerana tubuh sasa atau kekar ototnya; dia adalah lelaki yang upaya sabar ketika marahnya.
BAIK AKHLAK DAN BUDI BAHASA
Suami yang soleh di jiwa sang isteri bukan kerana tinggi ilmu dan pengetahuan agama atau amal ibadahnya; dia adalah lelaki yang paling baik akhlak dan budi bahasanya.
Suami yang terkaya di minda sang isteri bukan kerana limpahan harta atau wang ringgit; dia adalah lelaki yang paling banyak bersyukur dan mengucapkan terima kasih.
Suami yang didambakan sang isteri bukan kerana keelokan wajah dan kesempurnaan tubuhnya; dia adalah lelaki yang memberi rasa selamat dan selesa.
PEMBIMBING DAN PENDENGAR YANG SETIA
Suami yang dicontohi sang isteri bukan kerana kesempurnaan wataknya; dia adalah lelaki yang paling banyak memberi manfaat kepada keluarga dan orang di sekelilingnya.
Suami yang dihormati sang isteri bukan kerana paksaan atau ketakutan; dia adalah lelaki yang jujur tanpa prasangka, membimbing dan menjadi pendengar yang setia.
Suami yang sangat dirindui sang isteri adalah lelaki yang dihargai ketika masih ada dan dikenang setelah dia tiada. Saat bersama membuai bahagia. Saat terpisah mengukuhkan cinta.
Sumber kredit: FB: Zureiny Zulkafly
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sejak dari awal belajar solat semasa kecil kita sudah dibiasakan dengan satu lafaz zikir sewaktu rukuk dan sujud. Lafaz Subhana Rabbi al-‘Azimi wa Bihamdihi...