Hampir setiap hari sebelum keluar dari rumah kebanyakan daripada wanita akan mengenakan krim pelembap kemudian berbedak. Ketika hendak berwuduk untuk menunaikan solat, ada yang mencucinya terlebih dahulu dengan pembersih.
Namun ada juga yang mengambil langkah mudah terus saja berwuduk tanpa mengambil kira adakah air mengenai kulit muka, yang menjadi syarat sah wuduk.
Dalam hal ini adakah wuduk seperti ini dikira sah? Penjelasan tentang perkara ini diberikan oleh Mufti Pulau Pinang.
Dalam satu hadis, Umar RA memberitahu bahawa:
أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى
Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada bahagian kakinya yang sebesar kadar saiz kuku kaki yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.”
(Sahih Muslim: 243)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:
فِي هَذَا الْحَدِيثِ أَنَّ مَنْ تَرَكَ جُزْءًا يَسِيرًا مِمَّا يَجِبُ تَطْهِيرُهُ لَا تَصِحُّ طَهَارَتُهُ وَهَذَا مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Pada hadis ini, (terdapat dalil yang menunjukkan bahawa) sesiapa yang meninggalkan bahagian kecil yang wajib disucikan (dibasuh atau disapu ketika wuduk) tidak sah wuduknya, dan perkara ini merupakan sesuatu yang disepakati oleh para ulama.” (Rujuk Sahih Muslim bi Syarh al-Muslim, jil. 2 hlm. 134)
Wajib hilangkan perkara yang menghalang air mengenai kulit
Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa kewujudan sesuatu benda pada anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang sampainya air kepada kulit, menghalang sahnya wuduk dan mandi wajib tersebut.
Oleh sebab itu, antara syarat wuduk ialah menghilangkan perkara yang menghalang air mengenai kulit, sama ada minyak tepu, lilin dan seumpamanya. Syarat ini disepakati oleh 4 Mazhab yang muktabar. (Rujuk; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil. 2 hlm. 282 dan Mausu’ah Ahkam al-Thahahrah, hlm. 71)
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’:
إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك، فمَنَعَ وصولَ الماء إلى شيء من العضو؛ لم تصحَّ طهارته، سواء كثر ذلك أم قلَّ، ولو بقي على اليد وغيرها أثر الحناء ولونه دون عينه أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو ويجري عليها لكن لا يثبت؛ صحَّت طهارته
Maksudnya: “Jika sekiranya di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak yang cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu.” (Rujuk; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 1 hlm. 464)
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Taqrirat al-Sadidah, bahawa yang dimaksudkan dengan bebas daripada perkara yang menghalang sampainya air ke anggota wuduk ialah tidak terdapat jirim pada anggota wuduk yang menghalang sampainya air. Maksudnya, tidak terdapat sesuatu zat atau benda asing pada anggota wuduk yang kalis atau tidak telap air, adapun kesan yang ditinggalkan daripada zat tersebut, seperti kesan minyak yang cair dan warna inai pada jari seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, maka ia tidak menghalang sampainya air. Begitu juga keadaannya dengan dakwat pen, kerana ia tidak menghalang sampainya air kepada kulit. (Rujuk; Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah, hlm. 95)
Kadar basuhan atau sapuan wajib
Setiap perbuatan rukun yang telah disebutkan, bilangan yang dituntut hanyalah sekali sahaja, namun dengan syarat ia melakukan dengan sempurna, iaitu dapat meliputi seluruh bahagian anggota wuduk dengan sekali basuhan atau sapuan. Sekiranya dengan satu kali perbuatan (basuhan atau sapuan) tidak berjaya meliputi keseluruhan anggota yang wajib dikenakan air, maka wajib melakukannya untuk kali kedua hingga kesemua bahagian anggota berjaya diliputi air.
Namun yang dituntut adalah melakukannya sebanyak tiga kali, iaitu perbuatan pertama sebagai perbuatan wajib, dan perbuatan kedua hingga ketiga adalah perbuatan sunat. Basuhan atau sapuan pertama diukur apabila berjaya meliputi keseluruhan anggota, sekiranya seseorang memerlukan sehingga dua kali untuk berjaya meliputi, maka dua kali perbuatan itu dianggap sebagai satu perbuatan.
Adapun melakukan kurang daripada tiga kali (iaitu sebanyak dua kali, dalam keadaan perbuatan pertama sudah berjaya meliputi keseluruhan anggota), atau lebih daripada tiga kali (dalam keadaan keseluruhan anggota telah berjaya diliputi), maka hukumnya makruh, dan sah wuduknya. (Rujuk; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 1 hlm. 441-443)
Kesimpulan
Berkaitan dengan soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah; adakah air sampai kepada keseluruhan anggota wuduk? Bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan, ia boleh dilakukan dengan apa sahaja cara sekalipun asalkan tujuan tercapai, iaitu menyampaikan air ke anggota wuduk. Justeru, sekiranya menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu, sehingga air dapat disampaikan kepada keseluruhan anggota wuduk, maka telah terlaksana kewajipan berwuduk.
Adapun sekiranya membasuh tanpa menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu, sekiranya basuhan pertama hanya menghilangkan krim/pelembap muka tetapi tidak menyampaikan air kepada kulit, wajib membasuh lagi hingga air berjaya sampai ke kulit.
Setelah air berjaya sampai ke kulit baru dianggap telah melakukan basuhan atau sapuan wajib (walaupun sebenarnya melakukan dua kali atau lebih perbuatan) dan wuduknya sah. Jika krim/pelembap muka tetap ada dan menghalang air sampai ke kulit, maka tidak sah wuduk itu.
Oleh itu, kami mencadangkan agar dihilangkan terlebih dahulu krim/pelembap muka kerana ia lebih berkemungkinan dan diyakini dapat memastikan kita melaksanakan wuduk dengan sempurna. Apatah lagi telah jelas dalam hadis-hadis berkenaan orang yang tidak menyempurnakan wuduk dengan ancamannya, maka sangat wajar untuk berhati-hati dan berusaha agar kita tidak tertinggal kawasan yang sepatutnya dikenakan atau disampaikan air.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Sumber: Pejabat Mufti Pulau Pinang
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hidup berumah tangga memang tak lari dari melakukan kesalahan baik isteri mahu pun suami. Agar tidak berlarutan kesalahan ini mahu tak mahu ia harus ditegur.
Bagaimanapun untuk menegur kesalahan isteri haruslah kena caranya memandangkan hati kaum hawa yang lembut dan mudah sangat tersentuh.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh untuk kita dalam hal ini. Salah satu cara baginda ialah dengan tidak menegur secara terperinci malah buat-buat lupa kesalahan isteri.
Perkara ini dikongsi oleh Dr Prof. Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.
Jelas beliau salah satu panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah mengenai akhlak seorang suami ialah menegur isteri secara baik dan melupakan sebahagian kesalahan mereka. Iaitu dia tidak mengungkit secara terperinci bahkan memberikan teguran yang perlu sahaja.
Perkara ini diceritakan dalam al-Quran apabila Allah mendedahkan kepada kita bagaimana Nabi menegur isterinya sebahagian kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan tidak mendedahkan sebahagian kesalahan yang lain.
Firman Allah:
عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَن بَعْضٍ ۖ
“(maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya)” (Surah al-Tahrim: 3)
Hanya ceritakan kesalahan dengan detail
Ketika menafsirkan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Baginda hanya menceritakan bahagian kesalahan yang perlu sahaja supaya pihak isteri tidak terasa dengan penerangan yang terlalu detail mengenai kesalahannya.
Kata al-Tantawi:
اكتفى بالإشارة إلى جانب منه ، ولم يذكر لها تفاصيل ما قاله لها سابقا . لسمو أخلاقه – صلى الله عليه وسلم – إذ فى ذكر التفاصيل مزيد من الخجل والإحراج لها
“Baginda memadai dengan hanya menyebut sebahagian daripadanya (sebahagian kesalahan sahaja) dan tidak menyebutkan perincian apa yang diucapkannya kepada isterinya sebelum itu. Ini adalah ketinggian akhlak Baginda Nabi SAW kerana dengan menyebutkan kesalahan secara terperinci akan menambah malu isteri dan lebih menyakitkan hati mereka.”
Begitu tinggi akhlak Rasulullah, dalam memberikan teguran pun, Baginda berusaha menjaga hati isteri yang ditegur agar mereka tidak terasa. Malah menurut Sheikh al-Tantawi lagi, buat-buat lupa kesalahan pasangan merupakan akhlak suami yang mulia. Beliau menukilkan kata-kata salaf terdahulu:
ما زال التغافل من فعل الكرام
“Sentiasalah perbuatan melupakan (kesalahan itu) adalah perlakuan orang yang mulia.”
Sumber: Dr Prof. Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bila melihat seseorang dengan tanda hitam pada dahi ada kalangan kita menganggap individu tersebut rajin beribadah, selalu bersujud. Anggapan itu boleh jadi betul atau sebaliknya.
Namun perlu diketahui dalam al Quran memang ada menggambarkan salah satu sifat orang beriman adalah terdapat kesan sujud pada wajah mereka.
Walau bagaimanapun kesan sujud ini bukanlah bermaksud tanda fizikal yang terdapat pada dahi seseorang. Tetapi ia lebih kepada rupa elok yang sedap mata melihat. Demikian perkongsian Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu hantaran di akaun media sosial milik
Jelas beliau ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam ibn Kathir ada merekodkan pandangan beberapa sarjana silam berhubung apa yang dimaksudkan tentang kesan sujud di wajah orang yang beriman. Antaranya:
- Rupa yang elok (sejuk dan tenang mata memandang). Pandangan ini diutarakan oleh Saidina Abdullah bin Abbas. Ia turut diungkapkan oleh al-Suddi:
الصلاة تحسن وجوههم
“Solat itu memperelokkan wajah (orang beriman).”
- Bersifat khusyuk dan tawaduk. Pandangan ini dinyatakan oleh al-Imam Muhajid ibn Jabr, salah seorang tabi’i yang terkenal dalam bidang tafsir yang juga anak murid kepada Saidina Abdullah bin Abbas. Iaitu orang beriman itu zahirnya kelihatan tawaduk dan khusyuk.
- Sinar wajah pada hari kiamat. Pandangan ini direkodkan oleh al-Imam al-Tabari yang menukilkan pendapat al-Hasan yang menyatakan:
بياضا في وجوههم يوم القيامة
“Sinar puthi pada wajah orang beriman di hari akhirat kelak.”
Tambah Dr Sanusi lagi Al-Imam Ibn Kathir turut menitipkan pesanan buat kita agar sentiasa menjaga amalan peribadi kita (solat malam, zikir dan selawat) kerana amalan peribadi yang dilakukan secara rahsia, memberikan kesan kepada zahir.
Kata Saidina Umar:
من أصلح سريرته أصلح الله علانيته
“Barangsiapa yang memperelokkan amalan soleh mereka secara rahsia, maka Allah akan memperelok urusan zahir (urusan dunia dan penampilan) mereka. (Tafsir Ibn Kathir)
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Nampak air penuh kolah atau air paip laju keluar kita pun ambil wuduk berlama-lamaan. Barulah terasa segar dan bersih sepenuhnya.
Namun begitu apa yang kita tak tahu sebenarnya terdapat larangan menggunakan air berlebihan untuk berwuduk.
Terdapat sebuah riwayat yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan wuduk. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.Anhuma beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ” مَا هَذَا السَّرَفُ ” . فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ” نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Riwayat Ibn Majah (425)
Dilarang walaupun air banyak
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah S.A.W. sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.
Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu beliau israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.
Beliau juga berkata: Tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.
Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur. Atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali Al-Qari (2/421).
Secara kesimpulannya dalam isu berwuduk dalam masa yang lama, sekiranya ia dilakukan kerana faktor was-was, maka ini adalah perbuatan yang perlu dijauhkan. Ini kerana, was-was adalah penyakit yang perlu dielakkan dan kita hendaklah sentiasa yakin dan pasti terhadap setiap ibadah yang dikerjakan.
Berwuduk dalam tempoh yang lama, meskipun tidak berniat untuk membazir air, ia tetap juga suatu pembaziran terhadap masa. Ini kerana, tujuan seseorang itu berwuduk antaranya adalah untuk mendirikan solat.
Justeru, sekiranya seseorang berlama-lama dalam wuduk pastilah akan mendatangkan implikasi melewatkan solat dari waktunya, dan itu merupakan suatu perbuatan yang buruk.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI