Di media sosial, sering terlintas keperibadian seseorang melalui zodiak kelahirannya. Antara sengaja atau tak, sebagai manusia yang masih tercari-cari ilmu, tanpa sedar kita mungkin mempercayai ramai bintang ini. Hati-hati dengan pemikiran sebegini kerana membaca zodiak hukumnya harus walau tak digalakkan tapi mempercayainya, hukumnya syirik.
Baca pandangan Mufti Wilayah mengenai aplikasi zodiak yang mudah dimuat turun hari ini.
Jawapan:- Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, zodiak adalah garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas. Salah satu cabang ilmu astrologi adalah berkaitan dengan zodiak (bintang 12).
Zodiak merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan ini merupakan satu garisan melengkung khayalan (imaginary line). Dalam proses itu matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas (Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces).
Setiap bintang ini mempunyai kekuatan dan kelemahan, sifat-sifat yang tersendiri yang mempengaruhi kehidupan dan seseorang individu. Dengan melihat kepada kedudukan planet, kedudukan matahari dan bulan pada waktu kelahiran, karakter seseorang dapat diketahui dengan terperinci.
Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-An’am: 97)
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.” (Surah al-Mulk: 5)
Berkata Qatadah: Allah SWT menciptakan bintang-bintang ini dengan tiga fungsi:
Ads
Hiasan bagi langit-langit
Alat-alat pelempar syaitan
Panduan atau penunjuk arah
Barangsiapa yang mentakwilkannya kepada selain daripada 3 fungsi di atas, maka itu adalah pendapatnya sendiri yang keliru serta memberatkan dirinya terhadap apa yang dia tidak tahu. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/166)
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambl bagian dari ilmu bintang maka ia telah mengambil bagian dari ilmu sihir.” (Riwayat Abu Daud, no. 3905)
Menurut Ibn Ruslan, apa yang dilarang adalah berhubung ilmu berkenaan alam semesta yang tidak berlaku atau bakal berlaku di masa hadapan. Mereka mendakwa memperolehnya pengetahuan tentangnya daripada rahsia bintang-bintang pada peredarannya, perhimpunannya dan perpisahannya. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang menjadi hak milik-Nya.
Ada pun ilmu bintang-bintang yang dengannya dikenali gelinciran matahari dan arah kiblat, berapa hari yang telah berlalu, berapa pula baki yang tinggal, tidak termasuk dalam larangan di atas. Apa yang dilarang adalah perbincangan tentang kedatangan hujan, turunnya salji, bertiupnya angin (ini tidak berkaitan dengan ramalan cuaca) dan berubahnya harga barang. (Lihat Nail al-Autar, 7/152)
Membaca zodiak
Hukum sekadar membaca tanpa mempercayainya adalah harus. Pun begitu, ianya tidak digalakkan kecuali atas keperluan, misalnya kajian.
Mempercayai zodiak
Hukum mempercayainya adalah syirik. Perbuatan syirik kepada Allah SWT antara dosa-dosa besar yang Allah SWT memberikan ancaman azab kepada pelakunya. Allah SWT berfirman:-
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”,(Surah al-Nisa: 48)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86). Pun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka.
Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah. (Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, m. 50-55).
Dalam hal ini, kami cenderung menyatakan Muslim yang mempercayai zodiak termasuk dalam syirik asbab kerana mereka umumnya mempercayai ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk. Maka, mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa.
Bertemu dengan peramal
Diriwayatkan oleh Safiyyah R.Anha, daripada para isteri Nabi SAW, bahawa Baginda pernah bersabda:-
Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima salatnya selama empat puluh malam”. (Riwayat Muslim, no. 125)
Pada riwayat yang lain Baginda SAW bersabda,
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an)”.(Riwayat Ahmad, no. 9536).
Ads
Ibnul Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui persoalan ghaib. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 3/442) Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).
Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati/membaca fikiran). (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/182)
Kedua-dua hadith ini terkandung ancaman Nabi SAW terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-masing berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.
Dalam konteks moden, hal ini mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ianya boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib. Mereka yang sengaja memuat turun atau melanggan dengan niat untuk mengetahui nasib ini dikhuatiri menyamai maksud hadith “mendatangi ´arraf” yang sudah pasti tidak diterima solatnya selama 40 malam.
Menurut Imam al-Nawawi, “Maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang dia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/227). Ini bermakna, solatnya adalah sia-sia.
Bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib dan mempercayainya, hal ini secara jelasnya adalah haram dan berdosa besar.
Manakala, bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Kesimpulan
Tiada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib, melainkan Allah ‘Azza wa Jalla. Firman-Nya di dalam al-Qur’an al-Azim:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah, hanya miliknya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorangpun tahu di mana dia akan menemui kematian. (Surah Luqman: 34)
Firman Allah SWT lagi:-
قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan dibumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah. (Surah al-Naml: 65)
Jelas daripada dalil-dalil di atas, bahawa kepercayaan berhubung astrologi, mengetahui sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa dan dilarang di sisi Islam. Kami lampirkan di sini beberapa keadaan dan hukumnya:
Meyakini zodiak boleh menentukan nasib baik dan buruk seseorang boleh membawa kepada kekufuran.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dengan tujuan hobi atau sekadar suka-suka, dikira fasik dan berdosa besar.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dan meyakininya tetapi masih beriman bahawa ianya berlaku dengan daya yang dijadikan oleh Allah SWT, ia adalah diharamkan. Mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa besar kerana melibatkan syirik.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata (khusus bagi tujuan penyelidikan) tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Assalamualaikum Dato’ Mufti. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat, adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato’ Mufti. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (pencuci tangan) itu sendiri.
Hand Sanitizer (Pencuci Tangan)
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alkohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (pencuci tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10 liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333 ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515 ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417 ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Hukum Penggunaan Alkohol
Menuru jumhur ulama, alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.” Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpamanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.
Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. Tapai halal dimakan.
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALKOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kesimpulan
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) semasa melakukan solat. Adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya?
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Wallahua’lam
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Diterbitkan : 1 Mac 2020
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Kebersihan sebahagian daripada iman.’ Tiada larangan dalam islam menyapu sampah pada waktu malam seperti yang dimomokkan oleh kebanyakan orang.
Ramai yang percaya bahawa menyapu sampah pada waktu malam akan membawa kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Ternyata ia hanya sekadar kepercayaan bukannya larangan dalam agama Islam.
Ikuti penerangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang isu menyapu sampah di malam hari akan membawa kepada kemiskinan.
Benarkah menyapu rumah pada malam hari membawa kepada kemiskinan? Sebabnya saya pada waktu siang, saya bekerja, jadinya waktu malam sahaja masa yang ada untuk mengemas rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya tidak ada larangan dalam Islam untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam.
Bahkan sebaliknya kita dituntut untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal kita pada bila-bila masa.
Hal ini kerana Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.
Tiada Larangan Dalam Islam
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Begitu juga terdapat hadith lain yang menggalakkan atau menggesa untuk membersihkan rumah-rumah, dan ia jelas disebut sebagai salah satu ciri orang Mukmin dan meninggalkannya pula adalah salah satu ciri orang Yahudi.
Terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan mencintai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, mulia dan mencintai kemuliaan, pemurah dan menyukai kedermawanan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (2799) dan beliau menilainya sebagai gharib kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dia dinilai sebagai dha’if.
Syu‘aib al-Arna’ut pula menyatakan dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (4/256), di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dinyatakan dalam al-Taqrib, matruk al-hadith (orang yang ditinggalkan hadithnya).
Bahkan Dr. Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Mudir Idarah al-Furu‘ al-Fiqhiyyah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa di Dar al-Ifta’ ketika ditanya mengenai adakah menyapu rumah pada waktu malam membawa kepada kefakiran?
Beliau menyebutkan bahawa dibolehkan untuk membersihkan rumah pada waktu malam dan tidak ada apa-apa akibat dalam melakukan hal tersebut, serta hukumnya tidak haram sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang.
Beliau menambah lagi dalam jawapannya itu, begitulah juga halnya membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Hal ini kerana tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan.
Menyapu Sampah Pada Waktu Malam
Kami berpendapat selama mana ia kotor dan ada kemampuan oleh tuan rumah atau amah, maka boleh dibersihkan siang ataupun malam.
Kami melihat Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dibersihkan siang dan malam begitu juga hotel-hotel. Tiada nas yang sahih lagi sarih yang melarang untuk menyapu rumah sama ada malam, siang, pagi dan petang.
Pepatah Arab menyebut:
النَّظَافَةُ مِنَ الَايْمَانِ
Maksudnya: “Kebersihan sebahagian daripada iman.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kashoorga: Umum mengetahui bahawa orang-orang tua dahulu banyak kiasan, jadi barangkali mungkin mereka hanya berpesan agar anak-anak mengemas rumah di siang hari melakukan pekerjaan lain.
‘Di mana had wajah yang boleh dibuka?’ Bab aurat jangan dibuat main, dosanya dikira. Jika kita ambil tahu dan ambil berat bab aurat, insyallah Allah akan menjaga kita.
Tidak semua tahu bahawa kawasan dagu sebenarnya aurat selain dada, leher dan bahu. Oleh itu ikuti perkongsian Ustaz Farid Rashidi tentang di mana had wajah yang boleh dibuka seseorang wanita.
Wajib ingat ya. Hal aurat bukan boleh buat-buat hilang ingatan. Itu semua menentukan dosa, pahala.
Baik, untuk kali ini kita sambung bab had aurat di wajah atau muka. Mana bahagian muka yang wajib ditutup, dan mana yang tak.
Sebab bukan apa, ada juga yang bertudung tapi sengaja tinggal jambul macam burung belatuk. Ada juga pakai selendang tak pin, dibiar lepas berserabai hingga nampak bawah dagu dan tengkuk. Padahal aurat.
Yang Boleh Dibuka
Di mana had wajah atau muka yang boleh dibuka?
Sebelum kita pergi lebih jauh, apa kata kita fahami dulu maksud wajah secara definasinya menurut pandangan para ulama’ dan ilmuan bahasa. Di mana ukuran wajah itu?
Wajah dalam Bahasa Arab adalah al-Wajh. Ia diambil daripada kalimah (المواجهه) iaitu mendepani setiap sesuatu dan kadangkala diibaratkan wajah sebagai Zat. Dikatakan (وَاجَهْتُهُ) bermaksud apabila aku mengadap wajahnya.
[Rujuk kitab al-Misbah al-Munir]
Manakala menurut al-Raghib al-Asfahani, dia berkata asal wajah ialah anggota sebagaimana firman Allah SWT:
Imam as-Syafie’ rahimahullah dalam kitab al-Umm berkata,
“Wajah menurut bangsa Arab adalah apa yang didapati saat berhadapan.”
Bab Aurat
Beliau berkata lagi,
“Wajah itu adalah apa yang ada di antara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang, secara panjang. Lebarnya pula dari telinga hingga ke telinga satu lagi.”
Dari sudut istilah pula, terdapat beberapa definisi tentang batasan muka. Antaranya:
Jangan Dibuat Main
1. Muka adalah di antara tempat mula tumbuh rambut pada atas dahi kepala pada kebiasaannya hingga ke bawah dagu secara panjang, dan antara dua cuping telinga secara lebar.
[Lihat Umdat al-Salik, hlm. 12; al-Durr al-Mukhtar dan Hasyiah Ibn Abidin 1/65-66, Al-Syarh al-Saghir 1/104, Mughni al-Muhtaj, 1/20, al-Mahalli ala Matn al-Minhaj 1/48 dan al-Mughni 1/114-115]
2. Muka adalah bahagian tempat mula tumbuh rambut di dahi kepala hingga rahang dan hujung dagu secara panjangnya dan antara cuping telinga secara lebarnya.
[Lihat Al-Umm, 1/40]
3. Muka adalah bahagian di antara tempat tumbuhnya rambut pada kebiasaannya sehingga dua tulang rahang yang disitu tumbuhnya gigi yang bawah. Berhimpun permulaannya di dagu dan berakhir di telinga, secara panjangnya. Secara lebarnya, ia adalah di antara dua telinga.
[Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 31]
Dosanya Dikira
Berdasarkan definisi di atas, maka di sini timbul persoalan berkenaan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan sideburns termasuk bahagian wajahkah?
Pertamanya, isu maudhi’ al-tahzif (موضع التحذيف) iaitu tempat tumbuhnya rambut halus antara sideburns dan pelipis (bahagian kepala di antara dahi dengan telinga). Dalam hal ini ada beberapa pandangan antaranya:
Abu Ishak berpendapat, ianya termasuk dalam bahagian kepala kerana Allah menciptakannya daripada kepala maka ianya tidak dikira muka.
[Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 1/38]
Sideburns Juga Sebahagiaan
Oleh itu, Jumhur Ulama’ mentashihkan sideburns termasuk daripada bahagian kepala. Ini bertepatan dengan pandangan mazhab Syafie’ pada had atau batas definisi kepala.
Pengarang kitab Kasyf al-Qina’ daripada mazhab Hanbali juga memberi pendapat yang sama di mana ia termasuk dalam anggota kepala.
[Lihat al-Majmu’ 1/416. Ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin 1/52]
Alhamdulillah, dah jelas di mana letak duduk muka yang boleh didedahkan dan yang mana dikira aurat perlu ditutup bukan? Tak kisahlah rupa wajahnya berbentuk bujur sirih ke, petak spongebob squarepants, sfera ke, flat ke atau jenis macammana pun asalkan ada wajah. Yang tak ada wajah tu ‘lembaga’.
Aik, masih blur lagi?
Baiklah, kalau macam itu… mari kita simpulkan secara mudah. Konklusinya, dagu wanita tidak termasuk aurat. Akan tetapi jika yang dimaksudkan dengan bahagian bawah dagu wanita (dekat dengan tengkuk yang agak lembik) ianya adalah termasuk aurat yang wajib ditutup.
Ini kerana bahagian tersebut tidak termasuk dari batas-batas wajah yang boleh dibuka. Ingat, biarlah saat ini hati disentap nasihat, dari kelak disentap azab.
Qada solat atau solat sunat, mana satu yang lebih utama dilakukan? Ini mungkin persoalan buat mereka yang banyak meninggalkan solat satu ketika dahulu namun...