Tiada apa yang lebih menyedihkan saat diuji dengan kematian orang tersayang. Janji Allah itu pasti, walau sekuat mana pun kita cuba untuk menidakkannya.
Ternyata janji seorang ayah untuk membelikan anak syurganya yang mengidap autisme senaskah Al-Quran digital tidak kesampaian apabila maut dirempuh treler selepas 40 minit memaklumkan kepada isterinya lokasi terakhir lorinya tersadai akibat kehabisan minyak.
Dikongsi dari page fb Mr Wan Cai Offizcial, pengurusan jenazah islam yang dilakukan secara percuma, berkongsi kisah sedih ini apabila mereka menyempurnakan pengurusan jenazah buat insan terpilih ini, Saifuddin Bin Abdullah yang juga seorang saudara baru.
Baru berkesempatan berkongsi kisah tentang pengurusan mangsa nahas di rempuh lori treler. Mohon maaf kerana terlalu sibuk dengan program memberi bantuan ayam mentah buat mangsa banjir tadi.
Skuad UKVJ HQ Dan UKVJ Melaka telah menyempurnakan pengurusan saudara baru ini dengan sempurna.
Allahyarham Saifuddin bin Abdullah, mangsa korban dirempuh lori treler selamat diKebumikan 05.40 petang tadi. Jenazah lelaki mualaf berusia 50 tahun itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Johan Setia, Klang.
Allahyarham adalah pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus Utara Selatan kilometer 241.6. Arwah dalam perjalanan pulang ke Klang sewaktu nahas yang mengorbankan nyawanya berlaku.
Ads
Lori yang dipandu oleh arwah dikatakan kehabisan minyak dan berhenti di lorong kecemasan lebuhraya tersebut. 40 minit sebelum kejadian malang itu berlaku, arwah sempat menghantar gambar terakhir kepada isterinya.
Arwah memaklumkan lorinya kehabisan minyak dan tersadai di tepi lebuhraya menunggu bantuan. Arwah kemudian menghubungi seorang adiknya bagi mendapatkan bantuan menghantar minyak diesel.
Adik arwah yang tiba tidak lama kemudiannya membantu menuang minyak ke dalam tangki minyak lori. Bagaimana pun sebuah lori dari arah belakang telah merempuh arwah dan adiknya. Keduanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Ads
Arwah sempat menghantar pesanan kepada isterinya 40 minit sebelum kemalangan ngeri itu menimpanya
Suasana sedih menyelubungi bilik pengurusan milik Hospital Rembau sewaktu jenazah diuruskan oleh rakan-rakan UKVJ HQ Dan UKVJ Melaka.
Si isteri memberitahu arwah berhajat untuk membeli senaskah Al-Quran Digital untuk anak syurganya yang juga seorang anak autisme. Namun hajat arwah itu tidak kesampaian kerana terlebih dahulu dipanggil pulang mengadap Maha Pencipta.
Sebelum kejadian kemalangan berlaku, arwah turut sempat berpesan meminta isterinya memasak untuk anak istimewanya itu.
Pengurusan buat arwah telah kami sempurnakan dengan sebaik yang mungkin. Pengurusan buat adiknya pula tidak dapat kami uruskan.
Ads
Ini kerana adik arwah yang turut sama terkorban adalah seorang penganut agama Hindu. Difahamkan lori treler yang merempuh arwah dan adiknya telah melarikan diri sejurus selepas kejadian kemalangan itu berlaku.
Mohon doakan agar pemandu lori tersebut dapat ditangkap dengan segera. Semoga kematian arwah dan adiknya mendapat keadilan.
Kecuaian pemandu lori tersebut menyebabkan seorang isteri hilang tempat untuk bergantung hidup. Lebih menyedihkan seorang anak istimewa hilang kasih seorang bapa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dengan izinNya, pasangan yang berkahwin pasti gembira dikurniakan cahaya mata tak kira anak lelaki atau anak perempuan. Ia adalah amanah dan anugerah terindah yang tiada bandingnya.
Anak mampu memberi kebahagiaan, mendekatkan dan meningkatkan kasih sayang antara suami isteri, juga akan mendapatkkan jaminan rezeki dari Allah.
Namun ini tidak bermakna pasangan yang belum dikurniakan anak, tidak akan bahagia hidup bersama; rezeki belum tiba. InsyaAllah berusahalah bersungguh ke arah itu. Dikurniakan anak lelaki atau perempuan bukanlah satu persoalan pun, asalkan sahaja anak itu sihat dan bakal menjadi anak berakhlak tinggi.
Cuma seperkara harus diingat anak lelaki dan perempuan memiliki keistimewaan berbeza antara mereka. Khas untuk kupasan ini, kita ketahui apa keistimewaan dikurniakan anak-anak perempuan.
1. Melindungi Orang Tua Dari Neraka
“Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi pelindung baginya di neraka”. (HR Ahmad).
Jika pasangan suami isteri diberi anugerah dengan anak perempuan dan mampu melalui ujian Allah dalam hal memelihara dan mendidik mereka pada jalan Allah, maka anak-anak solehah ini akan menjadi pelindung kedua orang tuanya dari api neraka.
2. Dekat Dengan Rasulullah
“Siapa yang menanggung nafkah dua anak perempuan sampai baligh, maka pada hari kiamat antara saya dan dia seperti ini (baginda menggabungkan jari jarinya)”. (HR Muslim).
Rasulullah juga memiliki anak perempuan yang amat disayangi dan solehah, iaitu Fatimah Az Zahra. Pada hari kiamat nanti, orang tua yang memiliki dua anak perempuan dan tulus menghadapi kerana Allah, akan mendapat syafaat pada hari kiamat.
3. Jalan Masuk Surga
“Siapa yang memiliki anak perempuan, dia tidak membunuhnya dengan dikubur hidup-hidup, tidak menghinanya, dan tidak lebih mengutamakan anak lelaki, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga”. (HR Abu Daud).
Allah menjamin syurga bagi orang tua yang memiliki anak perempuan dan memperlakukan anak tersebut dengan baik serta tidak membezakan kasih sayangnya dengan anak lelaki.
4. Lebih Dekat Secara Hati Nurani
Mereka memiliki hati yang lebih lembut, lebih dekat dengan orang tua terutama ibu kerana karakter perempuan yang hampir sama. Orang tua wajib menjaga dan melindungi mereka dari jalan atau pergaulan yang salah.
Harus dibiasakan dengan ilmu agama sejak kecil, sehingga ketika dewasa dia akan faham tentang ilmu agama dan memiliki keakraban yang lebih dengan orang tuanya kerana dididik nuraninya untuk menjadi anak yang berbakti.
5. Pelindung Di Hari Kiamat
“Siapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar, memberinya makan dan minum, dan pakaian dari hasil usahanya, maka semuanya akan menjadi pelindungnya pada hari kiamat”. (HR Ibnu Majah).
Jika kita dianugerahkan tiga anak perempuan dan bersabar dalam mengurusnya, bekerja keras mendidiknya menjadi anak solehah, kelak kita akan dilindungi ketika hari kiamat sebab kebaikan kita pada ketiga-tiganya.
6. Cermin Kelembutan Hati
Anak perempuan memiliki hati yang lembut. Umumya mereka terbiasa bermain segala sesuatu yang berhubungan dengan keindahan, seperti anak patung yang cantik atau bermain pondok-pondok.
Hal tersebut cerminan kelembutan hati yang telah Allah tanamkan sejak kecil sebagai ciri khas. Kita harus tahu membentuk mereka menjadi orang yang berhati dan bersikap lembut terhadap orang tua dan sesama manusia.
7. Mudah Dalam Membantu Orang Tua
Anak-anak ini seringkali lebih selesa bermain di rumah daripada di luar. Ini menjadi sisi positif jika kedua orang tua dapat mendidiknya dengan mudah. Orang tua dapat mula melatih kebiasaan tentang kewajiban perempuan sejak kecil, seperti membersihkan rumah dan memasak.
Dengan demikian ibu ayah merasa sangat bertuah ketika anak-anak tersebut sudah mampu membantu. Selain termasuk didikan agar anak berbakti, kebiasaan baik tersebut nantinya akan sangat bermanfaat untuknya ketika dia dewasa, menjadi lebih berdikari dalam hal apapun.
8. Berita Gembira Dari Allah
“Apabila mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, merah padamlah wajahnya dan dia sangat marah… ketahuilah betapa buruknya apa yang mereka tetapkan itu”. (QS An Nahl : 58-59).
Anak perempuan adalah sebuah berita gembira dari Allah. Bagi orang yang menolaknya hal tersebut mereka dipandang buruk oleh Allah sebab Allah amat memuliakan perempuan dengan berbagai syariatNya seperti wajib menutup aurat agar tidak digoda oleh lelaki.
9. Cerminan Ibu
Mereka merupakan cerminan ibunya, jika seorang ibu mampu beri didikan agama dan menghindarkannya daripada pengaruh buruk persekitaran, maka anak tersebut juga akan menjadi wanita yang solehah seperti ibunya. Sebab itu sebagai orang tua, kita harus memberi contoh yang baik terlebih dahulu baru mengajarkan pada anaknya.
10. Kebanggaan Orang Tua
Pada masa sekarang, ramai perempuan memiliki peluang sama dengan lelaki dalam pelbagai hal; pendidikan mahupun pekerjaan. Orang tua yang memiliki anak perempuan dan mampu membesarkan hingga memiliki akhlak mulia, tentu akan merasa bangga sebab mampu menjadian anaknya tersebut sukses dan memiliki kemampuan yang sama dengan anak lelaki.
11. Peluang Untuk Berbuat Baik
“Tidaklah seorang muslim yang memiliki dua anak perempuan yang telah dewasa lalu dia berbuat baik pada keduanya kecuali akan dimasukkan ke syurga”. (Shahih Al Adabil Mufrad).
Kelebihan memiliki anak perempuan merupakan kesempatan atau ladang pahala yang besar dalam Islam. Orang tua yang berjaya menjaga dan mendidik sebaik mungkin sesuai kemampuannya, akan menjadikannya peluang untuk berbuat baik, peroleh pahala dan peluang yang dilorongkan untuk orang tua ke syurga.
12. Meningkatkan Kasih Sayang
“Aku pun melihat Abu Bakar mencium pipi puterinya sambil berkata, bagaimana keadaanmu puteriku?”. (HR Bukhari).
Anak perempuan yang memiliki sifat lebih lembut dan cenderung lebih manja, umumnya lebih disayangi oleh orang tua; lebih diawasi ketika bergaul dan berteman. Hal tersebut merupakan bentuk kasih sayang.
Memiliki anak-anak ini dapat menjadi lubuk meningkatkan kasih sayang, sehingga akan meningkatkan kasih sayang dan rahmat Allah pula bagi orang tuanya.
13. Dimuliakan Allah
Jelas dari berbagai ayat Al Qur’an dan hadis bahawa wanita selalu dimuliakan dan dilindungi, hal tersebut berlaku sejak kecil, selama masa dewasa, juga setelah anak perempuan tersebut berkeluarga.
14. Darjat Yang Sama
Mereka memiliki kedudukan sama dengan anak lelaki. Mereka tidak berbeza dalam hal kepandaian dalam pendidikan mahupun dalam pekerjaan paling utama tidak memiliki perbezaan di sisi Allah, semua memiliki kesempatan yang sama untuk beribadah dan mendapat jalan berbuat baik yang sama juga.
15. Lebih Cerdas Dalam Ilmu Dan Menerima Nasihat
Mereka cenderung menurut dan memudahkan orang tua dalam memberi ilmu dan memberi nasihat. Memang tidak semuanya baik dan penurut, hal itu bergantung daripada cara orang tuanya mendidik sejak kecil dan bagaimana cara orang tuanya menanamkan kesedaran nurani Islami di hati anaknya.
Anak-anak yang solehah, akan tetap mengingat nasihat orang tuanya untuk menjaga diri dan melakukan yang terbaik dalam setiap urusannya, hal itu dapat terjadi jika orang tua berhasil menanamkan rasa bakti sejak kecil.
Jangan lupa bersyukur, mengajarkan kebaikan dan memberi yang terbaik untuk anak kita.
‘Tiada keperluan jamak solat semata-mata nak pergi rumah terbuka.’ Setiap orang tak sama kesulitannya, jadi jangan samakan kesulitan atau keuzuran dengan kita.
Lagi pula Allah memberi kelonggaran atau ruang kecil dalam menunaikan solat dalam beberapa keadaan, oleh itu adalah lebih baik solat jamak daripada meninggalkannya terus.
Sebenarnya, tidak ada masalah untuk solat Jamak ketika kita kunjung-mengunjung di hari raya. Lebih-lebih lagi, ziarah adalah tuntutan agama. Bagi yang tiada anak kecil mungkin tidak ada masalah untuk solat seperti biasa.
Namun bagi yang ada anak kecil,menyusu atau sebagainya, atau berdepan perjalanan jauh. Apatah lagi dengan keadaan jalan sesak di musim perayaan ini, membuatkan ada masyaqqah di situ.
Kalau boleh solat mengikut waktu lebih baik, tetapi sekiranya kita ada masyaqqah seperti di atas bolehlah melakukan solat Jamak. Namun begitu kita ikuti pandangan pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Anas Mohamad Naem berkaitan isu ini.
Pertama sekali kita perlu faham asas yang mana disebut dalam Al-Quran yang bermaksud, solat itu adalah sesuatu yang fardu dan telah ditetapkan waktunya.
Sebagaimana solat zohor ada waktunya, asar ada waktunya. Begitu juga maghrib, isyak dan subuh. Jadi di sini kita seharusnya mendirikan solat mengikut waktunya yang telah ditetapkan.
Seterusnya yang kedua, kita kena fahami apa yang didefinisikan sebagai jamak dan juga qasar. Kebiasaannya kita lakukan solat jamak dan qasar ini ketika musafir dan ramai menganggap jamak dan qasar ini adalah dua benda yang sama.
Sedangkan jamak itu perkara yang lain dan qasar itu perkara yang lain, dua benda yang berbeza.
Qasar adalah kita memendekkan atau meringkaskan solat fardu, sebagai contoh solat zohor empat rakaat kita pendekkan dua rakaat. Begitu juga dengan solat asar dan isyak. Manakala maghrib tiada qasar. Hanya musafir sahaja yang layak menqasarkan solat.
Manakala jamak pula membawa maksud menghimpun dan mengumpulkan dua solat dalam satu waktu. Kita kumpulkan solat zohor dan asar dalm satu waktu atau kita himpunkan solat maghrib dan isyak dalam asatu waktu.
Kita dibenarkan untuk jamak solat dalam beberapa keadaan antaranya:
1.manasik haji
2. musafir
3. ketika sakit
4. ketika hujan lebat
5. dalam keadaan ketakutan
6. ketika berada dalam keuzuran
Menerusi status tersebut, tuan tanah kata tiada keperluan untuk jamak solat ketika pergi rumah terbuka. Jadi di sini, bila mana kita hendak meletakkan satu hUkum terhadap sesuatu perkara kepada orang lain kita perlu berhati-hati.
Hukum ini sebenarnya berbeza mengikut keadaan, masa, tempat dan jenis manusia. Oleh itu kita perlu melihat setiap sudut, barulah kita dapat jatuh hukum.
Sebaiknya kita kembali kepada asas, apa hukumnya kita pergi open house atau kenduri. Nabi Muhammad juga menegaskan bahawa jika ada panggilan atau jemputan selayaknya kita hadiri.
Berbalik kepada isu tadi adalah berhubung dengan kesulitan atau keuzuran. Jadi setiap orang kita tak boleh tentukan tahap keuzurannya. Hanya kita dan Allah saja yang mengetahui tahap keuzuran yang dihadapi.
Bila kita melihat fenomena hari ini, ramai yang pergi open house hingga meninggalkan solat. Kalau ramai orang sudah faham kepentingan solat mengikut ketetapan waktunya, sanggup berhenti solat dan luangkan waktu apabila masuk waktu solat adalah bagus dan alhamdulillah.
Tapi untuk kes ini kita melihat orang yang tak faham dan kurang peka dengan kefahaman agama dan seterusnya kita pula menutup ruang-ruang rukshah ini sudah tentu mereka dengan sengaja memilih untuk meninggalkan solat apabila berdepan dengan situasi yang sukar.
Oleh sebab itu kita kena melihat melalui banyak sudut dan Allah telah memberi rukshah untuk kita menggabungkan solat jika ada kesulitan.
Daripada membiarkan seseorang itu meninggalkan solat adalah lebih baik kita mengambil ruksah untuk tetap solat kerana kesibukan dia berhari raya dan sebagainya. Wallahualam.
Kashoorga: Ini adalah ijtihad masing-masing. Jika dia berasa sukar, tidak ada masalah melakukannya. Asalkan tidak menjadi kebiasaan.
Mendengar keluh kesah dan kekecewaan terhadap doa yang tidak dikabulkan Allah bukanlah perkara asing lagi. Ada sahaja sahabat atau orang sekeliling kita yang tertanya mengapa doanya tidak termakbul walaupun telah dipanjatkan pada waktu mustajab.
Bagi menjawab persoalan ini, elok kita baca terus kupasan daripada ustaz Mohd Masri Mohd Ramli yang acapkali ditanya tentang hal ini.
Saya sering mengulangi mesej yang sama setiap hari Jumaat. Iaitu kelebihan berdoa di hari Jumaat, terutamanya selepas waktu Asar.
Satu hari, saya mendapat satu komen yang bertalu-talu. Asalnya saya menyangka dia ingin bertanya apakah tips untuk doa lebih mustajab.
Tetapi penghujungnya, dia menzahirkan putus asa kerana sudah banyak kali berdoa pada waktu yang mustajab yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih, akan tetapi doanya tetap belum diterima.
Di sini saya kongsikan sedikit jawapan kepada kita semua yang menghadapi masalah yang sama.
Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan yang hina [Ghafir 40: 60]
Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka [jawablah], bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi [segala perintah] Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah 2:186]
2. Kekuatan doa itu banyak bergantung kepada sangkaan kita kepada Allah
Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang daripada kalian berkata: Ya Allah ampuni aku jika engkau mahu. Ya Allah rahmati aku jika engkau mahu. Hendaklah bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya tiada siapa dapat memaksa Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5891]
Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
Akan dijawab doa salah seorang daripada kalian selagi mana dia tidak tergesa-gesa, iaitu dengan berkata: Aku telah berdoa, tetapi tidak dimakbulkan. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5892]
3. Apa yang kita sangka baik dalam diri kita boleh jadi hakikatnya tidak baik. Jadi Allah menggantikan dengan yang lebih baik
Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut:
(1) Akan disegerakan doanya itu, (2) ditangguhkan ke hari Akhirat, (3) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa.
Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak [Musnad Ahmad, Musnad Abu Sa’id al-Khudri, hadis no: 10921
4. Boleh jadi ada perbuatan-perbuatan haram kita yang membuatkan doa kita kurang berkesan
Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua. Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul.
Allah berfirman: Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Mukminun: 51].
Firman Allah lagi: Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian. [Al-Baqarah : 172]
Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu.
Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut ‘ Wahai Tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu? [Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 1692]
Doa dan memohon perlindungan Allah itu umpama pedang. Pedang bergantung kepada orang yang menghunusnya, bukan sekadar kepada ketajaman bilahnya.
Apabila pedang itu pedang yang sempurna tanpa kecacatan. Lengan yang memegangnya pula lengan yang kuat.
Tiada pula perkara yang menghalang. Maka pedang itu berhasil mencederakan musuhnya.
Apabila hilang salah satu daripada tiga perkara ini, maka hilanglah keberkesanan senjata itu.
Begitu jugalah doa seandainya doa itu sendiri doa yang tidak elok. Atau orang yang berdoa itu tidak menggabungkan hati dan lisannya ketika berdoa. Atau apabila terdapat penghalang daripada terkabulnya doa, maka kesan doa itu tidak diperolehi. [Al-Jawab Al-Kafi]
Wallahua’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?