Tipu jika kita tak pernah mengeluh. Kita mengeluh bila diuji dengan pelbagai hal dari sekecil-kecil perkara kepada hal yang lebih besar termasuk kehilangan orang tersayang.
Mengeluh tidak banyak disebut di dalam Al-Quran tetapi kalamullah ini mengajar cara menyelesaikan masalah berkeluh kesah ini.
Dalam surah Al-Ma’arij ayat 19-22 bermaksud, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang (QS al-Ma’arij: 19-22).
Al-Quran mengajarkan jalan penyelesaiannya saat diuji ialah kembali pada Allah.
Dia (Ya’qub) menjawab, hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui. (QS Yusuf: 86).
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (QS Al Mujaadalah:1)
Apa pula nasihat Rasulullah buat yang diuji?
Ini pernah dikisahkan ketika puteri Rasulullah, Fatimah Az Zahra mengadu dirinya kepenatan menguruskan rumahtangga. Alam rumahtangga memang banyak ujian dan cabaran tambah jika dapat suami yang tidak membantu.
Namun percayalah, mengeluh tak akan menyelesaikan masalah tapi akan hanya menambah beban. Namun Rasulullah mengajarkan agar puterinya agar sentiasa rasa bersyukur kerana dengan segala kepenatan itu digantikan dengan catatan pahala dan syurga buat yang redha.
Antara nasihat Rasulullah SAW buat puterinya yang mengeluh kepenatan menguruskan rumahtangga hingga minta dibelikan seorang hamba bagi membantunya, kata Rasulullah, jangan menangis anakku.
Wahai Fatimah, Allah ingin menulis kebaikan untukmu, melebur dosa-dosamu dan mengangkat darjatmu. Wahai Fatimah, tiada isteri yang menggiling tepung untuk suami dan anaknya kecuali Allah mencatatkan kebaikan baginya pada setiap biji dari gandum, meleburkan dosanya dan meninggikan derajat-nya.
“Wahai Fatimah! Sesungguhnya seorang yang memakaikan minyak pada rambut anak-anaknya lalu menyisirnya dan kemudian mencuci pakaiannya, maka Allah SWT akan tetapkan pahala baginya seperti pahala memberi makan 1,000 orang yang kelaparan dan memberi pakaian kepada 1,000 orang yang tidak berpakaian”.
Mengadu terus kepada Allah saat diuji
Nak mengadu pada kawan atau orang lain boleh tapi pastikan dipercayai agar apa kita keluhkan itu tidak disampaikan kepada orang. Tapi biasanya tidak semua jalan keluar ditemui sebaliknya hanya menambah penat.
Sebaiknya, mengadulah kepada Allah sebagaimana ditulis dalam surah Al-Furqaan ayat 30-31.
Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”, Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).
Mengadulah pada Allah, pasti ada jalan keluar.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Tak Elok & Tidak Menepati Sunnah.’ Pakai Jam Tangan, Afdal Tangan Kanan atau Kiri
Isi Kandungan
Toggle‘Tak elok & tidak menepati sunnah.’ Pakai jam tangan, afdal tangan kanan atau kiri? Mana satu lebih baik terutamanya bagi lelaki.
Maklumlah pemakaian jam tangan adalah penting kerana mudah untuk mengetahui masa. Tetapi adakah dalam Islam disarankan memakai jam pada tangan-tangan tertentu.
Ikuti penerangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tangan kiri atau kanan yang lebih afdal pakai jam?
Artikel Berkaitan:
Ubah Kebiasaan Pakai Jam Di Tangan Kiri Tukar Ke Tangan Kanan
Tak Elok & Tidak Menepati Sunnah
Soalan:
Tangan mana yang lebih baik untuk dipakai jam, tangan kanan atau kiri? Adakah memakainya pada tangan kiri dilihat tidak elok dan tidak menepati sunnah? Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu.
Begitu juga jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan.
Pakai Jam Tangan
Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:
الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya:
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)
Beliau menyebutkan, hadis ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).
Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الْإِبَاحَةُ
Maksudnya:
“Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).
Afdal Tangan Kanan atau Kiri
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu diharuskan untuk memakai jam pada mana-mana tangan yang dikehendakinya; kanan atau kiri. Syeikh Ibn Baz ketika ditanya berkenaan memakai jam tangan di tangan kanan, beliau menjawab dengan menyatakan, diharuskan untuk memakai jam tangan pada tangan kanan dan kiri. (Lihat Masa‘il al-Imam Ibn Baz, hlm. 220).
Namun, pada asasnya terdapat riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya:
“Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)
Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.
Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).
Dalam menjawab soalan ini juga, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa jam tangan seperti mana yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.
Menyerupai Perbuatan Memakai Cincin
Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan, dan secara zahirnya ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai cincin yang dipakai oleh Baginda SAW di jari atau tangan mana.
Di antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya:
“Cincin Nabi SAW di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya di tangannya yang kiri.”
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW memakai cincin di tangan kirinya. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi SAW makan dan minum dengan tangan kanan, justeru jika Baginda memakai cincin di tangan kanan pasti ia akan menjadikan proses makan dan minum itu sedikit sukar. Al-Buhuti menyebutkan, memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap (tidak perlu diubah-ubah). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/236).
Manakala Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin pula berpendapat, memakai jam tangan di tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya.
Tiada Sebarang Kelebihan
Seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan; kanan atau kiri. Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya.
Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya). Justeru, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya.
Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri).
Beliau juga ada menyatakan, ramai orang pada hari ini memakainya pada sebelah tangan kiri kerana tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri. Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan.
Oleh sebab itu, kebanyakan orang memilih untuk memakai jam tangan pada tangan kiri mereka dan tidak menjadi masalah dalam hal tersebut mahupun terdapat keutamaan bagi tangan kanan berbanding tangan kiri dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Namun, para ulama mazhab Syafi‘i berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak di jari kelingking tangan kanannya, dan sekiranya dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.
Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/333).
Pemakaian Jam Adalah Diharuskan
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Namun, jika seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insya-Allah.
Lebih-lebih lagi, jika pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran ke atasnya untuk melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum dan seumpamanya sekalipun perlu membukanya.
Begitu juga jika dia memakainya pada tangan kiri kerana tangan kanannya banyak atau kerap digunakan dalam aktiviti sehariannya sehingga menimbulkan kesukaran ke atasnya untuk kerap kali membuka/menanggalkannya, maka tidak mengapa melakukannya dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap tercela.
Ini kerana dalam hal tersebut adalah luas, diharuskan untuk memakainya pada tangan kanan atau tangan kiri, tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan kerana hukumnya adalah sebagaimana pemakaian cincin.
Baca Di Sini:
Ahli Keluarga Bergaduh Ketika Pengebumian. Bacaan Talkin Sunnah Atau Bidaah?
Kashoorga: Sebenarnya pakailah mengikut keselesaan sendiri dengan niat memudahkan kita untuk melihat waktu.
Sumber: Maktabah Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Baca 7 Doa Diajar Rasulullah Ini, Untuk Elak Diri Dari Bahaya Fitnah Akhir Zaman
Tidak dinafikan dalam kita melayari kehidupan seharian, pasti tidak akan terlepas dari bahaya fitnah. Malah dikatakan bahaya fitnah itu sebenarnya lebih bahaya dari membunuh.
Namun sebagai hambaNya kita boleh menghindari bahaya fitnah ini dengan mengamalkan doa-doa yang turut diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Marilah kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Kami tegaskan di sini yang fitnah itu adalah bersifat tidur sepertimana sabda Rasulullah SAW:
الفِتْنَةُ نَائِمَةٌ لَعَنَ اللهُ مَنْ أَيْقَظَهَا
Maksudnya: Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.
Riwayat al-Rafi’e dalam al-Amali. Hadis ini bertaraf dha’if tetapi makna nas sahih. Inilah pendapat sebahagian ulama’ hadis.
Al-Imam al-Munawi berkata: Fitnah dan tribulasi dan setiap yang menjadi masyaqqah dan kesukaran kepada seseorang, begitu juga ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya dinamakan fitnah. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/461)
Begitu juga, dalam mengelakkan daripada fitnah, sewajarnya kita mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa munajat kepada-Nya. Kami nyatakan di sini doa yang ma’thur daripada Nabi SAW tatkala menghadapi ujian fitnah, antaranya:
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas R.A:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam
Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الخَيْرَاتِ ، وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ ، وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ ، وَإِذَا أَرَدْتَ بِعِبَادِكَ فِتْنَةً فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah.
Riwayat al-Tirmizi (3233)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِهِمْ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka.
Riwayat Abu Daud (1537)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia.
Riwayat al-Bukhari (6345) dan Muslim (2730)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas R.A:
اللَّهُمَّ أَنْتَ عَضُدِي وَأَنْتَ نَصِيرِي وَبِكَ أُقَاتِلُ
Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang.
Riwayat al-Tirmizi (3584)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa’ad bin Abi Waqqas R.A:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang zalim.
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1864)
- Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah R.A:
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ
Maksudnya: Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau.
Riwayat Abu Daud (5090)
Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita yang merupakan sebahagian daripada kita yang wajib kita jaga hubungannya, maka Allah SWT akan menyayangi kita dan merahmati kita, serta meredhainya.
Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa:
رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir.”[Surah Yunus: 85-86]
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Boleh Kah Buat Lesung Pipit Nak Nampak Sweet?
Isi Kandungan
ToggleKebanyakan orang yang memiliki lesung pipit akan kelihatan manis apabila tersenyum. Lesung pipit merupakan lekukan yang ada pada bahagian pipi dan hanya 20 peratus sahaja manusia di dunia ini memilikinya.
Sungguh bertuah orang yang dianugerahkan lesung pipit kerana ternyata orang berlesung pipit ini selalu mendapat perhatian kerana kelihatan manis dan tampan saat tersenyum.
Antara artis terkenal yang memiliki lesung pipit ini ialah Hisyam Hamid, Anuar Zain, Shukri Yahaya, Wawa Zainal, Preity Zinta dan ramai lagi.
Namun, ada sebahagian daripada 80 peratus manusia tanpa lesung pipit berhasrat memilikinya dan berusaha untuk memiliki lesung pipit buatan!
Bagaimana agaknya dan apakah hukumnya? Ayuh kita baca ulasan Mufti.
SOALAN:
Apakah hukum lesung pipit buatan? Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima kasih
Ringkasan Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan:
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum.
Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua.
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.
Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku. Walaubagaimanapun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Artikel berkaitan:Berkat Beri Duit Pada Emak, Esoknya Allah Gandakan Rezeki. Usahawan Berjaya Datuk Alha Alfa Kongsi Tip Murah Rezeki!
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. Riwayat Muslim 2125
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377). Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.
Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107)
Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Artikel berkaitan:Lelaki Yang Berniat Nak Kahwin, Jangan Bawak Perangai Bujang. Ubah 5 Tabiat Ini Terutamanya Bab Solat!
Kesimpulannya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram.
Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.
Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi.
Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya
Sumber artikel: www.muftiwp
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI