Ramai suka membeli belah. Ia terapi bagi orang perempuan. Kadang, selagi tidak padan dari gaya tudung, baju hinggalah ke kasut dan beg tangannya, orang perempuan merasakan penampilan mereka tidak lengkap.
Tidak hanya orang perempuan, ada juga lelaki yang suka belanja mewah dan membuat koleksi atas alasan lelaki perlu tampil maskulin. Istilah duit kita, harta kita, suka hati kitalah nak berbelanja di mana pun mungkin hanya sesuai di dunia, tapi tidak di akhirat.
Dikongsi satu soal jawap bersama Ustaz Syamil Esa dari Majlis Ulama Isma (MUIS), ditanya tentang pemilikan harta begini, wajar untuk kita sama-sama belajar agar di akhirat kelak, kita tidak menyesal saat ditanya di hadapan Allah kelak ke mana kita membelanjakan wang miliki kit aitu.
SOALAN : Ustaz, saya pernah menerima mesej melalui whattsap yang tular mengatakan segala barang-barang, pakaian yang kononya akan dipakai tetapi sampai sudah tidak dipakai, beg yang penuh satu almari, pinggan mangkuk dan tupperware yang menjadi hiasan semata, kasut yang berjenama sekadar dibuat koleksi , tudung, jam dan sebagainya semuanya akan dihisab diakhirat kelak, betul ke?
Ads
JAWAPAN :-
Secara umumnya setiap nikmat yang kita ada akan dihisab dan dipersoal termasuk segala pakaian, makanan, hatta ilmu pengetahuan pun akan ditanya ke mana amalannya.
Ianya berdasarkan hadis “ Tidak akan berganjak dua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti hinggalah dia ditanya mengenai empat perkara : mengenai umurnya di mana dia habiskan, mengenai waktu mudanya ke mana digunakan, mengenai hartanya dari mana dia dapatkan dan ke mana dia belanjakan, dan mengenai ilmunya ke mana dia amalkannya”
Ads
Kemudian dalam al-Quran juga Allah berfirman dalam surah At-Takathur ayat 8
“Kemudian kamu akan ditanya mengenai nikmat-nikmat (dikurniakan)”.
Jadinya segala apa yang berkaitan dengan kepemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan.
Tidak salah untuk membeli pakaian baru, atau menyimpan barang-barang tertentu, ia juga sebahagian daripada perkara yang halal yang diizinkan syariat.
Namun dalam berbelanja dan mengumpul harta benda dan aset, ia perlu diseimbangkan dengan kebertanggungjawaban kita di dunia, dan apa pula yang kita sediakan jawapannya di akhirat.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Benarkah haram melambatkan solat? Persoalan ini dikemukakan oleh netizen bila mana dia mendengar seorang penceramah menyebut tentang ayat Quran: ‘Celakalah orang yang solat yang melambat-lambatkan solat.’
Katanya menurut penceramah tersebut erti ayat ini ialah wajib solat ketika masuk waktu solat dan haram solat di pertengahan waktu atau di hujung waktu walau pun belum masuk waktu solat yang lain.
Adakah betul penafsiran seperti itu? Ustaz Azhar Idrus bagaimanapun telah memberi penjelasan tentang perkara ini dalam satu berkongsian beliau
Ujar beliau yang betulnya ialah afdal solat di awal waktu dan harus pada pertengahan waktu dan makruh pada hujung waktu dan haram sengaja melambatkan solat sehingga telah habis waktunya.
Ayat yang dimaksudkan dalam perosalan ini ialah firman Allah Taala :
Artinya : “Maka celakalah bagi sekelian orang yang solat yaitu mereka yang lalai dari solat mereka itu.” (Al-Ma’un : 4 & 5)
Orang-orang yang disebut pada ayat ini bukannya orang Islam yang solat pada pertengahan waktu atau hujungnya.
Tetapi yang dicela pada ayat ini ialah orang-orang munafik yang melambatkan solat lima waktu sampai habis waktunya seperti mengerjakan solat Zuhur setelah masuk waktu Asar dan mereka tidak kisah langsung andainya terlepas dari menunaikan solat atau orang-orang yang tidak menunaikan solat sama sekali maka diancam akan mereka ini dengan kecelakaan pada negeri akhirat.
Dalam pada itu beliau turut memberi beberapa pandangan ulamak tafsir yang muktabar siapakah golongan yang diancam dengan kebinasaan pada ayat tersebut.
Berkata Imam As-Syaukani : Telah berkata oleh Al-Wahidi :
Artinya : “Ayat ini turun pada orang-orang munafik yang tidak mengharap oleh mereka dengan solat mereka itu akan pahala jika mereka solat dan mereka tidak rasa takut atas meninggalkan solat akan siksa akhirat dan adalah mereka lalai daripada solat sehingga habis waktu solat.” (Kitab Tafsir Fathu Al-Qadir)
Menurut Imam Ibnu Jarir At-Tobari : Diriwayatkan daripada Ibnu Abazi :
الذين يؤخِّرون الصلاة المكتوبة، حتى تخرج من الوقت أو عن وقتها
Artinya : “Yaitu sekelian orang yang melambatkan akan solat yang fardu sehingga keluar ia daripada waktu atau sampai habis waktunya.” (Kitab Tafsir Jami’ul Bayan)
Dan berkata Imam Abu Mansur Al-Maturidi :
عن ابن عَبَّاسٍ رضي اللَّه عنهما مرفوعا: هم الذين يؤخرونها عن وقتها
Artinya : “Daripada Ibnu Abbas r.a. secara marfu’ : Mereka itu ialah orang-orang yang melambatkan solat sehingga keluar dari waktunya.” (Kitab Tafsir Takwilat Ahli Sunnah)
Dan menyebut oleh Imam As-Suyuthi : Daripada Al-Hasan beliau berkata :
هُوَ الَّذِي يسهو عَن ميقاتها حَتَّى تفوت
Artinya : “Yaitu orang yang lalai dari sekelian waktu solat sehingga habislah waktu solat.” (Kitab Tafsir Dur Al-Mantsur)
Para fuqahak telah menjelaskan berkenaan waktu-waktu ditunaikan solat iaitu solat pada awal waktu adalah paling afdhal. Solat pada pertengahan waktu adalah harus dan solat pada hujung waktu selagi tidak sampai keluar dari waktunya adalah makruh bukannya haram.
Yang haram dan dicela ialah sengaja melakukan solat setelah habis waktunya seperti sengaja melambatkan solat Zuhur sehingga telah masuk waktu Asar atau sengaja melambatkan solat Asar sehingga telah masuk waktu Maghrib.
Doakan keburukan ke atas orang jahat atau zalim, adakah dibolehkan dalam Islam?
Dalam hidup, kita pasti pernah melihat atau menjadi mangsa kezaliman manusia baik secara peribadi atau dalam konteks yang lebih besar seperti kezaliman terhadap umat Islam.
Ramai tertanya-tanya, adakah Islam membenarkan untuk mendoakan keburukan atas mereka yang zalim? Jawapannya: ya, ia adalah harus. Malah ia pernah dilakukan oleh para nabi terdahulu, termasuk Rasulullah SAW sendiri.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa mendoakan keburukan ke atas orang jahat atau zalim adalah sesuatu yang luas dan diharuskan berdasarkan nas al-Quran, hadis dan perbuatan para salafussoleh.
Banyak doa para nabi dalam al-Quran yang mendoakan kebinasaan ke atas kaum yang kafir dan zalim. Contohnya, dalam satu hadis sahih riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW pernah berdoa:
“Ya Allah, sesiapa yang menjadi pemimpin umatku lalu menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia.”
Dalam riwayat lain, Baginda bersabda:
“Dan siapa yang memimpin urusan umatku lalu menyusahkan mereka, maka ke atasnya bahlatullah.”
Lebih tegas, dalam satu lagi riwayat daripada Ibnu Mas’ud RA, Baginda SAW pernah berdoa secara khusus:
“Ya Allah, hancurkan kaum Quraisy.” (Riwayat al-Bukhari)
Mendoakan keburukan bukan sesuatu yang dicadangkan untuk setiap situasi. Ia bukan tanda dendam, tetapi sebagai doa keadilan atas kezaliman. Doa seperti ini lebih tepat digunakan apabila jelas berlaku penganiayaan, penindasan, atau kezaliman yang merosakkan umat dan agama.
Namun jika niat kita hanya kerana marah atau tidak puas hati secara peribadi tanpa asas yang benar, maka lebih baik kita berdoa agar hati mereka dilembutkan dan diberi hidayah.
Islam adalah agama yang menggalakkan sabar dan memaafkan, namun dalam masa yang sama tidak melarang doa agar kezaliman dibalas dengan adil. Jika seorang hamba teraniaya, maka doanya diangkat tanpa hijab oleh Allah SWT.
Justeru, berdoalah dengan yakin sama ada memohon kebaikan untuk mereka berubah atau mendoakan pembalasan yang setimpal, asalkan ia datang dari hati yang jujur, bukan dendam semata.
Sama ada solat fardhu atau sunat, selepas membaca ummul kitab al-Fatihah kita akan susuli dengan bacaan surah pendek. Namun adakala juga kita ulang baca surah yang sama berturut dalam rakaat berikutnya.
Ada juga imam yang membaca surah yang sama pada rakaat pertama dan kedua berturut. Adakah batal solat? Kita ikuti penjelasan Mufti dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum membaca surah yang sama selepas al-Fatihah di kedua-dua rakaat yang awal dalam solat?
Jawapan
Pada asasnya, membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyyah atau sirriyah.
Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam.
Menjawab persoalan di atas, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Abdillah al-Juhaniy, bahawa seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan kepadanya:
Maksudnya:Bahawa dia mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh ‘Iza Zulzilat Ardh’ pada kedua-dua rakaat. Aku tidak tahu sama ada Nabi terlupa ataupun sengaja membacanya di dalam kedua-dua rakaat. Riwayat Abu Daud (816)
Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim al-Abadi menjelaskan: “Sahabat ragu berkenaan pengulangan Nabi SAW terhadap surah, adakah kerana lupa kerana kebiasaan dari bacaan Baginda SAW adalah membaca (surah) pada rakaat kedua dengan bacaan (surah) yang selain pada rakaat pertama.
(Jika demikian), maka tidak disyariatkan kepada umatnya. Atau perbuatan Baginda sengaja untuk menjelaskan akan dibolehkan (hal itu)? Maka, kejadian pengulangan tersebut menimbulkan keraguan, sama ada perkara itu disyariatkan ataupun tidak.
Apabila sesuatu perkara berkisar antara disyariatkan atau tidak disyariatkan, maka perbuatan Baginda SAW lebih utama difahami sebagai sesuatu yang disyariatkan.
Kerana asal dari perbuatan Baginda SAW adalah untuk pensyariatan, manakala lupa adalah keluar dari perkara asal.
Ibn Qudamah menyatakan: Sekiranya seseorang membaca pada rakaat (pertama) sesuatu surah, kemudian mengulanginya pada rakaat kedua, maka tidak mengapa.
Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya daripada lelaki dari Juhainah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW membaca dalam Solat Subuh dengan surah “إذازلزلت” (Surah al-Zalzalah) pada kedua-dua rakaat.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِ (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « سَلُوهُ لأَىِّ شَىْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ ». فَسَأَلُوهُ فَقَالَ لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ “Bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan al-Quran lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas. Apabila mereka kembali, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah SAW.
Lalu Baginda SAW bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?” Mereka pun bertanya kepada sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah tersebut (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya suka untuk sentiasa membacanya.” Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahukanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya.” Riwayat al-Bukhari (7375) dan Muslim (1926)
Ibn al-‘Arabi berkata: “Hal ini menjadi dalil bahawa dibolehkan mengulangi surah pada setiap rakaat.”
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan: Jumhur ulama’ dari kalangan Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang solat untuk mengulangi surah daripada surah-surah dalam al-Quran yang dibacanya pada rakaat yang pertama.
Harus bagi seseorang untuk membaca surah tertentu selepas al-Fatihah pada rakaat yang pertama, kemudian dia membaca surah yang sama pada rakaat yang kedua.
Walaupun begitu, kami berpendapat adalah afdhal membaca surah yang berlainan atau ayat yang berlainan berdasarkan kebanyakan amalan Nabi SAW ketika membaca selepas Fatihah dalam solat.
Justeru, keharusan bukan bermakna menjadi adat yang diulang pada setiap kali solat, tetapi perbuatan yang ghalib hendaklah dilakukan oleh para imam ketika solat.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.