‘Biar macam makcik, asal aurat terjaga.’ Mia Ahmad kuatkan hati, berpakaian kerana Allah. Benarlah berubah ke arah kebaikan bukanlah sesuatu yang mudah.
Apatah lagi dirinya merupakan seorang selebriti pasti setiap apa yang dilakukan mendapat perhatian ramai.
Tidak dinafikan bertudung labuh, antara salah satu cara menutup aurat dengan sempurna. Pun begitu, ada yang memandang sinis dan melabelkan imej sedemikian tidak moden.
Artikel Berkaitan : ‘Walaupun Tutup Aurat Sempurna, Elak Post Gambar Di Media Sosial.’ Tak Salah, Tapi Banyak Datangkan Fitnah
Biar Macam Makcik
Itulah situasi yang dialami pelakon Mia Ahmad apabila dirinya mengambil keputusan untuk berubah.
“Bila orang cakap tudung labuh macam mak cik dan tak moden, ini jawapan saya. ‘Maaf, saya berpakaian kerana Allah.’
“Ada juga yang cakap saya tidak akan istiqamah, malah ada yang kata, suami saya tidak akan sokong.
‘Pun begitu, saya kuatkan hati kerana saya tahu, saya buat benda yang betul. Semuanya kerana ALLAH, ” ujar Mia lagi.
Asal Aurat Terjaga
Malah, jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini, alasan utama yang membuatkan dia mengubah cara berpakaian adalah untuk menjadi yang lebih baik, bukan untuk nampak baik.
“Alhamdulillah banyak benda yang baik-baik datang sepanjang penghijrahan ini. Semoga Allah terus menjaga niat hati saya dan kita semua.
“Semoga Allah memberi hidayah buat kita semua. Hidayah yang berpanjangan. Amin,” ungkapnya.
Mia Ahmad Kuatkan Hati
Luahan hati pelakon drama Hati Perempuan itu dimuat naik menerusi perkongsiannya di laman Instagramnya.
Turut disertakan satu rakaman video yang memaparkan gambar Mia Ahmad berpakaian sopan dengan bertudung labuh.
@mia4hmad Bila orang cakap tudung labuh macam makcik makcik dan tak moden. “Sorry, I dress for Allah” #miaahmad #sameeha #hijrah #hijrahku ♬ One Step At a Time (Originally Performed By Jordin Sparks) [Karaoke Version] – Karaoke Nyc
Untuk rekod, Mia mendirikan rumah tangga bersama penjaga gol pasukan bola sepak JDT, Mohd Izham Tarmizi.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata dan kini sedang menanti kehadiran zuriat yang ketiga.
Berpakaian Kerana Allah
Reaksi warganet terhadap perubahan Mia:
“Biar macam mak cik, asalkan aurat terjaga.”
“Alhamdulillah, kita berubah bukan kerana makhluk, kita berubah kerana Allah SWT. Kita mahu dapat reda ilahi. Semoga Mia terus istiqamah.”
“Sweet apa pakai tudung labuh. Cantik dan sopan.”
“Semoga kita sama-sama istiqamah setelah kita diuji. Tanda Allah sayang buat hamba terpilih.”
“Tudung labuh lagi cantik dan sopan. Betul, kita berpakaian kerana Allah.”
“Cantik tengok Mia macam ini. Abaikan kata-kata orang, yang menuju akhirat nanti kita. Tiada siapa yang tolong, kalau bukan diri kita sendiri.”
Baca Di Sini:
‘Bawah Dagu Aurat Ke Tak?’ Wanita Ni Susah Di Dunia, Macam-Macam Nak Kena Tutup & Jaga
Wanita Wajib Menutup Aurat, Inilah Surah-Surah Dalam Al-Quran Yang Menjelaskannya
Kashoorga : Biarlah kita berubah kerana Allah, bukannya kerana orang lain.
Sumber : Sinar Plus, Instagram & TikTok Mia Ahmad
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Berniqab Tidak Wajib, Digalakkan Pakai Sebagai Benteng Ancaman Fitnah
Muslimat berniqab bukan lah satu perkara yang pelik namun baru-baru ini ia menjadi tarikan dan perhatian masyarakat umum tanahair. Sesiapa yang mengikuti perkembangan semasa pasti sudah maklum akan tindakan selebriti wanita berpengaruh Malaysia yang mempunyai hampir 8 juta pengikut di Instagram, tampil dengan penampilan terbaharu dengan berniqab.
Tindakannya itu mendapat perhatian dan maklum balas positif malah ramai juga teruja untuk berniqab dan sudah tentu bakal menyuntik gelombang baharu di kalangan muslimat lain. Ia merupakan satu bentuk hijrah yang baik walaupun bukan lah sesuatu yang wajib pada wanita Islam.
Artikel berkaitan: Ya Allah Syukur Atas HidayahMu. Love U Bidadariku, Ibu Sebak Neelofa Kini Tampil Berniqab, Doakan Kekal Istiqamah
Artikel berkaitan: Baca 7 Doa Diajar Rasulullah Ini, Untuk Elak Diri Dari Bahaya Fitnah Akhir Zaman
Mengapa Neelofa, personaliti yang cantik, anggun lagi menawan ini berniqab, hanya dia sahaja yang boleh menjawab persoalan. Mungkin juga perkongsian Insyirah Solehah menerusi entri di blognya dapat berikan sedikit sebanyak gambaran tentang niqab berdasarkan pengalamannya dan mungkin juga atas sebab ini juga Neelofa berniqab.
Menerusi catatannya, hadis Ibnu Abbas menjelaskan bahawa wajah dan kedua tapak tangan bukan termasuk aurat, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Kitab Al-Mushannaf.
Wajah Bukan Aurat, Namun Menutupnya Adalah Utama
Pendapat ini bukanlah hal yang baru. Para ulama daripada kalangan Salafussoleh dan para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain mengatakan bahawa wajah bukan termasuk aurat tetapi menutupnya lebih utama.
Sebahagian daripada mereka berdalil tentang wajibnya menutup wajah bagi wanita dengan kaedah.
“Mencegah kerosakan didahulukan daripada mengambil kemanfaatan.”
Memang kaedah ini bukan bid’ah tetapi sesuatu yang berdasarkan syariat. Sedangkan orang yang pertama menerima syariat adalah Rasulullah ﷺ. Kemudian orang-orang yang menerima syariat ini daripada beliau adalah para sahabat. Para sahabat tentu sudah memahami kaedah ini, walaupun mereka belum menyusunnya dengan tingkatan ilmu usul feqh seperti di atas.
Di dalam kitab Hijaab Al-Mar’aatul Muslimah yang dikarang oleh Syeikh Nasiruddin Albani mengenai kisah seorang wanita Khats’amiyyah yang dipandang oleh Fadhl bin ‘Abbas ketika Fadhl sedang dibonceng oleh Nabi SAW, wanita itupun melihat Fadhl. Dia adalah seorang yang tampan dan wanita itupun seorang yang cantik.
Kecantikan wanita ini tidak mungkin boleh diketahui jika wanita itu menutup wajahnya dan Rasulullah ﷺ ketika itu memalingkan wajah Fadhl ke arah lain. Yang demikian ini menunjukkan bahawa wanita tadi membuka wajahnya.
Sebahagian mereka mengatakan bahawa wanita tadi di dalam keadaan berihram, boleh baginya membuka wajah sedangkan tidak ada tanda-tanda sedikitpun bahawa wanita tadi sedang berihram.
Syeikh telah mentarjih (menguatkan) dalam kitab tersebut bahawa wanita itu berada dalam keadaan setelah melempar jamrah, iaitu setelah tahallul awal.
“Dan seandainya wanita tadi memang benar sedang berihram, mengapa Rasulullah tidak menerapkan kaedah di atas, iaitu kaedah mencegah kerosakan?”
Lelaki Dan Wanita Perlu Jaga Pandangan
Syeikh berpandangan seorang lelaki terhadap wajah wanita tidak ada bezanya dengan pandangan seorang wanita terhadap wajah lelaki dari segi syariat dan dari segi tabiat manusia.
Oleh sebab itu Allah SWT berfirman,
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman. “Hendaklah mereka menahan pandangannya,”[An-Nuur : 30]
Maksudnya daripada (memandang) wanita.
Dan Allah Subhanahu SWT berfirman,
“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman. “Hendaklah mereka menahan pandangannya,”[An-Nuur : 31]
Maksudnya iaitu jangan memandang seorang lelaki.
Kedua ayat di atas mengandungi hukum yang sama. Ayat pertama memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah wanita dan ayat kedua memerintahkan menundukkan pandangan dari wajah lelaki.
Sebagaimana kita tahu pada ayat kedua tidak memerintahkan seorang lelaki untuk menutup (wajahnya).
Demikian pula ayat pertama tidak memerintahkan seorang wanita untuk menutup wajah.
Kedua ayat di atas secara jelas menyatakan bahawa di zaman Rasulullah ﷺ ada sesuatu yang biasa terbuka dan boleh dilihat iaitu wajah. Maka Allah, yang mensyariat dan Yang Maha Bijaksana memerintahkan kepada kedua-duanya (lelaki dan perempuan) untuk menundukkan pandangan masing-masing.
Tidak Boleh Mewajibkan Sesuatu Yang Tidak Wajib
Syeikh di dalam kitabnya mengatakan beliau tidak pasti di kalangan sahabat ada yang mewajibkan wanita memakai niqab. Tetapi lebih utama dan lebih mulia bagi wanita untuk menutup wajah. Adapun mewajibkan sesuatu wajib berdasarkan hukum yang jelas di dalam syariat. Tidak boleh mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan Allah.
Pada pendapat Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:
“Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat.” Menutup muka kerana bimbang timbulnya fitnah
Para ulama empat mazhab bersepakat bahawa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.
Imam Kauthari r.a. berkata:
“Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah.”
Tidak Timbul Istilah Istiqamah Dalam Berniqab
“Dalam menjalani rutin harian, sebenarnya apabila berniqab ada keadaan tertentu wanita perlu membuka niqabnya. Oleh itu, secara umumnya tidak timbul isu ‘istiqamah atau tidak’ dalam memakai niqab kerana permasalahan mengenai sesuatu hukum boleh berubah mengikut keadaan kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Satu situasi, seorang muslimah boleh berubah menjadi wajib memakai niqab sekiranya memiliki rupa paras yang menarik perhatian lelaki dan boleh jadi situasi yang lain seorang wanita hanya sunat memakai niqab untuk mengikuti sunnah para isteri Rasulullah.
Kesimpulannya, ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat di kalangan ulama.
Seorang kakak yang sangat saya hormati dalam pendapatnya menerangkan bahawa niqab bukan sekadar menghijab wajah dari pandangan lelaki tetapi niqab juga adalah sebagai benteng untuk menjauhkan diri dari maksiat.
Apabila menutup mulut ia adalah satu nasihat kepada diri sendiri untuk menghindari mengumpat, mencela dan menggunakan perkataan yang tidak sopan.
Seorang muslimat lainnya menjadikan niqab sebagai satu motivasi untuk sentiasa menjaga solat, tidak melewat-lewatkan solat lantaran imej muslimah yang dibawanya telah merubah peribadinya ke arah yang lebih baik”
Masya Allah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Misteri Tubuh Manusia! Tahukah Allah Jadikan Kita Bernafas Melalui Satu Lubang Hidung Saja
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Surah Al Mukminum ayat 104.
Allah menciptakan manusia dari setitis air mani. Kemudian ia dibentuk menjadi jasad sebelum ditiupkan ruh.
Penciptaan tubuh manusia ini sangat unik, hanya Allah yang mengetahui-Nya. Ada mata, hidung, telinga, kaki dan lain-lain lagi di mana setiap anggota tubuh ini memiliki fungsi berbeza-beza.
Tapi tahukah, misteri tubuh manusia di mana kita sebenarnya bernafas hanya melalui satu lubang hidung saja. Jangan terperanjat fakta ini dan kerana itulah Allah ciptakan manusia memiliki dua lubang hidung dan setiap satunya berbeza fungsi.
Sekitar 85 peratus manusia bernafas menggunakan lubang hidung pada satu masa. Menariknya, lubang hidung secara automatik berganti bernafas dalam tempoh empat jam.
Sebagai contoh, empat jam pertama kita bernafas melalui hidung kanan, empat jam kemudian lubang hidung kiri mengambil alih. Tapi misteri tubuh manusia ini tidak sama jika seseorang itu mengalami masalah hidung tersumbat atau ada masalah lain.
Dikongsi oleh Today I Found Out, ilmuan pertama yang mempelajari kitaran fungsi hidung ini ialah Richard Kayser pada 1895.
Pakar hidung berasal dari Jerman ini menemukan kitaran hidung ini terjadi melalui ereksi di hidung. Keadaan ini sama seperti ereksi terjadi pada alat kelamin (kembang dan kuncup). Uniknya tubuh dan otak kita akan mempengaruhi lubang hidung yang mengeluarkan nafas saat tertentu.
Kajian pada 1988 pula menemukan bernafas melalui lubang hidung kanan secara signifikan akan meningkatkan kadar glukosa darah. Sedang kesan bernafas melalui hidung kiri adalah sebaliknya.
Hasil kajian ini, para ilmuan berpendapat inividu yang kitaran hidungnya tidak normal misalnya hanya bernafas hanya melalui hidung kanan saja akan menyebabkan diabetes. Kajian yang dibuat pada 1993 pula mendapati saat kita bernafas melalui lubang hidung kanan, kita akan menggunakan oksigen lebih banyak berbanding sebelah kiri.
Kajian yang diterbitkan pada 1994 mendapati ketika bernafas melalui lubang hidung kiri, otak kanan akan lebih aktif atau dominan.
Fungsi lubang hidung tak sama
Dalam pada itu, satu perkongsian menarik dari Ustaz Ahmad Nasir boleh kita jadikan panduan.
Kita memiliki hidung berlubang di sebelah kiri dan kanan. Apakah fungsinya sama?
Sebenarnya fungsinya TIDAK sama dan dapat kita rasakan bezanya.
Sebelah kanan mewakili matahari (mengeluarkan panas) dan yang kiri mewakili bulan (mengeluarkan sejuk).
Jika SAKIT KEPALA, cubalah MENUTUP Lubang hidung sebelah KANAN, bernafaslah melalui hidung sebelah kiri dan lakukan kira-kira 5 minit, sakit kepala akan sembuh.
Jika merasa LELAH/PENAT, lakukan sebaliknya.
Tutup lubang hidung sebelah KIRI dan bernafaslah melalui hidung sebelah kanan.
Tak lama kemudian, Anda akan merasakan segar kembali.
Perempuan bernafas lebih dengan hidung sebelah kiri, sehingga hatinya MUDAH sekali sejuk.
Laki-laki bernafas lebih dengan hidung sebelah kanan, sehingga CEPAT sekali marah.
Apakah anda memperhatikan pada saat bangun, lubang hidung mana yang bernafas lebih cepat?
Sebelah kiri atau kanan?
Jika lubang hidung kiri bernafas lebih cepat, anda akan merasa sangat lelah.
Tutuplah lubang hidung sebelah kiri dan gunakan lubang hidung sebelah kanan untuk bernafas, Anda akan merasa segar kembali dengan cepat.
Cara tersebut boleh diajarkan kepada anak-anak, tetapi kesannya akan lebih baik diterapkan kepada orang dewasa.
Pada suatu malam, saya duduk menutup lubang hidung sebelah kanan dan bernafas dengan lubang hidung sebelah kiri.
Dalam kurang dari satu minggu, sakit kepala saya sembuh.
Saya terus melakukannya selama sebulan, sejak malam itu sampai sekarang, sakit kepala saya tidak kembali lagi.
Luar biasa, sungguh sempurnanya pengaturan ciptaan Allâh.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dajjal, Kenapa Namanya Tidak Disebutkan Dalam Al-Quran
Soalan
Ramai yang tahu tentang Dajjal. Tapi namanya langsung tidak disebut di dalam Al-Quran.Hanya ada dalam hadis. Pada hal fitnah Dajjal disebut paling gelap, paling hina dan paling keji. Tapi kenapa kisah Dajjal tidak ditulis di dalam Quran sebagaimana kisah Firaun?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan Dajjal menurut perspektif sebenar mengikut al-Qur’an dan al-Hadith. Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat dan ia akan berlaku di akhir zaman. Untuk itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini. Bagi menjawab persoalan di atas, sudi bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu berkaitan definisi Dajjal.
Definisi Dajjal
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis antara dua matanya كفر (kufur).
Persoalan-Persoalan Berkaitan Dajjal
Antara persoalan-persoalan berkaitan Dajjal adalah:
Soalan: Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?
Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincang berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. [al-An’am:158]
Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengn hadith Nabi SAW. Hadith tersebut adalah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ
Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”. [Riwayat Muslim (158)]
Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah)sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Setelah melihat beberapa pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas di dalam al-Qur’an tetapi Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.
Soalan: Di manakah Dajjal akan keluar?
Jawapan: Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah.
Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. [Lihat: Fath al-Bari, ] Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:
- Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. [Riwayat al-Tirmizi (2237)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]
Soalan: Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?
Jawapan: Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:
- Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. [al-A’raf:186]
Soalan: Apakah terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?
Jawapan: Terdapat sebahagian individu mendakwa bahawa Dajjal ini hanyalah simbol kejahatan sahaja dan ia akan hilang dengan terdiri syariat di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, mereka ini menafikan bahawa Dajjal adalah seorang manusia sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Antara dalil yang menguatkan hujah mereka adalah, hadith-hadith berkaitan Dajjal diriwayatkan dengan berbeza-beza seperti tempat keluarnya Dajjal, peribadi Dajjal itu sendiri dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah simbol kepada kejahatan semata-mata dan dia bukanlah seorang manusia seperti yang kita fahami.
Bagi menjawab persoalan ini, hakikatnya tidak ada pertentangan dalam riwayat-riwayat berkaitan Dajjal ini dan ia telah dijelaskan oleh ulama’ sebelum ini apabila mereka cuba menghimpunkan riwayat-riwayat ini dan menjelaskan setiap riwayat tersebut. Hakikatnya, Dajjal adalah seorang manusia dan dia bukanlah simbol sebagai yang didakwa oleh golongan tersebut. Selain itu juga, kita dapat mengetahui akan sifat-sifat Dajjal sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith-hadith yang sahih.
Soalan: Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal?
Jawapan: Dalam masalah ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan samada Ibn Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini:
Pertama: Imam al-Qurthubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain”.
Kedua: Imam al-Nawawi pula berkata: “Para ulama telah berkata bahawa Kisahnya sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya?. Akan tetapi tidak diragukan bahawa diajuga adalah Dajjal di antara para Dajjal”.
Kami berpendapat bahawa Ibn Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman. Selain itu juga, Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman nanti. Pendapat kami ini adalah selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah (الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah bin Qais. Ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah.
Beliau berkata:
وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ
Maksudnya: “Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal.
Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk keluar padanya. Disebabkan kesamaran dalam masalah ini, maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim. Selain itu juga, sebahagian orang menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan Jabir RA”. [Lihat: Fath al-Bari, 328/13]
Soalan: Apakah kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?
Jawapan: Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”. [Riwayat Ibn Majah (4077)][Syeikh al-Arnaouth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif]
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.
Petunjuk Nabi SAW dalam menghadapi fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. [Riwayat Muslim, kitab solat bagi orang musafir dan mengqasarkannya, bab kelebihan surah al-Kahfi dan ayat al-Kursi, no. Hadith 1342]
Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). [Lihat: Al-Dibaj ala Muslim, 2:403]
Cara Menghadapi Fitnah Dajjal
Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:
- Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
- Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
- Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
- Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
- Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
- Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
- Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.
Penutup
Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. [Riwayat Muslim (588)]
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.
Wallahua’lam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI