Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Ads
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]
Ads
Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Ramadan bulan penuh kerahmatan dan juga keampunan. Kita digalakkan memperbanyakkan memohon keampunan dari Allah SWT di atas dosa-dosa sama ada disengajakan atau tidak.
Di sebalik bulan rahmat, Ramadan juga adalah ujian buat semua hambaNya yang diuji tatkala mencari rezeki bagi menambah pendapatan di bulan Ramadan.
Namun ujian ditempuhi oleh peniaga ayam madu panggang yang juga nasi arab di Kuala Selangor, Fazliana Mohammad Nor, 32 tahun sudah cukup membuatnya menangis sendiri. Ibu kepada lima anak berusia di antara 11-18 tahun dan menjaga dua anak adiknya yang masih kecil serta suami yang tak mampu membuat kerja keras berikutan tapak tangan patah (sudah jalani pembedahan dan pembedahan kedua akan menyusul beberapa bulan lagi) berkongsi nasibnya diuji pada bulan mulia ini.
KASHOORGA menghubungi dirinya untuk berkongsi cerita lebih lanjut mengenai nasib menimpa dirinya.
Dikongsi dari akaun Tik Toknya @Mawar_Frogie, dia menanggung kerugian bila mana 30 ekor ayam panggang yang sudah dioles madu terpaksa dibuang kerana berbau busuk.
Fazliana berkata, dia menempah 30 ekor ayam dari pekedai dan bila dapat, dia membersihkannya, diperap dan kemudian disimpan di dalam peti sejuk.
“Tak ada apa berlaku. Pada olesan madu pertama, baunya harum. Tapi bila masuk olesan kedua ayam sudah masak, baunya sangat busuk. Kebetulan tak puasa, saya cuba makan. Isinya elok tapi baunya cukup busuk, macam bau bangkai,”katanya beranggapan bukan rezekinya hari itu.
Selepas videonya tersiar, ada bertanya mengapa dia membuangnya begitu saja dan tak disedekahkan kepada pada orang lain.
Menjawap di satu video lainnya, dirinya memaklumkan tidak sanggup memberi orang lain makan ayam yang baunya busuk . “Kalau nak beri sedekah pada orang, berilah yang masih elok,” katanya memaklumkan kesemua 30 ekor ayam itu sudah diberi pada binatang di jalanan.
Kena lagi keesokkan harinya, ayam bau bangkai lagi
Jika dua hari lalu bukan rezekinya, Fazliana mencuba lagi berniaga semalam. Kali ini jumlah ayam tidak banyak iaitu sekitar 20 ekor sahaja. Dan dia membelinya sendiri, bukan dari supplier biasa menghantar ayam kepadanya bagi mengelak kejadian sama berulang.
Jangan terkejut kerana ayam yang asalnya tiada bau semasa membeli dan selepas siap dimasak, sekali lagi nasibnya sama. Ayamnya berbau bangkai.
Menjawap persoalan KASHOORGA adakah wujudnya unsur misteri di sini, kata Fazliana dia bukan mahu memburukkan keadaan tapi dua hari sebelum Ramadan, dirinya bermimpi nampak wajah sangat marah pada dirinya.
“Tak tahulah ada kaitan ke tak dengan mimpi tu. Tapi berniaga ni saja rezeki saya menyara 7 anak. Dengan suami yang tak boleh buat kerja berat selepas tapak tangannya patah dan hancur ketika jatuh kami mencari rezeki jual burger. Hanya mampu tolong orang untuk cari rezeki untuk beri makan pada anak-anak,” katanya yang redha dengan ujian hidup menimpanya seisi keluarga. Bahkan keluarga mereka tergolong dalam lapan golongan asnaf yang menerima bantuan zakat.
Ujian hidup seseorang berbeza. Kalau korang ada rezeki lebih untuk disyerkan dengan keluarga ini bolehlah hulurkan bantuan ke akaun Maybank 162553110750 atas namanya Norfazliana binti Mohammad Nor. Moga kita dapat ringankan beban orang dilanda ujian begini. Dirinya sudah berusaha, tapi ada saja ujian hidupnya.
https://www.tiktok.com/@mawar_nasi_arab_k.s/video/7086492601540447514?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=6973624686812366338 Bulan puasa betul ke semua syaitan kena ikat? Ini penjelasan Mufti.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Pertanyaan ini mungkin berpunca daripada dua buah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:-
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1899)
Dalam riwayat Muslim, no. 1079, disebutkan (وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).” (Lihat Fath al-Bari, 4/114)
Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:-
بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188) Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.” (Lihat Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327)
Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani,
“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…” (Lihat Fath Al-Bari 4/114).
Kesimpulan :-
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:
Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.
Gangguan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadhan seperti amalan puasa itu sendiri, membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir. (Lihat Fath al-Bari, 4/114)
Dalam masa yang sama, kami juga mencadangkan kepada mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini untuk merujuk juga kepada pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘10 tahun duit cukup tunaikan haji.’ Siap surat beranak anak, ibu ini terus buka akaun Tabung Haji dan menabung secara konsisten. Semuanya perlu perancangan kalau hendak tunaikan haji dalam usia yang muda.
Dahulu mungkin kurang kesedaran, sekarang rata-rata ibu bapa mula membuka akaun tabung haji sedari anak masih kecil seterusnya membuat potongan gaji setiap bulan untuk simpanan anak-anak.
Sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Nor Azihan Sulaiman ini, baginya tiada rahsia anaknya dapat pergi haji dalam usia muda, sebaliknya inilah cara dia lakukan selama ini.
10 Tahun Duit
Ramai yang tanya saya, rahsia anak-anak dapat menunaikan haji pada usia yang muda. Tidak ada rahsia.
Saya dan Tabung Haji memang tak dapat dipisahkan. Kalau ada award, boleh bagilah dekat saya…
Seawal usia 15 tahun saya sydah buka akaun Tabung Haji (TH). Ketika itu ada pameran di sekolah dan saya singgah buka akaun di booth TH. Dari situlah bermulanya persahabatan saya dengan TH.
Cukup Tunaikan Haji
Ada duit RM5, saya pos ke TH Gerik. Begitulah yang saya lakukan masa zaman sekolah. Sehinggalah saya keluar mengajar, barulah saya buat potongan gaji secara tetap.
Sebelum berkahwin, sebelum ada anak, saya sudah membantu membuka akaun TH untuk anak-anak murid Tahun 1 saya. Masa tu kaunter TH dibuka pada setiap hari Sabtu di bangunan Arkeb MARA Lenggong.
Saya wujudkan tabung simpanan untuk anak-anak murid. Kalau mereka masih ingat, setiap hari mereka akan menabung duit lebihan belanja sekolah mereka, sekupang dua kupang…
Siap Surat Beranak Anak
Zaman itu belum ada media sosial macam sekarang. Nak ambil gambar buku catatan tabungan pun tak dapat. Kena guna kamera isi filem Kodak.
Apabila duit mereka cukup RM5 atau lebih, saya akan bawa ke kaunter TH. Sehingga mereka di Tahun 6, saya masih meneruskan usaha tabungan tersebut. Buku akaun TH mereka, saya pulangkan kepada mereka apabila mereka tamat tahun 6.
Jadi, tak ada hairanlah kalau saya membuka akaun TH anak-anak saya seawal usia mereka 2 minggu iaitu sebaik-baik sahaja mereka memperoleh surat beranak dan seterusnya mendaftarkan haji mereka.
Target saya, sebulan RM100, setahun RM1200, sepuluh tahun RM12, 000 simpanan bersih tidak termasuk bonus. Bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah cukup wang untuk mengerjakan haji.
2007, umur abang genap 10 tahun. Dia selalu ikut opahnya pergi kursus haji kerana pada tahun tersebut opahnya dapat tawaran mengerjakan haji. Dia bagitau kawan-kawannya yang dia nak pergi haji.
Buka Akaun & Menabung
Suatu hari saya terserempak cikgunya. Cikgu dia beritahu, Syaiful cakap pada semua orang yang dia hendak pergi haji. Cikgunya kata,”Dia ingat senang-senang kot nak pergi haji. Kalau tak ada duit, mana boleh pergi haji. Setakat pergi kursus sajalah.”
Saya senyum saja. Tak jawab apa-apa pun. Tidaklah pula saya beritahu, duit dia memang sudah cukup. Apa yang cakap itu memang betul dia nak pergi haji sebab memang sudah daftar pun haji dia ketika itu.
Alhamdulillah, 6 tahun kemudian, pada usianya 16 tahun, Allah menjemput abang menjadi tetamu agung-Nya.
Terus Istiqamah
Anak-anak memang sejak kecil lagi pulun mengaji dan hendak khatam Quran cepat-cepat sebab mama dan ayah janji hendak bawa umrah kalau semua sudah khatam Quran.
Bukan paksa anak-anak tapi asbab itu jugalah mereka bersungguh-sungguh mengaji dan berguru.
Doa mama semoga anak-anak mama terus istiqomah dalam mengerjakan amal ibadat, mencintai rumah Allah dan mencintai agama Allah.
‘Selepas peristiwa sedih libatkan airlines negara kita.’ Pramugara ini ambil inisiatif mulakan penerbangan dengan bacaan doa secara terbuka.
Malahan tindakannya tidak mendapat halangan daripada pihak atasan, jadi dia teruskan hingga ke hari ini. Ustazah Asma’ Harun berkongsi kisah ini dan diharap apa yang dilakukan oleh pramugara ini menjadi inspirasi kepada orang lain.
Selepas Peristiwa Sedih Libatkan Airlines
Menarik dan tenang penerbangan hari ini, pramugara bernama Qismat Alias memulakan dengan mengumumkan bacaan doa sebelum terbang dan menyudahkan dengan ucapan Alhamdulillah sebaik mendarat, biasanya kita akan mendengarnya bila menaiki penerbangan menuju ke Tanah Suci, situasi pagi ini jarang berlaku.
Pramugara tersebut (gambar pertama) datang dan menegur kami, terus saya memuji apa yang dia lakukan, lalu dia bercerita;
“Ustazah,selepas beberapa peristiwa yang menyedihkan melibatkan Airlines kita, bermula itu saya ambil inisiatif sendiri memulakan penerbangan dengan bacaan doa secara terbuka tak kira ke mana penerbangan dituju, dan pihak atasan pun tidak menghalang, jadi saya syukur Alhamdulillah..”.
Pramugara Ini Ambil Inisiatif
Sambungnya lagi,
“Pernah satu ketika, berlaku situasi yang agak mencemaskan ketika telah beberapa ketika di udara, penerbangan perlu berpatah balik, dan syukur semua anak kapal dan penumpang dalam keadaan tenang.
‘Kemudian ada seorang lelaki bukan Islam bertemu saya dan berkata “mungkin sebab you baca doa tadi, tuhan lindungi dan selamatkan kita semua, thank you”
“Jadi saya bertambah yakin dengan kekuatan dan pentingnya berdoa, hanya Allah sahaja yang boleh membantu kita”.
Mulakan Penerbangan
Kami saling bertanya tentang keluarga, rupanya beliau belum bernikah, dan ada beberapa kisah lucu diceritakannya, bukan tak berusaha untuk bernikah namun ada sahaja ujian yang mendatang. Saya terus sahaja mendoakan buatnya.
Ceritanya lagi,
“Ustazah, boleh jadi ini adalah doa dan niat hati saya daripada kecil untuk menjaga ibu saya, ibu membesarkan kami seorang diri sejak kami kecil, maka Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk saya”.
Senyum riang ceria sahaja pramugara ini walau umur dah penghujung 40-an. Seorang anak yang berbakti dengan sebaiknya kepada ibunya.
Dengan Bacaan Doa Secara Terbuka
Moga satu hari yang terdekat dan berkat, Allah kurniakan buatnya seorang Isteri yang solehah, mana tahu jodohnya sedang menatap tulisan saya ini..
Terima kasih sudi membaca dan menyebarkan.
Alhamdulillah, kami selamat tiba di Terengganu, menghadiri majlis graduasi Huffaz Anakanda Maisarah. Moga Allah kurniakan zuriat keturunan kita penjaga dan beramal dengan alQuran.
Kashoorga: Semoga pramugara ini bertemu jodoh dan inisiatifnya membaca doa setiap kali penerbangan mempermudahkan urusan semua orang.
Atta Halilintar personaliti media sosial yang terkenal di Indonesia malah di Malaysia, meluahkan rasa syukur apabila membina masjid kelima tercapai.Masjid Suffah yang terletak di...