Ketika ini mungkin ramai yang sedang melakukan ibadah puasa enam. Tapi pastikan tidak terjebak dengan hasutan syaitan hingga bermegah dengan ibadah yang dilakukan sekaligus menghilangkan pahala puasa sunat ini.
“Saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riak dengan amalannya.
“Kau dah hari ker berapa dah?”
“Aku dah 5 hari dah ni”
“Esok aku raya (sunat Syawal)”
“Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘siapa lebih hebat?”katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau.
Ads
Hilang seluruh puasa sunat
Jelas beliau perkara ini amat dibimbangi kerana ia bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya.
“Ia boleh menjadikan seseorang merasa riak, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya disembunyikan khas untuk Allah.
Ads
“Namun ada juga bertanya, habis jika ia ditanya orang atau ketika dipelawa makan? Adakah ingin senyap sahaja?
“Pertanyaan ini kelihatan sepatutnya mampu disesuaikan dengan nasihat di atas tanpa perlu bertanya lagi,”terangnya sambil memberitahu jika ditanya atau dipelawa makan cukuplah sekadar menjawab ‘berpuasa’.
Ads
Tambah Dr Ustaz Zahirudin kita hendaklah berhati-hati dan tidak sesuka hati mengumumkan kita sedang berpuasa atau jumlah bilangan puasa kita dan diikuti dengan rasa ingin menunjuk-nunjuk.
“Jika diperlukan sekadar menjawab persoalan dan dalam masa yang sama jagalah hati agar tidak sum’ah dan tidak berlebihan berbicara berkenaan puasa yang dijalani seperti menyebut jumlah hari sudah berpuasa. Ataupun ditambah dengan ‘memperlekehkan’ jumlah puasa orang lain,”katanya.
Namun ujar beliau bagi mereka yang memaklumkan puasanya kepada ahli keluarga atau rakan dengan niat mendorong kepada kebaikan, dan dilakukan dengan hati yang terkawal dan niat baik, ia tidak termasuk dalam riak dan sum’ah yang merosakkan.
Hubungan sesama manusia memang pelik. Ada waktu tengah gelak ketawa ria, sekelip mata boleh bermasam muka semata-mata kita tegur dan berterus terang.
Tak kiralah sama ada dengan pasangan, kawan hatta anak sekali pun. Itu yang ada ketikanya kita sanggup tidak tegur seseorang walaupun nampak dia telah lakukan kesilapan kerana ingin jaga hati punya hal.
Kalau berterusan begini, jawabnya boleh makan hati juga pada kita yang asyik nak jaga hati orang. Boleh mengundang stress. Bagi atasi dilema ini, pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, ada menghuraikan perihal ini dalam buku tulisannya; Ingat Syaitan Pernah Ambil MC?
Pilih Yang Lebih Ringan Kesannya
Menurut beliau, berterus terang dan menjaga hati, kedua-duanya mempunyai kesan positif dan negatif.
Dalam kaedah fekah, ada menyebut bahawa, di antara dua mudarat, pilih yang lebih ringan. Ini bermakna, kita sendiri boleh fikir tindak balas orang yang kita nak tegur itu.
Mungkin boleh guna kaedah ini dalam menegur seseorang. Situasi ini memang buat kita serba salah. Kalau berterus-terang kepada kita, dia akan kecil hati. Tapi kalau ingin menjaga hati dan tidak berterus-terang, maka kita akan membiarkan dia terus hanyut dalam dosa. Sanggup kah?
Takut-takut, kita pun terpalit dosa
Kalau ikut keutamaan, maka berterus-terang adalah jalan paling baik. Ini kerana kalau dosa kecil pun diulang-ulang dan beterusan, ia boleh jadi kesalahan besar.
Takut-takut, kita pun ikut sama berdosa sebab tak mahu tegur sebab takut hubungan keruh! Kalau boleh jangan lah jadi seperti ini ya.
Lebih gerun lagi, andai salah seorang daripada kita meninggal dunia, maka kita akan rugi kerana tidak sempat untuk membetulkan sahabat atau pasangan kita itu dan tidak sempat berubah menjadi orang yang lebih baik.
Lagi pilu kalau orang itu adalah anak kita sendiri. Menangis tepi bucu katil 10 tahun pun tidak akan boleh ubah keadaan.
Satu pesanan penting, masa nak buat teguran, kita kena berhikmah, ya lah, takut-takut situasi akan menjadi lebih buruk dan teruk. Berhikmah dalam teguran itu bermaksud berusaha menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu teguran. Kita mahu yang ditegur dapat menerima teguran dan berubah menjadi baik. Dia happy kita pun lega.
Hal ini ada di nyatakan dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:
“Serulah (manusia) kepada Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (Surah al-Nahl:125)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perbuatan suami curang hingga sampai ke tahap zina sudah tentunya menimbulkan perasaan amarah dan kecewa seorang isteri.
Malah dek terlalu marah dan geram ada isteri bertindak menyebarkan aib zina suami di media sosial hingga menjadi perbualan umum.
Inilah kisah yang tular beberapa hari yang lalu di media sosial. Memang ramai yang mengecam perbuatan zina yang dilakukan malah ia adalah dosa besar.
Tapi namun dalam masa yang sama perbuatan isteri menyebarkan aib zina itu turut merupakan satu dosa besar.
Perkara ini dijelaskan oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin.
“Tindakan isteri mendedahkan aib peribadi suami kepada awam adalah satu dosa besar. Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa.
“Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain. Mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal yang sama kepada isteri,”terang beliau.
Menurut beliau Islam mewajibkan kita menutup aib peribadi diri kita dan juga orang lain. Dosa antara seseorang dengan Allah haram didedahkan kepada umum. Ini seperti dosa zina, minum arak dan seumpamanya.
Perbuatan itu dicegah dan dibantah, tapi bukan untuk dijadikan bahan perbualan ataupun tontonan orang lain. Pelaku dosa peribadi diminta bertaubat, tapi bukan untuk disebarkan cerita atau gambarnya kepada orangramai. Islam anti kepada gosip peribadi seperti itu.
Hanya boleh didedahkan jika jenis dosa itu membabitkan kezaliman terhadap pihak lain. Itupun untuk proses pengadilan, atau bertanya hukum (jika perlu disebut nama) atau memberi amaran agar pihak lain agar tidak menjadi mangsa seterusnya.
Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran: Firman Allah:
(maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui”. (Surah al-Nisa: ayat 148).
Bantahan terbuka terhadap sesuatu dosa peribadi dilakukan jika pelakunya melakukan dosa itu secara terbuka atau berkempen ke arahnya sehingga mencemarkan persekitaran kehidupan yang baik atau tindakan itu menggalakkan maksiat kepada orang awam.
Jelasnya lagi perbuatan yang mendedahkan aib peribadi orang, lebih berdosa dibandingkan perbuatan zina atau khalwat itu sendiri.
Apatah lagi menyebarkan hal itu di media sosial yang akan ditonton meluas pada zaman ini. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai sekelian yang islam pada lidahnya tapi iman tidak memasuki jantung hatinya! Jangan kamu sakiti kaum muslimin, jangan kamu memalukan mereka, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mencari-cari keaiban saudara muslimnya, Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendapatkan keaibannya, Allah akan mendedahkannya walaupun keaiban itu berlaku di tengah rumahnya sendiri”. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)
Jika isteri ingin membantah perbuatan curang suami boleh membantah terus kepada suami, atau kes itu boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan. Jika beliau sudah tidak dapat menerima suaminya, dia boleh menuntut fasakh atau perpisahan dengan mengemukakan alasan di mahkamah.
Ramadan telah pun berlalu. Selepas puas berhari raya ramai yang mengambil peluang menambah pahala dengan melakukan puasa enam. Tak kurang juga yang mula menqadhakan puasa (ganti) disebabkan uzur syarie. Persoalannya bolehkan niat puasa qadha dilakukan ecara serentak dengan puasa serentak.
SOALAN:
Bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan Syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam).
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
BERBUKA PUASA DI BULAN RAMADAN TANPA ADA SEBARANG KEUZURAN
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
ISU MENGGABUNGKAN DUA IBADAT DENGAN SATU NIAT
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub, sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi Jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
GABUNG NIAT PUASA QADHA RAMADAN DAN PUASA ENAM SYAWAL
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan Syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari Asyura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A-Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walaupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Keputihan ketika solat sering menimbulkan rasa waswas dalam kalangan wanita. Ketahui hukum, panduan kebersihan, cara mengurus wuduk dan langkah yang betul agar ibadah lebih tenang dan yakin.