‘Semua jemaah haji masuk Raudhah melalui pintu 37.’ Pintu 32 pinggir Raudhah, jangan salah info. Jemaah haji yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci pasti keliru mana pintu yang sebenar.
Oleh sebab itu amat tidak digalakkan menyebarkan info yang salah kerana bimbang mengelirukan orang ramai. Bagi membetulkan keadaan, Nur Syazwani Halim berkongsi tip dan pintu manakah yang sebenarnya boleh akses ke Raudhah.
Semua Jemaah Haji
Bagi yang mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga yang datang menunaikan haji, jemaah akan dibawa masuk ke dalam Raudhah pada siang hari.
Selalunya selepas Subuh (bagi jemaah wanita) dan selepas Zohor (bagi jemaah lelaki), bergantung kepada petugas KT masing-masing.
Namun, jemaah boleh masuk ke Raudhah sekali lagi menggunakan permit Nusuk mengikut ketetapan masa yang telah ditetapkan. Bagi jemaah wanita, permit Nusuk hanya di sebelah malam bermula pada pukul 9.30 malam.
Kebiasaannya, jemaah haji akan dibawa masuk ke dalam Raudhah pada siang hari dan dibenarkan masuk sekali lagi melalui booking di Aplikasi Nusuk.
Masuk Raudhah Melalui Pintu 37
Pintu masuk ke dalam Raudhah masih lagi menggunakan Pintu 37. Pintu 32 memang dibuka selepas Subuh dan Isyak untuk jemaah wanita tanpa perlu menggunakan permit Nusuk, namun hanya untuk masuk di pinggir Raudhah (kawasan masjid lama).
Ini adalah tiang di kawasan Raudhah, ada kelopak emas di tiangnya. Jadi perhatikan betul-betul.
Memang akan ada mihrab juga di situ, tetapi ianya bukan Mihrab Nabawi/Mihrab Rasulullah, tetapi Mihrab Hanafi. Harap maklum.
INFO 1: Pintu 21 juga dibuka kepada jemaah wanita selepas Isyak bermula sebelum musim haji baru-baru ini. Namun, ianya juga bukan laluan ke Raudhah bagi jemaah yang tiada permit Nusuk.
Ads
Diharap tiada posting lama berkenaan Raudhah dipanjangkan kepada umum kerana boleh mengelirukan jemaah, terutamanya yang pertama kali ke sini.
Sebelum ini, ada yang kongsi satu hantaran mengenai Raudhah yang mengandungi gambar di bawah berserta gambar-gambar yang lain (Secondary post) di dalam Group Umrah/Hajj Pre & Post for Ladies sebelum ini.
Ads
Credit to the first author, but I hafta leave it anonymous disebabkan maklumat yang dikongsi di dalam post asal dengan mengatakan Raudhah boleh di access melalui Pintu 21 dan 32 adalah sangat tidak tepat (The post is no longer in the group).
Ini adalah pinggir Raudhah. Kawasan masjid lama. Bersebelahan dengan Raudhah. Kalau masuk melalui Pintu 32 selepas Subuh dan Isyak bagi jemaah wanita, memang tidak perlu menggunakan permit kerana hanya masuk ke kawasan ini.
Ini adalah kawasan pinggir raudhah, menurut sumber tiang di pinggir raudhah berbeza dan tiada kelopak. .
Jangan Salah Info
Sebab itu diletakkan penghadang kanvas putih untuk membezakan kawasan Raudhah (yang ada tempat muazzin) dengan kawasan masjid lama ini.
Boleh masuk untuk ziarah, tiada masalah. Sis terpaksa letak highlight nanti untuk pos ini sebab I cannot reach everyone on this.
Ads
Info 2: Seperti yang dinyatakan sebelum ini, laluan masuk melalui Pintu 21 juga akan membawa anda ke pinggir Raudhah. Pintu tersebut dibuka kepada jemaah wanita selepas Isyak bermula sebelum musim haji baru-baru ini.
Info 3: Diharap tiada lagi perkongsian sebegini kerana ia boleh mengelirukan para jemaah, terutamanya yang pertama kali ke sini. Ini adalah kerana kami selalu ditanya mengenai hal ini.
Setakat hari ini, semua jemaah (lelaki dan perempuan perlu beratur di hadapan Gate 363 dan akan masuk ke dalam Raudhah melalui Pintu 37.
Kashoorga: Semoga tiada lagi perkongsian yang mengelirukan jemaah haji kerana peluang masuk ke Raudhah bukan datang selalu.
Perkembangan teknologi digital hari ini membuka ruang lebih luas untuk kita menambah ilmu. Ini termasuklah belajar membaca al-Quran menerusi internet atau aplikasi khas yang dicipta.
Sejauh manakah dibolehkan kita belajar membacanya melalui internet? Apakah hukumnya? Kita dapatkan penjelasan ustaz Azhar Idrus dalam hal ini. Ramai juga yang belajar tanpa guru sebenar.
Adakah kalau kita hendak belajar baca al-Quran mesti talaqi dengan guru?
Adakah boleh kalau belajar baca quran melalui internet?
Belajar membaca al-Quran sangatlah dituntut oleh agama kerana orang yang belajar akan dapat membacanya dan mencapai ganjaran yang disediakan bagi orang-orang yang membacanya sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis Nabi ﷺ
Sekali pun di zaman sekarang ada kemudahan belajar daripada internet dan yang seumpamanya namun begitu pembelajaran yang terbaik ialah dengan bertalaqi dengan guru kerana murid dapat memperdengarkan bacaannya kepada guru supaya disahkan dan diperbetulkan mana yang kurang dan mana yang salah.
Guru yang mengajar pada zaman sekarang sangatlah ramai dan mudah didapati oleh kerana itu sebaiknya jangan hanya memadai belajar dari internet walau pun tidak diapat dinafikan melalui internet juga dapat diperolehi ilmu-ilmu tentang membaca Quran.
Berkata Syeikh Nuh Ali Sulaiman :
“Pusat belajar al-Quran sudah banyak di negeri kita sekarang Alhamdulillah dan seperti itu juga orang-orang yang mengajar akan al-Quran. Maka apabila pergi seseorang kepada salah seorang qari nescaya memungkinkan dia insyaAllah belajar akan al-Quran lalu dapatlah dia mengenal bagaimana membaca al-Quran dengan bacaan yang sahih dan dapat mengenali bagaimana cara menghafal al-Quran bagi yang mahu menghafalnya di dalam hati”
Dan perkara yang pentingnya ialah kitab Allah ini memerlukan belajar secara talaqi ertinya mendengar dari bacaan segala qari supaya mengenal ia akan lafaz yang sahih bagi setiap kalimah.
Dan barang siapa yang sukar baginya yang demikian itu bolehlah dia belajar dengan mushaf sambil mendengar kepada rakaman bacaan para qari membaca ayat al-Quran yang sempurna dengan suara mereka.
Dan sungguhnya Allah telah memudahkan bacaan dari dulu sampai sekarang sebagai menyempurnakan janji-Nya di dalam al-Quran sekira-kira berfirman Allah:
“Dan sungguhnya Kami telah mudahkan akan al-Quran itu bagi ingatan maka adakah yang mengambil iktibar?” Surah al-Qamar : Ayat 17
KESIMPULAN
Belajar membaca kitab Allah yang paling baik ialah dengan cara bertalaqi dengan guru kerana murid dapat mendengar bacaan guru dan murid dapat memperdengarkan bacaannya kepada guru supaya disahkan oleh guru adakah bacaan murid itu sahih atau sebaliknya.
Ada pun belajar dengan internet atau dari rakaman maka murid hanya boleh mendengar bacaan guru tetapi guru tidak boleh mengesahkan bacaan murid sama ada sahih atau sebaliknya.
Bagi mereka yang belum lagi ada kemudahan belajar dengan guru maka elok dia belajar dulu mendengar bacaan-bacaan yang sahih yang diperdengarkan di dalam internet atau yang seumpamanya dan apabila bertemu dengan guru hendaklah dia baca segala bacaan yang telah dia pelajari melalui internet atau rakamannya dahulu supaya diperbetulkan jika ada salah silapnya.
Hari ini dapat dilihat media sosial menjadi medan meluah rasa. Lebih menakutkan ia berlaku di saat kita diuji dengan virus COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia. Ribuan manusia mati akibat wabak ini dan ia bukan satu jenaka. Jika ramai takut virus ini tersebar atau dijangkiti tetapi rasanya sebagai manusia apa yang paling kita harus takutkan bukan virus ini tapi virus fitnah, virus membaca tajuk tanpa isinya dan virus marah yang mencaci maki tanpa tahu kebenarannya. Tambahan kita di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan tapi takut jika hanya dapat lapar dan dahaga saja. Nauzubillah, jelaslah kita sudah di akhir zaman.
Hari ini dapat dilihat budaya fitnah ini berleluasa termasuk Ustaz Azhar Idrus yang terus membuat penjelasan menyatakan dirinya menghadiri majlis tahnik anak Datuk K dan Datuk Siti Nurhaliza adalah atas jemputan sebagai seorang kawan iaitu Datuk K. Malah dia ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan singgah di rumah mentuanya yang kebetulan berdekatan rumah pasangan selebriti ini.
Sabda Rasulullah SAW: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar. (Riwayat Ibn Majah).
Bacalah perkongsian dari bekas Mufti Wilayah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai bahayanya budaya fitnah. Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.
Mutakhir ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Hal ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis sebuah artikel di dalam ruangan Bayan Linnas yang bertajuk “Bahaya Fitnah.” Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang fitnah.
Definisi Fitnah
Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat: Tahzib al-Lughah, 14/296] [Lihat: Maqayis al-Lughah, 4/472].
Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]
Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:
Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]
Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya:“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]
Imam Nawawi berkata: Dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah 'قتات'. Ia juga memberi makna pemfitnah. Maksud nammam seperti kata ulama' ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan mereka. al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam Ihya'nya: Ketahuilah bahawa sifat fitnah diitlaqkan pada kebanyakannya terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain sepertimana dia berkata, 'si fulan berkata dan mengata kepada kamu begian begian'. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/112)
Kami katakan, termasuklah juga dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain.
Ciri-Ciri Fitnah Dalam Konteks Semasa
Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.
Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh, Kasim mereka cerita kononnya Harun telah berzina dengan teman wanitanya, lalu cerita itu disebarkan ke dalam laman blognya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah Harun. Lalu apabila berita itu dibaca oleh Abu, tanpa sebarang usul periksa tentang kesahihannya, Abu menyebarkannya di dalam facebook tanpa apa-apa niat tetapi sekadar menukil dan menyampaikan berita. Dalam situasi ini, kedua-duanya iaitu Kasim dan Abu telah menjadi pelaku dan penyebar fitnah terhadap Harun.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.
Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Gejala Fitnah
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” [Surah al-Maidah: 91]
Walaupun ayat ini ditujukan kepada penjudi, peminum arak atau pemabuk tetapi syaitan bercita-cita agar kita sentiasa bermusuh antara satu sama lain kerana ibrah itu diambil dari lafaz yang umum, bukan sebab nuzulnya semata-mata.
Oleh itu, fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan lantaran ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan sesama mereka. Bagi kategori penyebar fitnah pula, faktor utama daripada perbuatan mereka ini adalah cuai dalam menukilkan berita atau cerita yang didengar tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Orang yang melakukan perbuatan seperti ini dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai pembohong. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya:“Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”.[Riwayat Muslim (4482)]
Al-Qadhi Iyadh berkata: Bahawa maksudnya siapa yang menceritakan dengan setiap apa yang didengar, yang padanya terdapat kebenaran dan kebatilan, dan kebenaran serta pendustaan. (Lihat Ikmal al-Mu'lim bi Fawa'id Muslim, 1/100)
Malah perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa ini pernah ditempelak oleh Allah SWT di dalam kisah fitnah terhadap Sayyidah Aishah R.Anha, firman Allah SWT dalam surah al-Nur:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”[Surah al-Nur : 11-12]
Syeikh al-Maraghi berkata: Janganlah kamu sangka berita dusta itu mengandungi fitnah dan kejahatan serta-merta, sebaliknya ia turut mengandungi kebaikan terhadap kamu, kerana dengan itu kamu mendapat pahala yang besar. Ini disebabkan berita dusta itu merupakan suatu ujian yang nyata, bagi memperlihatkan kemuliaan di sisi Allah SWT dengan penurunan ayat yang dibaca sepanjang masa tentang membebaskan diri kamu dan berita dusta itu; mengagungkan kemuliaan kamu, memberi ancaman terhadap orang yang mengatakan buruk tentang kamu, memuji orang yang berbaik sangka terhadap kamu, serta kebaikan-kebaikan lain seperti mengambil pelbagai manfaat agama dan adab tatasusila yang jelas terhadap orang yang mahu mengambil iktibar.
Kemudian, Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang turut serta menyebarkan berita dusta itu; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730)
Balasan Bagi Orang Yang Membuat Fitnah
Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [Surah al-Nur:19] Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut.[Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/195)]
Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya:“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“. قَالَهَا ثَلاَثًا ”
Maksudnya:“Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”[Riwayat Muslim (2670)]
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (16/461)]
Pandangan Ulama Berkaitan Fitnah
Berikut adalah beberapa pandangan berkaitan dengan fitnah:
Kesan Daripada Fitnah
Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Antaranya ialah:
Langkah-Langkah Dalam Menangani Fitnah
Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat terhindar daripada fitnah, adalah seperti berikut:
Maksudnya: Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. Surah al-Kahfi (49)
Al-Sobuni berkata: Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka. (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. Riwayat Muslim (169), al-Tirmizi (2121), Ahmad (11056)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (2881)
Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadis ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan betimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj 'ala Muslim, 1/134)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, berdasarkan kepada kenyataan kami di atas, kami ulangi agar kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Kami tegaskan di sini yang sifat fitnah itu tidur seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Fitnah itu tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.
Riwayat al-Rafi'e dalam al-Amali
Al-Imam al-Munawi berkata: Fitnah dan tribulasi dan setiap yang menjadi masyaqqah dan kesukaran kepada seseorang, begitu juga ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya dinamakan fitnah. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/461)
Begitu juga, dalam mengelakkan daripada fitnah, sewajarnya kita mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa munajat kepada-Nya. Kami nyatakan di sini doa yang ma’thur daripada Nabi SAW tatkala menghadapi ujian fitnah, antaranya:
Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu. Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam
Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah. Riwayat al-Tirmizi (3233)
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka. Riwayat Abu Daud (1537)
Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia.
Riwayat al-Bukhari (6345) dan Muslim (2730)
اللَّهُمَّ أَنْتَ عَضُدِي وَأَنْتَ نَصِيرِي وَبِكَ أُقَاتِلُ Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang. Riwayat al-Tirmizi (3584)
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang zalim. Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1864)
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ Maksudnya: Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau. Riwayat Abu Daud (5090)
Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita yang merupakan sebahagian daripada kita yang wajib kita jaga hubungannya, maka Allah SWT akan menyayangi kita dan merahmati kita, serta meredhainya.
Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa: رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir.”[Surah Yunus: 85-86]
Akhukum fillah,
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hidayah itu datang dalam pelbagai bentuk. Kadang kita mendengar pelbagai cerita menarik dari mereka yang terpilih menerima hidayah Allah. Bunyinya ada kala agak pelik tetapi apa jua kejadiannya, semuanya atas kehendak Allah. Yang dibezakan cuma dari segi jasad dan fizikal sahaja.
Ternyata atas kasih sayang terhadap dua cucunya, seorang nenek beragama Kristian, Lucy Nawi, 59 memilih mengucap dua kalimah syahadah semalam dan memilih nama Aisyah sebagai nama barunya.
Memetik Berita Harian, Aisyah berkata, malam tadi (kelmarin) saya mimpi didatangi seorang wanita berpakaian putih, bercahaya mengajak dirinya masuk Islam.
"Badannya, bajunya, mukanya berkelip-kelip, bersinar, dia cakap agar saya jangan risau, dia boleh tolong ajarkan (tentang Islam), lepas tu saya terbangun dan rasa macam tak percaya tetapi sangat gembira," kata saudara baru, Lucy Nawi, 59, ketika ditemui di rumahnya di Tanah Merah Site C, Chuah di sini petang semalam.
Lucy berkata, mungkin kerana sebelum ini ketika waktu siang beliau memberitahu hasrat memeluk agama suci itu sudah lama ada kepada Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari, yang mengunjunginya bagi menghantar bantuan barangan makanan harian.
"Pagi tadi (semalam) dia datang lagi ke rumah saya terus membawa saya ke Pejabat Agama Islam Port Dickson. Saya mengucapkan dua kalimah syahadah yang disempurnakan Mudir Pondok Moden Darul Solah, Ustaz Mahfuz Roslan bersaksikan pegawai pejabat Agama.
"Sebaik saya melakukannya, terasa seperti sangat bahagia kerana akhirnya hasrat saya tercapai pada usia emas ini. Baru saya rasa bagaimana seronoknya seolah-olah baru dilahirkan," kata nenek kepada dua cucu, Jhoshua Arifazul Akhbar, 13, dan adiknya Siti Madinatul Zulhaziah, 9.
Sebelum ini media pada 20 Julai tahun lalu, pernah menyiarkan kisah Lucy yang beragama Kristian tetapi menjaga dua cucunya yang beragama Islam.
Lucy berkata, dia berminat menggunakan nama 'Aisyah' seperti yang dicadangkan Yang Dipertua PAS Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria, sempena nama isteri Nabi Muhammad.
"Nama belum daftar secara rasmi lagi tetapi saya tertarik dengan nama Aishah seperti yang dicadangkan ustaz semalam. Mungkin juga dengan nama ini membuatkan saya lebih bersemangat.
"Dari dulu saya terfikir bagaimana dengan nasib dua cucu saya jika saya mati dulu kerana mereka tiada sesiapa dan andainya saya tidak Islam, tentu lebih menyukarkan mereka. "Alhamdulillah, kedua cucu saya sangat gembira bila mendapat tahu saya ikhlas nak peluk Islam dan saya sangat bersyukur sudah muslim sekarang, dapatlah kami bertemu di akhirat nanti," katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Lucy berkata, Islam bukan asing dalam keluarganya kerana selain dua cucu ini, abang dan dua adik perempuannya, terlebih dahulu memeluk Islam sejak puluhan tahun lagi. "Sekarang saya rasa kehidupan makin tenang, yang penting cucu rasa selamat, mungkin atas doa mereka melembutkan hati saya menerima Islam.
"Saya tidak bekerja sejak 13 Januari tahun ini kerana kilang dobi tempat saya bekerja terpaksa membuang pekerja akibat pandemik COVID-19.
"Buat masa sekarang, saya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan pendidikan dua cucu saya, manakala sewa rumah RM350 sebulan dilunaskan Baitulmal sehingga bulan Februari tahun ini," katanya.
Sementara itu, Bashariah berkata, BELIAU tidak menyangka pelawaan untuk memeluk Islam disambut dengan linangan air mata.
"Lucy sudah lama berhasrat nak memeluk Islam tetapi tidak tahu nak mengadu kepada siapa. Saya melihat dia seperti tercari-cari arah pegangan hidup.
"Saya harap dia akan menjadi muslimah sejati dan dalam masa yang sama akan turut memantau perkembangan Lucy dari masa ke semasa dan tambahan sekarang ini dia tidak bekerja, mereka sekeluarga perlu dibantu," katanya.
Bashariah berkata, orang ramai yang mahu membantu bagi meringankan beban tiga beranak itu boleh terus menyumbang kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0510341100010958.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?