
“Ya Allah, jemputlah aku untuk mengerjakan Haji apabila berusia 40 tahun…” Doa Lisa Surihani tunai Haji.
Itulah bait-bait doa yang dititipkan oleh pelakon berjiwa tenang, Datin Hajah Lisa Surihani, setiap kali selesai solat sejak tiga tahun lalu.
BACA JUGA: Usia 53 Tahun Bukan Penghalang! Datuk Nora Ariffin Sambung Pengajian Sarjana Di UPSI
Siapa sangka, di sebalik titisan air mata dan kesabaran menanti, doa penuh pengharapan itu akhirnya dimakbulkan tepat pada usianya menjangkau 40 tahun.
Inspirasi dari Surah al-Ahqaf Ayat 15
Perjalanan kerohanian ini bermula ketika Lisa mengerjakan ibadah umrah pada Ramadan 2023.
Walaupun usianya ketika itu belum lagi mencecah 40 tahun, satu pengisian rohani daripada seorang ustaz mengenai keistimewaan usia 40 tahun berdasarkan Surah al-Ahqaf, ayat 15 telah membuka pintu hatinya untuk memasang impian yang besar.
Sejak hari itu, ayat tersebut menjadi pedoman dan doanya yang tidak pernah putus dalam sujud setiap solatnya.
“Setiap kali solat, saya akan teringat kata-kata itu. Saya selalu berdoa supaya Allah mengizinkan, memudahkan, serta membukakan pintu rezeki untuk saya mengerjakan Haji pada usia 40 tahun bersama suami tercinta,” kongsinya ketika ditemui dalam program ‘Kerana DIA Memanggil: Mekah, Aku Datang!’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujian Kecil dan Hikmah di Sebalik Ketentuan Lisa Surihani Tunai Haji
Selepas tiga tahun menanti dengan penuh kesabaran, rayuan Hajinya akhirnya diterima bagi musim 1447H/2026M.
Apa yang lebih menginsafkan, impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tepat pada usia 40 tahun makbul seperti yang dihajatinya.
Namun, dalam setiap qada’ dan qadar Allah, pasti terselit aturan yang paling indah. Walaupun doanya dimakbulkan, takdir menentukan suaminya tidak dapat menyertai pemergian Hajinya kali ini.
Daripada berasa kecewa, Lisa memilih untuk bersangka baik kepada Sang Pencipta. Baginya, setiap perancangan itu mempunyai hikmah yang tersendiri yang mungkin belum kita fahami pada waktu itu.
“Allah makbulkan doa itu tahun ini ketika saya berusia 40 tahun. Cuma ada satu perkara yang tidak betul-betul mengikut doa saya iaitu suami tidak dapat ikut bersama.
Kita mesti reda kerana tentu ada sebab dan hikmahnya. Saya pergi, kemudian terbinanya ukhuwah baharu dan mendapat keluarga baharu. Itu antara bonus yang saya peroleh,” ujar beliau penuh reda.
Kunci Keyakinan, Doa Pasti Dimakbulkan
Kisah perjalanan Lisa Surihani tunai Haji ini meninggalkan satu pengajaran besar buat kita semua tentang kuasa doa dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita perlu yakin bahawa setiap doa yang dipanjatkan tidak pernah sia-sia.
Sama ada ia dimakbulkan serta-merta, ditangguhkan pada waktu yang lebih tepat atau digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang kita minta.
Semoga kisah inspirasi daripada Datin Hajah Lisa Surihani ini menjadi pembakar semangat buat kita semua untuk terus istiqamah menyimpan doa yang baik-baik, kerana sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

