Agama menuntut umatnya mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal bagi memenuhi tuntutan dan keperluan hidup sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga atau orang-orang yang di bawah tanggungan kita. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168:-
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ
صدق الله العظيم
“Wahai manusia! Makanlah makanan dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
Ada banyak cara mencari rezeki termasuk berniaga atau makan gaji. Contoh terbaik ialah Rasulullah SAW yang memperdagangkan barangan Siti Khadijah dengan penuh jujur dan amanah dan memperoleh untung besar dan berlipat ganda.Juga jodoh keduanya sudah tertulis.
Prinsip jujur dan amanah adalah sangat penting kerana ia mencegah perbuatan mungkar dan dosa. Rezeki boleh jadi haram jika jual barang yang sudah rosak, menjual barang yang telah luput atau mansuh tarikhnya, mengurangkan sukatan timbangan dan sebagainya termasuklah menipu dari segi marketing. Sesungguhnya agama menegah melakukan sebarang tipu daya atau helah ketika berjual beli.
Bayangkan di bulan Ramadan, ramai mencari rezeki berniaga di bazar. Orang yang datang membeli dan mengeluarkan belanja tentu mengharapkan makanan di jual sesuai dengan harga dikeluarkan.
Di Tik Tok @Arif Eddy berkongsi donut bomboloni inti oksigen dibelinya dan menulis sedihnya dapat penjual macam nie. Kejam sungguh.
Dirinya mengharapkan donut bomboloni berisi inti blueberi, coklat dan sebagainya ada isi di dalamnya tetapi malangnya bila dibelah dua, dalamnya kosong. Hanya ada secuit inti di bahagian atas.
Bila berkongsikan video berkenaan, ia mendapat respon dari pengguna lain yang menceritakan pengalaman sama iaitu rasa tertipu membeli makanan dan meminta agar peniaga bersikap jujur dalam hal ini. Hingga ada yang menulis peniaga kecil minta disupport tapi bila dah support ia tidak seperti diharapkan.
Para peniaga mungkin mengejar keuntungan tapi sebelum meneruskan cara perniagaan begini, fahami surah Al-Hud ayat 86 yang menyebut:-
Ads
Surah Hud ayat 86:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بَقِيَّتُ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن ڪُنتُم مُّؤۡمِنِينَۚ وَمَآ أَنَا۟ عَلَيۡكُم بِحَفِيظٍ۬
صدق الله العظيم
“Limpah kurnia (keuntungan yang halal daripada) Allah lebih baik bagi kamu (daripada harta yang haram walaupun banyak) jika benar kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah penjaga kamu (tetapi hanyalah sebagai pemberi peringatan).
Adab dalam perniagaan seperti ditulis oleh Imam Al Ghazali.
Imam Al-Ghazali ada menyatakan di dalam kitabnya Al-Adabu Fiddin mengenai adab-adab ahli perniagaan, antaranya:
Pertama: Jangan mengurangkan sukatan atau timbangan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Mutaffin ayat 1-3:
Ads
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَيۡلٌ۬ لِّلۡمُطَفِّفِينَ (١) ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ (٢) وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ (٣)
صدق الله العظيم
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangnya.”
Manusia memang ada kekurangan dan tidak mustahil berlaku kesilapan namun bukan selalu kerana ia boleh jadi haram jika itulah niat awal kita berniaga.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Qais bin Abu Gharazah Radiallahu Anhu, baginda bersabda:
يا معشر التجار إن الشيطان والإثم يحضران البيع، فشوموا بيعكم بالصدقة {رواه الإمام الترمذى}
Maksudnya:-
Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu selalu mendatangi jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah.”
Ads
Kedua: Jangan berbohong dan menipu dalam urusan perniagaan.
Ketiga: Jauhi pertengkaran dengan pelanggan.
Keempat: Jangan melanggar perintah agama seperti meninggalkan sembahyang semata-mata kerana sibuk menguruskan perniagaan, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya.
Jika para peniaga menginginkan harta yang berkat lagi halal maka para peniaga hendaklah menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang diredhai Allah Subhanahu Wata’ala.
Sesungguhnya perkara yang sangat penting dalam mencari rezeki ituialah keberkatan. Rezeki yang sedikit tetapi diberkati Allah itu adalah lebih baik berbanding dengan rezeki yang banyak tetapi tidak mendatangkan manfaat dan berkat.
Sebab itulah peniaga faham berkaitan sumber rezeki diperoleh. Orang yang mendapat rezeki daripada sumber yang tidak halal akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
عن خولة الأنصارية رضى الله عنها قالت: سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: إن رجالا يتخوضون فى مال الله بغير حق فلهم النار يوم القيامة {رواه الإمام البخارى}
Maksudnya: Daripada Khaulah A-Ansariah Radiallahu Anha ia berkata: Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Bahawasanya orang yang mencampur-adukan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat siksaan api neraka pada hari kiamat kelak.
Kebanyakan orang yang memiliki lesung pipit akan kelihatan manis apabila tersenyum. Lesung pipit merupakan lekukan yang ada pada bahagian pipi dan hanya 20 peratus sahaja manusia di dunia ini memilikinya.
Sungguh bertuah orang yang dianugerahkan lesung pipit kerana ternyata orang berlesung pipit ini selalu mendapat perhatian kerana kelihatan manis dan tampan saat tersenyum.
Antara artis terkenal yang memiliki lesung pipit ini ialah Hisyam Hamid, Anuar Zain, Shukri Yahaya, Wawa Zainal, Preity Zinta dan ramai lagi.
Namun, ada sebahagian daripada 80 peratus manusia tanpa lesung pipit berhasrat memilikinya dan berusaha untuk memiliki lesung pipit buatan!
Bagaimana agaknya dan apakah hukumnya? Ayuh kita baca ulasan Mufti.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan:
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum.
Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua.
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.
Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku. Walaubagaimanapun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَاللَّهُالْوَاشِمَاتِوَالْمُسْتَوْشِمَاتِوَالنَّامِصَاتِوَالْمُتَنَمِّصَاتِوَالْمُتَفَلِّجَاتِلِلْحُسْنِالْمُغَيِّرَاتِخَلْقَاللَّهِ Maksudnya: Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. Riwayat Muslim 2125
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377). Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِlil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah
وَأَمَّاقَوْلُهُالْمُتَفَلِّجَاتُلِلْحُسْنِفَمَعْنَاهُيَفْعَلْنَذَلِكَطَلَبًالِلْحُسْنِوَفِيهِإِشَارَةٌإِلَىأَنَّالْحَرَامَهُوَالْمَفْعُولُلطلبالحسنأمالواحتاجتإِلَيْهِلِعِلَاجٍأَوْعَيْبٍفِيالسِّنِّوَنَحْوِهِفلابأسواللهأعلم Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.
Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107)
Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Kesimpulannya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram.
Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.
Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi.
Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya
Baru masuk tahun 2020 ini rasanya masih belum terlambat untuk kita mula menabung bagi memastikan kewangan keluarga kukuh dan terjamin.
Untungnya kalau menabung dari sekarang, bila hujung tahun nanti wang simpanan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.
Antaranya boleh untuk pergi bercuti ataupun bagi yang belum berkahwin boleh menampung perbelanjaan.
Pelbagai tekik boleh dilakukan untuk menabung dan salah satunya melalui perkongsian oleh seorang pengguna laman sosial facebook Nik Nur Alif.
Menurutnya teknik digunakan memolehkan seseorang itu memperoleh RM3,306. Jumlah itu sudah cukup berbaloi dan memadai jika kita boleh melakukan simpanan dengan disiplin yang kuat.
Ayuh kita lihat bagaimana teknik digunakan wanita ini.
Nak simpan duit setahun RM3,306?
Jika tahun 2019 kita terkandas untuk simpan duit, takpa tahun 2020 ni kita pulun sehabis baik sampai jadi.
Bawah ni saya ada tips yang kita boleh ikut untuk simpan duit setahun RM3,306.
RM1 – Setiap hari masuk tabung. Total setahun RM366.
RM5 – Setiap minggu simpan 2 keping. Total setahun RM520.
RM10 – Setiap minggu simpan 2 keping. Total setahun RM1040.
RM20 – Setiap bulan simpan 2 keping. Total setahun RM480.
RM50 – Simpan ikut bulan ganjil (Jan, Mac, Mei, Jul, Sep, Nov).Total setahun RM300
RM100 – Simpan ikut bulan genap (Feb, Apr, Jun, Ogos, Okt, Dis).Total setahun RM600
Jumlah keseluruhan setahun RM3,306. Banyak benda kita boleh buat dengan duit banyak tu. Plan elok-elok, elakkan pembaziran
Plan tukar kepada aset emas pun boleh, kalau ikut harga hari ni RM214, dah boleh dapat 15 gram. InsyaAllah duit tu akan bertahan lebih lama.
Nik Nur Alif Faisal -Suka simpan duit dan emas
#TipsKewangan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Tatkala bertemu dengan orang tua terutama kalangan saudara mara ramai yang tidak kisah bersalaman dengan mereka walau bukan mahram.Ini kerana ada pandangan mengatakan tidak...