Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) Ramadan.
Tapi dalam keadaan sekarang ada juga antara kita yang hidup dalam serba kekurangan dan tidak mampu membayar fidyah malah tidak mampu juga menggantikan puasa akibat sakit kronik atau sakit tua.
Ustazah Asma’ Harun memberikan penjelasan bagi mereka tidak mampu membayar fidyah ini. Bagi golongan seperti ini terang Ustazah Asma’, ulama telah membahaskan kepada 2 pendapat.
1. Pendapat Pertama: Sebahagian mazhab Syafieah dan Hanabilah.
Pendapat ini mengatakan tidak gugur kewajipan fidyah.
2. Pendapat Kedua : Mazhab Hanafiah, sebahagian Syafieah, dan Hanabilah
Pendapat ini mengatakan gugur fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan.
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar fidyah pada awalnya, kemudian setelah itu berkemampuan, adakah menggugurkan kewajipan tersebut?
Maka, Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab
“Jika kita mengatakan wajib fidyah ke atas orang tua, pesakit yang putus asa daripada sembuh, tetapi jika dia itu mu`sir (orang susah) adakah dia masih wajib membayar fidyah apabila dia kembali senang atau sudah gugur apa-apa kewajiban daripadanya?
Dalam isu ini ada dua qoul (pendapat Imam al-Syafie) seperti hukum kaffarah. Pendapat yang asoh (lebih sahih) dalam isu kaffarah ialah kekal liabiliti untuk membayarnya apabila sudah senang kerana fidyah itu wajib sebagai timbal balas akibat jenayah yang dia lakukan (seperti zihar atau jimak waktu siang Ramadhan) seperti hukum balasan bagi orang yang melanggar larangan buruan.
Tetapi sewajarnya di sini hukum yang asal ialah bahawa liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu`sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang, sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa timbal balas kerana suatu perbuatan jenayah, atau seumpamanya,”jelas beliau dalam satu perkongsian di Facebook.
Kesimpulan
1. Bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar fidyah kerana susah dan miskin maka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa sekalipun jika akan datang dia ditakdirkan sembuh atau sudah senang.
2. Hal ini kerana, kewajiban fidyah yang dikenakan bukan kerana kaffarah dosa. Ia adalah kerana keadaan dia yang tidak mampu pada saat wujud sebab taklif.
3. Golongan ini diperbolehkan untuk menqada’ puasa yang telah ditinggalkan.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
6 Jenis Scammer Yang Selalu Jadikan Jemaah Malaysia Sebagai Sasaran, Perkongsian Wanita Menetap Di Tanah Suci
Sejak Makkah kembali dibuka selepas pandemik semakin reda, ramai jemaah dari Malaysia membanjiri tanah suci. Bagi bakal jemaah yang ingin ke sini selain ingatan tentang ibadah seringkali juga mereka turut diingatkan tentang perihal scammer.
Tak dinafikan meski pun di berada di tanah suci, scammer atau kumpulan penipu ini tetap ada. Paling membimbangkan jemaah Malaysia selalu menjadi sasaran mereka.
Supaya tidak menjadi mangsa, perkongsian daripada Puan Masnira Ramli, warga Malaysia yang menetap di Arab Saudi ini boleh dijadikan panduan. Beliau berkongsi tentang ciri-ciri scammer yang selalu mendekati jemaah di Makkah supaya kita lebih berhati-hati.
Scammer alert di Makkah
Mutakhir ini jemaah umrah kembali memenuhi Makkah dan Madinah, maka muncullah kembali kumpulan penipu ataupun dipanggil scammer menggangu jemaah umrah terutama jemaah kita.
Kenapa mangsa ramai kalangan jemaah kita? Kerana orang kita biasanya sentiasa bersangka baik di dalam tanah haram, sentiasa menjaga akhlak dan juga sebolehnya tidak mahu sebarang perkara tidak baik berlaku. Itu lah beberapa sebab mengapa scammer sangat ‘gemar’dengan orang kita. Jadi hati-hatilah ya semua jemaah.
Ada yang berkata, “saya takut nak bersangka buruk. Risau malaikat yang sebenarnya menyamar dan mahu menguji kita di Makkah.” Di sini, saya cirikan beberapa jenis scammer yang muncul kebelakangan ini. Semoga dapat membantu semua supaya lebih berhati-hati.
1) Scammer Hajarul Aswad
Dulu hilang sekejap, kini dan keluar semula. Baru-baru ini beberapa orang terkena! Modus operandi mereka, akan offer bantuan untuk bawa jemaah cium Hajarul Aswad. Ya, memang akan dapat dengan cara menolak orang lain dan bertempur. Selepas itu, mereka akan mengenakan bayaran yang tak masuk akal. Beribu riyal pun ada.
2) Scammer “can u speak english?”
Ini jenis akal panjang boleh buat batu cincin. Buat cerita sedih. Ada yang siap bawa isteri dan anak dalam stroller. Jalan cerita lebih kurang sama bertahun-tahun, tak ada duit nak beli tiket balik. Duit semua habis kena curi. Nak makan pun tak ada duit dan minta kita dermakan. Bagi sikit dia akan minta lebih.
3) Scammer “saya ambilkan gambar, anda bayar!”
Scammer ini akan offer jemaah service ambil gambar guna camera polaroid mereka. Siap costume serban diletakkan secara tiba-tiba atas kepala kita. Lepas tu ambil gambar kita dalam keadaan paksa rela! Minta kita bayar. Bukan sikit ya tapi ratus-ratus. Entah muka kita jadi macam mana diambil. Ya lah, paksa rela kan. Entah-entah bibir muncung sedepa. Lagi nak suruh bayar! Kita selfie sendiri lagi cantik.
4) Scammer teksi
Tak semua tapi ramai saja yang kena. Pastikan jumlah berapa yang dipersetujui sebelum anda menaiki teksi. Kalau driver minta lebih, tegaskan jumlah yang dipersetujui sahaja.
5) Scammer pelajar Makkah dan minta duit
Ini yang terbaru saya baru dengar dari beberapa orang jemaah. Ada 2,3 orang approach dengan cerita yang sama. Katanya mereka adalah pelajar di Makkah, tunjuk wallet kosong dan minta kita berikan duit. Macam biasa, tidak mahu jumlah yang sedikit. Ada yang memaksa sehingga mengikut pergi ke ATM.
6) Scammer pengusaha Pusat Tahfiz di Makkah
Minta jemaah berhati-hati juga dengan scammer yang datang tegur di dalam masjid, memberitahu bahawa dia adalah seorang pengusaha sekolah tahfiz dan minta sedekah dengan kadar yang banyak! Khabarnya mereka sangat agresif sehingga memaksa ke ATM dan keluarkan duit. Saya rasa scammer pelajar dan pengusaha tahfiz ni mungkin dari kelompok yang sama.
Apakah yang perlu anda lakukan jika perkara ini terjadi?
Tegas dan elak. Jangan takut dan memberikan ruang untuk mereka mengambil kesempatan. Kalau mereka ikut, segera pergi ke polis atau guard yang terdekat. Mesti mereka akan lari dan tidak berani meneruskan penipuan. Sentiasalah berhati-hati ya!
Semoga bermanfaat
Sumber: Masnira Ramli
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sebaik-baik Doa Adalah Doa Di Hari Arafah, 9 Zulhijjah, Hari Doa Paling Mustajab
Hari ini adalah merupakan hari wuquf di Arafah bagi mereka yang berada di Tanah Suci. Hari Arafah adalah hari yang ke sembilan dalam bulan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah SWT serta mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dan merupakan hari kemuncak ibadah haji.
Puasa sunat pada hari Arafah atau juga dikenali sebagai Hari Wukuf boleh dilakukan oleh umat Islam di Malaysia pada hari Sabtu, 10 Ogos 2019 Masihi bersamaan 9 Zulhijjah 1440 Hijrah. Umat Islam di sunatkan berpuasa sunat Arafah pada tarikh ini memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji/Aidiladha pada hari Ahad 11 Ogos 2019 .
NIAT PUASA ARAFAH
ARAFAH
Arafah adalah nama salah satu tempat yang semua jemaah haji diwajibkan berwukuf di situ pada hari dan waktu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam sebagai salah satu daripada rukun haji.
Mengikut apa yang disebut dalam Tafsir Al-Qurtubi, terdapat beberapa pendapat ulama mengenai nama tempat itu sebagai Arafah antaranya ialah :-
1. Kerana di tempat itulah manusia berkenal-kenalan di antara satu sama lain pada hari wukuf.
2. Kerana Jibril a.s. telah membawa Nabi Ibrahim a.s. mengelilingi tempat itu dan memperlihatkan kepada baginda segala pemandangannya lalu berkata : “Adakah engkau kenal? Adakah engkau kenal?” Nabi Ibrahim pun menjawab, “Saya kenal. Saya kenal.”
3. Kerana Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa ketika diturunkan dari syurga di tempat yang berasingan, akhirnya mereka bertemu semula dan berkenal-kenalan di antara satu sama lain di tempat itu.
KELEBIHAN HARI ARAFAH
Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu, di antaranya ialah :-
- Ia merupakan hari kemuncak bagi ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah.” Ertinya, wukuf di Arafah merupakan satu rukun tertentu dalam ibadah haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.
2. Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hari yang Allah s.w.t. memerdekakan paling ramai hambaNya daripada api neraka ialah hari Arafah, dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka, kemudian Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman, “Apakah yang mereka kehendaki?
Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah taala melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikatNya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah, lantas berfirman, lihatlah kamu kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai, dan berdebu.” (Riwayat Muslim)
3. Ia merupakan hari Allah menyempurnakan agama dan mencukupkan nikmat untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menurunkan ayat 3 surah Al-Maidah pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. berada di Arafah, iaitu, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
4. Ia merupakan hari Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam a.s. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian.
Kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Riwayat Ahmad)
AMALAN SUNAT HARI ARAFAH
Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menggambarkan tentang kemuliaan, kelebihan dan keagungan hari Arafah. Sementara amalan-amalan sunat yang dituntut pada hari Arafah pula antaranya adalah:
1. Berpuasa sunat Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji kerana orang yang berpuasa pada hari itu, akan diampunkan dosanya selama dua tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap bahawa Allah akan mengampunkan dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)
2. Menjaga solat secara berjemaah, memperbanyakkan solat sunat dan qiamulail kerana semua ini merupakan ibadah-ibadah yang paling afdal bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana sesungguhnya tiap-tiap kali engkau bersujud kepada Allah, Allah akan mengangkatkanmu dengan sujud itu satu darjat dan menghapuskan daripadamu satu kesalahan.” (Riwayat Muslim)
3. Memperbanyakkan doa dan zikir, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah” Oleh itu, perbanyakkanlah doa pada hari itu untuk mendapat keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka, serta memperbanyakkan berzikir dengan zikir yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para nabi sebelum baginda sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Selain itu, rebutlah peluang kemuliaan yang ada pada hari Arafah ini dengan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir. Ibnu Umar r.a. berkata yang bermaksud, “Kami bersama dengan Rasulullah s.a.w. pada pagi hari Arafah lalu sebahagian dari kami bertakbir dan sebahagian yang lain bertahlil.” Para muslimin juga disunatkan bertakbir tiap-tiap kali selepas solat, bermula dari solat Subuh hari Arafah 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.
KESIMPULAN
Begitulah sebahagian dari kelebihan Hari Arafah dan Hari Raya Aiduladha yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi saw. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur, pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut.
Sumber kredit: [Petikan Khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud pada 9 September 2016] via canselori.umt.edu.my
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi- Apa Kata Mufti Wilayah
Ulamak berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadap sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. Riwayat Abu Daud (4031)
Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka.
Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat.
Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.
Berdasarkan hadis inilah, sebahagian ulamak mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.
Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.
Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.
Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت
Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.
Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan. Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan. Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut. Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut. Tidak berlakunya pembaziran.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah melihat hujahan dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.
Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian.
Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”
Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.
Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak.
Ingatlah juga firman Allah SWT:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ
Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’ara’: 88-89)
Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayahNya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI