
Sebagai seorang Muslim yang punya empati, sudah tentu kita akan mudah tersentuh melihat saudara, sahabat atau sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan.
Lalu kita pun menghulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk wang, barangan, tenaga mahupun sokongan.
Namun malangnya, ada kalanya apabila hubungan mula retak atau timbul salah faham, segala bantuan yang pernah diberi sebelum ini diungkit semula.
Perkara yang pada awalnya nampak seperti satu kebaikan akhirnya bertukar menjadi punca luka dan dosa.
Dalam Islam, perbuatan mengungkit pemberian dan menyakiti hati penerima bantuan adalah sesuatu yang sangat dilarang.
Ia bukan sekadar mencacatkan hubungan sesama manusia, malah boleh menghapuskan pahala amalan yang pernah dilakukan.
Menurut Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi, manna ialah menyebut-nyebut sedekah serta menghitung-hitungnya kepada orang yang menerima.
Manakala aza pula ialah menyakiti hati penerima pemberian, termasuk dengan menghina atau menjatuhkan maruahnya.
BACA JUGA: Ujian Generasi Sandwich, Bila Perlu Menjaga Ibu Bapa Dan Anak-Anak Serentak
Inilah yang perlu kita renungkan. Jika benar bantuan itu diberi dengan hati yang ikhlas kerana Allah, mengapa masih timbul keinginan untuk mengungkit?
Mengapa masih ada rasa mahu dikenang, dihargai atau lebih buruk lagi, mahu mengawal orang yang pernah dibantu?
Sikap suka mengungkit sebenarnya memberi gambaran bahawa anda ada masalah hati.
Orang yang benar-benar beriman dan ikhlas membantu tidak akan menjadikan kebaikannya sebagai senjata untuk melukakan orang lain pada kemudian hari.
Allah SWT telah menjelaskan perkara ini dengan sangat tegas dalam Surah al-Baqarah, ayat 264:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat…”
Ayat ini cukup jelas menunjukkan bahawa pahala bantuan yang pernah diberikan boleh menjadi hangus hanya kerana mulut yang tidak dijaga dan hati yang tidak benar-benar ikhlas.
Apabila membantu seseorang, sama ada melalui perbuatan, wang ringgit atau barangan, lakukanlah dengan adab yang diajar oleh agama. Berilah dengan penuh rendah hati dan jangan dibesar-besarkan.
Orang tua-tua selalu berpesan, biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu.
Cukuplah Allah, kita dan penerima sahaja yang tahu. Tidak perlu dicanang atau dijadikan modal cerita kepada orang lain.
Sebagai pemberi bantuan juga, anggaplah bahawa apa yang kita beri itu sebenarnya ialah rezeki daripada Allah.
Kita cuma dipilih menjadi perantara untuk menyampaikan nikmat tersebut kepada orang yang memerlukan.
Bukankah itu juga satu kemuliaan?
Selepas memberi, doakanlah penerima menggunakan bantuan itu dengan sebaiknya.
Berdoalah dalam diam, tanpa mengharapkan pujian, balasan atau penghargaan.
Bagi sesiapa yang sedang berusaha membuang tabiat ini, cuba amalkan beberapa langkah berikut:

- Lupakan kebaikan yang telah diberi
Selepas membantu, anggap sahaja kita tidak pernah memberi apa-apa. Jangan simpan dalam kepala sebagai hutang budi orang terhadap kita. - Muhasabah diri
Ingat kembali bahawa mungkin segala kebaikan yang kita buat hari ini adalah asbab Allah menghantar bantuan kepada kita pada masa lalu. Maka tiada sebab untuk kita rasa besar diri. - Segera beristighfar apabila terdetik mahu mengungkit
Setiap kali timbul rasa mahu bercerita tentang bantuan yang pernah diberi, cepat-cepatlah beristighfar. Tanamkan dalam hati bahawa setiap ungkitan boleh merosakkan pahala yang telah dikumpulkan.
Bantuan yang kita hulurkan kepada orang lain sepatutnya menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukannya sebab kita semakin jauh daripada rahmat-Nya dan merosakkan hubungan sesama manusia.
Niatkan setiap pertolongan hanya kerana Allah. Bila hati benar-benar ikhlas, kita tidak akan rasa rugi walau tidak dihargai, dan tidak akan tergamak mengungkit kembali apa yang pernah diberi. Di situlah letaknya kemanisan iman dan tenangnya hati seorang mukmin.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







