‘Bawah dagu aurat ke tak?’ Wanita ni susah di dunia, macam-macam nak kena tutup dan jaga terutamanya bab aurat.
Tapi biarlah kita susah sekarang daripada di soal kelak di akhirat sana. Ikuti perkongsian husnaghani dan hadam baik-baik.
Artikel Berkaitan: Mualaf Ditegur Solat Tak Pakai Telekung Kononnya Solat Tak Sah
Bawah Dagu Aurat Ke Tak
Bawah dagu kita ni, aurat ke tak? Hmm kena tutup ke. Sebelum tu kita kena tahu dulu, dagu ini termasuk kawasan muka ke tak .
Dalam fiqh Mazhab Imam Syafie,
“Sempadan wajib basuh muka ketika mengambil wuduk adalah daripada mula tempat tumbuhnya rambut sampailah hujung dagu dan di antara dua cuping telinga.’
Wanita Ni Susah Di Dunia
Jadi dekat sini, boleh kata kawasan bawah dagu ini tak termasuk muka, sedangkan kita wajib tutup anggota seluruh badan kita melainkan muka dan tapak tangan (depan belakang).
Sebab tulah dalam solat kita akan tutup dagu, kalau tak, tak sah solat
aurat kita yang wajib tutup masa solat dan luar solat sama saja sebenarnya.
Tapi bab bawah dagu ni ada khilaf, ada sebahagian pendapat kata aurat dan ada pendapat lain kata bukan aurat.
Macam-Macam Nak Kena
Yang kata bukan aurat ni, dia kena basuh sekalilah bawah dagu ni masa hendak berwuduk.
Tapi yang terpenting, jangan pula bila kita nampak, orang tu tak tutup dagu. Jangan judge dia, mungkin dia pegang pada pendapat yang dagu ini bukan aurat.
Baca Di Sini:
Tak Salah Berbeza Agama. ‘Berpeluk Cium, Tak Tutup Aurat Secara Terbuka Itu Membimbangkan’
Tutup & Jaga
Ada pun yang paling baik, ulama sarankan kita keluar daripada khilaf, maksudnya kita tutuplah bawah dagu ni. Kalau kata bawah dagu ni aurat, kita dah selamat. Tak berdosa.
Kalau kata bukan aurat pulak, tak apalah. Kita ambil pendekatan lebih menjaga.
Jelas bukan.
Kashoorga : Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat kita semua.
Sumber: Instagram Husna Ghani
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Suami Bergaji Kecil, Apakah Hukum Jika Kami Merancang Keluarga?
Merancang keluarga semakin jadi pilihan pasangan berpendapatan rendah?Kehadiran cahayamata adalah rezeki daripada Allah. Dan anak itu pembawa rezeki. Namun terdapat kebimbangan di kalangan suami isteri apabila memikirkan kebajikan anak-anak akan terabai berikutan pendapatan keluarga yang kecil.
Hari ini, kos hidup semakin meningkat. Ia mendatangkan dilemma kepada ramai pasangan berpendapatan rendah, takut keperluan anak tak terpenuhi.
Kita ikuti penjelasan, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang apakah hukumnya pasangan berpendapatan rendah mahu merancang keluarga. Mereka bimbang dengan keadaan ekonomi keluarga belum stabil.
Artikel berkaitan:Tabiat Buruk Sekeluarga Di Rumah Penyebab Rezeki Sempit
Artikel berkaitan: Gaji RM700 Sara 9 Sekeluarga, Tapi Sebab Bersyukur Rezeki Tak Pernah Putus Siti Nurhaliza Kenang Zaman Susah Bersama Arwah Ayah
SOALAN:
Salam. Boleh saya tanya? Seseorang suami yang berpendapatan rendah, adakah perlu merancang keluarga?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan kemiskinan.
Pendapat pertama:
Bagi mereka yang tidak membenarkannya, mereka berhujah:
- Rezeki itu berada dalam ketentuan Allah, dan Allahlah yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Allah berfirman dalam al-Quran:
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
Surah al-An’am, (6:151)
- Penyerupaan amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini hanyalah menghalang lahirnya anak-anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, maka hukum tujuan ialah hukum wasilah (sarana).
- Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah.
Firman Allah Taala:
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah, 2:216)
Pendapat kedua:
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atau tanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak).
Tanzim al-Nasal merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara.
Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:
- Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksudnya: Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209) dalam al-Sahih
Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan.
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:
مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya: Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.
Dalam riwayat Abu Said RA menyebut:
لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا
Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari . No. 7409)
Ertinya, jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasangan yang merancang itu hendaklah reda, beramanah dan berasa tanggungjawab.
Manakala Tahdid al-Nasal menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran.
Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan.
Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak.
Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.
Pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin.
Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.
Fatwa-fatwa ulama
Imam al-Ghazzali berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia.
Namun, beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq.
Beliau juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan. Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (2/52)
Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:
- Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syarie.
- Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh Syarak.
Ini dilakukan berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. Rujuk Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73)
Syeikh Atiyyah pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu.
Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius. Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan.
Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
- Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
- Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
- Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang dikemukakan, merancang keluarga dibolehkan bagi kedua pasangan untuk menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah.
Ini perlu disertakan dengan niat bahawa jika Allah mengurniakan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu redha kepada takdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Anak Jahit Sendiri Barut & Pasang Hoist Crane, Cara Mudah Angkat Mak & Ayah Sakit
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tanpa ibu ayah, kita mungkin tiada apa-apa di dunia ini. Kerana kasih sayang dan doa merekalah kita menjadi manusia hari ini.
Jika dahulu ketika kita masih kecil, banyak yang kita harapkan dari mereka di saat kudrat mereka masih kuat. Seiring masa, kudrat yang dahulunya kuat sudah mula melemah ditambah masalah kesihatan yang singgah di tubuh tua mereka. Jika dulu ibu ayah kita mampu melakukan pelbagai pekerjaan, hari ini ada yang diuji terlantar sakit di katil dan memerlukan bantuan kita untuk mengangkat mereka bagi urusan mandi, menukar lampin dan sebagainya.
Yang pastinya, kudrat anak perempuan takkan sama dengan anak lelaki yang Allah beri kekuatan lebih.
Dikongsi dari Tik Tok @aisyahishak5, dirinya berkongsi cara mudah untuk mengangkat ayah dan ibunya yang terlantar sakit dengan menjahit sendiri barut dan memasang hoist crane untuk mengangkat ibu dan ayahnya.
Dari video dikongsikan dapat dilihat adik beradik ini sepakat menjaga kedua orang tua mereka dan ramai memuji kesepakatan antara adik beradik ini tanpa mengeluh penat. Dan kerja mengangkat kedua orang tuanya menjadi lebih mudah selepas memasang hoist crane yang mampu mengangkat beban berat kedua orang tuanya.
Jelas Aisyah dengan menjahit sendiri kain barut dan kosnya tidak terlalu mahal.
“Apa yang diperlukan untuk rawatan ini hanyalah katil hospital 3 function, hoist crane yang dibeli di Shopee pada harga RM348.40 untuk menampung berat 300 kg, rantai besi yang besar dalam dua meter, penyambung rantai besi dan kain barut dua helai yang saya jahit sendiri. Saya hanya perlukan dua meter saja dan dikerat dua.
“Jadi dapat dua keping. Setiap keping tu dilipat dua dan jahit keliling dan dalamnya supaya kain tak bergerak. Bila dah siap, hujungnya dibuat lubang kiri kanan dan dipasangkan kain untuk disambung ke penyambung rantai besi hoist crane. Untuk katil mak pula, kita letak roda agar mudah dialih-alihkan.
“Jadi setiap kali meletak mereka di atas kerusi roda untuk ke bilik air, kerja itu jadi mudah,” katanya. Dan video yang dikongsikan oleh anak-anak hebat ini sudah ditonton 1.4 juta orang yang bangga dengan usaha mereka lakukan.
https://www.tiktok.com/@aisyahishak5/video/7057473322493168922?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id6973624686812366338
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dosa Sengaja Tinggalkan Solat Tak Terhapus Dengan Qadha, Mufti Kongsikan Apa Perlu Buat Agar Allah Ampunkan Dosa Ini
Dalam hidup, kita tidak terlepas dengan ujian kehidupan. Ada masa kita terleka dan terlalai dengan dunia hingga mengabaikan solat lima waktu yang menjadi kewajipan melakukannya.
Adakah dosa sengaja tinggalkan solat ini cukup dengan qadha sahaja atau ap akita perlu lakukan agar Allah ampunkan dosa in? Mufti Wilayah memperjelaskan isu qadha solat ini.
Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan, jika kita tinggal solat, kemudian kita qadha’ solat tersebut, adakah dosa solat itu terhapus ataupun tidak? Mohon jawapan daripada Datuk Mufti. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Surah al-Nisa’ (103)
Ayat ini merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
«مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ»
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.
Riwayat al-Bukhari (597), Muslim (684)
Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya (menggantikannya) semula.
[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/103-104]
Perkara berkenaan hukum qadha bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja ada dibincangkan secara terperinci di dalam artikel kami yang bertajuk: Tahqiq al-Masa’il Siri-1 Hukum Qadha Bagi Seseorang yang Meninggalkan Solat dengan Sengaja. Dalam artikel tersebut, kami mentarjihkan pandangan bahawa wajib qadha bagi orang yang sengaja meninggalkannya.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan adakah dosa meninggalkan solat akan terangkat ataupun terhapus dengan perbuatan mengqadhakan solat. Seperti yang diketahui bahawa perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/160]. Maka, dosa-dosa besar tidak akan terampun atau terangkat hanya dengan menggantikan solat fardhu namun perlu disertai dengan taubat kepada Allah S.W.T. Sebaliknya solat-solat fardhu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana hadith Nabi Muhammad S.A.W:
«الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ»
Maksudnya: Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadhan ke (puasa) Ramadhan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.
Riwayat Muslim (233)
Imam Ibn Rejab menyatakan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama’ berkata bahawa sesungguhnya solat menghapus dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, tetapi jumhur ulama’ berkata bahawa solat tidak akan terhapus sekadar dengan menggantikan solat namun perlulah bersama-sama dengan taubat. [Lihat: Fath al-Bari; 4/221].
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T:
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيماً
Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).Surah al-Nisa’ (31)
Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa jika seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar (yang telah dilarang daripadanya), maka Allah S.W.T akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya dan memasukkannya ke dalam syurga. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/271]. Jelas di sini bahawa dengan menjauhi dosa besar atau secara mafhum mukhalafahnya (tidak meninggalkan solat) maka dapatlah ia menghapuskan dosa-dosa kecil.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ada berkata:
“والذين أمروه بالقضاء من العلماء لا يقولون إنه بمجرد القضاء يسقط عنه الإثم ، بل يقولون بالقضاء يخف عنه الإثم ، وأما إثم التفويت وتأخير الصلاة عن وقتها فهو كسائر الذنوب التي تحتاج إما إلى توبة وإما إلى حسنات ماحية ، وإما غير ذلك مما يسقط به العقاب”.
Maksudnya: “Ulama’ tidak mengatakan bahawa qadha’ semata-mata boleh menggugurkan dosa, tapi mereka katakan ia boleh mengurangkan dosa, namun dosa melewatkan atau meninggalkan solat maka ia adalah seperti dosa-dosa yang memerlukan kepada taubat atau kebaikan-kebaikan yang besar atau apa-apa yang boleh menggugurkan pembalasan”.[Lihat: Minhaj al-Sunnah; 5/233]
Seterusnya, perbahasan mengenai taubat kepada Allah S.W.T dan cara-caranya ada dibentangkan dan dibincangkan dalam artikel kami bertajuk, Irsyad al-Fatwa Siri-251
Taubat Berulang-ulang Kali.
Penutup
Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat tidak akan terhapus hanya dengan menggantikannya sebaliknya perlu disertai dengan taubat, kembali kepada Allah S.W.T dengan menjauhinya, menyesal terhadap dosa yang dilakukan serta berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Akhir kalam, semoga Allah memberikan kepada kita kefahaman dalam memahami agama, diberikan keringanan dan keikhlasan dalam beribadah, ditetapkan keimanan kita serta diberkati segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI