
Kebanyakan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia sama ada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya.
Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.
Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada:
Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga : Anjing
Keempat : Orang yang junub

GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA
Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.
Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut.
Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling mendapat seksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)
Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud: Dari ‘Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata ‘Aisyah: “Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?”
Jawab ‘Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.”
PELUKIS GAMBAR AKAN DISEKSA DI HARI KHIAMAT
Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, ‘Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)
Sumber Kredit: Ustaz Abu Basyer
Doa Ini Kita Baca 17 Kali Sehari, Tapi Sayang Ramai Yang Tak Tahu Maksudnya

Apa doa yang sering kita baca sebagai umat Islam? Banyak kali kita baca sampai tak merasa ia adalah satu doa. Walhal doa yang kita ucapnya itu sangatlah besar maknanya mencakupi keperluan kita di dunia dan akhirat.
Doa ini dibaca paling kurang 17 kali setiap hari (bagi orang yang solatnya cukup 5 waktu sehari semalam). Doa itu adalah doa diantara dua sujud. Mari kita renungi maksudnya :
رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ
ROBIGHFIRLII (رَبِّ اغْفِرْلِيْ)
Wahai Tuhan ampunilah dosaku.
Dosa adalah beban, yang menyebabkan kita berat melangkah menuju ke redaan Allah. Dosa adalah kotoran hati yang membuat hati kelam sehingga hati kita merasa berat untuk melakukan kebaikan.
WARHAMNII ( وَارْحَمْنِيْ)
Sayangilah diriku.
Kalau kita disayang Allah, hidup akan terasa bahagia, kerana dengan kasih sayang akan dapat dicapai semua cita-cita. Dengan kasih sayang Allah diri kita akan terbimbing.
WAJBURNII ( وَاجْبُرْنِيْ)
Tutuplah segala kekuranganku.
Banyak sekali kekurangan kita, kurang syukur, kurang sabar, kurang menerima kenyataan, mudah marah, pendendam dll. Kalau kekurangan kita ditutup/diperbaiki Allah, maka kita akan menjadi manusia sebenarnya.
WARFA’NII ( وَعَافِنِي)
Tinggikanlah darjatku.
Kalau Allah sudah meninggikan darjat kita, maka pasti tidak ada manusia yang boleh menghinakan kita.
WARZUQNII ( وَارْزُقْنِي)
Berikanlah aku rezeki
Sebagai hamba Allah kita memerlukan rezeki. Allah mampu mendatangkan rezeki dari arah yang tak terduga dan tanpa perhitungan.
WAHDINI ( وَاهْدِنِي)
Berikanlah aku petunjuk/bimbinglah aku ke jalan kebahagiaan.
Kita tidak hanya minta petunjuk atau hidayah yang berkaitan dengan agama. Tetapi kita juga minta petunjuk agar terhindar daripada mengambil keputusan yang salah.
WA’AAFINII ( وعافِني )
Berikanlah aku kesihatan.
Apabila kita sihat kita boleh menambah kebaikan dan manfaat serta tidak menjadi beban orang lain. “Health is not everything, but without health everything is nothing.”
WA’FUANNII ( وَاعْفُ عَنِّيْ)
Aku mohon agar kesalahanku dihapus dari catatan.
Kita awali doa ini dengan mohon ampun dan kita akhiri dengan permohonan agar catatan dosa kita dihapus supata kita benar-benar bersih dari dosa seperti bayi yang baru lahir.
Allah memerintahkan kita untuk membaca doa itu, Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita. Tapi persoalannya “Dimana hati dan fikiran kita ketika kita membaca doa itu?”
Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa, “Allah tidak akan mengabulkan doa yang keluar dari hati yang lalai”
‘Bila Pergi Umrah, Sebaiknya Fokus&Kusyuk Pada Ibadah.’ Bukan Sibuk Tayang Telekung, Handbag Berjenama

‘Bila pergi umrah, sebaiknya fokus dan kusyuk pada ibadah.’ Bukan sibuk tayang telekung yang mahal, handbag berjenama. Kita kumpul duit ke sana adalah untuk menjadi tetamu Allah dan beribadat.
Jadi betulkan niat supaya tak terpesong dan tidak timbul riak di hati apabila kita menyarung pakaian atau telekung yang mahal ketika menunaikan ibadat umrah. Ikuti perkongsian Puan Dzurisikim Dzulkefli dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan.
Artikel Berkaitan
Bila Pergi Umrah
Dua hari lepas adik saya minta untuk meminjam pakaian saya yang polos, tanpa sebarang manik atau hiasan mahupun renda untuk dipakai bagi menunaikan umrah.
Saya berikan bersama beg tangan polos juga. Yang tidak nampak sebarang jenama…. Benar-benar kosong. Hanya beg yang ringkas.
Saya beritahu adik saya, setiap kali ke Mekah, selalunya saya pakai beg biasa sahaja. Saya memang orang yang sederhana. Dan saya juga beritahu kepada adik saya, jika boleh… Jangan kita bawa beg tangan yang boleh buat orang menoleh kepada kita di dalam masjid nanti.
Asalkan beg itu cukup untuk kegunaan. Boleh bawa wang, Al Quran kecil atau keperluan lain. Sudah cukup.

Sebaiknya Fokus&Kusyuk
Sewaktu saya hendak membawa anak-anak menunaikan umrah pada bulan 5 yang lalu, ada yang berbisik kepada saya. Mengapa saya tidak ambil penerbangan kelas perniagaan, agar nanti boleh saya bergambar dan masukkan ke media sosial. Sesuai dengan saya sebagai orang yang berniaga dan bagus untuk konten katanya.
Saya terus beristigfar dalam hati. Untuk menjaga hati orang yang berbisik kepada saya itu kerana dia berpangkat kakak, saya tidak menjawab. Hanya senyum sahaja.
Namun ini soal pergi buat ibadah. Duduk kelas mana pun kita pergi tempat sama. Waktu penerbangan sama. Makanan berbeza sedikit tapi tetap kenyang dan ada.
Alhamdulillah tempat duduk kelas ekonomi pun selesa. Kami bersyukur. Lebih mudah untuk ke bahagian belakang pesawat kerana ada ruang solat di situ.
Pada Ibadah
Apabila membaca kisah ahli perniagaan yang memaparkan telekung dengan harga lebih RM6000 dan dengan kapsyen itu barulah tetamu VIP Allah…. Saya cuba fahami apa yang mahu disampaikan oleh ahli perniagaan itu.
Dia menjelaskan bahawa di TikTok harus tulis pendek dan padat jadi orang yang berniaga akan faham maksud beliau. Dia juga menjelaskan di Instagram bahawa yang dimaksudkan sebagai VIP adalah apabila dapat terbang dengan penerbangan ”business class”, supaya selesa beribadah, selesa baca Al Quran, tidak perlu risau tentang makan minum.
Dan dapat duduk di hotel paling dekat dengan masjid. Dapat khatam Quran. Mahu hadiahkan diri dengan telekung mewah dan mahal…. Mahu tawaf dan saie lancar bagaikan seorang VIP…
Saya cuba untuk menulis pandangan ikhlas saya tentang ini. Namun saya juga telah berkali-kali memadamkan semula tulisan saya.
Kerana, kita tidak dapat memandang hati manusia. Hanya mampu menilai dari luaran. Dan akal kita ini adalah sangat terbatas untuk menilai…. Subhanallah.
Dan kerana setiap kita tidaklah sempurna. Penuh dengan khilaf (kita sendiri) yang barangkali kita sendiri juga tidak sedari.
Baca Di Sini
Bukan Sibuk Tayang
Memakai pakaian yang mahal tidak salah selagi dia mampu dan bagi menzahirkan rasa syukur terhadap Allah dan juga asalkan tidak timbul rasa riak dalam diri…
Hanya sebagai seorang wanita biasa, saya yakin bahawa bukanlah telekung mahal yang akan menjadikan kita seorang VIP bagi Allah. Bukan juga hotel yang paling dekat.
Bukan kerana perjalanan umrah pada bulan Disember yang menjadikan ia eksklusif dan VIP kerana pakejnya lebih mahal. Malah, bukan kerana mudah memasuki Raudah maka dia adalah tetamu VIP Allah melainkan barangkali dia yang berasa begitu kerana Allah telah permudahkan segalanya.
Janganlah sahabat wanita lain berasa sedih jika tidak mampu untuk bermewah ketika menunaikan Umrah kerana hal menjalankan ibadah ini bukanlah pertandingan dari sudut pakaian mahupun tempat penginapan mu ataupun kelas penerbangan mu.
Sepersalinan telekung yang bersih sudah cukup. Jika tercemar, bersihkanlah ia.

Telekung, Handbag Berjenama
Orang yang dijemput untuk menjadi tetamu Allah akan boleh sampai ke sana walau tanpa ada wang dalam tangan mahupun dalam bentuk simpanan apa pun.
Itulah orang yang benar-benar istimewa. Kerana diberikan kecukupan, jalannya dipermudahkan (padahal dia tidak mampu), tetapi kerana mahu… lalu Allah bantu.
Sesungguhnya harta adalah ujian buat kita. Kepayahan juga adalah ujian buat kita. Segalanya adalah pinjaman dan tidak akan kekal lama.
Berdoalah semoga kita semua dijauhkan dari sebarang rasa bermegah diri (walau setitik kecil) dalam hati atas apa sahaja yang Allah pinjamkan kepada kita.
Kashoorga : Semoga suatu hari nanti impian kita menjadi tetamu Allah menjadi kenyataan. Insyallah Amin.
Sumber : Dzuriasikim Dzulkefli
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!
Dikatakan Bala Turun Pada Rabu Terakhir Bulan Safar, Mufti Wilayah Sangkal Dakwaan & Ini Penjelasannya

Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Disebut juga di dalam lafaz yang lain:
لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
Rujuk Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir (6/433)
Kata Imam Badruddin al-‘Aini (w.855 H):
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari (21/247)
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) :
“Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Sohih al-Bukhari (4/10)
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sohih al-Bukhari (8/373)
Ibn Rajab al-Hanbali (w.795 H) berpandangan:
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam