Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan yang tidak bersandarkan al-Quran dan Sunah. Ia juga tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan merupakan sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat.

Sebagai contoh di zaman jahiliah sebelum bermusafir seseorang akan melepaskan beberapa ekor burung terlebih dahulu. Jika burung-burung itu terbang ke sebelah kiri ia dianggap sebagai pertanda buruk justeru musafir dibatalkan. Hal ini disebutkan dalam Mishkat al-Masabih karangan Maulana Fazlul Karim.

Pada 4 Oktober 1995 akhbar di Malaysia melaporkan tentang tiga orang lelaki di kota Bangkok yang meninggal dunia selepas meminum alkohol kerana berkeyakinan bahawa minuman itu dapat menyelamatkan mereka daripada kesan buruk gerhana matahari yang akan berlaku pada 24 Oktober 1995. Tindakan mereka adalah berdasarkan ramalan yang dibuat oleh seorang ahli nujum dari negara Thai yang meramalkan gerhana matahari yang berlaku pada 24 Oktober 1995 akan membawa nasib malang kepada pemimpin dan rakyat yang bernaung di bawah bintang Scorpio. Kejadian ini menunjukkan tahayul bukan sahaja menguasai minda orang-orang dahulu bahkan ia juga menguasai minda masyarakat pada hari ini dan ia tidak hanya berlaku di negara Thai malah di seluruh dunia.

Di kalangan bangsa Melayu antara bentuk khurafat dan tahayul yang wujud ialah kepercayaan terhadap konsep sial majal. Antara adat yang lahir daripada kepercayaan ini ialah Adat Mandi Membuang Sial. Adat ini bertujuan membuang sial dan nasib malang yang menimpa ke atas seseorang. Untuk tujuan ini pawang khas akan dipanggil untuk mengadakan upacara pemandian. Dengan menggunakan buah limau seperti limau nipis dan bunga-bungaan seperti bunga melor dan mawar, pawang akan membaca jampi mantera tertentu untuk membuang sial. Kadangkala dia akan menggunakan pertolongan makhluk ghaib seperti jin.

Akidah Islamiah

Islam datang dengan membawa konsep akidah yang betul. Dengan itu khurafat dan tahayul ditolak dan akidah Islamiah meletakkan kepercayaan manusia di atas landasan yang sahih lagi benar.

Akidah yang benar menolak kepercayaan terhadap konsep sial majal. Imam Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Kepercayaan terhadap sial majal adalah satu perbuatan syirik (Nabi mengulangi sabda ini sebanyak tiga kali). ”

Kadangkala kesialan dikaitkan dengan bunyi binatang atau suara-suara tertentu, contohnya suara burung hantu. Nabi menolak kepercayaan ini melalui sabda Baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu).. adalah dari perbuatan syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Sebahagian daripada masyarakat mempercayai bahawa roh orang yang mati secara ngeri akan bertukar menjadi binatang buas atau hantu puntianak. Di zaman jahiliah dahulu, roh orang yang mati dibunuh dipercayai bertukar menjadi burung yang akan menjerit di tanah perkuburan si mati sehinggalah keluarganya menuntut bela di atas kematiannya. Di kalangan bangsa Arab kepercayaan ini dikenali sebagai hamah. Sehubungan dengan ini Nabi bersabda, “Tidak ada hamah (di dalam Islam).” Hadis ini diriwayatkan Imam Bukhari.

Islam menggantikan kepercayaan terhadap sial majal kepada konsep penyerahan diri kepada Allah iaitu tawakal. Tawakal jika disusuli dengan ikhtiar serta usaha secara bersungguh-sungguh akan menghasilkan kejayaan yang mengagumkan.

IKLAN

Minda saintifik

Sebenarnya kepercayaan kepada khurafat dan tahayul melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa seseorang. Akidah Islamiah yang tulen boleh diibaratkan seperti benteng yang kukuh yang mampu menyelamatkan seseorang Muslim daripada diserang virus kemunduran akal dan kelemahan jiwa ini.

Di samping itu Islam mendidik umatnya agar berfikir secara saintifik dalam perkara yang berkaitan dengan alam dan kehidupan duniawi. Hal ini disebabkan alam ini mempunyai hukum sebab musababnya. Justeru jika sesuatu pandangan diberikan tanpa logik yang munasabah, ia sepatutnya ditolak. Sebagai contoh, jika seseorang berkata, ‘Mereka yang berkhatan tidak boleh melangkah kulit kerang,’ tanyakan kepadanya tentang logiknya. Adakah ia saintifik? Jika tidak ada hujah saintifik bagi kenyataan itu tidak perlulah kita berpegang dengannya.

Imam Muslim meriwayatkan pada suatu ketika Nabi mendapati penduduk Madinah mengahwinkan satu benih kurma dengan benih yang lain untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Melihat hal ini Nabi mencadangkan agar dibiarkan benih itu begitu sahaja tanpa dikahwinkan. Pendapat Nabi ini bukanlah berdasarkan wahyu sebaliknya hanya sebagai pandangan peribadi Baginda sahaja. Para sahabat pun mengikut saranan Nabi dan kemudiannya mendapati hasil mereka menurun. Mereka pun melaporkan hal itu kepada Nabi, lantas Baginda bersabda, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan duniamu.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kajian dan penemuan manusia berdasarkan ilmu dan pengalaman adalah berharga dan bernilai dalam Islam. Penemuan saintifik yang boleh membantu kehidupan perlu dimanfaatkan oleh umat Islam. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa pendapat-pendapat lama yang tidak saintifik tidak perlu diikuti dan tidak perlu dipertahankan. Sabda Nabi ini merangsang umat Islam mengkaji rahsia alam serta melakukan pelbagai eksperimen demi menghasilkan penemuan-penemuan yang bermanfaat buat manusia. Penceburan mereka dalam bidang ini menjadikan mereka berminda saintifik, dan inilah sebenarnya yang telah berlaku ke atas umat Islam sebelum ini.

Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity dalam bab Dar al-Hikmet berkata, “Roger Bacon bukanlah tokoh yang memperkenalkan konsep eksperimen dalam ilmu. Beliau hanyalah merupakan anak murid kepada sains dan metodologi Islam, dan ilmu yang beliau peroleh ini kemudiannya beliau kembangkan ke Barat. Beliau tidak pernah jemu untuk mengatakan bahawa bahasa Arab dan sains Arab adalah satu-satunya pintu bagi mereka di zamannya untuk mengenali ilmu yang hakiki… Sumbangan dari tamadun Arab kepada dunia moden yang paling bermakna ialah sains.”

Dalam proses untuk membentuk minda yang saintifik terdapat beberapa prinsip serta kaedah yang ditekankan oleh Islam. Antaranya:

IKLAN

Bersikap kritikal dan tidak menjadi Pak Turut: Dalam surah al-Baqarah ayat 170, Allah berfirman, “Apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: ‘(Tidak), tetapi kami akan ikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami’. Apakah mereka tetap hendak mengikut walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?”

Berhubung dengan ayat ini Hamka dalam Tafsir al-Azhar berkata, “Anak cucu yang hanya turut-turutan mempertahankan pusaka nenek moyang… Mereka menjadi membeku dan membatu.” Memang benar, otak golongan pak turut akan menjadi jumud lagi beku.

Mementingkan bukti serta dalil: Dalam surah al-Israk ayat 36, Allah berfirman, “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Berhubung ayat ini, Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Sesungguhnya Allah melarang kita mengatakan sesuatu hanya berdasarkan prasangka, perkiraan, ilusi atau khayalan.”

Hamka dalam Tafsir al-Azhar pula berkata, “Kita dilarang Allah bersikap meniru-niru sahaja tanpa menyelidiki sebab musababnya.”

Suka melakukan kajian dan penyelidikan: Dalam surah al-Ghasyiah ayat 17-20 Allah berfirman, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana (kaifa) ianya diciptakan. Dan langit bagaimana(kaifa) ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana (kaifa) ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana (kaifa) ia dihamparkan.”

IKLAN

Dalam ayat ini kalimat kaifa dengan maksud bagaimana diulang-ulangi beberapa kali. Sudah pasti untuk mengetahui bagaimana sesuatu itu berlaku atau terjadi, kita tidak boleh hanya melihat sesuatu itu begitu sahaja. Kita perlu melakukan penyelidikan saintifik untuk mencari jawapannya.

Berhubung ayat ini, Hamka dalam Tafsir al-Azhar berkata, “Disuruh memandang dan merenung bukan semata-mata melihat dengan mata sebaliknya membawa apa yang dilihat oleh mata itu ke dalam akal fikiran untuk difikirkan..”

Syeikh Said Hawa berkata di dalam Ufuk Risalah Taklim, “Allah menjadikan alam ini untuk kepentingan manusia, justeru, setiap ilmu yang dapat menghasilkan kepentingan ini dituntut oleh agama… Hasil daripada penelitian yang menyeluruh tentang syariat Islam yang dibuat oleh Imam Ibn Qaiyim, beliau akhirnya merumuskan, ‘di mana saja terdapat kemaslahatan, di situlah wujudnya syariat Islam.’ Islam memberikan kebebasan kepada akal manusia untuk berfikir di dalam perkara yang sepatutnya difikirkan. Islam juga memberikan kebebasan kepada seseorang Muslim untuk melakukan kajian ilmiah di dalam bidang yang amat luas.”

Walau bagaimanapun setiap penyelidikan hanya diiktiraf oleh Islam apabila ia tidak terbabas daripada dasar-dasar syariat. Sebagai contoh, Islam tidak mengiktiraf sebarang kajian yang bertujuan untuk menghalalkan arak dan zina.

Sebenarnya umat Islam amat kaya dengan penyelidikan dan kajian. Pada abad keempat belas ketika wabak hawar atau plague, menyerang Eropah dan orang-orang Barat menganggap itu bala Tuhan dan hanya berserah kepada takdir, Ibn Khatib dari Granada, mengeluarkan kajiannya berhubung dengan penyakit dan jangkitan untuk dimanfaatkan dunia.

Ar-Razi merupakan orang pertama yang mengkaji dan menulis berhubung penyakit cacar atau smallpox dan campak atau measles. Tulisannya berhubung kedua-dua penyakit ini begitu terperinci sehingga dapat dimanfaatkan hingga ke hari ini. Sehubungan dengan ini, pengiktirafan telah diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia kepada ar-Razi. Dalam The Bulletin terbitan World Health Organization(May 1970) telah dinyatakan, “His writings on smallpox and measles show originality and accuracy, and his essay on infectious diseases was the first scientific treatise on the subject.”

Justeru ajaran Islam berjaya membentuk minda saintifik di kalangan umat Islam. Kesan daripada itu maka lahirlah saintis-saintis Muslim yang agung lagi mengkagumkan. Kekaguman ini pernah disuarakan oleh seorang tokoh sains dari barat, George Sarton (1884-1956) dalam buku beliau yang bertajuk Introduction to the History of Science (Carnegie Institution of Washington Publication No. 376, Baltimore, 1927).

Beliau berkata, “Memadai rasanya jika kita sekadar menyebutkan beberapa nama tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di barat ketika itu. Antaranya ialah Jabir ibn Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani, al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi, Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, Ali ibn Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn al-Haitham, Ali Ibn Isa al-Ghazali, al-Zarqab dan Omar Khayyam.

Inilah nama-nama yang mengagumkan dan lis ini adalah lebih panjang daripada ini. Jika ada seseorang memberitahu anda bahawa bumi Timur Tengah sebelum ini ketandusan sains, sebutkan nama-nama ini kepadanya. Kesemua mereka ini berkembang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI