Setiap hari manusia melakukan kesilapan, jika mungkin dosa besar itu dapat dihindari dosa kecil sentiasa berlaku sama ada secara sedar atau tidak. Hal ini terjadi kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan.
Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Justeru, setiap manusia dianjurkan untuk sentiasa bertaubat. Dalam tuntutan bertaubat ini, seseorang itu diperlukan untuk berasa berdosa di atas apa yang dilakukan.
Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dengan taubat nasuha” (At-Tahrim: 8)
Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Ustaz Jafri Abu Bakar. – Foto Nik Hariff Hassan
Pendakwah yang juga Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Bandar Baharu, Kedah, Jafri Abu Bakar Mahmud, berkata menerusi ayat 8 surah At-Tahrim, Allah SWT menyebut ‘wahai orang beriman’ kerana hanya orang yang beriman saja mampu berasa berdosa dan akan melakukan taubat.
Jafri turut berkongsi kisah Rasulullah SAW bersama Sahabat RA bernama Wabishah ibnu Ma’bad RA yang datang berjumpa Baginda. Belum sempat dia membuka mulut, Baginda meneka, “Kamu hendak tanya mengenai kebaikan?” Terkejut Wabishah mendengar kata-kata Rasulullah SAW lantas mengiyakannya. “Benar!”
Lalu Baginda menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang memberi fatwa membenarkanmu.” (HR Ahmad dan Ad-Darimi).
TIDAK BERTAUBAT SEBAB TAK RASA BERDOSA
Tegas Jafri, orang yang sentiasa melakukan dosa dan kemaksiatan tetapi tidak bertaubat adalah disebabkan tidak berasa berdosa dengan apa yang dilakukan, malah dalam hatinya tidak timbul kegelisahan disebabkan iman yang lemah dalam diri.
“Rasulullah SAW juga menyeru umatnya supaya bersegera dan tidak menangguhkan taubat. Ini kerana, sekiranya bertangguh dalam bertaubat, kegelisahan hati itu akan semakin hilang hari demi hari.
Ads
“Jadi waktu yang terbaik untuk taubat sempurna adalah ketika hati sedang berasa gelisah dengan dosa yang dilakukan sebelum ia semakin pudar disebabkan sikap diri yang suka bertangguh,” katanya.
DOSA TAK TERAMPUN
Jafri berkata, sekiranya meninggal dunia dalam dosa yang belum diampunkan, kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak dengan dosa yang dilakukan di dunia dan Allah SWT menjanjikan azab-Nya kecuali dengan rahmat-Nya.
Justeru, beliau mengingatkan setiap kita tidak bertangguh dalam bertaubat dan juga melakukan amal soleh sebelum nyawa ditarik malaikat kerana ajal itu tidak mengenal masa.
Tegas Jafri, dalam syarahan Imam Nawawi juga menyebut syarat untuk melakukan taubat nasuha adalah dengan berhenti melakukan kemaksiatan, berazam tidak lagi melakukannya dan menyesali dengan kesalahan yang dilakukan.
Namun jelas beliau, perkara paling sukar dalam bertaubat nasuha adalah dengan menyesali dengan apa yang dilakukan.
Ads
“Rasa sedap dan seronok melakukan maksiat menyebabkan seseorang itu sukar untuk rasa menyesal dengan dosa yang dilakukan.
“Malah apabila duduk diam atau berseorangan menyebabkan dia mula teringat dosa yang dilakukan dan mula rasa seronok pula,” katanya.
MINTA AMPUN DAN BERTAUBAT
Tambah Jafri sekiranya dosa yang dilakukan berkait dengan Allah SWT, kita boleh meminta ampun dan taubat kepada-Nya, namun sekiranya berkait sesama manusia memerlukan seseorang itu untuk kembali menunaikan hak dengan orang yang dizalimi.
“Sekiranya berkait dengan harta, maka ia itu perlu dipulangkan manakala jika berkait dengan keaiban maka perlu untuk meminta ampun dan maaf.
Ads
“Sekiranya kesalahan itu tidak dimaafkan, kita perlu meminta doa dan pengampunan daripada Allah SWT supaya dilembutkan hatinya memaafkan dosa kita,” katanya.
Jafri berkata, melakukan dosa besar bermaksud manusia perlu memohon pengampunan daripada Allah SWT, namun jika dosa kecil yang dilakukan tanpa sengaja, ia boleh dihapuskan dengan memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh.
“Setiap hari manusia tidak akan terlepas dan terhenti daripada melakukan dosa sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Jadi dosa kecil itu boleh dipadamkan dengan memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh.
“Malah Saidina Umar RA mengajar, sebelum tidur kita hendaklah muhasabah diri dan hisab diri sendiri terhadap perbuatan atau tingkah laku sepanjang hari. Kemudiannya beristighfar dengan bersungguh-sungguh supaya Allah SWT mengampunkan dosa yang kita lakukan,” katanya.
Tambah Jafri, amalan seperti mengerjakan umrah, puasa serta amalan sunat lain jika dilakukan itu dijanjikan pengampunan dosa oleh Allah SWT.
“Amalan soleh yang dilakukan itu boleh menjadi motivasi dan pemangkin kepada diri untuk berubah menjadi insan yang lebih baik selain berasa berdosa dengan kesilapan silam,” katanya.
Satu hal yang nyata, sejauh mana manusia tergelincir dan melakukan kesilapan Allah SWT sentiasa sudi mengampunkan seandainya kita kembali kepada-Nya.
Jangan menjadikan alasan usia masih muda atau perjalanan hidup masih jauh untuk menangguh taubat kerana kematian tidak pernah melihat pada tua atau mudanya usia.
Meskipun pintu taubat Allah SWT itu terbentang luas, ia ada tarikh akhirnya. Pintu taubat itu akan tertutup pada saat seseorang itu hampir menuju kematian dan ketika dunia tiba ke detik akhirnya iaitu hari kiamat.
Sumber kredit: BH Online
https://www.youtube.com/watch?v=faZnS8NXT3E&t=40s
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apabila seseorang itu meninggal dalam solat, ketika membaca al-Quran ia sering kali dikaitkan dengan husnul khatimah. Tapi bagaimana jika seseorang itu meninggal dalam keadaan berbeza, meninggal di atas katil hospital, kemalangan dan sebagainya? Adakah mereka ini tiada husnul khatimah?
Jadi apa maksud sebenar husnul khatimah? Pencerahan tentang husnul khatimah diberikan oleh Ustaz Dr. Kamilin Jamilin yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis.
Menurut beliau, maksud kematian husnul khatimah ia bukanlah semata kematian ketika memegang al-quran atau di atas sejadah. Oleh itu janganlah menghukum orang yang meninggal di atas tempat tidurnya atau kematian tertentu sebagai kematian biasa yang tiada husnul khatimah.
“Nabi Muhammad sendiri meninggal di atas pembaringannya. Abu Bakar RA, sebaik-baik sahabat, sebaik baik manusia selepas Nabi SAW juga meninggal di atas pembaringannya.
“Begitu juga Khalid Al Walid, yang dikenali sebagai ‘Saifullah’ yakni Pedang Allah yang memenangi 100 peperangan juga meninggal di pembaringan,”ujar beliau dalam satu perkongsian video di akaun Facebook miliknya sambil memberikan tafsiran lanjut tentang husnul khatimah.
“Husnul khotimah adalah kematian ketika seseorang tidak mensyirikkan Allah. Kita mati dalam keadaan bebas dari nifaq (kebohongan dan kedustaan).
Dalam keadaan kita beriman dan beramal dengan al Quran dan al sunnah, dalam keadaan menunaikan hak Allah dan makhluk-Nya, memelihara solat Jemaah lima Waktu, dalam keadaan terpelihara lisan dan tingkah kita yakni kita tidak menzalimi orang lain.
“Mati dalam keadaan akhlak yang murni dan hati yang bersih, bebas dari dengki atau penyakit-penyakit hati terhadap saudara-saudara seagama. Itulah husnul khatimah yang akan dinilai di sisi Allah di akhirat nanti,”terang beliau.
10 tanda husnul khatimah
Dalam pada itu melalui laman web Mufti Wilayah Persekutuan ada menyenaraikan beberapa tanda husnul khatimah berdasarkan hadis sahih.
1. Mati pada hari atau malam Jumaat.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ
Maksudnya: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur. Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1074)
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Ini berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ
Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga. Hadith riwayat Abu Daud: (3116)
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ
Maksudnya: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.
Hadith riwayat al-Tirmidzi: (982)
4. Diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.
Di dalam satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. Hadith riwayat al-Tirmidzi: (2142)
5. Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT.
Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
Maksudnya: Barangsiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan barangsiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya. Hadith riwayat Muslim: (2685)
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيْدٌ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid. Hadith riwayat Muslim: (1915)
7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT.
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal karena penyakit tha’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. Hadith riwayat al-Bukhari: (652)
8. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.
قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ
Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. Hadith riwayat Ibn Kathir: (5869)
Maksudnya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”. “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!”. “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” Hadith riwayat Muslim: (140)
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
مَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ ، خُتِمَ لَهُ بهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ “
Maksudnya: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredhaan dia Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.” Hadith riwayat Ahmad: (23372)
Pemergian suami sebagai ketua keluarga apatah lagi dalam keadaan mengejut bukan saja memberi kesedihan tapi juga kebimbangan pada sang isteri. Terutama memikirkan tentang masa depan diri dan anak.
Meskipun ada hak yang telah ditetapkan buat isteri setelah suami meninggal dunia akan tapi sering kali juga berlaku kekeliruan malah konflik terutama berkaitan harta yang ditinggal.
Supaya kaum wanita dan juga masyarakat sedar tentang hak isteri selepas kematian suami perkongsian info dari Majlis Agama Islam Selangor tentang perkara tersebut.
1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semuaharta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.
2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.
3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.
4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.
5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.
6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.
7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.
8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.
9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.
10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.
11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.
12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.
Mahu mengadakan majlis akad nikah di masjid? Mengadakan upacara akad nikah di masjid atau di mana-mana tempat yang sesuai adalah dibolehkan. Islam membenarkan upacara akad nikah disempurnakan di masjid. Hal ini boleh dilihat seperti mana yang disebut dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW menikahkan seorang wanita di dalam masjid.
Maksudnya: “Hebahkanlah akan pernikahan ini dan lakukanlah ia di masjid, dan palulah (raikannya) dengan memukul gendang (di luar masjid).” Riwayat al-Tirmizi (1089) dan al-Baihaqi (15095) dalam al-Sunan al-Kubra.
Imam al-Tirmizi berkata: Hadis Hasan Gharib.
Imam al-Munawi Rahimahullah berkata hadis ini menunjukkan bahawa akad nikah di masjid tidaklah dibenci.
Beliau berkata:
وفيه أن عقد النكاح في المسجد لا يكره بخلاف البيع ونحوه
Maksudnya: “Pada hadis ini menunjukkan bahawa melangsungkan akad nikah di masjid tidaklah dibenci, berbeza dengan jual beli dan yang semisalnya.”
(Rujuk al-Taisir bi al-Syarh al-Jaami’ al-Soghir, 1/353)
Berdasarkan hadis di atas juga, jumhur fuqaha’ telah mengharuskan akad nikah di masjid untuk keberkatan, dan untuk menghebahkannya. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/214)
Adalah dibolehkan untuk mengadakan akad nikah di masjid. Namun hendaklah dijaga etika dan adab-adab serta peraturan yang telah ditetapkan ketika mana berada di masjid.
Antara adab-adabnya adalah sebagaimana berikut:
*Melakukan ibadat-ibadat sunat seperti berwuduk, berniat iktikaf dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat sebelum duduk. *Memelihara adab berpakaian seperti memakai pakaian yang suci dan bersih dan menutup aurat. *Memelihara adab berhias dan berdandan dengan tidak berlebihan dan keterlaluan dalam berhias. *Menjaga larangan-larangan seperti larangan memasuki masjid lelaki dan wanita yang berhadas besar, termasuk bagi wanita yang sedang dalam haid.
Turut mencadangkan agar diwujudkan ruangan khas yang bukan di ruangan solat untuk mengadakan upacara akad nikah. Hal ini bagi memudahkan perempuan yang berada dalam keadaan haid yang ingin turut serta bersama-sama dalam upacara tersebut.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun 2011 telah membincangkan Hukum Upacara Akad Nikah di Masjid dan keputusannya adalah seperti yang berikut:
Muzakarah berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
Sehubungan itu Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walau bagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran...