Kisah romantik Rasulullah bukan rekaan atau lakonan. Rasulullah adalah sebaik-baik contoh bagi umat manusia. Segala sifat Baginda cukup sempurna.
Sehingga Allah SWT sendiri memuji Baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Romantik dalam Islam dengan romantik ala Barat bezanya seperti langit dengan bumi. Romantik dalam Islam hanya kepada pasangan yang sudah berkahwin yang sudah mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak. Tetapi romantik ala Barat, mereka bebas melakukan apa saja tanpa apa-apa batasan. Dalam Islam tidak wujud cinta monyet yang berlandaskan nafsu semata-mata.
Romantik wujud bila ada rasa cinta. Bila si suami menunjukkan cinta dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku seharian, suasana romantik akan terbit dengan sendirinya. Maka berbungalah hati dan terawang-awanganlah jiwa si isteri melayari bahtera perkahwinan dalam cetusan suasana romantik yang disulami cinta dan kasih sayang si suami.
Gambar sekadar hiasan.
Ini sepertimana firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan sayang…” (Ar Rum:21)
Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantik dan kering dalam bercinta. Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin.
Bagaimana Rasulullah menunjukkan sifat romantiknya?
MANDI BERSAMA
Mengapa tidak. Mandi bersama bukan bermaksud berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda sahaja. Boleh saja diselitkan dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan lagi kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri. Rasulullah ketika mandi dirungkai-rungkainya rambut isteri kesayangannya, Aisyah RA (Sahih Muslim : 498). Diriwayatkan bahawa Aisyah RA berkata yang bermaksud: “Aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. Tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu).” (Sahih al-Bukhari: hadis no : 253)
Baginda juga bergurau senda bermain dan berebut-rebut mengambil air hingga Aisyah, dalam suasana romantik dan mesra itu meminta Nabi supaya menyimpan air sedikit untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239). Ummu Salamah juga pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Rasulullah dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Mushad Ahmad : 25355).
HANTAR ISTERI KELUAR RUMAH
Nabi SAW juga menghantar isteri ketika mahu keluar rumah. Rasulullah pernah berkata kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay yang bermaksud: “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” (HR Bukhari dan Muslim)
Ads
Malah, Rasulullah SAW juga membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta Baginda. Kemudian Baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri Baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi SAW hingga naik atas unta.”
BAWA ISTERI JALAN-JALAN
Kadang-kadang para suami ‘segan silu’ untuk membawa isteri berjalan-jalan. Walhal semasa bercinta bangga ‘mengarak’ awek ke hulu ke hilir satu kampung! Dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa menceritakan yang bermaksud: “Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.” Bukan setakat membawa berjalan-jalan, Nabi SAW juga membawa isteri membonceng di belakangnya! Dalam hadis riwayat Bukhari menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Gambar sekadar hiasan.
Malah apabila Baginda ingin keluar, Baginda akan mengundi siapa dari kalangan isteri-isterinya yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Bahkan, ada suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama (Hadis riwayat Muslim).
MAKAN SEPINGGAN DAN SUAPKAN MAKANAN
Mari kita tukar persepsi. Makan bersuap bukan hanya di majlis makan beradab. Suami isteri sememangnya digalakkan makan bersuap sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”
Teringat seorang ustaz ada berpesan. Pasangan suami isteri ketika makan kena bersuap. Jangan sesekali makan pinggan asing-asing. Mesti makan dari pinggan yang sama. Ini sunah Nabi SAW kalau mahu rumahtangga bahagia. Amalkanlah sunah ini. Insya-Allah rumahtangga akan sentiasa rukun dan aman damai.
BELAIAN DAN BERMANJA
Ads
Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata yang bermaksud: “Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan Baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”
Adakalanya romantiknya Nabi SAW sehinggakan Baginda sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari yang bermaksud: “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata yang bermaksud:“Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala Baginda berada di atas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, Baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu Baginda mendukung Aisyah di belakangnya; “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW.” (HR Bukhari dan Muslim).
Rasulullah juga sering memberikan kucupan mesra kepada isteri-isterinya ketika Baginda ingin pergi ke masjid.
PENGUBAT HATI
Rasulullah juga pandai mengambil hati dan penghibur hati isteri-isterinya. Sewaktu isteri-isterinya dalam kedukaan, Baginda hadir menghiburkan hati, mengubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Ads
BERGURAU SENDA
Baginda juga sering bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki Baginda di atas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, dia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata: “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu.”
Saodah menolak dengan berkata: “Aku tidak akan memakannya.”
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
PANGGILAN MANJA
Baginda SAW memanggil isterinya dengan panggilan manja. Baginda memanggil Aisyah RA dengan panggilan “Ya Humaira” yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau mawar merah.” Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan, ketika Baginda menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA.
Gambar sekadar hiasan.
Lihatlah betapa romantiknya Rasulullah. Bersikap romantik adalah sunah Nabi SAW. Memang siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh lebih mulia dari segala manusia. Cuma harapannya, pasangan suami isteri tidak malu-malu untuk mengamalkannya.
Suasana romantik bukan saja dapat memupuk ikatan cinta dan kasih sayang yang lebih intim di antara suami isteri, malah memberikan ketenangan dan belaian jiwa sepanjang usia perkahwinan.
‘Tiada perasaan malu, tapi bersyukur dikurniakan anak istimewa.’ Anak sindrom down anugerah Allah SWT. Begitulah luahan ibu muda ini apabila dikurniakan anak sindrom down.
Biarpun dia hanya mengetahui hal sebenar setelah anaknya lahir, tetapi perkara itu langsung tidak membuatkan hati wanita ini berbelah bahagi. Sebaliknya dia bersyukur dikurniakan anak istimewa.
‘Tiada sekelumit pun rasa benci, tak suka atau malu…macam mana pun, dia tetap zuriat saya,” kata Intan Nurshahira Saridan yang dikurniakan anak sindrom down, Lufyaa Elzzara.
Lufyaa Elzzara atau dipanggil Lufyaaa, 7 bulan adalah anak kepada Intan Nurshahira, 24, hasil perkahwinannya dengan Muhammad Hazziq Aliff Azhar, 25, pada Februari tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Intan Nurshahira yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan menjelaskan Lufyaa disahkan sindrom down selepas 10 minit dilahirkan.
Tapi Bersyukur
Menurut Intan Nurshahira, dia dan suami hanya tahu mengenainya selepas bersalin kerana tiada masalah dikesan sepanjang tempoh kehamilannya.
“Sejak hari pertama Lufyaa dilahirkan lagi, saya dan suami sudah diberitahu oleh doktor pakar kanak-kanak mengenai keadaan anak kami.
“Cuma, hanya suami dapat lihat keadaan Lufyaa pada hari pertama, manakala saya hanya berpeluang tengok wajah anak keesokannya.
“Jujurnya, tiada langsung perasaan sedih malah bersyukur dikurniakan anugerah anak istimewa dan boleh terima Lufyaa sejak hari pertama lagi.
“Suami yang jadi kekuatan saya kerana dia sayang sangat dekat anak, tak kenal erti malu sebaliknya selalu beri saya semangat untuk sama-sama besarkan Lufyaa,” katanya.
Dikurniakan Anak Istimewa
Menceritakan keadaan Lufyaa, Intan Nurshahira berkata, anaknya itu diintubasi selama sebulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dilahirkan.
“Selain itu, ada beberapa rawatan lain dan janji temu pakar di kanak HTJS, pemeriksaan jantung di Hospital Serdang, Selangor, genetik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain sesi fisioterapi di Klinik Kesihatan Senawang.
“Keadaannya sekarang bertambah baik cuma saya dan suami masih rujuk dengan pakar untuk tahu masalah dalamannya kerana bayi macam Lufyaa agak sensitif serta perlukan lebih perhatian,” katanya.
Anak Sindrom Down Anugerah Allah
Soal rutin harian pula, Intan Nurshahira berkata, Lufyaa masih meniarap dan sudah mula makan dan minum.
Intan Nurshahira gunakan masa bersama Lufyaa untuk merakam detik bersama anaknya itu sebagai kenangan.
“Saya kongsikan video di TikTok supaya mereka yang mempunyai anak syurga seperti anak saya dan masih tidak boleh terima, dapat kekuatan selepas melihat hantaran dimuat naik.
“Terima kasih kepada yang sentiasa menonton video dan mendoakan Lufyaa.
“Semoga dimurahkan rezeki, diberkati Allah dan semoga doa yang baik itu berbalik kepada semua,” katanya.
Bagi jemaah umrah/haji yang pertama kali menaiki kapal terbang tentunya agak kekok ketika pertama kali menggunakan tandas. Keadaan menjadi sedikit tidak selesa apabila ingin mengambil wuduk sehingga lantai tandas ‘lecak’ dengan air.
Sebenarnya ada cara yang praktikal dan mudah untuk mengambil wuduk tanpa membuatkan lantai tandas habis lencun dengan air.
Aku sendiri pernah tengok pramugari sebuah penerbangan antarabangsa mengeluh sebab tandas kapal terbang bersepah dengan air. Lantainya pun lencun.
Memang ya, sebab ada penumpang yang berwuduk dalam sana.
Sebenarnya kawan, tak salah pun berwuduk dalam kapal terbang. Cuma seeloknya jagalah hak tandas dan penumpang yang lain juga. Janganlah terlalu melampau sampaikan basah habis cermin, lantai dan mangkuk tandas. Orang selepas kita nak guna pun tak selera.
Selalunya mereka yang pernah datang melaksanakan umrah akan diperkenalkan dengan botol spray untuk berwuduk. Cara ini senang saja, hanya semburkan di anggota wuduk lalu sapu dan ratakan guna tangan. Boleh buat di kerusi masing-masing tanpa perlu ke tandas.
AMBIL TAHU KEADAAN TANDAS DALAM KAPAL TERBANG
Namun, ada juga yang berasa tak yakin dengan spray begitu. Nak juga berwuduk di tandas kapal terbang. Nak juga angkat kaki ke singki ketika nak basuhnya. Haih.
Okey beginilah, kita kena tahu yang tandas kapal terbang ini sempit saja ruangnya. Agak sukar jugalah bagi mereka yang bertubuh gempal untuk pusing ke sana, ke mari nak angkat kaki apa semua.
Saya cadangkan agar kalian meminimumkan penggunaan air untuk berwuduk. Alah, nak wuduk ini tak perlukan air yang banyak pun. Bukannya macam kita buka paip masa mandi, air keluar mencurah-curah lajunya.
Hanya tadahkan air ke tangan dan sapukan ke anggota wuduk. Pastikan ianya rata ke segenap penjuru. Air tak banyak tak apa, asalkan rata semuanya. Sapukan sekali pun dah cukup jika dah kena.
Paling penting, tak usah pedulikan rasa was-was yang syaitan duk bisikkan dekat telinga. Itu semua gangguan yang akan buatkan kita rasa tak kena itu ini. Lepas itu mulalah duk ulang basuh tempat sama sampai lencun habis. Ha, itu bahaya.
Untuk basuh kaki pula, elakkan daripada angkat masuk ke singki. Itu bahaya terutama buat warga emas. Yang muda remaja pun samalah juga. Jadi saya sarankan untuk gunakan gelas plastik yang disediakan dalam sana. Memang ada selalunya. Kalau tak ada, boleh minta dari pramugari cantik yang bertugas okeh.
Isikan dalam gelas plastik tadi. Kemudian letak kaki di mangkuk tandas, dan basuhlah di situ. Selamat dan selesalah sikit berbanding duk sangkut kaki dalam singki sana. Sudahlah tinggi, bahaya woih.
JAGA KEBERSIHAN
Bila dah siap berwuduk, ini yang terakhir. Kena buat. Ambil tisu dan lap tempat-tempat yang terpercik air tadi. Di cermin, dinding, mangkuk tandas dan pintu jamban. Lap kasi kering. Jangan tinggalkan kesan. Kita jaga kebersihan tandas awam. Orang lain pun nak guna.
“Alah, bukannya kotor pun. Kita guna buat berwuduk kot.”
Iya memang tak kotor bagi kita. Namun sesetengah orang berasa jijik dan mereka pun tak tahu itu air wuduk ataupun air jamban. Bila dah lencun begitu, orang pun tak selesa.
Kita nak buat ibadat ini, jangan sampai orang di sekeliling rasa serabut dan menyampah. Jangan sampai orang kaitkan agama dengan benda yang bukan-bukan hasil perbuatan kita. Kalau kita masuk jamban dalam keadaan kering, pastikan kita tinggalkannya pun dalam keadaan kering juga. Kesianlah dekat pramugari dan penumpang yang lain.
Apabila kita faham konsep wuduk, pasti mudah. Ianya tak memerlukan air sebaldi pun untuk sempurnakan satu wuduk. Nabi SAW dulu berwuduk guna air sebekas kecil saja. Tetap sempurna hasilnya. Dan kita pun boleh cuba tiru dan amalkan.
Sejuk mata memandang. Itulah yang boleh dikatakan tentang penampilan berhijab, Lisa Surihani. Sekembalinya daripada mengerjakan umrah, Lisa Surihani tampil berhijab. Ramai peminat berharap dia mengekalkan imej itu.
Sedar mengenai perkara itu, ibu kepada dua anak ini bagaimanapun menganggap keputusan sama ada mahu kekal bertudung atau sebaliknya, terlalu peribadi.
“Jauh di sudut hati kecil saya, hal ini (bertudung) memberikan banyak terjemahan dan kesimpulan.
“Saya agak bimbang apabila ada yang membuat andaian perubahan ini (bertudung) sebagai imej baharu.
“Bimbang kalau saya terus muat naik foto memakai tudung, seolah-olah mahu meraih pujian sesama insan.
“Ia sangat peribadi…Sebab itu saya ambil masa yang agak lama untuk memuat naik gambar ini. Saya harap terus istiqomah dalam hal ini dan melakukannya kerana Allah. Jauh sekali atas tekanan atau kehendak sesiapa,” katanya.
FASA BAHARU DALAM KEHIDUPAN
Akur dengan fitrah manusia yang sering diuji, isteri kepada Yusry Abdul Halim ini mahu menikmati fasa baharu ini perlahan-lahan.
“Dalam hidup ini, kita tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Setiap hari juga kita cuba mengubah diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Pengalaman mengerjakan umrah bersama suami, anak dan keluarga baru-baru ini, saya sifatkan begitu indah.
“Moga lembaran baharu ini dapat saya nikmati sebaik mungkin,” katanya yang hangat diperkatakan selepas foto menghadiri majlis anjuran Snap Inc, viral.
Ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne ini nampak manis bertudung. Kita doakan moga-moga Lisa Surihani terus istiqomah berhijab.
Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran...