Saban hari pastinya kita tidak akan bebas daripada melakukan kesilapan. Sama ada ianya besar atau kecil kerana kita bukanlah insan maksum seperti para nabi dan raaul. Disebabkan itulah kita harus sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT.
Antara ibadah yang menjadi salah satu cara memohon keampunan ialah solat sunat dua rakaat.
Apakah memang perkara itu dianjurkan oleh Islam? Adakah nas yang menyatakan tuntutan solat sunat berkenaan?
Memetik sebuah hadis daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba ALLAH) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wuduknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan ALLAH akan mengampunkan dosanya.
Setelah itu, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” (Riwayat Abu Daud)
PENGHAPUS DOSA KECIL
Ads
Shaykh Abd al-Muhsin juga mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil.
“Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat,” kata beliau.
Ads
Selain itu, Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan, hadis itu juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wuduk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. (Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183)
Maka, disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.
Ads
Bagaimanapun, bagi dosa besar, tidak cukup sekadar dengan melakukan amal soleh.
Justeru, lazimkanlah diri dengan selalu beristighfar kepada-NYA.
Mudah-mudahan segala amal soleh kita diterima dan menjadi asbab dosa kecil kita diampunkan.
Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-510: Dosa Terhapus dengan Solat Sunat, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sering kali kita terdengar ayam berkokok tanda hari siang. Bahkan ia bersahut-sahutan. Sesetengahnya menganggap sebagai gangguan tidur tapi andai kita tahu, kokokan ayam jantan itu sebenarnya tanda malaikat datang. Dan kita disarankan berdoa yang baik-baik.
Dikongsi dari Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam Maktabah Al Bakri menjawap persoalan mengenai benarkah ayam berkokok merupakan tanda ayam melihat malaikat?
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Persoalan berkenaan ayam berkokok apabila melihat malaikat adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya:“Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”.[1]
Dalam riwayat Imam Ahmad, terdapat tambahan lafaz iaitu ’pada malam hari’,
Maksudnya: Apabila kamu mendengar ayam berkokok di malam hari, sesungguhnya ia melihat Malaikat. Oleh itu, mintalah kepada Allah akan kurniaan-Nya.[2]
Keistimewaan Ayam Jantan
Rasulullah SAW menjadikan bunyi kokok ayam jantan, sebagai tanda kebaikan, iaitu datangnya Malaikat dan kita dianjurkan berdoa. Hal ini menunjukkan keistimewaan ayam jantan.
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyebut: Ayam jantan memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki binatang lain, iaitu ia mengetahui perubahan waktu di malam hari. Dia berkokok di waktu yang tepat dan tidak pernah ketinggalan. Dia berkokok sebelum subuh dan selepas subuh, ia tidak pernah tersalah waktu. Sama ada pada malamnya yang panjang atau yang singkat. Oleh sebab itu, sebahagian ulama’ Syafi’iyah memfatwakan untuk berpegang bahawa ayam jantan mujarab dalam menentukan waktu.[3]
Beliau menukilkan pandangan daripada al-Dawudi, katanya: Kita boleh belajar dari ayam jantan 5 perkara iaitu:
Larangan Mencela Ayam
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
Maksudnya:Jangan kamu mencela ayam jantan, kerana ia membangunkan orang untuk solat.[5]
Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan al-Halimi, katanya: Faedah daripada hadith ini bahawa semua yang boleh memberikan manfaat kebaikan, tidak selayaknya dicela dan dihina. Sebaliknya, dia dimuliakan dan dilayan dengan baik. Sabda baginda SAW: ‘ayam membangunkan (orang) untuk solat’ bukan maksudnya dia menyebut solat secara hakikat’ namun maknanya adalah bahawa kebiasaan ayam berkokok ketika terbit fajar dan ketika tergelincir matahari. Fitrah ayama adalah fitrah yang Allah berikan kepadanya. [6]
Galakan Berdoa
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata ‘Iyadh:
Maksudnya: Sebab kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin dari Malaikat untuk doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita. Faedah yang boleh diambil daripada hadith ini adalah tuntutan untuk berdoa ketika hadirnya orang-orang yang soleh.[7]
Manakala Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Qastalani di dalam syarahnya menyatakan: Para ulama’ memahami makna hadith ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapakan agar para malaikat mengaminkan doa kita dan istighfar para malaikat kepada kita.
Selain itu juga, agar para malaikat ini menjadi saksi akan keikhlasan dan kerendahan (kehinaan) diri kita ketika memohon kepada Allah SWT. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan sunat kita berdoa ketika kehadiran orang-orang yang soleh. Antara kelebihan yang ada pada ayam ialah dengan mengetahui waktu-waktu walaupun kadang-kadang siang itu panjang dan juga kadang-kadang siang itu pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci Allah yang menjadikan ayam seperti itu. [8]
Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi pula menyatakan di dalam syarahnya: Dikatakan hadith ini menunjukkan bahawa turunnya rahmat ketika hadirnya orang-orang yang soleh maka kita disunatkan untuk berdoa pada waktu itu.[9]
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa ayam jantan berkokok disebabkan mereka melihat malaikat adalah benar sebagaimana Rasulullah SAW sebut di dalam hadith yang sahih. Justeru,kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah SWT ketika kehadiran malaikat dengan harapan moga-moga Malaikat mengaminkan doa kita. Akhirnya semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam. Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H [1] Riwayat al-Bukhari, (3058), Muslim (4908), Abu Dawud, (4438) dan al-Tirmizi, (3381) [2] Riwayat Ahmad (8064) Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (8764) menyatakan hadith ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari [3] Lihat Fath Bari, 6/353 [4]Ibid [5] Riwayat Abu Dawud (5101), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (10781) dan Ahmad (21679). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (2/431) menyatakan hadith ini sanadnya hasan [6] Lihat Fath Bari, 6/353 [7]Ibid [8] Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 5/309 [9] Lihat Aun al-Ma’bud, 9/238
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Mimpi adalah mainan tidur. Tetapi kadangkala kita seperti mempercayai yang ia bakal berlaku.
Mimpi dibelit ular, gigi tercabut, dikejar harimau dan banyak lagi dipercayai sebagai petanda buruk. Ikuti penjelasan pejabat Mufti akan isu mimpi menakutkan yang banyak menghantui ramai ini. Pelbagai kepercayaan khurafat boleh timbul jika tidak dijelaskan.
Soalan: Saya mimpi dikejar ular dan dimakan buaya atau harimau. Adakah itu mainan tidur atau disebabkan syaitan?
Jawapan: Maaf,kami tidak mengetahui maksud mimpi dikejar ular ataupun dimakan buaya dan harimau.
Adapun jika berkenaan bertemu harimau, kami nukilkan pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa. Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya. Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang”
Pada pandangan kami, ia merujuk kepada kehebatan seseorang. Justeru, istighfar itu adalah sebagai satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri.
Jika mimpi bertemu buaya pula, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan:
“Melihatnya (buaya) dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, samada dianya kawan atau lawan.
Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercaya. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya. Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompak, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan dan tekanan.
Ia juga bermaksud meninggalnya seseorang, digambarkan dengan keadaannya yang lemas.
Melihat buaya di laut menandakan keburukan dan melihatnya di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan kehinaan.
Sekiranya buaya menarik seseorang ke dalam air di dalam mimpi, ia bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dia benci.
Jika seseorang melihat dirinya sendiri sedang makan daging buaya, atau sekiranya seseorang melihat dirinya menarik buaya keluar daripada air, ia bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya”
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua bentuk:
Sabda Nabi SAW: إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika kalian mengalami mimpi buruk, hendaknya meludah ke kiri 3 kali, dan memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali serta menukar rusuknya ke arah berlawanan (menukar posisi tidur).” (Riwayat Muslim, no. 2262)
Sabda Nabi SAW: الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan kepada syaitan dan berita gembira daripada Allah. Barangsiapa yang melihat (di dalam mimpinya) sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia wajar bangun dan laksanakan solat.”
Akhir kalam, kami mencadangkan supaya rujuk kepada para ulama’ yang muktabar dan kitab yang masyhur dan diyakini.
Perihal ta’bir mimpi perlu ditanya kepada orang yang soleh agar mendapat tafsiran yang tepat dan tidak menyeleweng. Allah SWT juga menurunkan wahyu kepada Rasul dalam bentuk mimpi.
Sabda Nabi SAW: رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi orang Mukmin adalah sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6987)
Sesungguhnya, mimpi orang Mukmin di akhir zaman memberi kesan yang baik kepada kehidupannya mahupun masyarakat. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi satu penjelasan yang baik untuk kita memahami isu ini.
Jika seorang yang ada berhutang dengan seseorang adakah patut dia bayar hutang dahulu atau mengerjakan haji kerana wang simpanan untuk hajinya telah cukup?
JAWAPAN :
Orang yang ada berhutang dengan seseorang dan belum dapat membayarnya maka dia dikira sebagai belum ada kemampuan mengerjakan haji.
Jika dia tunaikan juga haji dengan niat untuk membayar hutangnya selepas pulang dari haji maka hajinya itu sah akan tetapi yang afdhal ialah dia membayar hutangnya terlebih dulu kemudian baru mengerjakan haji.
Berkata Imam Nawawi :
ويشترط في الزاد ما يكفيه لذهابه ورجوعه فاضلا… عن قضاء دين يكون عليه حالا كان أو مؤجلا
Ertinya : “Dan disyaratkan pada bekal yang cukup bagi seorang itu untuk pergi ke Mekah dan pulang darinya ialah mempunyai harta yang lebih termasuk membayar hutang dengan segera atau bayaran dengan ditangguhkan.” (Kitab Al-Iidhah fi Manasik Al-Haj)
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
أن الدين محض حق آدمي أو له فيه شائبة قوية فاحتيط له لأن الاعتناء به أهم فقدم على الحج وإن تضيق
Ertinya : “Sungguhnya hutang itu adalah hak murni manusia yang ada padanya satu tanggung jawab yang berat yang hendaklah bercermat padanya kerana membayar hutang adalah tersangat penting maka didahulukan bayar hutang atas kerja haji jika keadaan tersepit.”( Hasyiah Ibni Hajar ‘ala Iidhah)
Tidak dinafikan haji adalah ibadah yang besar di dalam Islam akan tetapi kerjakanlah dalam keadaan yang afdal dan terbaik.
Selesaikan hutang yang dijanjikan terlebih dahulu kerana apabila janji sudah ditunaikan hati akan lebih tenang melakukan ibadah.
KESIMPULAN
Hutang wajib dibayar apabila sampai masa yang dijanjikan membayarnya yaitu masa yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Jika belum sampai masa bayar hutang yang dijanjikan maka sunat hukumnya membayar hutang.
Jika sampai masa bayar hutang dan orang yang berhutang tidak lagi membayar hutang dan mahu pergi kerjakan fardu haji nescaya wajib atasnya meminta tangguh dengan tuan hutang.
Jika dia tidak minta tangguh dan pergi mengerjakan haji nescaya haramlah perbuatannya itu kerana telah sampai masa yang dijanjikan membayar hutang pada hal dia tidak membayarnya tanpa uzur dan tetapi hajinya sah.
Jika hanya ada satu kesempatan iaitu bayar hutang atau pergi haji maka didulukan membayar hutang.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?