Tidak semua berkesempatan mengucap dua kalimah syahadah saat nyawa di kerongkongan. Itu rezeki dan bahagian masing-masing berdasarkan apa kita lakukan di dunia. Namun beruntung bagi mereka yang menerima hidayah Allah terutama bagi saudara baru dan kemudian dijemput Illahi.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”Riwayat al-Bukhari (41)
Ternyata itulah rezeki diperoleh seorang pemandu lori yang baru 18 hari mengucap dua kalimah syahadah dan Allah memanggilnya pulang dalam keadaan yang cukup baik. Ini kerana tidak sampai sebulan selepas memeluk Islam, Muhammad Saufi Abdullah, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berehat di rumahnya di Taman Tiong, dekat sini, Jun lalu.
Isterinya, Nurul Aisyah Abdullah, 40 berkata, dia bersama arwah dan dua anak mereka mengambil keputusan mengucap dua kalimah syahadah pada 22 Mei lalu.
Pesan agar jadikan anak hafiz Al-Quran
Ads
Katanya, pesanan terakhir arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori meminta dia mendalami ajaran Islam dan memastikan dua anak lelaki mereka menjadi hufaz al-Quran dipegang utuh wanita itu.
“Arwah yang menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam terlebih dahulu dan mengajak saya serta dua anak kami iaitu Muhammad Aidil, 13, dan Muhammad Fitri, 11 bersama.
“Kehidupan kami boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja masalah terutama berkaitan kewangan.
“Kami juga kerap bertengkar walaupun mengenai hal remeh dan kemuncaknya apabila lori dipandu suami terbalik dalam kemalangan. Namun bertitik tolak kejadian itu, suami memperoleh hidayah dan mengajak kami bersama,” katanya yang mengakui berasa seperti ‘hilang arah’ selepas kematian Muhammad Saufi.
Menurutnya, bertitik tolak dari kejadian itu, suami memaklumkan dia mendapat hidayah dan menyatakan hasrat mahu memeluk Islam.
Ads
“Pada mulanya saya menentang keras namun entah bagaimana tiba-tiba hati saya tergerak untuk mengikut suami dan kami sekeluarga akhirnya mengambil keputusan memeluk Islam.
“Sejak daripada itu, kami mula belajar mendalami agama Islam dan kehidupan saya dan suami mula bertambah baik, namun apakan daya Allah lebih menyayanginya apabila dia meninggal dunia selepas 18 hari mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Nurul Aisyah berkata, dia berterima kasih kepada Jawatankuasa Surau Taman Tiong yang banyak membantu keluarganya dalam soal mendalami Islam dan juga memberi pelbagai sumbangan.
Namun apa yang lebih memeranjatkan adalah apabila ibu arwah suaminya kini dikenali sebagai Siti Hajar, 68, kini turut memeluk agama Islam.
Ads
“Arwah rapat dengan ibunya dan pemergiannya membuatkan wanita itu mengalami kemurungan. Saya yang tidak sanggup melihat keadaannya itu mengajaknya tinggal bersama.
“Mungkin selepas melihat kehidupan kami anak beranak, ibu membuat keputusan memeluk Islam. Saya tidak pernah memaksanya namun dia sendiri mengaku tertarik dan ingin belajar dengan lebih mendalam mengenai Islam.
“Alhamdulillah, saya saya bersyukur Allah membuka pintu hati ibu mentua untuk memeluk Islam selain menganggap saya sebagai anak kandungnya sendiri,” katanya yang menerima sumbangan daripada pasukan Badan Penggerak Ikatan Ummah Sejati.
Nurul Aisyah berkata dia kini menyara kehidupan dengan bekerja di kedai runcit dengan gaji RM700 sebulan manakala ibunya mengambil upah mengisi dawai kokot ke dalam kotak dengan pendapatan RM150.
Sementara itu, wakil Badan Penggerak Ikatan Ummah Sejati, Norhasnaliza Senusi berkata pihaknya sedia menghulurkan sumbangan berbentuk tunai, makanan dan juga nashkah tafsir al-Quran buat keluarga ini yang diuji dengan pelbagai masalah. Sumber : Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Kena cepat-cepat, takut berdosa.’ Kalau tiada halangan, elok qada puasa segera. Bimbang jika ditangguh-tangguh, kita tak sempat ganti puasa sebelum Ramadan datang lagi.
Ramai di antara kita yang terus menganti puasa dalam bulan syawal lagi. Namun, tak kurang juga suka menangguh-nangguh hingga kelam kabut mengganti puasa menjelang ramadan sekali lagi.
Ikuti kemusykilan berkaitan isu ini dan ketahui bilakah waktu terbaik untuk mengganti puasa:
Soalan:
Assalamualaikum, ustaz dan ustazah. Saya ada soalan pasal qada puasa. Saya biasa mula qada puasa Ramadan apabila dekat bulan Rejab dan Syaaban untuk dapat sekali pahala puasa di bulan Rejab sebelum sampai Ramadan tahun depan.
Tapi ada orang tegur saya, berdosa lambat qada puasa dan kena cepat-cepat qada. Mohon pandangan ustaz dan ustazah.
Dibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa.
Takut Berdosa
Namun begitu, sangat digalakkan untuk segera menyelesaikan qada puasa sekiranya tiada sebarang halangan.
Ini kerana dikhuatiri tidak sempat menggantinya sehingga tiba Ramadan akan datang. Jika itu berlaku dengan sengaja, ia dikira berdosa dan wajib membayar fidyah bagi setiap hari secupak makanan asasi.
Wajib bagi seorang muslim menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan disebabkan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak atau ditinggalkan dengan sengaja sebagaimana yang jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Surah al-Baqarah (184)
Kalau Tiada Halangan
Dibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa selagi tidak memasuki bulan Ramadan, ini berdasarkan hadis tentang perbuatan Aisyah R.A menggantikan puasa Ramadan, beliau berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ. فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلَّا فِي شَعْبَانَ. الشُّغْلُ من رسول الله صلى الله عليه وسلم. أَوْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Aku ada puasa daripada bulan Ramadhan yang wajib diganti, tetapi aku tidak mampu untuk menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban kerana kesibukan melayani dan berkhidmat untuk Rasulullah SAW.
Riwayat Muslim
Elok Qada Puasa Segera
Namun begitu, disunatkan menggantikan puasa sesegera mungkin kerana dikhuatiri tidak sempat menggantinya sehingga tiba Ramadan akan datang. Lebih-lebih lagi jika tiada halangan untuk menggantikan puasa tersebut.
Imam al-Ramli menjelaskan jika seorang itu dengan melewatkan ganti puasa tanpa sebarang keuzuran dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan seterusnya, itu adalah satu perbuatan yang berdosa dan dia wajib menggantikannya serta membayar fidyah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Jodoh merupakan perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebelum kita dilahirkan ke dunia ini lagi. Ia sudah ditulis di luh mahfuz. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud:
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat: tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita…” Riwayat al-Bukhari (3208)
Jodoh merupakan rencana Allah SWT dengan sebaik-baik perancang. Allah SWT menetapkan waktu yang tepat bersesuaian dengan individu. Tiada yang terlambat atau tercepat kerana semuanya sudah tertulis.
Biasanya pasangan mencari keserasian ketika berkawan sebelum diikat dengan bertemu ibu bapa pasangan untuk langkah seterusnya. Namun kita disarankan untuk menjaga iktilad kerana adalah menjadi dosa untuk bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang tiada ikatan.
Harus diingat, perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Ia bukan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sebab itulah kita disarankan menikahi wanita berdasarkan empat perkara iaitu hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.
Di negara seberang viral pasangan “jiwa yang tertukar” di mana pengantin lelakinya suka berpenampilan wanita manakala isterinya pula suka mengenakan pakaian lelaki (tomboy).
Dan mereka telah selamat dinikahkan baru-baru ini dalam majlis yang dihadiri ramai sanak saudara. Difahamkan, suami ini merupakan seorang tukang andam (MUA) manakala pekerjaan isterinya tidak disebut-sebut.
Pernikahan unik mereka ini menjadi viral kerana penampilan pasangan ini namun keduanya menyatakan jodoh itu ketentuan Allah dan mereka sudah halal sebagai suami isteri.
Ada menggelar pasangan ini sebagai “jiwa yang tertukar” kerana berpenampilan begini. Di dalam agama sendiri, lelaki atau perempuan dilarang berpakaian menyerupai lawan sejenisnya. Ia berdasarkan satu hadith dari HR Bukhari yang menyebut :-
Sabda Baginda: Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki. – [HR Bukhari 5435].
Apa pun kita doa yang baik-baik agar hubungan halal mereka ini mengikut syariat Allah dan kita dijodohkan dengan lelaki dan wanita beriman. Aamiin.
Sumber : Tik Tok @mangoyoi
Persoalan darah haid, istihadah atau nifas memang tidak dapat dielakkan di kalangan wanita lepas bersalin atau keguguran. Mereka biasanya akan melalui satu tempoh pendarahan atau keluar darah kotor sebagai proses pembersihan dalaman secara biologi. Maha Besar Allah, ini semua adalah satu proses menakjubkan.
Namun amat penting bagi para ibu yang lepas bersalin atau gugur dapat kenal pasti darah yang keluar itu sama ada darah haid, istihadah atau nifas. Islam ada menetapkan tempoh tertentu untuk klasifikasikan ia darah nifas atau sebaliknya.
Setiap wanita mempunyai ciri biologi berbeza, maka akan ada perbezaan tempoh nifas. Bagi mengelakkan kekeliruan, kita dapatkan penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil agar tiada lagi bimbang di hati.
Soalan:
Saya ada kemusykilan. Saya baru sahaja keguguran. Kandungan sekitar 12 minggu. Saya diberitahu oleh doktor bahawa darah yang keluar selepas keguguran mengambil masa 1 – 2 minggu.
Soalan saya adakah darah yang keluar selepas hari ke 15 dikira sebagai darah istihadah dan saya wajib untuk mandi dan menunaikan solat?
Atau sebaliknya. Mohon pencerahan dari ustaz sebab ramai sangat yang memberikan saya jawapan yang berbeza beza. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih.
Jawapan:
Secara ringkas wanita yang keguguran hukumnya sama seperti wanita yang bersalin. Oleh itu darah yang keluar selepas keguguran dikira sebagai darah nifas.
Berikut sedikit perincian mengenai hukum hakam mengenai darah nifas menurut mazhab Syafi’ie:
Kadar minimum bagi nifas ialah satu percikan(majjah) darah yang keluar selepas bersalin walaupun sedikit.
Tempoh normal/kebiasaan bagi darah nifas ialah 40 hari. Manakala tempoh maksimum untuk darah nifas ialah 60 hari.
Berikut adalah beberapa permasalahan yang berkaitan dengan darah nifas:
Jika darah nifas terputus kurang dari 60 hari kemudian timbul semula dalam tempoh tersebut maka ia masih dikira darah nifas.
Contohnya darah terhenti pada hari ke 45, kemudian timbul semula pada hari ke 55, maka darah yang keluar dari hari ke 55 masih dikira sebagai nifas. Namun jika masih berterusan lebih dari 60 hari ia dikira istihadah.
Jika seseorang wanita terputus darah nifas dalam tempoh maksimum, namun kurang daripada 15 hari maka ia masih dikira sebagai darah nifas.
Contohnya darah nifas Siti terhenti pada hari ke 20 kemudian datang semula pada hari kemudian iaitu hari ke 31, maka ia masih dikira sebagai darah nifas.
Berlainan pula jika seorang wanita terputus darah nifas selama 15 hari atau lebih, maka darah yang datang untuk kali kedua itu dikira sebagai darah haid kerana dia telah melalui tempoh penyucian haid yang minimum iaitu 15 hari.
Contohnya apabila Siti terputus darah nifas pada hari ke 20, kemudian darah muncul kembali selepas 15 hari iaitu hari ke 36, maka darah ini dikira sebagai darah haid bukan lagi darah nifas.
Jika wanita yang mengalami pendarahan lebih dari 60 hari maka darah itu dikira sebagai darah istihadah bukan darah nifas lagi
Namun setelah 60 hari darah masih keluar, jika terputus darah walaupun sehari maka darah yang kedua itu sudah dikira sebagai darah haid kerana ia sebagai pemisah antara darah istihadah dan darah haid yang baru.
Contohnya darah keluar selama 63 hari kemudian berhenti pada hari 64 dan darah muncul kembali pada hari 65 maka ia dikira bermulanya kitaran darah haid. Manakala hari 61 ke 63 ialah darah istihadah.
Jika seorang wanita setelah melahirkan anak namun tidak kelihatan darah nifas yang keluar walaupun setitik seperti proses “caesarean birth”.
Kemudian setelah beberapa hari darah pun keluar. Dalam keadaan melihat kepada dua situasi:
Jika darah keluar dalam tempoh 15 hari maka darah itu dikira sebagai darah nifas. Contohnya jika Siti selepas melahirkan anak tanpa ada keluar darah (biasanya berlaku pada wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan) kemudian darah muncul pada hari ke 7 selepas bersalin, maka darah ini masih dikategarikan sebagai darah nifas.
Situasi kedua pula, jika selepas bersalin secara normal atau pembedahan dan darah tidak timbul atau keluar, namun darah mula keluar selepas 15 hari, maka darah ini dikategarikan sebagai darah haid bukan darah nifas.
Sebagai contoh: Siti tidak melihat darah keluar walau sedikit pun selepas bersalin, namun darah mula keluar pada hari ke 16 selepas melahirkan anak, maka darah ini dikategorikan sebagai darah haid bukan darah nifas.
Semoga penjelasan ini dapat membantu ibu atau wanita yang keguguran untuk kenal pasti status darah istihadah atau nifas.
Wallahu A’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran...