Hubungan sesama manusia memang pelik. Ada waktu tengah gelak ketawa ria, sekelip mata boleh bermasam muka semata-mata kita tegur dan berterus terang.
Tak kiralah sama ada dengan pasangan, kawan hatta anak sekali pun. Itu yang ada ketikanya kita sanggup tidak tegur seseorang walaupun nampak dia telah lakukan kesilapan kerana ingin jaga hati punya hal.
Kalau berterusan begini, jawabnya boleh makan hati juga pada kita yang asyik nak jaga hati orang. Boleh mengundang stress. Bagi atasi dilema ini, pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, ada menghuraikan perihal ini dalam buku tulisannya; Ingat Syaitan Pernah Ambil MC?
Pilih Yang Lebih Ringan Kesannya
Menurut beliau, berterus terang dan menjaga hati, kedua-duanya mempunyai kesan positif dan negatif.
Dalam kaedah fekah, ada menyebut bahawa, di antara dua mudarat, pilih yang lebih ringan. Ini bermakna, kita sendiri boleh fikir tindak balas orang yang kita nak tegur itu.
Ads
Mungkin boleh guna kaedah ini dalam menegur seseorang. Situasi ini memang buat kita serba salah. Kalau berterus-terang kepada kita, dia akan kecil hati. Tapi kalau ingin menjaga hati dan tidak berterus-terang, maka kita akan membiarkan dia terus hanyut dalam dosa. Sanggup kah?
Takut-takut, kita pun terpalit dosa
Ads
Kalau ikut keutamaan, maka berterus-terang adalah jalan paling baik. Ini kerana kalau dosa kecil pun diulang-ulang dan beterusan, ia boleh jadi kesalahan besar.
Takut-takut, kita pun ikut sama berdosa sebab tak mahu tegur sebab takut hubungan keruh! Kalau boleh jangan lah jadi seperti ini ya.
Lebih gerun lagi, andai salah seorang daripada kita meninggal dunia, maka kita akan rugi kerana tidak sempat untuk membetulkan sahabat atau pasangan kita itu dan tidak sempat berubah menjadi orang yang lebih baik.
Ads
Lagi pilu kalau orang itu adalah anak kita sendiri. Menangis tepi bucu katil 10 tahun pun tidak akan boleh ubah keadaan.
Satu pesanan penting, masa nak buat teguran, kita kena berhikmah, ya lah, takut-takut situasi akan menjadi lebih buruk dan teruk. Berhikmah dalam teguran itu bermaksud berusaha menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu teguran. Kita mahu yang ditegur dapat menerima teguran dan berubah menjadi baik. Dia happy kita pun lega.
Hal ini ada di nyatakan dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:
“Serulah (manusia) kepada Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (Surah al-Nahl:125)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kita semua pastinya mendambakan pengakhiran yang baik bagi kehidupan dunia ini. Oleh yang demikian, para ulamak silam telah menyenaraikan beberapa tanda yang thabit daripada syara‘ bahawa ia sebahagian dari husnul khatimah.
Antara tanda tersebut apabila seseorang itu dapat mengucapkan kalimah tauhid sebelum meninggal dunia. Dalam pada itu ketika mendampingi seseorang yang nazak kita juga disaran untuk mengajar mereka kalimah syahadah.
Berkaitan perihal ini seorang netizen mengajukan persoalan tentang lafaz ungkapan yang boleh diajar kepada seseorang sedang nazak adakah dua kalimah syahadah atau kalimah tauhid?
Menurut penjelasan Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri, thabit daripada syara‘, bahawa seseorang yang sedang nazak hendaklah diajarkan kepadanya ucapan kalimah Tauhid, iaitu (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ).
Ini jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
Maksudnya: “Ajarkan orang-orang yang mati (sedang nazak) di kalangan kamu kalimah La Ilaha illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah).” Riwayat Muslim (917)
Dalam riwayat lain daripada Mu‘az bin Jabal R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang kalam terakhirnya adalah ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, maka dia akan masuk Syurga.”
Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan 2 kalimah syahadah kepada orang yang sedang nazak. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik R.A, beliau menceritakan bahawa Baginda SAW mempunyai seorang budak lelaki Yahudi sebagai khadam.
Rasulullah SAW melawatnya ketika dia jatuh sakit (nazak) dan duduk berhampiran kepalanya, seraya bersabda:
Maksudnya: “‘Peluklah Islam’, lalu budak itu melihat ke arah bapanya yang berada di sampingnya, maka bapanya berkata: ‘Taatilah Abu al-Qasim SAW’, lalu dia pun memeluk Islam. Nabi SAW pun keluar dan mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada Neraka’.”
Apabila meneliti dalil dan nas di atas, kami katakan bahawa kedua-dua ucapan di bawah ini sememangnya thabit dalam nas-nas syarak sebagai ucapan terakhir ketika sedang nazak:
Dalam pada itu, tidak menjadi masalah sekiranya orang yang telah sekian lama memeluk Islam untuk mengucapkan 2 kalimah syahadah. Perbincangan ini tidak lain hanya menyebutkan tentang afdhaliyyah atau keutamaan salah satu dari kedua ucapan ini sahaja.
Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
SOALAN:
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
JAWAPAN:
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai Muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur Muslim dan sahur Yahudi.
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w:
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء
“Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Sepanjang Ramadan dahulu, kita bersemangat menunaikan solat tarawih sebanyak 8 atau 20 rakaat. Alangkah sayangnya andai kekuatan ini dilenyapkan selepas berlalunya Ramadan.
Justeru sangat elok jika kita boleh menggantikan kekuatan menunaikan solat tarawih itu dengan solat sunat empat takaat selepas Isyak. Demikian terang Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.
Kata beliau, perkara ini juga dikatakan sering dilakukan oleh Rasulullah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Saidina Ibn Abbas ada menceritakan bagaimana Rasulullah setelah selesai menunaikan solat Isyak akan pulang ke rumah dan menunaikan solat sunat 4 rakaat. Kata beliau:
“Rasulullah menunaikan solat Isya, kemudian pulang ke rumahnya dan menunaikan solat (sunat) empat rakaat dan kemudian Baginda tidur.” (HR al-Bukhari)
Perkara ini turut disahkan oleh Saidatina Aisyah yang menyebutkan:
مَا صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ قَطُّ فَدَخَلَ عَلَيَّ إِلَّا صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَوْ سِتَّ رَكَعَاتٍ
“Tidaklah Rasulullah itu menunaikan solat isya melainkan Baginda akan pulang ke rumahku dan menunaikan solat sunat empat atau enam rakaat.” (HR Abu Daud)
Lebih luar biasa lagi Saidina Abdullah bin Mas’ud menganggap Solat Sunat Empat Rakaat selepas Isyak ini mempunyai ganjaran yang sangat besar seperti ganjaran Lailatul Qadar. Kata Saidina Abdullah bin Mas’ud:
مَنْ صَلَّى أَرْبَعًا بَعْدَ الْعِشَاءِ لَا يَفْصِلُ بَيْنَهُنَّ بِتَسْلِيمٍ، عَدَلْنَ بِمِثْلِهِنَّ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Barangsiapa menunaikan solat sunat selepas isya sebanyak empat rakaat dengan satu salam, maka pahalanya seumpama pahala Lailatul Qadar. (Athar diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah).
Bagaimana menunaikan solat sunat selepas Isyak? Ujar Dr Ahmad Sanusi berdasarkan hadis Abdullah bin Mas’ud di atas, solat ini dilaksanakan dengan empat rakaat dengan satu salam.
Manakala dalam hadis Ibn Abbas pula, Rasulullah mendidik sahabat menunaikannya secara dua rakaat-dua rakaat dengan bacaan surah al-Kafirun + al-Ikhlas dan al-Sajadah + al-Mulk. (HR al-Tabrani – dinilai daif)
Solat sunat empat rakaat ini adalah tambahan dari solat sunat rawatib. Ini kerana hadis mengenai solat sunat rawatib yang diriwayatkan oleh Ibn Umar hanya menyebutkan dua rakaat selepas Isyak. Empat rakaat ini seakan-akan tambahan dari dua rakaat tersebut.
“Oleh yang demikian, sekiranya kita masih mempunyai kekuatan Tarawih seperti dalam Ramadan yang lalu, teruskan dengan menunaikan solat sunat selepas isya’ sebanyak 4 rakaat,” pesan Dr Ahmad Sanusi.
Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang melihat sedekah dalam kerangka yang sempit. Apabila disebut tentang sedekah, gambaran yang terlintas di fikiran kebiasaannya ialah pemberian...