Kala ini pasaran kerja menjadi cabaran buat graduan apatah lagi pandemik COVID-19 menjadi asbab pasaran kerja semakin sukar. Malah sejak wabak ini melanda kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding 4.7 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur bertambah sebanyak 16,200 orang kepada 764,400 pada November, pertumbuhan 2.2 peratus daripada Oktober 2020.
Jelasnya, penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meningkat 2.3 peratus kepada 637,700 orang (Oktober: 623,100) manakala penganggur tidak aktif meningkat 1.3 peratus kepada 126,700.
Di sebalik cabaran kerja, sebagai pemegang ijazah dalam bidang tertentu tentu kita mahukan gaji yang baik. Asal ada tawaran pekerjaan kita akan hantar namun bila dipanggil temuduga, akhirnya senyap. Adakah rezeki kita disekat Allah?
Dengarkan penjelasan dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan hal rezeki ini.
Assalamualaikum ustaz. Saya hendak bertanyakan soalan. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah menganggur 2 tahun lebih selepas saya tamat belajar. boleh dikatakan berpuluh-puluh resume saya hantar kepada banyak syarikat. malangnya satu pun tidak tersangkut. Jika dipanggil interview pasti senyap selepas itu (bermaksud gagal). Saya pernah bercerita perkara ini dengan rakan saya. katanya, mungkin saya ada melakukan kesilapan sehingga Allah menyekat rezeki saya. Saya sudah berputus asa dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. benarkah apa yang rakan saya katakan itu? adakah Allah menyekat rezeki kita jika kita melakukan kesilapan? harap ustaz dapat menjawab soalan saya.
Jawapan: Waalaikumussalam wbt, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah:-
Melakukan maksiat kepada Allah SWT mungkin salah satu sebab rezeki seseorang itu disekat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (Surah al-Syura: 30)
Dalam Tafsir al-Jalalayn (hal.643), kalimah “كَسَبَتْ” bererti dosa-dosa yang mereka lakukan. Ertinya dosa-dosa yang dilakukan adalah punca bagi bala yang menimpa kita. Manakala bagi orang yang tidak berdosa, bala yang ditimpakan Allah adalah menaikkan darjat mereka di Hari Akhirat (jika mereka bersabar dan reda).
Manakala Imam Ibn Kathir pula menyebut dalam tafsirnya bahawa bala yang ditimpakan itu sebagai ganti seksa yang sepatutnya berlaku di akhirat, maka Allah telah ampunkan di dunia dengan timpaan bala itu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (7/207).
Lalu beliau menyebut hadis berikut. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada seorang mukmin yang ditimpa keletihan, kesakitan, kerisauan, dan kesedihan, melainkan Allah akan menjadikan musibah itu penebus kesilapan-kesilapannya, termasuklah duri yang mengenainya. (Hadis muttafaqun alaih)
Maka daripada satu sudut, kenyataan rakan tersebut ada betulnya. Maka sewajarnya kita segera bertaubat, memperbanyakkan ibadat dan memberikan hak seseorang jika kita mengambilnya secara zalim dahulu.
Adapun jika kita sudah bertaubat tetapi masih berasa sempit daripada sudut rezeki, maka kita perlu faham tidak semestinya ia diakibatkan oleh musibat dosa. Barangkali berpunca daripada tidak faham konsep rezeki itu sendiri dan pembahagiannya.
Kategori Pertama: Rezeki Yang Sudah Ditetapkan Tanpa Perlu Dicari
Ada rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT tanpa perlu dicari. Sebahagian orang, sekalipun dengan usaha yang sedikit, dia memperolehi rezeki yang banyak. Kadang-kadang, dia memperolehinya tanpa usaha pun. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Surah Saba’: 36)
Justeru, ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Begitu juga yang sederhana dan sebagainya. Bagi mereka yang kaya. harta yang banyak adalah ujian bagi mereka supaya bersyukur. Justeru, Allah mengkritik orang kaya yang tidak bersyukur dan bakhil.
Maksudnya: Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik? (Surah al-Nahl: 71)
Bagi orang miskin, Allah juga mengkritik orang yang mendapat rezeki yang kurang tetapi kecewa dengan hidupnya dan menyalahkan Allah. Firman Allah Taala: وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
Maksudnya: Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Surah al-Faqr: 16)
Maka cukuplah ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa soal rezeki itu, ada yang sudah ditetapkan Allah yang kita tak mampu mengubahnya. Kadang-kadang golongan yang kaya memerlukan orang yang miskin, untuk bekerja dengan mereka, sebagai contoh, atau begitu juga sebaliknya. Firman Allah Taala:
Maksudnya: (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Surah al-Zukhruf: 32)
Bahkan, jika semua orang menjadi kaya sama rata, maka keadaan akan menjadi melampau dan tidak stabil. Firman Allah Taala:
Maksudnya: Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata. (Surah al-Syura: 27)
Kategori Kedua: Rezeki Yang Perlu Dicari
Selain daripada rezeki yang sudah ditetap oleh Allah SWT kepada kita tanpa usaha atau usaha yang minimum, ada rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya. Firman Allah Taala:
Maksudnya: “Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.”(Surah al-Nahl: 14)
Boleh jadi kita berasa rezeki kita disekat tetapi sebenarnya kita belum cukup usaha dan strategi untuk memperolehinya. Lihatlah maksud ayat di atas, “supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya”.
Justeru, hendaklah kita mencari sumber-sumber rezeki yang halal dan tidak mengehadkan pada satu-satu kaedah sahaja. Barangkali rezeki kita dipermudahkan bukan untuk bekerja di bawah orang tetapi bekerja sendiri. Mungkin juga sebaliknya. Yang penting kita perlu usaha dan berstrategi, termasuklah berbincang dan mengambil pengalaman daripada orang lain, kemudian berazam dan bertawakal kepada Allah Taala.
Maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 159)
Kesimpulan
Sebagai orang beriman kepada qadha dan qadar, kita wajib menerima ketetapan yang Allah sudah diberikan kepada kita. Hendaklah kita bersyukur dan menghargai kurniaan Allah yang sudah diberikan kepada kita dan dalam masa yang sama teruskan berusaha menggilap potensi diri dan kemahiran. Setiap orang memiliki kebolehan istimewa dan tugas kita untuk mengenalpasti dan meningkatkan kualiti kebolehan tersebut. InsyaAllah kita akan berjaya. Daripada sudut keduniaan, berapa ramai jutawan yang berjaya bermula dengan susah dan tidak bekerja di bawah sesiapa pun, tetapi dengan kesungguhan usaha dan kebijaksanaan, mereka berjaya dan memiliki ramai pekerja. Renungilah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab:
لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا Maksudnya: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal pada Allah, tentu kalian akan diberikan rezeki sepertimana burung diberikan rezeki. Ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang hari dalam keadaan penuh perut.”
Riwayat Tirmidzi (2344). Kata beliau: Hadis ini hasan sahih. Wallahua’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Wajib faraid barang kemas peninggalan ibu, lepas selesai segala hutang arwah. Wanita dan perhiasan sememangnya tak dapat dipisahkan.
Namun setelah meninggal dunia, menjadi hak siapa segala barang kemas si mati. Bagaimana pula jika barang kemas tersebut adalah pemberian si anak, adakah anaknya dapat mengambilnya kembali.
Situasi : Anak memberikan barang kemas kepada ibunya. Ibunya meninggal dunia dan meninggalkan barang kemas pemberian anaknya.
Barang Kemas
Soalan: Adakah si anak boleh mengambil semua pemberian tersebut atau ia wajib difaraidkan?
Peninggalan Ibu
Jawapan:
Bergantung kepada status pemberian. Jika pemberian tersebut berupa pinjaman, maka si anak boleh mengambilnya semula.
Jika pemberian itu berupa hadiah, serahan dan sebagainya hingga menyebabkan emas tersebut menjadi hak atau harta si ibu, maka ia telah menjadi sebahagian dari harta si ibu yang meninggal tadi.
Maka barangan kemas yang telah menjadi hak si ibu tadi wajib difaraidkan setelah urusan di bawah selesai:
Tanggungjawab waris menunaikan hak si mati.
Lepas Selesai Hutang Arwah
Sebelum pembahagian harta pusaka, waris-waris wajib menyelesaikan perkara berikut :
1. Menguruskan jenazah
2. Menjelaskan hutang si mati :
– Hutang kepada Allah SWT seperti zakat, kaffarah, nazar, haji dan fidyah.
– Hutang kepada manusia
– Melaksanakan wasiat si mati (jika ada) yang tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya.
Uban jadi cahaya di hari kiamat, makruh hukumnya kalau cabut walaupun gatal sangat!
Kongsi Ustaz Ahmad Dusuki, uban atau rambut putih merupakan suatu hal yang biasa dialami oleh semua orang yang umurnya semakin tua.
Uban Jadi Cahaya
Tumbuhnya uban di kepala merupakan salah satu isyarat daripada Allah SWT bahawa di dunia ini tidak ada manusia yang hidup selamanya-lamanya.
Seseorang yang menyedari bahawa uban telah tumbuh di kepala, maka sebaiknya dia tidak lagi berangan-angan dan terbuai oleh mimpi-mimpi duniawi yang berpanjangan.
Seharusnya ia perlu memantapkan diri dengan ibadah kepada Allah SWT serta menjauhkan diri daripada melakukan dosa-dosa kecil sebanyak mungkin apatah lagi dosa besar.
Di Hari Kiamat
Apakah hukum mencabut uban?
Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada larangan mencabut uban. Di dalam sebuah riwayat daripada Amru bin Shu’aib daripada bapanya daripada datuknya berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.
Manakala dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W menyatakan:
Maksudnya: Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.
Riwayat Abu Daud (4202)
Makruh Hukumnya
Berdasarkan kedua-dua riwayat di atas, para fuqaha menjadikan larangan yang terdapat di dalam hadis tersebut sebagai hujah akan makruhnya perbuatan mencabut uban. Imam Al-Nawawi Rahimahullah berpendapat akan makruhnya perbuatan mencabut uban berdasarkan hadis Amru bin Shu’aib yang kami nyatakan di atas.
Kata beliau: Para ashab kami (Al-Syafieyyah) mengatakan bahawa ianya (perbuatan mencabut uban) adalah makruh. Ini disebutkan secara jelas oleh Imam Al-Ghazali, Imam Al-Baghawi, dan selainnya.
Bahkan jika dikatakan haram sekalipun disebabkan larangan yang sarih (jelas) lagi sahih dalam hadis tersebut maka pendapat ini tidak jauh dari kebenaran. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/292).
Kata-kata Imam Al-Nawawi di hujung perenggan di atas adalah berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:
النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم
Maksudnya: Larangan itu membawa kepada hukum pengharaman.
Sekalipun pada asalnya setiap larangan itu membawa hukum haram, akan tetapi dalam isu ini hukumnya beralih kepada makruh disebabkan terdapatnya qarinah lain. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.
Riwayat Muslim (2341)
Maka jelas dalam hadis di atas ini, bahawa hukum mencabut uban di sisi sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Anas bin Malik R.A adalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram.
Kalau Cabut
Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:
Kata para ashab kami (Al-Syafieyyah) dan juga para ashab Malik, hukumnya (mencabut uban) adalah makruh dan ia tidaklah haram. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (15/487).
Kelebihan Memiliki Uban
Hakikatnya, larangan mencabut uban itu adalah disebabkan beberapa fadhilat atau kelebihan yang diperoleh bagi sesiapa yang mempunyai uban. Di antaranya, dalam sebuah riwayat daripada Amru Bin ‘Abasah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Sesiapa yang tumbuh satu uban di jalan Allah maka uban tersebut adalah cahaya untuk dirinya pada hari kiamat.
Riwayat Al-Tirmizi (1635)
Di dalam hadis di atas, sekalipun terdapat kenyataan tumbuh satu uban di jalan Allah, akan tetapi ia terkait dengan hadis Amru bin Shuaib yang menyatakan:
Tumbuh satu uban di dalam Islam. Perbezaan di antara kedua riwayat ini penting untuk dijelaskan kerana, hadis Amru bin Syuaib lebih umum meliputi uban yang tumbuh sama ada di dalam jihad atau selainnya.
Walaupun Gatal Sangat!
Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:
Cahaya tersebut adalah keterangan dan juga diselamatkan daripada kegelapan dan kesukaran di mauqif. Imam Al-Manawi pula berkata: Rambut seseorang itu menjadi cahaya yang memberi petunjuk kepada dirinya.
Uban itu, sekalipun ianya bukan hasil daripada usaha seseorang hamba, akan tetapi sekiranya ia terhasil disebabkan perbuatan berjihad di jalan Allah, atau perasaan takut kepada-Nya maka ia termasuk di dalam usaha seseorang. Lihat Tuhfat Al-Ahwaazi, Al-Mubarakfuri (5/215).
Kesimpulan:
Setelah kami menekuni beberapa hujah dan dalil di atas, kami berpandangan bahawa hukum mencabut uban adalah makruh. Namun perlu juga dijelaskan supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan, bahawa jika seseorang yang beruban itu memotong rambutnya maka hukumnya adalah harus kerana itu tidak dianggap sebagai mencabut uban. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama.
Kashoorga: Uban itu secara tak langsung mengingatkan diri bahawa kita semakin hampir dengan kematian. Oleh itu bersiaplah untuk bekalan di sana nanti.
Buluh perindu haram, tapi penjual selamba meniaga di TikTok. “Lagi seram, bila ramai yang nak beli,’
Ternyata di TikTok, kita bukan saja disajikan dengan hiburan semata-mata tetapi ramai yang menjadikan platform ini sebagai tempat untuk berniaga dan mencari rezeki.
Rata-ratanya pengguna rajin memuat naik video kreatif atau ada juga selesa buat live bagi mempromosikan produk masing-masing. Secara tak langsung, pelanggan dapat melihat produk yang dijual dengan lebih dekat.
Cakap apa saja, semuanya ada dijual di Tiktok, baju raya, ubat-ubatan, skincare atau peralatan rumah semuanya ada. Namun, baru-baru ini tular sebuah video di TikTok yang menjual ‘buluh perindu’.
Video yang dikongsikan itu menunjukkan seakan-akan sehelai benang yang boleh bergerak-gerak seperti di tiup angin. Min sendiri pertama kali melihat benang tersebut. Selama ini ingatkan buluh perindu itu seperti batang buluh.
Kredit Foto: Jejak Panglima
Tapi Penjual
Apa yang mengejutkan adalah kegunaan dan manfaat buluh perindu ini. Rata-rata warganet memuji keberkesanan buluh perindu ini.
Lebih-lebih lagi apabila hidup dan perniagaan mereka berubah serta bertambah baik setelah memiliki buluh perindu. Pendek kata buluh perindu ini berfungsi sebagai “pelaris”
Persoalannya, apa hukum berjual, beli buluh perindu di media sosial? Apa lagi ramai yang mempercayai serta taksub dengan keberkesanannya. Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Selamba Meniaga
Haram menjual buluh perindu secara atas talian atau tradisional sekiranya buluh perindu itu tujuannya adalah untuk perkara yang berunsur syirik seperti sebagai pelaris.
Namun begitu, sekiranya buluh perindu tersebut dijual kerana tujuan-tujuan lain seperti seruling ataupun perhiasan maka ianya harus.
Buluh perindu atau nama saintifiknya Bambusa magica merupakan sejenis pokok buluh kecil yang akan mengeluarkan bunyi merdu apabila ditiup angin. Oleh kerana itu, buluh perindu sering digunakan sebagai seruling.
Selain itu, terdapat juga peribahasa Melayu yang berbunyi “Seperti bangsi buluh perindu” yang membawa maksud suara yang lemah lembut dan merdu.
Di TikTok
Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu, buluh perindu ini cukup sinonim dengan minyak buluh perindu. Laporan akhbar Berita Harian September 13, 2015 menyatakan bahawa minyak buluh perindu dan beberapa jenis yang lain amat sinonim dengan masyarakat melayu yang digunakan sebagai pelaris perniagaan.
Ini kerana wujudnya kepercayaan bahawa semangat yang terkandung dalam objek-objek tersebut seperti minyak buluh perindu akan membantu dalam melariskan jualan mereka.
Asas kepercayaan bahawa sesuatu barang boleh membawa tuah dan melariskan perniagaan adalah suatu perkara yang berunsur syirik kerana mempercayai kekuasaan lain selain kekuasaan Allah.
Oleh kerana itu, mensyirikkan Allah dianggap sebagai satu dosa besar.
Lagi Seram
Rasulullah SAW bersabda,
أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ
Maksud: Dosa yang paling besar dari dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah (dengan sesuatu).
(Sahih Bukhari No.6919)
Asal hukum kepada sesuatu jual beli adalah harus selagimana tiada perkara yang menjadikannya haram atau melanggar syarat dan rukun jual beli. Terdapat kaedah fiqh yang berbunyi:
الأصل في المعاملات الإباحة
Maksud: Hukum asal dalam muamalat adalah harus. (Rujuk Yasalunaka ’An al-Muamalat al-Maliyah al-Mu’asarah h.85)
Bila Ramai
Bagi memastikan sesuatu jual beli itu sah, maka jual beli tersebut mestilah mematuhi syarat dan rujuk jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan qabul serta barang yang diniagakan.
Bagi rukun barangan yang dijual beli, Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa sesuatu barang yang dijual itu mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli.
Maksud:
Syarat-syarat barang yang dijual ada 5 iaitu suci, boleh dimanfaatkan dengannya, diketahui, boleh diterima dan dimiliki pembeli yang berakad (dengan penjual). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 149/9)
Yang Nak Beli
Selain itu terdapat juga fuqaha’ yang berkata bahawa syarat barang yang dijual beli tersebut mestilah barangan yang tidak dilarang oleh syarak yang membawa maksud sama dengan apa yang dinyatakan Imam Nawawi berkenaan barangan tersebut mestilah suci dan boleh dimanfaatkan.
Perkara yang dilarang tersebut adalah barangan yang dianggap najis seperti arak, bangkai, khinzir dan barangan yang membawa kepada kesyirikan.
Maksud: Antara syarat jual beli, sebagaimana dinyatakan fuqaha’: Barangan yang dijual beli mestilah bukan barangan yang dilarang oleh syarak. (Rujuk Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 140/3)
Jual beli barangan yang tidak suci, najis dan barangan-barangan yang dilarang oleh syarak adalah haram dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda ketika hari Pembukaan Kota Mekah:
Maksud: Sesungguhnya Allah s.w.t dan RasulNya mengharamkan jual beli arak dan bangkai dan khinzir dan patung berhala.
(Sahih Bukhari No.2236, Muslim No.1581)
Barangan Berunsur Syirik
Alasan pengharaman jual beli barangan yang berunsurkan syirik tersebut adalah kerana syarak menganggapnya tidak mempunyai manfaat serta ianya adalah jalan kesyirikan.
والعلة في تحريم بيع الأصنام كونها ليس فيها منفعة مباحة وأنها وسيلة من وسائل الشرك فيحرم بيعها
Maksud:
Dan alasan pada pengharaman jual beli patung berhala kerana ianya tidak mempunyai manfaat yang diharuskan dan ianya adalah jalan kesyirikan, maka diharamkan jual belinya. (Rujuk Fiqh Tajir Muslim h.199)
Kesimpulan:
Kami berpendapat bahawa hukumnya adalah haram jual beli tersebut sekiranya buluh perindu itu digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah seperti untuk membawa tuah dan pelaris baik secara atas talian atau cara jual beli biasa.
Ini kerana jual beli barangan yang mempunyai unsur syirik sedemikian adalah diharamkan. Manakala sekiranya buluh perindu tersebut dijual beli atas dasar tujuannya bukan untuk syirik seperti dijadikan seruling ataupun hiasan maka hukumnya adalah harus.
Kami juga ingin menggesa umat Islam untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh menjebak diri ke dalam perkara syirik sama ada menjual mahupun membeli kerana syirik merupakan dosa besar yang dimurkai Allah s.w.t.
Kami juga ingin menasihatkan supaya umat Islam sentiasa memastikan pendapatan yang dicari adalah halal dan bebas dari unsur-unsur haram sedemikian.
Kashoorga: Jangan terlalu bergantung kepada sesuatu perkara hingga tanpa sedar anda mensyirikkan Allah. Minta dijauhkan daripada kita semua. Insyallah.
Qada solat tarawih boleh atau tidak? Mungkin ramai kalangan kita yang bekerja pada waktu malam termasuklah pada bulan Ramadan hingga menyebabkan kekangan masa untuk...