Dalam kehidupan rumah tangga, tugas dan tanggungjawab antara suami isteri sering menjadi perbincangan yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Antara perkara yang sering dibahaskan ialah persoalan, adakah memasak itu tanggungjawab isteri atau suami?
Isu ini kembali mendapat perhatian apabila tular kenyataan seorang pempengaruh yang menyebut bahawa tugas menyediakan makanan adalah tanggungjawab suami, manakala jika isteri memasak, ia adalah atas dasar ihsan semata-mata.
Walau apapun pandangan yang dilontarkan, hakikatnya persoalan ini telah lama dibincangkan oleh para ulama dengan berpandukan dalil-dalil syarak serta teladan daripada Rasulullah SAW sendiri, Baginda yang merupakan sebaik-baik contoh dalam membina keluarga sakinah.
Pandangan Ulama Tentang Tugas Memasak
Menurut pendakwah, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, isu ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah diperbahaskan dalam kitab-kitab fiqh terdahulu.
Beliau merujuk kepada penjelasan dalam Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, di mana terdapat dua pandangan utama ulama:
- Mazhab Syafie dan Hambali
Kebanyakan ulama termasuk Mazhab Syafie dan Hambali berpandangan bahawa isteri tidak diwajibkan melakukan kerja rumah seperti memasak, menguli tepung atau membakar roti. Ini kerana akad perkahwinan adalah untuk membina hubungan yang penuh kasih sayang dan tolak ansur, bukan semata-mata untuk tugasan rumah tangga. - Mazhab Maliki
Menurut Mazhab Maliki, isteri wajib melakukan kerja-kerja rumah seperti menguli tepung, menghampar tilam atau menuang air, namun ia bergantung kepada adat kebiasaan setempat. Bagi wanita daripada golongan bangsawan, kewajipan ini tidak terpakai kerana status mereka.
Namun demikian, menurut PU Salman memetik dalam Sinar Harian, apa yang lebih utama adalah melihat kepada contoh akhlak Rasulullah SAW bersama para isteri Baginda, di mana wujudnya kerjasama, tolong-menolong dan saling berkhidmat demi kebahagiaan rumah tangga.
Teladan Rasulullah SAW dalam Rumah Tangga
PU Salman turut memetik beberapa hadis sahih yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW sendiri membantu melakukan kerja-kerja rumah tanpa rasa segan atau merendahkan martabat Baginda sebagai ketua keluarga.
Antaranya:
“Rasulullah SAW berkhidmat untuk isterinya. Bila tiba waktu solat, Baginda segera mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat lain, disebutkan: “Rasulullah SAW menjahit baju, memperbaiki kasut dan melakukan apa yang lelaki biasa lakukan di rumah.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Bahkan menurut hadis-hadis lain, Rasulullah SAW turut membantu membersihkan baju, memerah susu, menyapu sampah dan memberi makan kepada haiwan peliharaan.
Semua ini menunjukkan betapa Baginda mengamalkan budaya saling membantu dan berkhidmat sesama ahli keluarga, tanpa memandang rendah atau meletakkan beban sepenuhnya ke atas bahu isteri.
Para Isteri dan Puteri Nabi Juga Berkhidmat dalam Rumah
Selain Rasulullah SAW, para isteri dan puteri Baginda turut menunjukkan teladan dalam berkhidmat untuk keluarga. PU Salman menyebut, Sayidatina Aisyah RA pernah menyikat rambut dan membersihkan baju Rasulullah SAW, manakala Fatimah RA pula pernah mengadu sakit tangan akibat mengisar tepung.
Begitu juga Sayidatina Asma’ RA berkhidmat untuk suaminya, Zubair RA, dan isteri Ummu Said menyediakan makanan untuk para tetamu termasuk Rasulullah SAW sendiri.
Walaupun Mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan isteri tidak diwajibkan memasak, namun menurut PU Salman, wanita sangat digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga kerana besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya layanan baik seorang isteri kepada suaminya, taat dan patuh kepada kehendaknya (selagi tidak melanggar syarak), ganjarannya menyamai pahala haji, umrah, jihad, solat Jumaat, ziarah orang sakit dan menyaksikan jenazah.” (Riwayat Al-Wasiti dalam Tarikh Wasit)
Para Isteri Rasulullah SAW Juga Memasak untuk Baginda
Seiring dengan penjelasan PU Salman, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, turut berkongsi bagaimana para Ummahatul Mukminin (isteri-isteri Nabi) berkhidmat untuk Rasulullah SAW dengan penuh kasih sayang.
Menurutnya, dalam satu riwayat oleh Abu Ya’la, Sayidatina Aisyah RA pernah memasak hidangan khazirah (sejenis makanan berasaskan daging dan tepung) lalu menghantarnya kepada Rasulullah SAW.
Malah, pembantu Aisyah RA yang bernama Barirah menceritakan bahawa Aisyah RA pernah tertidur ketika menguli tepung untuk keperluan ahli keluarganya.
Sayidatina Safiyah RA juga menyediakan makanan untuk Baginda SAW sehingga mendapat pujian daripada Aisyah RA sendiri:
“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pandai menyediakan makanan seperti Safiyah. Beliau sering menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW lalu menghantarnya kepada Baginda.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Tidak ketinggalan, Sayidatina Ummu Salamah RA juga pernah menghantar makanan kepada Rasulullah SAW dan juga untuk para sahabat Baginda.
Rumah Tangga Adalah Tempat Saling Berkhidmat
Rumah tangga bukanlah medan untuk menuding jari atau mencari siapa lebih berhak dalam soal tugas harian. Sebaliknya, ia adalah tempat untuk saling melengkapi, saling memahami dan berusaha bersama-sama demi kesejahteraan keluarga.
Teladan Rasulullah SAW dan para isteri Baginda menjadi bukti, tiada siapa yang terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk membantu dan berkhidmat dalam rumah tangga.
Andai para Ummahatul Mukminin sanggup menyediakan makanan dan berbakti kepada keluarga, mengapa tidak kita? Setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas pasti ada ganjarannya di sisi Allah SWT.
Semoga rumah tangga kita semua dilimpahi mawaddah, rahmah dan sakinah, serta mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW dan para isteri Baginda.
Sumber: Sinar Harian
Baca Lagi: Betul Ke Memasak Untuk Suami, Halang Isteri Dari Bahang Api Neraka?
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ketika Ramadan yang lalu ramai yang begitu bersemangat untuk melakukan ibadah namun bila masuk Syawal semuanya hilang.
Semuanya menjadi lesu tambah lagi masing-masing sibuk dengan beraya dan juga menghadiri rumah terbuka. Hilang rutin puasa, solat berjemaah dan membaca al-Quran.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah. Semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada Allah. Ia seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan.
Perkara ini dikongsi oleh Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu hantarannya di akaun sosial media miliknya.
Jelas beliau dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:
إنَّ لِكُلِّ عملٍ شِرَّةً ، ولِكُلِّ شِرَّةٍ فترة ، فمنْ كان فترتُهُ إلى سنتي فقدِ اهتدى، ومَنْ كانَتْ إِلى غيرِ ذَلِكَ فقدْ هَلَكَ
“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)
Situasi ini difahami oleh Rasulullah
Ulas beliau perhatikan ayat di atas bagaimana Rasulullah memahami tabiat jiwa manusia.
“Renungkan kembali bagaimana kesungguhan dan tenaga manusia beribadah dalam bulan Ramadan. Solat sunat dan puasa mereka dilakukan dengan konsisten. Namun, setelah berlalunya Ramadan, semangat itu semakin pudar dan kelesuan menyelubungi jiwa.”
“Titik kelesuan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis. Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunnahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam. Jangan pula seusai Ramadan, manusia kembali kepada maksiat.”
Jelasnya lagi, dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:
إن النفس لها إقبال وإدبار، فإذا أقبلت فخذها بالعزيمة والعبادة، وإذا أدبرت فأقصرها على الفرائض والواجبات
“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah). Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).
Begitu juga dari aspek dakwah. Adakalanya jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Namun akan datang satu tempoh (futur) di mana mereka merasa penat dalam perjuangan ini.
Doa ketika berdepan kelesuan dalam beribadah
Dalam pada itu pesan Dr Sanusi dalam tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipatrikan oleh Allah dalam al-Quran;
رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
Sumber: Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Keluar berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram sudah terang adalah haram.
Namun malangnya hari ini ramai ibu bapa dengan mudah membenarkan anak mereka terutama perempuan keluar berdua-duaan bersama teman lelaki mereka tanpa rasa bersalah sedangkan ia adalah satu dosa besar.
Demikian situasi yang dikongsi oleh Ustaz Hafiz Afandi yang turut dikenali sebagai Ustaz Kembar.
“Mak ayah yang benarkan anak perempuan keluar dengan lelaki bukan mahram walaupun tunang anaknya sendiri adalah berdosa besar kalau tanpa keperluan yang munasabah.
“Ada mak ayah sekarang ini yang reda anak buat maksiat dengan benarkan anak-anak perempuan keluar dengan boyfriend dia berdating maka mak ayah itu adalah dayus kerana mereka telah redha dengan dosa dan maksiat. Hukumnya adalah berdosa besar.
“Malah ada ulamak yang ‘mengkafirkan’ mak ayah yang sebegini yang redha dengan perbuatan dosa dan maksiat yang telah Allah Taala haramkan. Ini kerana mereka redha dengan perbuatan tersebut sebab anak-anak mereka buat,”ujarnya.
Bertaubatlah jika pernah buat
Dalam pada itu kata Ustaz Hafiz ada juga kalangan ibu bapa yang membenarkan anak keluar dengan alasan sebagai proses mengenali pasangan sebelum berkahwin.
“Ada mak ayah yang cakap, tak apelah mereka keluar berdua sebab nak kenal kenal sebelum kahwin. Tapi dia tak tahu apa anak-anak buat Ketika berdua itu. Ada yang berzina, bersentuhan, berpelukan, berciuman dan sebagainya,” tegasnya dalam satu perkongsian di TikTok.
Nasihat Ustaz Hafiz juga sekiranya ibu bapa sayangkan anak-anak dan mahu ke syurga bersama mereka, jangan buat sebegini.
“Bertaubatlah sekiranya pernah melakukannya,”nasihatnya lagi.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sikap suami yang kedekut dengan isteri dan anak-anak pun berkira memang menyebabkan Wanita memendam rasa.
Apatah lagi isteri tak bekerja, hanya mengharapkan nafkah dari suami saja. Hendak membeli makanan yang teringin di tekak pun dianggap membazir, apatah lagi mahu membeli pakaian cantik atau barang penjagaan diri.
Mungkin juga ada isteri yang tak dapat menahan sikap suami begini lantas mengambil wang secara senyap-senyap. Dalam hal ini adakah dikira berdosa?
Persoalan ini dijawab oleh Ustazah Asma’ Harun dalam hantaran di Facebook beliau.
Suami kedekut, isteri ambil duit senyap-senyap boleh ke
Suami adalah ketua keluarga yang mentadbir ahli rumahnya serta WAJIB baginya memberi nafkah buat isteri dan anaknya.
Ini bertepatan dengan satu kisah di zaman Nabi Muhammad SAW.
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيْسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي، إِلَّا مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وَهُوَ لاَ يَعْلَمُ، فَقَالَ: «خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ، بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan itu lelaki yang sangat kedekut. Beliau tidak memberiku dan anakku perbelanjaan (nafkah) yang cukup melainkan apa yang aku ambil darinya dalam keadaan dia tidak tahu. Lalu Baginda bersabda: Ambillah (daripada hartanya) sekadar untuk memenuhi keperluanmu dan anakmu.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Ketetapan nafkah
Menurut al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang berkemampuan, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir. Begitu juga, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah kecukupan.
7 NAFKAH YANG WAJIB DIBERI KEPADA ISTERI:
1. Makanan
2. Barang-barang dapur
3. Pakaian
4. Tempat tinggal
5. Alat-alat untuk membersihkan diri
6. Barangan rumah
7. Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Rujukan: Mughni al-Muhtaj)
Kesimpulannya, sekiranya seorang suami memberi nafkah yang mencukupi buat isterinya tanpa mengambil mudah tanggungjawab dan keperluan asas isi rumah, maka isteri tidak dibenarkan mengambil duit suami. Sekiranya tidak, maka dibolehkan mengambil duit suami untuk mencukupi kadar seharian.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut.
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” (HR Abu Daud).
Kesimpulan
1- Suami wajib memberikan nafkah buat isteri berdasarkan kemampuan ekonomi keluarga.
2- Boleh mengambil duit suami jika suami culas dengan tanggungjawab.
3- Suami tidak wajar mengambil kesempatan akan harta isterinya tanpa keizinan.
Sumber:Ustazah Asma’ Harun
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI