
Pengalaman menunaikan ibadah umrah sangat memberi makna besar kepada jemaah yang pertama kali menjejakkkan kaki ke Tanah Suci.
Biarpun belum menunaikan ibadah haji, tetapi pengalamannya boleh menjadi panduan jika dapat dipanggil menjadi tetamuNya satu hari nanti.
Sebelum ini jemaah wanita yang mahu melakukan umrah bagi wanita perlu ditemani mahramnya, tetapi kini tiada masalah lagi.
Seperti perkongsian wanita ini, Rusila Yusof yang menceritakan kisah dan pengalamannya melakukan ibadah umrah tanpa ditemani mahram baru-baru ini.
Menurutnya niat untuk mencari pengalaman dan pengertian ibadah berjaya diperoleh sepanjang mengerjakan umrah di sana bersama teman-teman wanita bujang yang lain.
Umrah Tanpa Mahram (Wanita Bujang)
Alhamdulillah pada 20 November – 2 Disember 2019 yang lepas saya selamat mengerjakan umrah tanpa ditemani mahram. Saya hanya pergi seorang sahaja tanpa kawan atau saudara mara namun bersyukur kerana mendapat kawan-kawan di sana yang juga pergi secara solo.
Saya terdetik menulis di sini sebagai posting pertama saya bagi menjelaskan mengenai umrah tanpa mahram ini kerana masih ramai yang bertanya adakah boleh umrah tanpa mahram saya lihat di kebanyakan postíng orang lain dan juga ramai pm tanya tentang hal ini.
Kerajaan Arab Saudi telah membenarkan wanita bujang untuk mengerjakan umrah tanpa mahram sejak September 2019. Namun bukan semua travel agen pada masa itu mula membuka pakej. Saya mempunyai kawan bujang yang turut mengerjakan umrah tanpa mahram tetapi menggunakan kaedah DUMMY MAHRAM… yang tu panjang cerita…. Hihihi… Dia menggunakan visa umrah yang masih memerlukan mahram yang hanya valid selama 30 hari sahaja jika tidak silap…
Untuk wanita bujang, anda perlu menggunakan visa pelancong yang mana ia valid selama setahun. Sebelum ini wanita yang berumur 45 tahun sahaja dibenarkan umrah tanpa mahram… Tetapi sejak undang-undang telah berubah, wanita yang berumur 18 tahun sudah boleh mengerjakan umrah tanpa mahram….
Saya mengikuti pakej bersama Rarecation Travel dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. 12 hari 10 malam di mana saya berada di Mekah selama 5 malam dan madinah 5 malam.
Terdapat juga orang memberi komen yang tidak menyenangkan apabila saya mengerjakan umrah secara tanpa mahram kerana katanya seolah-olah fokus ibadah telah berkurang dan lain2. Sebenarnya tujuan mengerjakan umrah adalah lebih dari sekadar ibadah secara manasik umrah. Tetapi pengertian di sebalik umrah itu lebih penting iaitu maqasid umrah.
Saya pergi dengan niat untuk mencari pengalaman dan pengertian ibadah dan alhamdulillah apa yang saya ingin fahamkan telah saya dapat. Jangan takut dengan cerita-cerita pelik bila buat umrah. InsyaAllah bila niat kita baik akan dipermudahkan semuanya.
Semoga kalian semua wanita-wanita bujang boleh la menyimpan wang untuk ke sana juga. Ada pakej murah ada yang mahal. Kalau berani boleh cuba secara backpackers.
“Mak, Sini La kantin.. Mak, Ni Padang” Murid Tahun 1 Ini Teruja Pimpin Tangan Ibu Bapa Cacat Penglihatan Lawat Sekolah

Sesi persekolahan di seluruh negara telah bermuda sejak semalam di beberapa buah negeri. Dan pastinya paling teruja untuk ke sekolah adalah anak-anak dengan ditemani ibu bapa masing-masing.
Dan biasanya ibu bapa insan paling sibuk melayan kerenah dan menyediakan kelengkapan mereka terutama pada murid tahun satu di sekolah.

Namun lain pula situasinya di salah sebuah sekolah. Bukan ibu bapa yang sibuk melayan kerenah anak-anak, sebaliknya si anak pula yang sibuk melayan kedua ibu bapanya.
Dalam satu perkongsian di laman sosial pengguna Facebook yang juga seorang guru, Nadwa Nassir memberitahu kisah seorang anak muridnya tahun 1 yang memimpin tangan kedua orang tua bagi menyertai sesi orientasi di sekolah memandangkan mereka cacat penglihatan.
Ternyata perkongsian ini mengundang sebak netizen yang terkesan dengan sikap adik ini yang begitu menyentuh hati.
Sentap di akhir tahun 2019
Sentap hari terakhir tahun 2019…
Hari ni terima murid Tahun 1…
Maka bertemu la aku 30 orang anak tahun 1 2020..
Pimpin tangan mak ayahnya pada hari pertama ke sekolah
Jatuh air mata aku melihat seorang anak kecil.. Memimpin mak ayahnya… yang tidak dapat melihat.. ke orientasi tahun 1..hari pertama dia sendiri ke sekolah..
Tulis nombor telefon mak ayah, walaupun nombor terbalik
Dia sendiri menulis nombor hp mak ayah.. Walau baru bertatih menulis.. Walau nombornya terbalik..
Kuatnya kamu wahai anak… Berdikarinya kamu pada usia terlalu muda ini…
Siap tunjuk kelas, kantin, padang walaupun tahu kedua ibu bapanya tak boleh melihat
Selesai orientasi.. Dia pimpin mak ayah dia.. Tunjuk kelas dia kat mana.. Padang kat mana.. Kantin kat mana.. Mcm la mak ayah dia boleh melihat
“mak, sini la kantin.. Mak, ni padang sekolah…”
Mak dia tanya dia.. “mana pondok mak nak tunggu kamu nanti…?”
Dia jawab… “sini la mak… Kat sini…” (padahal depan dia je pondok tu.. Tp si anak explain mcm nampak2 je)
Cikgu doakan berjaya dunia akhirat
Teacher doakan kamu berjaya dunia akhirat..
Kamu yang paling kuat..
Buat teacher rasa teacher perlu kuat lebih dari kamu bagi menempuhi 2020..
Ternyata posting yang ditulis ini mendapat respon baik daripada warganet. Rata-rata terharu dengan sikap dan kegigihan adik ini yang begitu tertib melayan kedua orang tuanya yang cacat penglihatan.
Masing-masing mengharapkan adik ini akan berjaya dunia dan akhirat serta menjadi anak yang solehah kepada kedua ibu bapanya.
“Saya Idamkan Lelaki Jujur, Ikhlas & Sanggup Terima Kekurangan Diri,” Doa Farah

Beberapa bulan viral kisah wanita ini di media sosial. Ramai yang kagum melihat kecekapannya memandu kenderaan, memakai tudung, makan, minum serta melipat kain dan bermekap walaupun hanya menggunakan dua belah kakinya sahaja.
Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu.
Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya.
“Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri.
“Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU.
“Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.

Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki.
“Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.

Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya.
“Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya,” kongsinya lagi.
Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang.

Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan tiba,”nasihat Farah lagi.
Diakhir perbualan dia juga turut sebenarnya pernah mendirikan rumahtangga, tetapi gagal di pertengahan jalan. Namun Farah redha dengan ketentuan Ilahi dan buat masa ini belum terfikir ke arah itu.
Walau bagaimanapun Farah tidak menolak jika ada Tuhan telah aturkan jodoh untuknya nanti. Justeru dia mengharapkan seorang lelaki yang betul-betul ikhklas, jujur dan dapat menerima dirinya sebagai OKU.
Mengharap Syafaat Di Akhirat, Belajarlah Kenali Tokoh Paling Berpengaruh Di Dunia Iaitu Nabi Muhammad SAW

Maulidur Rasul yang bakal disambut esok bukan setakat hari cuti biasa. Rugi jika kita beranggapan begitu kerana esok, 12 Rabiul Awal merupakan hari kelahiran tokoh paling berpengaruh di dunia iaitu Nabi Muhammad SAW yang juga pemberi syafaat kepada umatnya di hari akhirat kelak.
Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiul Awal. Sebagai umat islam, kita diwajibkan mengetahui sejarah Baginda Nabi. Ia bermula dari kelahirannya, termasuk kisah perjuangannya sehinggalah Baginda wafat.
Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja tetapi juga dapat dijadikan sebagai contoh dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari. Ini kerana kisah kehidupannya memang penuh dengan hikmah.
Meskipun Baginda seorang Nabi dan Rasul pilihan Allah SWT, namun ternyata hidupnya tidak lari dari ujian kehidupan. Bukan selalu berasa bahagia atau memperolehnya dengan mudah. Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW juga tetap menerima cubaan dan tentangan dalam berdakwah untuk menyebarkan agama Islam. Berikut ini sejarah Nabi Muhammad SAW sejak lahir hingga wafat yang menarik untuk kita ketahui.
Jika kita tidak mengenal Nabi, bagaimana mahu memperoleh syafaat darinya di akhirat kelak. Ini kerana kita masuk syurga bukan dengan amalan tapi dengan rahmat dan kasih sayang Allah serta syafaat dari Nabi Muhammad.
Garis keturunan Nabi Muhammad SAW
Nabi Muhammad SAW atau nama lengkapnya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushayi bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luayy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan dan selanjutnya bertemu garis keturunan Baginda dengan Nabi Ismail AS.
Sementara garis keturunan Nabi dari sebelah ibunya adalah Muhammad bin Aminah binti Wahab bin Abdi Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Dengan demikian, garis keturunan Baginda dari sisi ayah dan ibu bertemu pada datuk iaitu Kilab.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW
Menurut pendapat yang paling kuat, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada hari Isnin, malam 12 Rabiul Awwal di Makkah bertepatan dengan awal Tahun Gajah. Nabi Muhammad SAW dibesarkan di Makkah sebagai anak yatim kerana ayahnya, Abdullah wafat di Madinah dua bulan sebelum Nabi Muhammad SAW lahir.
Pada waktu itu, ayahnya sedang berdagang di Syam dan singgah di Madinah dalam keadaan sakit. Kemudian wafat di rumah pakciknya dari Bani Najjar. Saat itu ayahnya tidak meninggalkan apa-apa kecuali 5 ekor unta dan hamba sahaya perempuan.
Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Baginda yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan syaitan yang wujud di dalamnya.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim RA di dalam sahihnya dan ia telah diceritakan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata:
أَتَاهُ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ، فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ، فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ، فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ، فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً، فَقَالَ: هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لَأَمَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ، وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ – يَعْنِي ظِئْرَهُ – فَقَالُوا: إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ، فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ “، قَالَ أَنَسٌ: «وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika baginda SAW sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil baginda SAW lalu merebahkan baginda SAW. Kemudian, Jibril As telah membelah dada baginda SAW dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati baginda SAW sambil berkata “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu”. Kemudian Jibril AS menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam. Setelah itu, Jibril AS menjahitnya kembali dan mengembalikan baginda SAW di tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama baginda SAW tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengataka bahawa: “Muhammad telah dibunuh”. Orang ramai menyambut baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana baginda masih di dalam ketakutan. Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda SAW”. [Riwayat Muslim, (162)]
Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW
Pada tahun keenam dari umurnya, ibunya membawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Madinah untuk menemui pakcik-pakciknya di sana. Namun ketika baru sampai ke desa Abwa iaitu suatu desa yang terletak antara kota Makkah dan Madinah, ibunya, Aminah meninggal dunia. Maka Nabi Muhammad SAW diasuh oleh Ummu Aiman di bawah tanggungan datuk baginda iaitu Abdul Muthalib dan ia sehingga dua tahun lamanya.
Pada usianya lapan tahun dari umur Nabi Muhammad SAW, Abdul Muthalib meninggal dunia sehingga Nabi Muhammad SAW diasuh oleh pakciknya iaitu Abu Thalib.
Tatkala Nabi Muhammad SAW mencapai usia 12 tahun, Baginda dibawa berniaga oleh pakciknya iaitu Abu Thalib ke negeri Syam. Dan ini merupakan perjalanan Baginda yang pertama kali.
Pada usia Baginda, 14 atau 15 tahun, Baginda sudah terlibat dalam peperangan Fijar. Baginda Nabi Muhammad telah menyertai peperangan itu dalam beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah dalam medan perang tersebut. Pada usianya 20 tahun pula, Baginda telah menyaksikan perjanjian Al-Fudhul iaitu perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Kota Mekah.
Kemudian ketika Nabi Muhammad SAW mencapai usia 25 tahun, baginda pergi ke Syam untuk kali keduanya dengan membawa barang dagangan milik Khadijah binti Khuwailid.
Setibanya di Makkah dari perjalanan dagang tersebut, Nabi Muhammad SAW menikah dengan Khadijah binti Khuwailid iaitu dua bulan sesudah kedatangannya. Setelah itu Nabi Muhammad SAW pindah ke rumah Khadijah. Dari pernikahan itu lahirlah tiga orang putera iaitu Al Qasim, Abdullah dan Thayyib (Ibrahim) yang semuanya meninggal ketika usia kecil. Serta empat orang puteri iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah.

Masa berlalu, Makkah diuji dengan banjir besar dan mengakibatkan dinding Kaabah runtuh, beberapa tahun sebelum peristiwa kenabiannya terjadi (Nubuwwah).
Banjir besar melanda Kota Makkah itu meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Kota Mekah. Rasullullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan Hajarul Aswad ke tempat asalnya dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung siapa yang akan meletakkan batu tersebut.
Kemudian pada tahun ke empat puluh, Allah SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan menetapkannya sebagai Nabi dan Rasul dengan turunnya Malaikat Jibril kepadanya. Di mana sebelumnya Baginda beruzlah (mengasingkan diri bermunajat kepada Allah) dan beribadah dengan menjadikan Gua Hira yang berada di sebelah puncak Jabal Nur.
Wafatnya Nabi Muhammad SAW
Diringkas ceritanya, pada tahun 11 hijriah Nabi Muhammad SAW mulai jatuh sakit. Kemudian Nabi Muhammad SAW meninggal dunia. Jenazahnya baru dimakamkan selepas penggantinya, Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah iaitu menjadi pemimpin kaum Muslimin.
Jenazah Nabi Muhammad SAW dimakamkan di rumah Aisyah, tempat di mana Baginda wafat. Nabi Muhammad SAW dimakamkan pada malam Rabu tengah malam, dan di atas makamnya dipercikkan air oleh Bilal. Makam Nabi Muhammad SAW diletakkan agak tinggi sejengkal dari permukaan bumi.
Para ahli tarikh telah bersepakat bahawa hari lahir Nabi Muhammad SAW, hijrahnya dan wafatnya adalah pada hari Isnin tanggal 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah/08 Jun 632 Masihi. Semoga Allah SWT menganugerahkan selawat dan salam kesejahteraan kepada Nabi Muhammad SAW, berserta keluarga dan para sahabatnya.