Uban jadi cahaya di hari kiamat, makruh hukumnya kalau cabut walaupun gatal sangat!
Kongsi Ustaz Ahmad Dusuki, uban atau rambut putih merupakan suatu hal yang biasa dialami oleh semua orang yang umurnya semakin tua.
Uban Jadi Cahaya
Tumbuhnya uban di kepala merupakan salah satu isyarat daripada Allah SWT bahawa di dunia ini tidak ada manusia yang hidup selamanya-lamanya.
Seseorang yang menyedari bahawa uban telah tumbuh di kepala, maka sebaiknya dia tidak lagi berangan-angan dan terbuai oleh mimpi-mimpi duniawi yang berpanjangan.
Seharusnya ia perlu memantapkan diri dengan ibadah kepada Allah SWT serta menjauhkan diri daripada melakukan dosa-dosa kecil sebanyak mungkin apatah lagi dosa besar.
Di Hari Kiamat
Apakah hukum mencabut uban?
Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada larangan mencabut uban. Di dalam sebuah riwayat daripada Amru bin Shu’aib daripada bapanya daripada datuknya berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.
Manakala dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W menyatakan:
Maksudnya: Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.
Riwayat Abu Daud (4202)
Makruh Hukumnya
Berdasarkan kedua-dua riwayat di atas, para fuqaha menjadikan larangan yang terdapat di dalam hadis tersebut sebagai hujah akan makruhnya perbuatan mencabut uban. Imam Al-Nawawi Rahimahullah berpendapat akan makruhnya perbuatan mencabut uban berdasarkan hadis Amru bin Shu’aib yang kami nyatakan di atas.
Kata beliau: Para ashab kami (Al-Syafieyyah) mengatakan bahawa ianya (perbuatan mencabut uban) adalah makruh. Ini disebutkan secara jelas oleh Imam Al-Ghazali, Imam Al-Baghawi, dan selainnya.
Bahkan jika dikatakan haram sekalipun disebabkan larangan yang sarih (jelas) lagi sahih dalam hadis tersebut maka pendapat ini tidak jauh dari kebenaran. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/292).
Kata-kata Imam Al-Nawawi di hujung perenggan di atas adalah berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:
النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم
Ads
Maksudnya: Larangan itu membawa kepada hukum pengharaman.
Sekalipun pada asalnya setiap larangan itu membawa hukum haram, akan tetapi dalam isu ini hukumnya beralih kepada makruh disebabkan terdapatnya qarinah lain. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.
Riwayat Muslim (2341)
Maka jelas dalam hadis di atas ini, bahawa hukum mencabut uban di sisi sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Anas bin Malik R.A adalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram.
Kalau Cabut
Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:
Kata para ashab kami (Al-Syafieyyah) dan juga para ashab Malik, hukumnya (mencabut uban) adalah makruh dan ia tidaklah haram. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (15/487).
Ads
Kelebihan Memiliki Uban
Hakikatnya, larangan mencabut uban itu adalah disebabkan beberapa fadhilat atau kelebihan yang diperoleh bagi sesiapa yang mempunyai uban. Di antaranya, dalam sebuah riwayat daripada Amru Bin ‘Abasah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Sesiapa yang tumbuh satu uban di jalan Allah maka uban tersebut adalah cahaya untuk dirinya pada hari kiamat.
Riwayat Al-Tirmizi (1635)
Di dalam hadis di atas, sekalipun terdapat kenyataan tumbuh satu uban di jalan Allah, akan tetapi ia terkait dengan hadis Amru bin Shuaib yang menyatakan:
Tumbuh satu uban di dalam Islam. Perbezaan di antara kedua riwayat ini penting untuk dijelaskan kerana, hadis Amru bin Syuaib lebih umum meliputi uban yang tumbuh sama ada di dalam jihad atau selainnya.
Walaupun Gatal Sangat!
Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:
Cahaya tersebut adalah keterangan dan juga diselamatkan daripada kegelapan dan kesukaran di mauqif. Imam Al-Manawi pula berkata: Rambut seseorang itu menjadi cahaya yang memberi petunjuk kepada dirinya.
Uban itu, sekalipun ianya bukan hasil daripada usaha seseorang hamba, akan tetapi sekiranya ia terhasil disebabkan perbuatan berjihad di jalan Allah, atau perasaan takut kepada-Nya maka ia termasuk di dalam usaha seseorang. Lihat Tuhfat Al-Ahwaazi, Al-Mubarakfuri (5/215).
Kesimpulan:
Setelah kami menekuni beberapa hujah dan dalil di atas, kami berpandangan bahawa hukum mencabut uban adalah makruh. Namun perlu juga dijelaskan supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan, bahawa jika seseorang yang beruban itu memotong rambutnya maka hukumnya adalah harus kerana itu tidak dianggap sebagai mencabut uban. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama.
Kashoorga: Uban itu secara tak langsung mengingatkan diri bahawa kita semakin hampir dengan kematian. Oleh itu bersiaplah untuk bekalan di sana nanti.
Berhati-hati dengan orang bersikap talam dua muka, ahli neraka tempatnya. Mulut manis, pandai berlakon, tiada simpati dan susah menerima teguran antara ciri-ciri orang yang bersikap talam dua muka.
Dalam erti kata lain, pandai bermuka-muka demi kebaikan dan kepentingan sendiri hingga sanggup menjatuhkan serta mengaibkan orang lain tanpa rasa bersalah.
Hidup seakan penuh drama dan penipuan tetapi si talam dua muka ini sememangnya tiada rasa malu dan takut dengan perbuatan yang telah dilakukan. Padahal ketahuilah balasan Allah kelak bagi orang seperti ini.
Ikuti kemusykilan yang dirungkaikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tentang kesahihan hadis yang menyebutkan tentang orang bertalam dua muka di akhirat mempunyai dua muka daripada neraka.
Soalan:
Salam, boleh saya tahu ada tak hadis yang menyebutkan bahawa orang bertalam dua muka akan datang pada hari akhiratnya dengan mempunyai dua muka daripada neraka?
Bersikap Talam Dua Muka
Dewasa ini, masyarakat Islam khususnya di Malaysia semakin berhati-hati terhadap sesuatu berita yang mereka terima sama ada secara lisan mahupun bacaan.
Sikap sebegini harus dipuji kerana Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa bertabayyun(meneliti fakta) dalam setiap berita yang diterima. Hal ini kerana, tidak semua berita yang diterima adalah benar.
Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Memadai seseorang itu dianggap sebagai pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.”- Riwayat Muslim.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, adakah terdapat hadis yang menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka akan datang di hari akhirat dengan dua muka?
Setelah carian dilakukan, benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan manusia yang talam dua muka.
Ahli Neraka Tempatnya
Namun dalam hadis tersebut tidak mengatakan bahawa manusia yang talam dua muka akan datang pada hari akhirat dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemkian.
Hadis tersebut merupakan hadis riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam dalam karya-karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
Kami mendapati sejahat-jahat manusia adalah manusia yang bermuka-muka, dia mendatangi satu kumpulan dengan satu muka dan mendatangi kumpulan lain dengan muka yang lain.- Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa orang yang talam dua muka merupakan seorang yang memiliki sifat munafik.
Perkara ini sebagaimana yang beliau sebutkan dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, kata beliau:
Maksudnya:
Sabda SAW yang menyebutkan bahawa manusia yang mempunyai dua muka merupakan manusia yang jahat kerana ia merupakan sifat munafik, bohong dan dia berhelah untuk mendapatkan rahsia daripada dua kumpulan.
Perbuatan Bermuka-Muka
Dia mendatangi setiap kumpulan dengan apa yang mereka suka dan diceritakan kepada kumpulan itu dan daripada cerita itu ada yang baik dan ada yang buruk. Perbuatan bermuka-muka seperti ini diharamkan.
Benar terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka. Hadis tersebut ialah riwayat Abu Hurairah RA dan ia boleh ditemui dalam beberapa karya hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad dan lain-lain.
Namun dalam hadis tersebut tidak dinyatakan bahawa orang yang bersikap dengan sikap talam dua muka, di akhirat kelak dia akan datang dengan dua muka daripada neraka kerana sikapnya di dunia sedemikian.
Kita sering mendengar lelaki akan segera berkahwin selepas bercerai khususnya pada yang semasa perkahwinan mempunyai hubungan cinta. Cuma yang biasa bertahan orang wanita kerana mereka memikirkan banyak perkara termasuk mahu besarkan anak-anak selain trauma dengan hubungan lalu.
Jika orang perempuan mempunyai tempoh iddah selepas bercerai, ada atau tak iddah bagi orang lelaki? Mufti Wilayah Persekutuan menjawap soalan berkaitan berkaitan iddah orang lelaki.
Mohon ustaz terangkan iddah orang laki. Biasa kita dengar iddah orang perempuan sahaja.
Jawapan:-
Sebelum dijelaskan jawapan bagi persoalan ini, dikemukakan terlebih dahulu takrifan bagi iddah dan nas syarak yang berkaitan dengannya.
Pengertian Iddah
Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.
Dalil Berkaitan Dengan Iddah
Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah: 234)
Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami:
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.” (Surah at-Talaq: 4)
Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian. Namun, bagi golongan lelaki pula mereka tidak mempunyai tempoh iddah sepertimana iddahnya wanita. Tetapi dalam hal-hal yang tertentu, lelaki juga mempunyai tempoh untuk dia tidak mengahwini wanita lain atau wujudnya penghalang untuk dia berkahwin. Dalam kitab ada menyebut bahawa ulama fiqh berpandangan bahawa iddah tidak wajib bagi lelaki. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 29/306)
Berikut dibentangkan beberapa keadaan iddah bagi lelaki, antaranya:
Lelaki yang mempunyai empat orang isteri.
Apabila dia telah menceraikan salah seorang isterinya maka dia tidak boleh berkahwin lain melainkan selepas isteri yang dicerainya itu habis iddah talak raj’ie (cerai yang masih boleh rujuk).
Masih mempunyai pertalian dalam keluarga isteri.
Seorang suami tidak boleh mengahwini kakak isterinya atau ibu saudara isterinya melainkan selepas habis iddah talak raj’ie isterinya. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Ramai ambil ringan bab solat dalam kapal terbang.’ Begini tatacara solat fardu atas pesawat. Sebenarnya walaupun kita dalam keadaan musafir, jangan sesekali tinggalkan solat.
Malah terdapat beberapa keringanan dalam menunaikan solat bila kita berjalan jauh termasuk dapat jamak dan qasarkan solat. Namun bagaimana pula kita nak solat di dalam kapal terbang, mana nak tahu arah kiblat?
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun dan hadam penjelasan tentang cara solat di atas kapal terbang.
Ramai yang tak tahu atau tak nak ambil tahu?
Tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai orang terlepas pandang.
Sudahnya Tinggal Sembahyang
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang.
Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Begini Caranya
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada.
Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah.
Atas Kapal Terbang
Malah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?
Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:
Maksudnya:
“Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
APAKAH HUKUM BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA?
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
BAGAIMANA CARA MENGETAHUI WAKTU SOLAT KETIKA BERADA DI ATAS KAPAL TERBANG?
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang.
Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.
Qada solat atau solat sunat, mana satu yang lebih utama dilakukan? Ini mungkin persoalan buat mereka yang banyak meninggalkan solat satu ketika dahulu namun...