Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran maka mereka tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Perkara ini jelas berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.  (Riwayat al-Tirmizi)

Jika orang yang membaca al-Quran namun tidak memahami bacaan al-Quran pun mendapat pahala, jadi bagaimana pula orang yang tidak lancar ketika membacanya?

Dalam hal ini, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ

Ads

Maksudnya: “Orang yang mahir membaca al-Quran, maka di akhirat dia akan ditemani oleh para malaikat para pencatat yang mulia. Manakala orang yang membaca al-Quran dengan gagap dan menghadapi kepayahan ketika membacanya, maka dia mendapat dua pahala.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.

Maksud orang yang tidak lancar mendapat dua ganjaran itu ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran.

Tapi bukan bermakna pahala lebih banyak 

Walaupun begitu, maksud hadis ini bukanlah menunjukkan orang yang tidak lancar membaca al-Quran itu pahalanya lebih banyak berbanding orang yang lancar membaca al-Quran. Sebaliknya orang yang lancar membaca al-Quran itu lebih afdal dan lebih banyak pahalanya.

Ads

Ini kerana mereka ditemani dengan para malaikat di akhirat dan dia memperolehi banyak ganjaran. Mana mungkin mereka yang sering menjaga bacaan al-Quran dan mempelajari al-Quran mendapat ganjaran yang lebih sedikit berbanding mereka yang tidak lancar membaca al-Quran, cuma kelebihan-kelebihan itu tidak disebutkan dalam riwayat di atas.

Sebagai umat Islam, seharusnya memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana pada hari akhirat kelak al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam satu hadis, Abu Umamah al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Ads

Maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah al-Zahrawan iaitu al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada keberkatan dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, umat Islam juga perlu sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran dan mempelajari setiap ilmu yang memahamkan diri tentang ayat-ayat Allah SWT. Nabi SAW memuji golongan yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran, Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca Lagi: Bolehkah Masuk Syurga Kalau Tak Pandai Baca Quran?

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI