Buat solat tarawih dalam keadaan duduk disebabkan penat adakah dibolehkan?
Meski dalam keletihan pulang dari bekerja tapi pastinya ramai terasa sayang untuk meninggalkan solat ini.
Justeru mungkin ada yang memilih untuk solat tarawih secara duduk walaupun sebenarnya memang mampu berdiri.
Dalam hal ini ia sebenarnya lebih baik dari kita meninggalkan terus solat yang penuh dengan ganjaran ini.
Menurut Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, solat dalam keadaan duduk ketika melakukan solat sunat adalah diharuskan, termasuklah solat tarawih.
Bagaimanapun pahala yang diperoleh adalah separuh daripada pahala mereka yang mengerjakan solat dalam keadaan berdiri.
Ads
Diriwayatkan oleh Imran Bin Husain bahawa nabi SAW bersabda :
من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.” Riwayat al-Bukhari (1065)
Ads
Hadis ini menunjukkan bahawa berdiri dalam solat salah satu rukun dari rukun-rukun solat fardhu(tidak termasuk solat-solat sunnah). Seorang Muslim diperbolehkan untuk mengerjakan solat sunnah dalam keadaan duduk, namun pahala yang diterima bergantung pada kesulitan yang dihadapi.
“Orang yang melakukan solat sunnah secara duduk dalam keadaanya yang mampu melaksanakan solat secara berdiri akan mendapat pahala yang lebih sedikit berbanding dengan orang yang mengerjakan solat dalam keadaan berdiri.
“Namun bagi orang yang tidak mampu berdiri, maka pahalanya tetap penuh,”katanya.
Ads
Menurut ulamak Al-Nawawi; berdiri merupakan kefardhuan dalam solat fardhu, adapun pada solat sunat ia tidak diwajibkan kerana Nabi SAW mengerjakan solat sunat dalam keadaan duduk ketika dalam kenderaan.
Selain itu solat sunat ini ada pelbagai sekiranya diwajibkan untuk berdiri maka ia akan menjadi sukar dan boleh jadi orang akan berhenti melakukannya.
Oleh itu sekiranya terlalu letih untuk berdiri maka boleh saja untuk solat tarawih secara duduk daripada kita meninggalkannya terus. Apatah lagi ia mempunyai sandaran yang kukuh daripada Nabi Muhammad SAW.
Namun mengerjakannya dalam keadaan berdiri adalah yang terbaik dan pahala ganjarannya lebih besar dari orang yang melaksanakannya dalam keadaan duduk.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai yang suka bersedekah dan masa yang sama membayar zakat kepada pihak berkuasa yang dilantik untuk pengagihan zakat secara menyeluruh. Masa yang sama, ada sebahagian dari kita membayar zakat sendiri dengan mengenal pasti individu yang layak berdasarkan situasi kehidupannya. Tidak salah membayar pada institusi dan tak salah juga membayarnya sendiri asalkan penerimanya adalah dari lapan kategori ditetapkan oleh hukum syarak.
Adakala kita terlepas pandang tentang adik beradik yang mungkin diuji dengan seribu kepayahan dan ujian kehidupan. Ada setengahnya kehilangan pasangan tempat bergantung, diuji dengan kemiskinan, kesakitan dan banyak lagi.
KASHOORGA kongsikan kemusykilan agama yang dikongsikan oleh Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil mengenai persoalan memberi zakat kepada adik beradik yang susah.
Salam ustaz, saya ada seorang kakak yang hidupnya susah sebab dia kematian suami dan kakak saya tu ada lima orang anak yang masih belajar. saya ingat nak bayar zakat pada kakak saya, tapi ada yang cakap kakak tak layak terima zakat sebab adik beradik lelaki yang mampu wajib tanggung adik beradik perempuan yang susah. mohon pencerahan dari ustaz betul ke mcam ni?
JAWAPAN: 1) Ulama bersepakat bahawa zakat wajib diagihkan hanya kepada 8 golongan asnaf yang disebut di dalam surah al-Taubah, ayat 60. Asnaf-asnaf yang dimaksudkan ialah fakir, miskin, amil zakat, riqab, muallaf, orang yang berhutang, fi sabilillah dan Ibnu Sabil.
2) Begitu juga para ulama menyatakan bahawa zakat tidak boleh diberi kepada ahli keluarga di bawah tanggungan sebagai contoh, Ali tidak boleh memberi zakat kepada isteri dan anaknya yang masih kecil kerana mereka di bawah tanggungan ali.
3) Manakala adik beradik perempuan yang susah atau miskin tidak termasuk di bawah tanggungan seseorang. Hal ini telah dijelaskan oleh Sheikhul Islam al-Imam Zakaria al-Ansari(ulama mazhab Syafi'ie) di dalam karangannya "Asna al-Matalib Fi Syarh Raudhit Tolib":
وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له، وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.
Maksudnya: "Sesungguhnya yang diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan(قرابة بعضية) iaitu FURU'(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL(bapa, ibu, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik sama ada lelaki mahupun perempuan, yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak".
4) Berbalik soalan di atas, adik beradik perempuan yang susah atau tiada penanggung seperti suami dan ayah tidak termasuk dalam golongan yang wajib diberikan nafkah oleh adik beradik yang lain. Maka boleh malah disunatkan beri zakat kepada adik beradik yang susah samaada lelaki mahupun perempuan selagimana mereka tergolongan daripada asnaf-asnaf yang berhak mendapat zakat.
5) Sesungguhnya memberi zakat kepada kaum keluarga dan kerabat yang bukan tanggungan nafkah lebih afdal dari memberi zakat kepada asnaf yang bukan dari kalangan keluarga.
Kelebihan ini dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ di dalam sepotong hadis:
الصدقة على المسكين صدقة، وعلى ذى الرحم ثنتان، صدقة وصلة
Maksudnya: "Sedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah, manakala sedekah kepada ahli keluarga merupakan dua kebaikan, iaitu sedekah dan silaturrahim". (Hadith riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa'ie dan Ibn Majah)
6) Hadis di atas menunjukkan bahawa memberi zakat kepada ahli keluarga dan sanak saudara mempunyai dua kebaikan, manakala pada orang miskin hanya satu kebaikan. Dalam sepotong hadis baginda menyebut kelebihan menyambung tali silaturrahim sepertimana sabda Baginda ﷺ:
من سره أن يبسط له في رزقه أو ينسأ له في أثره فليصل رحمه
Maksudnya: "Sesiapa yang suka diluaskan rezeki untuknya atau dipanjangkan umurnya, maka hendak lah dia menyambung tali silaturrahim. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Wallahu A'lam Abu Ruqayyah Ba 'Alawi
Sumber : FB Ustaz Syed Shahrizan Ben-Agil / Gambar : Maya Sugarman/KPCC
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ada banyak posting di media sosial berkaitan berbuat baiklah pada makhluk terutama kucing yang menjadi binatang kesayangan Nabi Muhammad SAW. Bahkan ada ketikanya ia dikongsi sehingga menimbulkan salah faham dalam masyarakat.
Dalam satu perkongsian ditanya kepada Mufti Wilayah Persekutuan, berikut adalah persoalan mengenai kucing yang mampu membantu tuannya di akhirat kelak.
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada terbaca satu posting tentang kucing di media sosial, kenyataan dalam posting tersebut adalah seperti berikut:
“Patutlah nabi suka kucing. Di akhirat kelak akan ada satu level khas untuk haiwan. Mereka sedang beratur menunggu giliran. Dibawahnya ada banyak manusia yang menunggu giliran untuk meniti satu titian. Apa haiwan itu buat?
Mereka meminta izin pada Allah untuk menolong manusia-manusia yang pernah menolong mereka semasa hidup didunia.”
Mohon pencerahan daripada pihak mufti terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia. Namun, umat islam dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk seperti mana Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik kepada setiap sesuatu kerana setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang mungkin akan membantu kita untuk ke syurga di akhirat kelak.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya hari akhirat ini termasuk di dalam perkara sam’iyyat iaitu perkara ghaib dan tidak dapat ditanggapi oleh akal manusia melainkan dengan adanya penerangan tentangnya daripada nas-nas al Quran dan as Sunnah. Begitu juga dengan kisah tentang hari kebangkitan yang akan berlaku nanti, telah dikhabarkan kepada kita bahawasanya setiap makhluk yang pernah hidup di atas dunia ini akan dibangkitkan di akhirat kelak untuk dihisab dan dibicarakan. Firman Allah S.W.T: (1)
Maksudnya: “Semasa mereka semuanya dibangkitkan (dihidupkan) semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al Mujadalah: 6)
Oleh itu, berdasarkan persoalan dan kenyataan di atas, tidak ada dalil khusus yang menyatakan bahawasanya kucing ataupun haiwan yang lain akan diberikan tempat yang khusus dan keistimewaan untuk membantu manusia di hari akhirat kelak. Sebaliknya, binatang-binatang dibangkitkan untuk memenuhi tuntutan dan hak sesama makhluk seperti mana yang telah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W bersabda: (2)
Maksudnya: “Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.” (Riwayat Muslim: 2582, j4, h1997)
Berdasarkan riwayat tersebut, Imam Nawawi menyatakan bahawa haiwan akan dibangkitkan pada hari kiamat seperti mana bangkitnya golongan taklif (diberi anggungjawab) iaitu golongan yang terdiri daripada anak-anak adam dan jin. Namun, beliau menjelaskan lagi bahawa dibangkitkan haiwan bagi memenuhi hak qisas sesama haiwan tersebut seperti mana di dalam syarahnya: (3)
Maksudnya: “Adapun qisas bagi haiwan bertanduk terhadap haiwan tidak bartanduk bukanlah seperti qisas taklif kerana haiwan tersebut tiada pentaklifan akan tetapi bagi haiwan itu ada qisas muqabalah (balas membalas).” (Syarah Sohih Muslim: 16/136)
Walaubagaimanapun, ia bukanlah untuk menafikan kebaikan dan kelebihan dalam berbuat baik kepada binatang kerana agama Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik terhadap semua makhluk dan setiap kebaikan yang dilakukan akan di beri ganjaran pahala. Ini berdasarkan riwayat oleh Syadad Bin ‘Aus:(4)
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat kepada setiap sesuatu.” (Riwayat Muslim: 1955)
Begitu juga terdapat hadis yang mana diampunkan dosa seorang wanita kerana memberi minum kepada anjing yang haus.Kisah ini dapat kita hayati melalui hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: (5)
Maksudnya: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim: 2245)
Berdasarkan dalil dan hujah-hujah di atas, berkelakuan baik sesama makhluk akan diberikan ganjaran pahala pada hari kiamat bahkan dengan rahmat dan reda Allah SWT boleh membawa kita ke syurga melalui ihsan kita terhadap haiwan. Oleh itu, perlulah kita cermati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kelebihan sesuatu perkara supaya tidak bercanggah dengan al Quran dan as Sunnah.
Kesimpulannya:
Tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia. Namun, umat islam dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk seperti mana Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik kepada setiap sesuatu kerana setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang mungkin akan membantu kita untuk ke syurga di akhirat kelak.
Semoga kita terus istiqamah di dalam mengerjakan amal dan kebaikan serta berbuat baik sesama makhluk di dunia ini.
Wallahu a’lam..
Nota Hujung:
(5) Sohih Muslim: no 2245
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Batas aurat Muslimah di hadapan wanita bukan Islam sering menjadi persoalan. Ketahui pandangan jumhur ulama, penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan serta panduan menjaga aurat mengikut syariat Islam.