Dalam mendepani dan menyantuni pesakit, peranan penjaga pesakit (caretaker) adalah sangat penting. Boleh dikatakan penjaga pesakit adalah orang ketiga terpenting selepas doktor pakar, dan jururawat yang ditugaskan merawat pesakit. Penjaga pesakit akan berada di sisi pesakit hampir setiap masa, siang dan malam.

Perbezaan yang ketara antara pesakit dan penjaga pesakit adalah, pesakit akan dicucuk badan mereka dengan segala ubatan manakala penjaga pesakit tidak melalui prosedur perubatan tersebut. Penjaga pesakit akan mengalami dan merasai sendiri first-hand experience apabila melihat prosedur perubatan yang dijalankan ke atas pesakit.

Perkongsian saya kali ini adalah mengenai peranan penjaga pesakit (caretaker), apa yang perlu anda tahu? Berpeluang untuk menjaga pesakit kanser iaitu emak saya sendiri sepanjang tempoh rawatan dan chemotherapy selama 6 bulan di Hospital Pulau Pinang, sedikit sebanyak membuatkan saya ingin berkongsi apa yang saya lalui sepanjang tempoh tersebut.

Pemuda Ini Kongsi Pengalaman Jaga Ibu Hidap Kanser, Ini 8 Peranan Penjaga Pesakit

Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai penjaga pesakit:

1) Terima ujian dengan hati yang terbuka dan ikhlas
– Saat diuji, kita akan merasakan beratnya ujian ini. Serabut, sedih, dan tertekan. Kita menangis semahunya. Bengkak mata, bengak emosi. Ada masa kita akan bertanya, kenapa aku Ya Allah, kenapa Kau uji emak/ayah/isteri/suami aku. Apa salah mereka? Allah Maha Mengetahui. Selagi mana kita bernyawa, kita akan sentiasa diuji. Berhenti menyoalkan aturan Allah. Sesuatu perkara yang Allah aturkan itu adalah yang terbaik, cari hikmah disebalik ujian yang diberikan. Terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Antara ayat Quran yang sentiasa saya baca saat menerima ujian, “Innarabbillatifun limayasha’, innahu huwal ‘alimulhakim (Surah Yusuf, ayat 100) yang bermaksud Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Dia Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

2) Sokongan spiritual dan moral
– Dalam menjaga pesakit, sokongan spiritual dan moral kepada pesakit sangat penting. Pesakit akan merasakan mereka ini sebagai “bebanan” kepada orang disekeliling. Adalah menjadi tanggungjawab penjaga pesakit untuk memberi sokongan moral kepada pesakit. Berikan mereka kata-kata yang positif. Kata-kata penguat semangat ini akan membantu membina kekuatan dalaman pesakit. Kekuatan dalaman ini akan menjadi semangat untuk pesakit melawan dan berjuang dengan kesakitan yang sedang dihidapi.
– Pada masa yang sama, sebagai peneman pesakit, bantu pesakit untuk terus berkomunikasi dengan Tuhan. Ajarkan pesakit cara bersolat dalam keadaan uzur, galakkan pesakit untuk sentiasa berzikir mengingati Tuhan yang Esa, dengarkan bacaan Al-Quran kepada pesakit. Sampaikan kepada pesakit bahawa ujian yang diterima ini adalah hadiah dari Allah yang sayang kepada hamba-Nya. Walau terbaring di atas katil, tidak dapat bergerak, jangan jadikan alasan untuk memberhentikan komunikasi pesakit dengan Pencipta-Nya. Bantulah pesakit untuk berkomunikasi dengan Allah SWT.

IKLAN
Pemuda Ini Kongsi Pengalaman Jaga Ibu Hidap Kanser, Ini 8 Peranan Penjaga Pesakit
Gambar sekadar hiasan.

3) Kekuatan mental dan fizikal
– Penting untuk penjaga pesakit untuk mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Uruskan keperluan pesakit, kurang waktu tidur, waktu makan tak menentu, badan yang letih, ulang-alik antara rumah dan hospital adalah perkara yang perlu dihadapi oleh penjaga pesakit. Perkara ini akan membuatkan penjaga pesakit berada dalam keadaan tertekan, emosi tak stabil, cepat meradang dan sebagainya. Andai kata letih, cari jalan dan ambil masa untuk dapatkan rehat secukupnya. Kalau penjaga pesakit jatuh sakit, ini akan membuatkan pesakit lebih tertekan kerana mereka seolah hilang tempat bergantung.

4) Sumber kewangan
– Sumber kewangan ketika menjaga pesakit antara perkara yang tidak boleh diambil mudah. Ini kerana, kita memerlukan peruntukan untuk berulang-alik ke hospital, kos makanan dan minuman kita sepanjang menemani pesakit, kos untuk membeli barang keperluan pesakit seperti lampin pakai buang dan lain-lain lagi. Pastikan kita mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Dalam keadaan ini, cuba elakkan yang kita sedang menghadapi masalah kewangan di hadapan pesakit. Kalau pesakit tahu, ini akan buatkan pesakit menjadi lebih tertekan dan semangatnya untuk pulih akan terbantut.

Pemuda Ini Kongsi Pengalaman Jaga Ibu Hidap Kanser, Ini 8 Peranan Penjaga Pesakit

5) Sokongan ahli keluarga
– Ketika menghadapi situasi yang getir ini, sokongan dari ahli keluarga teramatlah penting. Komunikasi dan interaksi sesama ahli keluarga adalah perlu. Bincangkan strategi bagaimana untuk menjaga pesakit, bergilir-gilir menjaga pesakit, rebut peluang untuk menjaga dan berbakti kepada pesakit. Tolong, tolong, dan tolong jangan bergaduh sesama ahli keluarga dalam situasi ini. Jangan menyalahkan antara satu sama lain, jangan mengungkit apa yang telah dibuat/ diberikan, jangan merendahkan adik beradik. Sebaliknya, dalam keadaan ini, ahli keluarga bersatu, bekerjasama, dan bincang dengan elok apa langkahan yang patut dibuat. Setkan priority. Buang ego jauh jauh. Selagi mana ada perkataan “ego” dalam diri, selagi tu lah masalah tidak selesai.

IKLAN

6) Kemahiran sosial dan komunikasi
– Apabila anda menjaga pesakit, anda akan berada dalam suasana yang memerlukan kemahiran sosial dan komunikasi. Ini kerana, anda akan berjumpa dengan pelbagai jenis ragam dan perangai manusia di hospital. Berlapang dada apabila berhadapan dengan situasi yang mungkin anda tidak pernah alaminya sebelum ini. Ringankan mulut untuk bertanya khabar kepada doktor, jururawat, pembantu doktor, pembantu jururawat, pesakit sebelah katil, hatta tukang cuci sekalipun. Ini kerana akan ada masa kita akan meminta pertolongan daripada mereka. Tak salah untuk kita berbuat baik sesama insan. Biasakan diri untuk ucapkan perkataan “terima kasih” kerana dua perkataan ini nampak mudah, tapi…susah untuk diucapkan. Jangan berlagak sombong ya. Orang sombong ni selalunya rugi.

7) Pengurusan stress dan emosi
– Sebagai penjaga pesakit, kita tak dapat lari daripada stress dan emosi tak stabil. Nasihat saya, carilah cara untuk mengurusankan stress dan emosi. Sembang dengan orang sekeliling dan sembang dengan Tuhan dapat membantu mengurangkan stress dan meredakan tekanan emosi yang dihadapi. Selain itu, lakukan aktiviti seperti senaman ringan, regangan, dan berjalan sekitar kawasan hospital. Ini juga dapat membantu menangani stress tersebut.
– Selain itu, kongsi masalah dan tekanan yang dihadapi dengan orang yang anda percayai seperti kawan baik, pasangan, dan lain-lain. Believe me, Allah will send some of His angle to you at the right time for you to cry on.

8)Keceriaan dalam kesulitan
– Walau sedang bertarung dengan kesakitan, itu tidak menjadi penghalang kepada pesakit dan penjaga pesakit untuk terus senyum dan bergelak-ketawa. Masa ini adalah momen yang bermakna untuk bergurau, ceriakan pesakit. Cuba untuk bersembang dengan pesakit apa yang pesakit suka, throwback peristiwa dulu yang lawak / boleh buatkan pesakit ketawa, selfie, wefie, video dan apa juga yang boleh dibuat untuk menceriakan pesakit. Ini penting kerana dapat buatkan pesakit melupakan seketika kesakitan yang dihadapi.

IKLAN

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sekiranya ada kebaikan, mohon untuk kongsikan (share), saya niatkan pahala kebaikan tersebut kepada emak dan ayah saya, Hasnah binti Taib dan Mohd Noor bin Wahab. Semoga kedua mereka dipanjangkan umur, sihat tubuh badan dan berada dalam rahmat Allah SWT.

Annuar Aswan Mohd Noor
15 Mac 2019
Kedah

Sumber kredit: Annuar Aswan

VIDEO:

https://www.youtube.com/watch?v=qDXb7brNhCQ

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI