Tidak dinafikan kalangan kita ramai yang mudah memberikan pujian terutama yang berkaitan dengan penampilan diri. Malah ada kala pujian yang diberikan itu agak keterlaluan.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat larangan memberi pujian secara keterlaluan kerana ia bukan saja boleh memberi keburukan kepada orang yang memuji malah orang yang dipuji.
Hukum asal memuji harus tapi mestilah benar bukan dusta
Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta. Demikian juga pujian tersebut hendaklah dalam keadaan yang tidak mendatangkan fitnah kepada orang yang dipuji serta tidak menyebabkan insan tersebut berasa ‘ujub dan bermegah diri.
Hal ini adalah berdasarkan ucapan-ucapan para Rasul kepada Rasulullah S.A.W semasa peristiwa mi’raj baginda ke sidrat al-muntaha: مَرْحَبًا بِالأَخِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
Maksudnya: Selamat datang kepada saudara yang soleh dan juga Nabi yang soleh. Riwayat al-Bukhari (3393)
Daripada hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa:
Maksudnya: Dan pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah. Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Ads
Kenyataan Imam al-Nawawi di atas dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memotong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T”. Riwayat Muslim (3000)
Fekah yang ditunjukkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini adalah, beliau meletakkan tajuk bab ini sebagai: Bab larangan memuji, sekiranya ia berlaku secara berlebihan serta ditakuti berlakunya fitnah ke atas diri orang yang dipuji.
Larangan memuji secara berlebihan ini terdapat padanya beberapa hikmah. Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebutkan bahawa terdapat enam kerosakan yang akan masuk ke dalam pujian terhadap seseorang.
Empat keburukan itu kepada orang yang memuji, manakala dua lagi kepada orang yang dipuji. Kami ringkaskan keenam-enam kerosakan itu dengan sedikit olahan seperti berikut:
Ads
Keburukan Kepada Orang Yang Memuji
Pertama: Seseorang yang memuji itu boleh menyebabkan dia melampau dalam melontarkan pujian, lalu ia akan berakhir dengan pembohongan. Ini biasanya berlaku dalam pujian kepada pemerintah ataupun kepada seseorang terhadap sesuatu yang dia tidak miliki.
Kedua: Pujian juga kadangkala boleh membawa kepada sifat riya’ dengan cara dia menzahirkan kecintaan kepada orang yang dipuji, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Maka jadilah dia sebagai seorang yang riya’ lagi munafik.
Ketiga: Pujian juga boleh berlaku dalam keadaan pemuji tidak mengenal pasti keadaan sebenar orang yang dipuji. Terutamanya pada sifat-sifat yang mutlak seperti warak, zuhud, bertakwa, dan seumpamanya kerana kesemuanya ini tidaklah boleh dilihat melalui mata kepala.
Keempat: Melalui pujian juga boleh menyebabkan orang yang zalim dan fasiq berasa gembira tatkala dipuji. Sedangkan hal ini tidak boleh kerana keduanya ini sekiranya dipuji sudah pastilah akan kekal berterusan dalam kefasikan dan kezaliman mereka.
Keburukan Kepada Orang Yang Dipuji
Ads
Pertama: Melalui pujian, boleh menyebabkan seseorang itu berasa takbur dan ‘ujub terhadap diri sendiri. Yang mana kedua sifat ini boleh menghancurkan diri seseorang. Kedua: Seseorang yang dipuji, akan merasa gembira dan merasa cukup dan berpuas hati dengan apa yang sudah ada pada dirinya. Maka sesiapa yang merasa kagum dengan diri sendiri, akan berkuranglah kesungguhannya dalam beramal. Ini kerana, orang yang bersungguh dalam amalan ini adalah mereka yang merasakan diri mereka penuh kekurangan.
Namun, perlu juga dijelaskan di sini bahawa Imam al-Ghazali apabila menyebutkan beberapa perkara di atas ini beliau berkata:
Maksudnya: Adapun sesekiranya seseorang itu berasa selamat daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya. Lihat Ihya’ Ulum al-Din, al-Ghazali (3/233).
Kesimpulan
Akhir kalam, kami berpandangan bahawa hukum asal memuji itu adalah harus. Ini kerana, boleh jadi pujian seseorang itu berlaku kerana dia melihat orang yang dipuji adalah dari kalangan orang soleh yang banyak melakukan amal ibadah, maka hal ini disifatkan sebagai ‘aajil busyhra mu’min’ (berita gembira segera buat orang beriman). Namun, jauhi dan elakkanlah pujian yang dusta serta boleh menyebabkan fitnah berlaku kepada diri orang yang dipuji dan sifat ‘ujub berlaku pada dirinya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Seorang ulamak besar yang disegani, Fudhail bin Iyadh telah memberi nasihat ini kepada mereka yang telah mencapai usia 45, 55, 60, 70 tahun.
Nasihatnya berbunyi; ” Kamu sekarang berjalan menuju kepada Tuhanmu dan hampir sampai… Lakukan yang terbaik pada sisa usia senja-mu, lalu akan diampuni dosa-dosamu yang lalu. Tapi jika engkau masih berbuat dosa di usia senjamu, kamu pasti dihukum akibat dosa masa lalu dan masa kini sekaligus…!
Maka para alim ulama menggunakan panduan ini dalam memberi nasihat dalam cara menjalani umur yang sudah mencapai 45, 55, 60, 70 tahun. Berikut adalah nasihat yang berguna untuk dipraktikkan pada golongan yang dalam usia ini.
1. JANGAN banyak BERGURAU dan terjebak dalam hal-hal yang tidak ada manfaatnya untuk akhirat.
2. JANGAN berlebih-lebihan, BERHIAS, BERSOLEK, dan BERPAKAIAN.
3. JANGANLAH BERLEBIH-LEBIHAN makan, minum, dan berbelanja barang yang kurang diperlukan untuk mendukung amal soleh.
4. JANGAN BERKAWAN dengan orang yang tidak menambah iman, ilmu, dan amal kepada kita.
5. JANGAN banyak berjalan dan MELANCONG ke sana sini tanpa MANFAATNYA yang dapat mendekatkan diri pada kehidupan akhirat.
6. JANGAN gelisah, berkeluh kesah, dan kesal dengan kehidupan sehari-hari. Selalu penuhi diri dengan rasa sabar dan bersyukur.
7. PERBANYAK doa mengharap keredhaan ALLAH agar husnul Khatimah (mati dalam kesudahan yang baik) dan dijauhkan dari Su’ul Khatimah (mati yang tak baik).
8. TAMBAHKAN ilmu agama, perbanyak mengingat kematian, dan bersiap menghadapinya
9. Siapkan/tuliskan WASIAT yang berguna untuk kaum kerabatmu.
10. Kerap menjalin SILATURAHIM dan mendekatkan hubungan yang telah renggang sebelumnya.
11. MINTA MAAF dan berbuat baik terhadap pihak yang pernah dizalimi.
12. TINGKATKAN amal SOLEH terutama amal yang dapat terus memberi pahala dan syafa’at setelah kita mati.
13. MAAFkan kesalahan orang kepada kita walau seberat apapun kesalahan itu.
14. Bereskan segala HUTANG yang ada dan jangan buat HUTANG BARU walaupun untuk menolong orang lain.
15. Berhentilah dari melakukan semua MAKSIAT!
16. MATA, berhentilah memandang yg tidak halal bagimu.
17. TANGAN, berhentilah dari meraih yang bukan hak mu.
18. MULUT, berhentilah makan yang tidak baik dan yang tidak halal bagimu, berhentilah dari GHIBAH (mengumpat ), FITNAH, dan berhentilah menyakiti hati orang lain.
19. TELINGA, berhentilah mendengar hal-hal haram dan tak bermanfaat.
20. Berbaik sangka lah kepada ALLAH atas segala sesuatu yang terjadi dan menimpa.
21. Penuhi terus hati dan lisan kita dengan istighfar & taubat untuk diri.
sendiri, orang tua, dan semua orang beriman, di setiap saat dan setiap Waktu.
22. Banyakkan bersedekah dan sucikan harta dengan mengeluarkan zakat.
INFO: Siapa Fudhail bin Iyadh
Beliau merupakan seorang tokoh dan ulama yang sangat terkenal dengan bidang ilmu hadis, fekah dan tasawwuf. Beliau digelar dengan nama ‘Abidul Haramain yang bermaksud orang yang kuat beribadah di Mekah dan Madinah.
Beliau telah dilahirkan di Samarkand, Uzbekistan pada tahun 107 Hijrah di sebuah kota yang bernama Abiyud yang terletak di antara daerah Syaraz dan Nasa.
Kehebatannya dalam ibadah sangat dikagumi oleh ulama yang lain kerana tiada siapa yang dapat menandingi taatnya beliau kepada Allah dalam ibadah yang dilakukan.
Dua tiga hari ini viral di Tik Tok trend ‘jom dekat sikit, kita sembang’. Video yang dimulakan oleh seorang pempengaruh wanita yang banyak berkongsi content Islamik, dengan kata-kata tersebut dikuti aksi mendekatkan wajah ke skrin.
Meskipun apa yang yang disampaikan adalah perkara baik namun ia dikecam bila menggunakan suara manja, lunak yang tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslimah kepada lelaki ajnabi.
Maklum dengan respon netizen dan para astizah video tersebut dipadamkan dan pempengaruh turut dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafannya.
Pun begitu ada pengajaran yang boleh kita ambil daripada situasi ini, bahawa suara lembut dan lunak seorang wanita itu sangatlah ‘berbahaya’. Apatah lagi bila ia dilontarkan dalam video di media sosial yang ditonton oleh semua termasuk lelaki.
Suara lunak dan manja wanita kepada lelaki ajnabi adalah haram
Dalam Islam suara lunak dan manja wanita kepada lelaki ajnabi adalah haram. Firman Allah SWT:
فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
“Suara yang lembut manja pun dilarang, ini pula dengan gaya menggoda dan wajah didekatkan dengan skrin. Cara begini sudah termasuk dalam larangan jelas yang mendatangkan dosa dan hukumnya haram,” demikian teguran Ustazah Asma’ Harun berkenaan tindakan tersebut.
Beliau dalam pada itu turut menyertakan beberapa hadis sahih yang berkait dengan isu tersebut untuk kita semua terutama pada Muslimah mengambil perhatian dan pengajaran.
WANITA ADALAH FITNAH DUNIA
Daripada Usamah bin Zaid r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” [HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih]
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.” [HR Muslim, hadis sahih]
WANITA PERLU JAGA KEHORMATAN DIRI
Firman Allah SWT
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah al-Nur: 31)
PELIHARA DIRIMU DAN KELUARGAMU DARI API NERAKA
Firman Allah SWT :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at Tahrim ayat 6)
Doa ketika ditimpa kesusahan dan kesedihan…Dalam kehidupan ini kita takkan lepas daripada diuji dengan kesusahan, dan kesedihan. Boleh jadi akibat kehilangan orang tersayang, pekerjaan, harta, sikap orang sekeliling dan sebagainya.
Ketika ditimpa kepayahan dan kesedihan hidup ini janganlah kita terus menerus mengadu domba, mengeluh, menangis dan sebagainya. Kembalilah kepada yang Maha Esa dan berdoalah agar kita dipermudahkan untuk melalui dugaan ini.
Nabi Muhammad SAW sendiri ada mengajar umatnya tentang doa ketika ditimpa kesusahan. Daripada stres dengan ujian adalah lebih elok kita memanjatkan doa ini kepada Allah SWT
Doa ketika ditimpa kesusahan dan kesedihan diajar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak daripada hamba-Mu, ubun-ubunku (nasib-ku) berada di tangan-Mu, telah berlalu hukum-Mu ke kepadaku, ketetapan-Mu yang adil buatku.
Aku mohon kepada-Mu dengan perantara semua nama-Mu yang Engkau namakan dirimu sendiri, atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau Engkau ajarkan kepada seseorang dari hamba-Mu, atau Engkau rahasiakan dalam ilmu ghaib disisi-Mu. Jadikanlah Al-Qur’an sebagai penawar hatiku, cahaya dalam dadaku, penghapus dukaku, dan pengusir keluh kesahku”.
Doa ini adalah hadis sahih Riwayat Ahmad. Ia boleh saja dibaca dalam Bahasa Melayu.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...