Bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’.

Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Secara khususnya, orang bunian adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِرٌ) yang tinggal bersama-sama dengan manusia. Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri.

Ini disokong oleh sebuah hadis Nabi SAW:

الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ

Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.” (Riwayat al-Tabarani)

BOLEHKAH MANUSIA BERKAHWIN DENGAN JIN

Manusia diciptakan Allah daripada tanah sedangkan jin diciptakan Allah daripada api. Hal ini dengan jelas daripada ayat yang banyak dan nas yang banyak. Antara tujuan ciptaan jin dan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah al-Zariyat: 56)

Al-Maraghi berkata: “Sebahagian ahli tafsir berpendapat, supaya mereka tunduk dan merendah diri kepadaKu iaitu golongan jin dan manusia hendaklah patuh kepada perintah Allah dan mengikut apa yang ditakdir kepadanya.”

Berkenaan dengan isu perkahwinan antara jin dan manusia, terdapat 3 pandangan ulamak:

  1. Hukumnya haram. Inilah pendapat Imam Ahmad, Imam al-Zuhri, al-Hakam, Qatadah, Hasan al-Basri, Hajjaj ibn Artat, Abu Hammad dan Imam al-Ghazali

2. Hukumnya makruh. Inilah pendapat Malik, Qatadah, al-Hakam, al-Hasan, Uqbah al-‘Asam, Ishak bin Rahawaih.

3. Hukumnya harus. Ini sebahagian pendapat ulama’ Syafie. Ini juga pandangan sebahagian salaf seperti al-Tha’labi, al-A’masy, Uthman ibn Sa’id al-Dari.

Gambar sekadar hiasan.

Al-Imam al-Munawi dalam Syarh al-Jami’ al-Saghir berkata:

“Dalam al-Fatawa al-Sirajiyyah oleh ulamak Hanafi, tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana berlainan jenis. Begitu juga dalam Fatawa al-Barizi di kalangan ulama’ Syafiiyah tidak harus berkahwin antara keduanya. Begitu juga pandangan ulamak Syafie yang mengharamkannya seperti al-Khatib al-Syarbini. Katanya: “Pengharaman dalam perkahwinan itu ada dua; bersifat selama-lamanya atau selamanya. Antara bentuk perkahwinan yang diharamkan selama-lamanya adalah perkahwinan antara jenis yang berlainan. Contohnya, tidak dibenarnya perkahwinan antara lelaki dari kalangan manusia dan perempuan dari kalangan jin (atau sebaliknya).” 

Tidak harus ada perkahwinan antara jin dan manusia kerana ia berlainan jenis dan juga tabiatnya. Sifat jin adalah tidak berjisim dan sifat manusia adalah berjisim.

Ini berasaskan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 72:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan.”

Mafhum daripada kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa manusia dikurniakan Allah isteri dan suami mereka dari jenis mereka sendiri dan ia terbeza yang amat ketara antara manusia dan jin. Ini dijelaskan lagi dengan firmanNya

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum: 21)

Al-Syeikh al-Syanqiti menyebut:

“Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah tidak menciptakan manusia untuk pasangan-pasangan mereka kecuali untuk jenis dan diri pasangan mereka sendiri.” 

Antara beberapa masalah yang timbul akibat membenarkan pernikahan antara manusia dan jin adalah:

  1. Boleh terjerumus kepada banyaknya perzinaan dan kemudian dinisbahkan kandungan kepada alam jin.
  2. Nikah memberi maksud untuk memperoleh zuriat dan kehidupan keluarga serta anak-anak. Kepada siapa untuk dinisbahkan mereka dan bagaimana penciptaan mereka?
  3. Berinteraksi dengan jin seumpama ini tidak sunyi daripada pelbagai kemudaratan sedangkan Islam menggesa untuk memelihara keselamatan manusia.
  4. Lebih parah lagi, ia membawa kepada membuka pintu kepada banyak persoalan yang tidak berkesudahan dan sukar diselesaikan.

Sumber kredit: Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

VIDEO: