
Sejak semalam rayuan seorang ibu anak enam yang menyara kehidupan keluarga dengan berniaga burger dengan pendapatan tidak sampai RM50, Dayana Mohamad tular di media sosial khususnya aplikasi tik tok.
Dalam linangan air mata, Dayana menunjukkan situasi ibunya yang lumpuh seluruh badan terbaring di atas katil dan apa yang mengecewakan dirinya borang permohonan bantuan kewangan untuk membeli susu dan lampin pakai buang ibunya sudah dua kali dikemukakan kepada pihak berkuasa khususnya Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan kebajikan Masyarakat negeri namun tiada jawapan dari pihak berkuasa.
Lebih menyedihkan borang permohonannya tahun lepas didapati hilang dan dirinya kembali mengisi termasuk sudah memenuhi apa yang diinginkan. Tapi sayang, permohonannya tiada jawapan. Lebih menyedihkan katanya, adakah dirinya perlu meminta bantuan dari pihak gereja berikutan kewangan yang menghimpit?.
Di sebalik linangan air mata dirinya, hari ini dengan kuasa viral yang ada, pihak berkuasa sudah turun menziarahinya di rumah.
Dalam satu penjelasan memetik portal Majoriti, katanya, dia sudah membuat permohonan berkenaan sejak dua tahun lalu.
“Sebelum ini saya tinggal di Kuala Lumpur dan membuat permohonan di sana sebelum berpindah ke Teluk Intan, Perak.
“Saya jangkakan permohonan saya sudah di proses tetapi sudah dua tahun tidak ada sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya.
Dayana memberitahu pihak JKM sudah datang ke rumahnya dan memaklumkan bahawa mereka akan segera menguruskan permohonan tersebut.
Bagi permohonan LPZ pula Dayana memberitahu, dia sudah dihubungi dan dimaklumkan bahawa berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan permohonannya masih belum diproses.
“LPZ Perak memberitahu bahawa berlaku salah faham yang mana mereka sebenarnya tidak menerima sebarang borang prmohonan daripada pihak LPZ Kuala Lumpur.
“Oleh yang demikian, mereka tidak dapat berbuat apa-apa tentang perkara tersebut dan akan menguruskan permohonan saya secepat mungkin,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.
Katanya lagi, dia berterima kasih kepada orang ramai yang membantu berkongsi videonya kerana jika ia tidak tular belum tentu pihak berkaitan akan memberi respon dengan segera.
Alhamdullillah, semoga urusan keluarga ini dipermudahkan Allah, begitu juga pihak berkuasa.
‘Mengucap Dua Kalimah Syahadah Di Katil Hospital.’ Gadis Ini Pergi Selepas 13 Hari Peluk Islam

‘Mengucap dua kalimah syahadah di katil hospital.’ Gadis ini pergi selepas 13 hari peluk Islam. Benarlah hidayah itu milik sesiapa saja bila Allah berkehendak.
Untungnya gadis ini pergi selepas dia dikurniakan hidayah dan pergi sebagai Islam. Salam takziah buat keluarganya. Al-Fatihah.
Artikel Berkaitan: Meninggal Dalam Lafaz Syahadah, Dijemput Illahi Selepas 18 Hari Peluk Islam
Mengucap Dua Kalimah Syahadah
“Sudah lama anak berminat dengan Islam, tetapi hasrat itu tertangguh sebaik dia dimasukkan ke hospital kerana menjalani rawatan akibat penyakit SLE (auto imun) sejak sebulan lalu,” kata Hanna Zulaikha Abdullah, 51.
Menurut Hanna Zulaikha, dia terlebih dahulu memeluk agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan, pada 3 Ogos lalu.
Di Katil Hospital
Sementara, anak perempuannya, Fatimah Abdullah, 25, memeluk agama Islam pada 8 September lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
“Arwah sendiri memilih nama Fatimah sebaik mengucapkan dua kalimah syahadah di katil hospital baru-baru ini.
“Wajahnya nampak ceria dan dia memberitahu jiwanya terasa tenang seolah-olah baru dilahirkan walaupun ketika itu sedang sakit,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale di sini, hari ini.
Gadis Ini Pergi
Hanna Zulaikha berkata, walaupun sedih dengan pemergian anaknya pada 20 September lalu, namun dia bersyukur kerana Fatimah ‘pergi’ selepas memeluk agama Islam.
“Ketika nazak, arwah anak sempat menyebut nama Allah dengan terang yang membuatkan saya benar-benar terharu,” katanya.
Baca Di Sini:
“Mimpi Wanita Berpakaian Putih Datang”!, Nenek Jaga Dua Cucu Islam Mahu Mati Dalam Syahadah
“Bagi Gula-Gula, Mereka Akan Bersyahadah Kembali”, Ustaz Kongsi Kisah Masyarakat Bajau Laut Sabah
Selepas 13 Hari Peluk Islam
Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak Pusat Dakwah Islamiah, Paroi yang membantu menguruskan pengebumian arwah Fatimah.
Katanya, jenazah anaknya baru dapat dikebumikan semalam kerana perlu melalui pelbagai prosedur perubatan, selain perlu disahkan bebas Covid-19.
Sementara itu, petugas pengurusan saudara baru, Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Fathiah Doris Abdullah berkata, dia dihubungi ibu arwah memaklumkan anaknya yang sedang menerima rawatan di hospital ingin memeluk agama Islam.
“Saya bersama rakan pejabat terus ke hospital untuk menunaikan hasrat arwah,” katanya.
Kashoorga : Semoga ibunya tabah menerima ujian ini dan terus kuat meneruskan kehidupan.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Kenal Pasti Tanda-Tanda Seseorang Individu itu Terkena Penyakit Ain, Salah Satunya Dibenci Ahli Keluarga

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Ianya boleh terjadi dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata: ‘Ain adalah pandangan hasad dari tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya. (Fath al-Baari, 10/200)
Dalam Irsyad al-Hadith Siri Ke-5, pihak mufti berpegang bahawa penyakit ‘ain ini ada asasnya dan ianya disebut dalam hadis dan diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim (Muttafaqun ‘alain) bahkan ianya berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Penyakit ini pernah menimpa sahabat Nabi SAW, Sahl bin Hunaif tatkala terkena ‘ain Amir bin Rabi’ah.
Dalam perkembangan dunia sosial hari ini, semuanya dihujung jari. Masing-masing seronok berkongsi perihal diri masing tanpa sedar ada ‘mata-mata’ yang memerhati.
Kehidupan peribadi bukan sahaja menjadi tatapan orang, malah tanpa disedari, kita sebenarnya telah terdedah dengan keburukan-keburukan yang tersembunyi daripada orang lain seperti dengki dan iri hati. Dalam Islam, perkara ini dipanggil ‘ain atau ‘penyakit ‘ain’
Berikut perkongsian Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah tentang penyakit ain.

Ustaz kongsikan ilmu penting tentang penyakit ain dari Group Ruqyah Syar’iyyah Malaysia.
TANDA-TANDA SESEORANG TERKENA PENYAKIT AIN
1. Rasa sakit kepala yang berpindah-pindah dan bertambah sakit ketika diruqyah.
2. Wajah menguning atau pucat.
3. Banyak keringat dan buang air kecil.
4. Tidak bersemangat.
5. Tangan dan kaki kesemutan.
6. Badan terasa panas (gerah) meskipun cuaca tidak panas.
7. Jantung berdetak cepat.
8. Rasa sakit yang berpindah-pindah antara leher dan punggung.
9. Sedih tanpa sebab.
10. Sulit tidur di malam hari.
11. Emosi tidak stabil, marah yang meledak-ledak atau muncul rasa takut yang berlebihan tanpa sebab.
12. Sering mimpi buruk.
13. Sering sendawa dan menguap.
14. Rasa sempit (sesak) di dada.
15. Ujung-ujung mata terasa sangat pedih.
16. Tiba-tiba menangis dan mengeluarkan air mata tanpa sebab yang jelas.
17. Jari jari gemetar dan bergerak-gerak sendiri.
18. Kejang otot.
19. Merasa lemas dan lemah.
20. Kadang-kadang muncul rasa dingin di ujung-ujung jari.
21. Muncul bekas warna kebiruan atau kehitaman tanpa sebab medis.
22. Kehilangan harta dan barang dagangan (bisnes hancur).
23. Dibenci oleh keluarganya, teman-temannya dan orang-orang yang mengenalnya.
24. Kehilangan kedudukan, jabatan dan pekerjaan.
Tanda-tanda ini akan ditemukan semua atau sebahagiannya tergantung kekuatan pengaruh Ain tersebut dan jumlah orang yang melakukannya.
Tanda-tanda ini ada yang muncul sebelum dibacakan ayat-ayat ruqyah dan ada yang muncul ketika proses ruqyah syariah.
Jika diperhatikan sebahagian tanda-tanda itu sama dengan tanda-tanda gangguan jin dan sihir. Memerhatikan tanda-tanda ini dan membezakannya memerlukan pengalaman.
Tidak semua perkara perlu dipertontonkan kepada umum. Bersederhanalah dalam setiap perkara itu lebih baik dan dapat menjauhkan diri kita dari keburukan-keburukan di sekeliling.
Jika di dapati ada tanda-tanda seperti di atas, segeralah mencari penawarnya melalui cara perubatan Islam. Jangan terus dibiarkan tanpa sebarang rawatan pemulihan.
Rujukan utama:
Buku Sembuh Dengan Ruqyah oleh Husain Al Mubarak dan Bukhari Abdul Muid. Ms 227-228.
Buku Sembuhkanlah Penyakitmu Dengan Ruqyah Syar’iyyah oleh Abdullah bin Muhammad As-Sadhan. Ms 87-88.
Buku Setan Di Antara Dengki & Ain oleh Syaikh Abu Baraa Usamah bin Yasin Al-Maani. Ms 131-132.
Sumber Kredit: Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah dan tzkrh.com
VIDEO KASHOORGA:
Fitnah Dajjal Akan Menakluk Seluruh Dunia, Hanya Dua Kota Mulia Terselamat. Beruntung Penghuninya

Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini.
Dajjal dikatakan akan menakluki semua kota yang ada di dunia kecuali dua iaitu Makkah dan Madinah kerana dua kota ini dijaga oleh dua Malaikat yang akan menghalang Dajjal dari memasukinya.
Apa dia dajjal?
Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.
-
Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
-
Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
-
Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
-
Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu.
Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
-
Seorang manusia.
-
Rambutnya kerinting dan kusut masai.
-
Sebelah daripada matanya buta.
-
Tertulis pada dahinya كفر (kufur).
Nas Hadis Berkenaan Dajjal
Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…
Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir… Riwayat Muslim (7550)
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW menceritakan Dajjal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ ، أَلا إِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.” Riwayat al-Bukhari (3184)
Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya:
إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّى أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ
Maksudnya: Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn. Riwayat Muslim (7560)
Daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي قَدْ حَدَّثْتُكُمْ عَنِ الدَّجَّالِ حَتَّى خَشِيتُ أَنْ لاَ تَعْقِلُوا ، إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ ، أَفْحَجُ ، جَعْدٌ ، أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ ، لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ ، وَلاَ حَجْرَاءَ ، فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ ، فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.”
Riwayat Abu Daud (4320) dan Ahmad (2344)
Mengapakah Tidak Disebut Lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?
Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincangkan berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. (Surah al-An’am: 158)
Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Di manakah Dajjal Akan Keluar?
Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan[2] (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:
Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”.
Riwayat al-Tirmizi (2237). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih.
Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ إِنَّهُ فِى بَحْرِ الشَّامِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ما هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ». وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ.
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur.. Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.” Riwayat Muslim (7573)
Bilakah Muncul Atau Keluarnya Dajjal?
Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. (Surah al-A’raf: 186)
Tertib Kemunculan Dajjal Antara Alamat Kiamat
Syeikh al-Mubarakfuri berkata:
اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 346/6)
Apakah Kesudahan Daripada Fitnah Dajjal Ini?
Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu.
Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.
Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.
Petunjuk Nabi SAW dalam Menghadapi Fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”.
Riwayat Muslim (1342)
Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). (Lihat Al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/403)
Penutup
Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. Riwayat Muslim (588)
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.
Nota Hujung:
[1] Beliau ialah Abd al-'Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza'i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza'ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?" Lalu Nabi menjawab, "Tidak, engkau muslim sedang dia kafir" adalah tambahan yang da'if daripada riwayat al-Mas'udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta'liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).
[2] Khorasan Raya (juga dieja Khorasaan, Khurasan dan Khurasaan) adalah istilah moden untuk wilayah timur Iran kuno atau Parsi sejak abad ke-3. Khorasan Raya meliputi wilayah yang kini merupakan sebahagian wilayah-wilayah dalam negara-negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Khorasan Raya meliputi Nishapur, Tus (kini di Iran), Herat, Balkh, Kabul dan Ghazni (kini di Afghanistan), Merv (kini di Turkmenistan), Samarqand, Bukhara dan Khiva (kini di Uzbekistan), Khujand dan Panjakent (kini di Tajikistan). (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Khorasan_Raya)
[3] Syeikh Muhammad Abduh pernah ditanya tentang Dajjal dan terbunuhnya ia oleh Nabi Isa AS, beliau menjawab "Sesungguhnya Dajjal merupakan simbol khurafat, penyimpangan dan kejahatan yang mengubah penetapan Syariah daripada bentuknya…" (Lihat Tafsir al-Manar 3/317) Pendapat sama juga dikemukakan oleh Muhammad Fuhaim Abu ‘Ubayyah. (Lihat Ta’liq al-Bidayah wa al-Nihayah,1/152) Sumber :- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan