Mimpi ialah suatu pengalaman bawah sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, pemikiran, perasaan, atau deria lain ketika  tidur terutama saat tidur yang disertai gerakan mata yang cepat.

Tidak semua mimpi itu benar kerana ada individu yang terpedaya dengan bisikan syaitan namun dirinya mentafsirkan mimpi itu sebagai benar dan kemudian berkongsi dengan orang ramai. Bahkan sebelum ini negara dikejutkan dengan penahanan tetua Perjalanan Mimpi Yang Terakhir atas nama Sittah Annur yang kini dibebaskan atas jaminan polis berikutan mimpi dikongsinya di media sosial.

Bagaimana mahu memastikan bahawa mimpi seseorang itu benar? Ikuti kupasan Dr Ahmad Sanusi  Azmi mengenai mimpi yang dinasihati Rasulullah.

  1. Tular baru-baru ini tentang seorang wanita yang mengakui pernah berjalan di sekeliling Arasy Allah, melihat ketinggian Allah, bercakap dengan malaikat malah Allah dikatakan memberitahu dirinya tentang zikir tertentu dan sebagainya. Ketahuilah bahawa Rasulullah pernah berpesan kepada kita bahawa mimpi ini ada tiga jenis.
  2. Dalam sebuah riwayat yang direkodkan oleh al-Imam Muslim, Rasulullah bersabda:

وَالرُّؤْيَا ثَلاثَةٌ : فَالرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنَ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنَ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ ، فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

“Dan mimpi itu tiga jenis, mimpi yang soleh iaitu berita gembira dari Allah. (Kedua) mimpi yang datang dari syaitan untuk mengundang rasa sedih manusia dan (keitga) mimpi yang datang dari dalam diri manusia sendiri. Sekiranya seseorang itu ternampak dalam mimpinya sesuatu yang tidak disukainya, maka bangunlah dan dirikanlah solat dan jangan diceritakan mimpi tersebut kepada manusia.” (HR Muslim)

3.Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan bahawa ada mimpi yang datang dari Allah. Ia seperti yang berlaku dalam peristiwa Nabi Yusuf dan mimpi Nabi Ibrahim. Mereka datang dengan syariat yang benar.

4. Manakala yang lebih membimbangkan adalah mimpi yang datang dari syaitan untuk menakut-nakutkan manusia bahkan menyesatkan manusia. Sudah menjadi tabiat syaitan itu untuk menjauhkan manusia dari al-Quran dan hadis. Kata Sheikh Salman Audah:

IKLAN

أحياناً الرؤيا في المنام قد تكون من الشيطان بحيث يترتب عليها اعتقاد عند الإنسان

“Dan terkadang mimpi dalam tidur itu datang dari syaitan di mana ia merencana sesuatu yang boleh membawa iktikad (kepercayaan) di sisi manusia.”

  1. Seorang Arab Badawi pernah melihat mimpi yang buruk dalam tidurnya lalu dia mengadukan perkara ini kepada Rasulullah. Rasulullah lantas berpesan bahawa mimpi yang buruk jangan diceritakan dan jangan dilayan mainan syaitan dalam mimpi. Sabda Rasulullah:

لَا تُحَدِّثِ النَّاسَ بِتَلَعُّبِ الشَّيْطَانِ بِكَ فِي مَنَامِكَ

“Jangan ceritakan kepada manusia tentang permainan syaitan dalam mimpi kamu.” (HR Muslim)

IKLAN
  1. Dan andai sekiranya seseorang itu melihat mimpi yang baik, dia dinasihatkan agar hanya menceritakannya kepada orang yang dipercayainya sahaja atau meminta pandangan dan nasihat daripada orang alim yang mempunyai ilmu yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Sabda Rasulullah:

لاَ تُقَصُّ الرُّؤْيَا إِلاَّ عَلَى عَالِمٍ أَوْ نَاصِحٍ.

“Jangalah kamu menceritakan mimpi kamu melainkan kepada orang yang alim atau orang yang nasih (yang memberi nasihat kepada kebaikan). (HR al-Tirmizi)

  1. Sebagai orang awam, bagaimana pula kita boleh mengetahui samada mimpi seseorang yang menceritakan kepada kita itu adalah mimpi yang benar? Dalam perkara ini kita boleh menilai sosok peribadi seseorang itu sendiri. Seandainya dia orang yang soleh dan sentiasa berkata benar dan jujur, maka ada kebarangkalian mimpinya itu adalah benar. Namun andai sekiranya dia tidak menampakkan ciri orang yang soleh, dan mengajak manusia kepada kesesatan, maka ada kebarangkalian dia berdusta.
  2. Mimpi juga bukanlah sesuatu yang boleh dibangunkan daripadanya hukum syariat. Sesungguhnya syariat Allah telah sempurna. Ini dijelaskan berdasarkan firman Allah dalam firmannya:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

IKLAN

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Surah al-Maidah: 3)

  1. Atas dasar itu Sheikh Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa pensyariatan melalui mimpi hanya dikhususkan kepada para Nabi sahaja. Kata beliau:

لا اعتماد على رؤية المنام في غير حق الأنبياء عليهم الصلاة والسلام

“Tiada sandaran buat kita untuk menerima mimpi (sebagai penghujahan) melainkan hak yang ditentukan kepada para Nabi AS.

  1. Oleh yang demikian, kita hendaklah meneliti dahulu cerita mimpi yang disampaikan kepada kita. Bertanyalah kepada orang yang soleh lagi alim sekiranya disampaikan kepada kita tentang sesuatu mimpi dan berpegang teguhlah kepada ajaran al-Quran dan hadis yang telah sempurna, sebagai panduan buat diri kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI