Tiada apa yang lebih rindu bila kita kehilangan orang disayangi. Inilah yang dikongsikan oleh pendakwah terkenal, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa yang meluahkan rasa rindu pada arwah abahnya, Tuan Guru Ustaz Haji Musa bin Salleh, 85 yang telah pergi menemui pencipta pada 20 September 2021, tepat jam 12.05 tengahmalam isnin lalu akibat sakit tua dan telah 15 tahun diuji dengan sakit yang kerap dan berpanjangan.

Dikongsi di instagramnya, @ustazahnorhafizahmusa, pendakwah ini berkongsi kebaikan dilakukan oleh arwah bapanya yang lebih 40 tahun 40 tahun mendambakan diri untuk pendidikan dan dakwah di seluruh Negeri Sembilan. Kerjaya sebagai guru agama , guru al-Quran dan guru Bahasa Arab mendarah daging dalam dirinya.

Dikebumikan di kampung halamannya di Teratak Baiti Jannati di Kuala Jempol, diiringi anak, menantu dan cucu, semua urusan dapat dilaksanakan termasuk 30 anak cucu menyempurnakan bacaan 30 juzuk untuk abah/ atuk tercinta.

Dalam perkongsiannya lagi, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa memaklumkan, akhlak arwah bapanya sangat baik.

Akhlaknya ketika susah dan senang, sehat dan sakit adalah sama. Amat mulia. Alhamdulillah dalam keuzuran yang amat sangat dengan berat hanya sekitar 30-35 kg lebih sahaja, almarhum mendidik anak cucu sepanjang sakit terlantar dengan contoh kesabaran, husnuzzon dengan Allah, zikrullah selalu dan banyak berselawat kepada Rasulullah SAW.

“Abah, Lelaki Budiman Yang Miliki Akhlak Baik”, Ustazah Norhafizah Musa Kongsi Kerinduan
Kenangan manis Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa bersama arwah bapanya yang juga seorang pengajar ilmu agama.

Begini rasa kehilangan dan kerinduan. Rindu yang amat. Allahul Musta’an.

IKLAN

Laki-laki budiman yang tak pernah menyakiti hatiku, tidak juga pernah mencubit, merotan, memukulku semasa kecil/ sepanjang hayatku. Laki-laki budiman yang setiap waktu mengalir darinya kasih yang mendalam terhadap anak-anaknya ( biiznillah wa birahmatillah).

Laki-laki budiman yang menghargai dan menghormati insan-insan yang dikasihi oleh anak-anaknya. Ketika bertemu dengan sahabat ustazah, kak Rohaya yang sentiasa temani ustazah ke kuliah-kuliah, abah tanggalkan kain serban di kepalanya untuk jadi alas lapik tangan bersalaman sebentar dengan kak rohaya. Kata kak Aya, luruh jantung kak Aya tengok akhlak abah ni. Abah ucap terima kasih kerana sudi jadi sahabat anaknya.

Laki-laki budiman ini kerap tersenyum kecil melihat anak perempuannya ini kehilangan sabar dengan kehidupan, diusap dan ditepuk dan dengan lembut dia katakan “bukan yang ini ko penceramah yang suruh orang sabar tu” sambil dia tersenyum. Ya Rabb…

Laki-laki budiman ini amat suka menyentuh dan menggenggam tangan anak-anaknya hingga ke hari terakhir kehidupannya. Beliau suakan tangannya untuk isteri dan anak-anak, menantu-menantu dan cucu cicitnya agar dia dapat menggenggam lagi tangan-tangan kami.

IKLAN

Antara pesanannya yang sangat ustazah ingat.. “Abah bilo tengok Kak Cik di televisyen, hati abah berdobar-dobar. Anak aku ni menyampaikan dengan ilmu yang mantap ko tidak. Ko sajo nak bercakap yo. Abah berdoa, Kak Cik jadi orang berilmu, menunduk tak meninggi. Buku mesti baco. Telaah kitab tu wajib untuk kito yang menyampaikan. Ilmu tak amal macam pokok koring, elok eh di tobang yo, tak berguno..” dan terlalu banyak nasihat selama 46 tahun kehidupan dengan laki-laki budiman ini.

Semoga Allah menjadikan seluruh anak cucu dan keturunan beliau sebagai jariah yang besar buat beliau kerana beliau adalah pendidik yang mendidik keluarga dan masyarakat dengan ilmu dan akhlaknya.

اللهم اغفر لهم و ارحمهم و عافهم واعف عنهم.

IKLAN

Semoga Allah menempatkan ibu bapa kita semua dalam Syurga Firdaus bersama Rasulullah SAW dalam keredhoanNYA. Aamiin.

Sesungguhnya kami ( anak cucu) semua menjadi saksi bahawa Ustaz Tuan Haji Musa bin Salleh adalah seorang ayah, suami, datuk yang terbaik kepada ahli keluarganya, selalu mendoakan ummah, memanfaatkan masa sihatnya untuk dakwah dan mendidik masyarakat. Semoga Allah menjadikan kami semua jariah terbaik untuk almarhum Ustaz Tuan Haji Musa Bin Salleh.

 

 

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI