Petanda bahawa jodoh sudah dekat dari Allah dan dalam Islam tidak dapat dinafikan adakalanya sukar untuk dilihat. Mungkin ada petanda yang ditunjukkan namun kita kerap mengabaikannya. Sememangnya jodoh itu rahsia Allah. Sesungguhnya Allah sudah menyiapkan jodoh yang sesuai dengan kualiti diri kita sendiri sehingga tidak timbul soal terlalu cepat atau terlalu lambat.
Berikut sedikit gambaran mengenai tanda jodoh sudah dekat menurut Islam.
BERANI BERTERUS-TERANG
Jodoh bermula daripada perasaan yang timbul dalam hati. Apabila ia adalah jodohmu, maka tidak akan ada penghalang perasaan yang timbul dalam hatimu sebab untuk hati yang saling mencintai, anda punya keberanian untuk meluahkan perasaan.
SIFAT MEMAAFKAN
Ya, memang terasa sulit untuk mendapatkan pasangan yang baik, khususnya yang memiliki sifat pemaaf. Akan tetapi, jika ia adalah jodohmu, maka si dia atau anda tidak keberatan untuk memaafkan antara satu sama lain.
Ads
SALING MEMBERI MOTIVASI
Semua manusia tidak selamanya akan selalu berada di atas dan ada waktunya untuk berada di bawah. Pada saat inilah, kita sangat memerlukan motivasi dari seseorang, sebab umumnya orang akan menjauhkan diri saat kita jatuh.
Akan tetapi untuk si dia yang merupakan jodohmu, hadirnya si dia dalam kehidupanmu terasa seperti malaikat yang menyelamatkanmu. Si dia juga memiliki cara tersendiri untuk memberikan motivasi kerana si dia menginginkan segala yang baik untuk anda berdua.
SELALU SELESA BERSAMA
Jodoh yang sudah dekat biasanya boleh dilihat apabila saat anda bersama-sama maka tidak ada rasa bosan sedikit pun. Semakin sering bersama maka akan semakin memberikan ketenangan, perasaan gembira di saat anda sedang berduka. Sebaliknya jika sedang berjauhan maka akan terasa sedikit tertekan serta rindu ingin bertemu.
Ads
JADI DIRI SENDIRI
Percayalahm apabila jodoh semakin mendekat, ia dapat dilihat daripada segi penampilan diri. Jika anda dan si dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat maka ini adalah salah satu petanda yang jodohmu sudah dekat.
HATI TIDAK BERBELAH BAHAGI
Hati dalam bahasa Arab bermaksud al-Qaib iaitu mudah berbolak-balik. Jika anda mendapati bahawa hati anda tidak pernah berbelah bahagi dan tetap pada si dia makan ia merupakan petanda si dia adalah jodoh untukmu. Kemantapan hati ini didasari dengan memohon petunjuk dari Allah.
KETENANGAN JIWA
Jika kehadiran si dia memberikan ketenangan jiwa yang selalu membuatkan anda terasa damai maka dialah jodoh anda seperti Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, ”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. [QS.A-Ruum : 21].
Ads
PANDAI MENYIMPAN RAHSIA
Jika si dia pandai menyimpan rahsiamu maka ia menjadi petanda yang jodohmu sudah dekat. Namun jika sebaliknya yang berlaku maka tolaklah orang tersebut dengan cara yang baik.
SELESA BEKERJASAMA
Kerjasama sangat diperlukan antara anda dengan pasangan. Perkara ini penting untuk kehidupan anda di masa hadapan. Hal ini kerana tugas sebagai ketua keluarga amat berat. Apabila anda sudah bertemu dengan orang yang anda boleh bekerja bersama-sama dalam segala urusan maka ini menjadi petanda yang jodohmu sudah dekat.
MEMBUATMU BERHENTI MENCARI
Petanda jodoh sudah dekat berikutnya menurut Islam adalah jika si dia membuatkan anda berhenti untuk mencari jodoh. Anda merasa hidup anda tidak lengkap tanpa kehadiran si dia sekaligus menjadikan anda yakin yang dialah orang tepat yang diberikan Allah pada anda. Saat ini bererti jodohmu memang sudah sampai.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Usai akad nikah, setiap pasangan terutama isteri perlu mendengar lafaz taklik yang dibacakan oleh suami. Lafaz taklik ini adalah lafaz yang dibaca dan dilafazkan oleh suami dalam majlis berkenaan.
Lafaz ini juga memberi maksud di mana seorang suami itu mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain.
Dan setiap negeri mempunyai lafaz taklik tersendiri dan menjadi kemestian dan seterusnya akan dicatatkan dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan sudah berkahwin.
Ramai di kalangan kita yang tidak ambil pusing lafaz taklik ini sementelah perasaan gembira baru bergelar suami isteri. Namun sebenarnya ia satu perjanjian yang perlu ditepati bagi pasangan suami isteri sepanjang bergelar suami isteri.
Baru-baru dalam thread di laman twitter seorang lelaki Zulkhairi telah menyuarakan pendapatnya mengenai kepentingan lafaz taklik ini. Menurutnya jangan telalu gembira berkahwin hingga terlupa dengan perjanjian dalam lafaz berkenaan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan. Dalam kata lain, sekalipun anak perempuan tidak mengenali siapakah suami itu dan tidak tahu apakah risiko atas perkahwinan tersebut. Atas pegangan Mazhab Syafii, kita mendapati banyak kes-kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan.
1. Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini, NAMUN seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab.
Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas. Dunia yang global ini, bagaikan satu kampong sahaja. Manusia terdedah kepada realiti yang baharu dan pelbagai. Maka pendapat dan kesimpulan dari mazhab dan tokoh yang pelbagai hendaklah dilihat dan disemak secara seimbang dalam mencari pendapat yang lebih kukuh dari segi dalilnya.
Demikian hukum-hakam dalam Islam itu semestinya zahir padanya keadilan, hikmah dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Itulah sifat Islam yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana tokoh terdedah kepada penilaian dari segi hujah nas dan konteks semasa ataupun realiti yang ada.
2. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang memboleh bapa memaksa anak perempun berkahwin mengulas: “Siapa tahu, jika al-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika (ai-Imam) al-Syafi’i melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya”. (al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu’asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).
3. Kita lihat kepada hadis-hadis Nabi s.a.w, baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan. Sekalipun pada zaman itu, paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka, namun Islam datang memansukhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka.
“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi s.a.w memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).
Maka dalam Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab rujukan hadis yang terpenting ada Bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).
4. Dalam hadis yang lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta) dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya”.
Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk: باب لا ينكح الأب وغيره البكر والثيب إلا برضاها iaitu bermaksud “bab; bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan”.
5. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728 H) ketika mengulas tentang paksaan anak perempuan berkahwin dengan kuasa wali mujbir, beliau menyebut: “Adapun menikahkan wanita dalam keadaan dia benci maka ini menyanggahi prinsip Islam dan akal yang waras. Allah tidak mengizinkan wali (bapa/datuk) memaksa anak perempuan atas sesuatu pembelian atau sewaan tanpa keizinannya, tidak juga boleh memaksa makanan, minuman dan pakaian yang dia tidak mahu.
Bagaimana pula boleh memaksanya atas persetubuhan dan pergaulan dengan orang yang dia benci?! Memaksa pergaulan dengan orang yang dia benci bergaul dengannya?! Allah menjadikan hubungan antara suami isteri itu cinta dan kasih. Jika perkahwinan itu tidak menghasilkan kecuali kebencian dan berpaling daripada suaminya, mana di manakah cinta dan kasih dalam perkahwinan itu?” [Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 16/239. Riyadh: maktab al-‘Abikan].
6. Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela. Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu. Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu perolehi keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa.
7. Ingin diulangi di sini apa yang sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) sebut: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).
8. Sekali lagi ditegaskan, betapa perlu kita bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama sekalipun dari mazhab yang kita terbiasa dengannya. Islam itu hujah. Islam diutuskan untuk kebaikan manusia bukan untuk sebaliknya. Maka, segala nas, tafsiran nas dan pendapat dari apa aliran sekalipun, hendaklah dilihat dalam konteksnya yang betul. Jangan kita letakkan teks pada konteks yang salah. Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab tetapi yang mesti kita lakukan berusaha memahami hujah-hujah para sarjana dari apa mazhab sekalipun selagi tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah.
Sumber: Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis, Malaysia)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati.
Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati.
Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Keputihan ketika solat sering menimbulkan rasa waswas dalam kalangan wanita. Ketahui hukum, panduan kebersihan, cara mengurus wuduk dan langkah yang betul agar ibadah lebih tenang dan yakin.