Zaman dunia teknologi masa kini, ada pasangan suami isteri yang menyimpan sperma suami untuk bayi tabung uji. Jika si suami masih hidup tiada masalah namun bagaimana apabila suami meninggal dunia. Timbul masalah kefahaman dari segi hukum sama ada boleh atau tidak sperma suami yang disimpan itu digunakan oleh isteri.

Ikuti pencerahan berikut.

SOALAN:

Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?

JAWAPAN:

Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia. Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.

Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’. Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.

Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):

“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”

Tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan. Ianya sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka air mani tersebut tidak boleh digunakan lagi.

Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan (Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)